Pages

Tuesday, November 30, 2010

Kasih Sayang.



Fitrah manusia, suka dikasihi dan disayangi. Hati akan menjadi tenang, bahagia apabila diri dikasihi dan disayangi. Lahirlah kemesraan diantara insan yang berkasih sayang.

Sifat orang-orang mukmin adalah suka dimesrai. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud," Tidak ada kebaikan bagi sesiapa yang tidak mesra dan dimesrai," diriwayatkan oleh Ahmad, at-Tabarani dan al-Hakim.

Kemesraan adalah hasil akhlak mulia, manakala persengketaan pula adalah hasil akhlak buruk.

Islam adalah agama kesatuan dan kemesraan. Islam mengajar umatnya supaya saling berkenalan dan bergaul sesama manusia. Islam tidak mengajar umatnya untuk memencilkan diri dan lari dari masyarakat. Lari daripada tanggungjawab kehidupan.

"Perumpamaan orang-orang Islam dalam kasih mengasihi, saling simpati dan sayang menyayangi adalah seperti satu jasad. Jika satu anggota mengadu sakit,maka seluruh anggota akan turut serta berjaga malam dan demam," diriwayatkan oleh Bukhari.

Suasana hari ini menampakkan kepada kita bahawa sifat mesra dan kasih sayang sesama muslim agak longgar. Masing-masing lebih bersifat mementingkan diri sendiri.

Marilah kita semai kembali benih kasih sayang dalam diri kita dan masyarakat.

Tuesday, November 23, 2010

Foto Kenangan


Hari ini hatiku teruja apabila aku membuka facebook dan melihat sekeping gambar yang di tag oleh seorang bekas pelajar UPMT, namanya Rafizi. Gambar yang di ambil pada tahun 1995, lima belas tahun yang lampau di rumah sewaku ketika itu, selepas kami berusrah.

Yang kelihatan di dalam gambar itu adalah pelajar-pelajar matrik yang mengikuti kursus matrikulasi di UPM Terengganu pada masa itu. Termasuk juga seorang pelajar Diploma Perikanan dari Sabah yang bernama Saidani.

Waktu telah memisahkan kami. Selepas mereka meninggalkan Terengganu, aku telah putus hubungan dengan mereka. Sehinggalah dalam tahun ini aku dapat berhubung semula dengan mereka melalui facebook.

Sekeping gambar memberi erti yang besar. Bukti bahawa kami pernah bersama. Pernah saling kenal mengenal. Pernah berbincang tentang erti kehidupan ini.

Waktu itu suasana lebih tenang… Pelajar tidak terlalu ramai macam sekarang. Hubungan diantara pelajar dan kakitangan cukup rapat.

Waktu yang berlalu telah memisahkan kami dan mengheret kami dengan kesibukan masing-masing. Masing-masing memberi tumpuan kepada pelajaran…kerjaya… keluarga dan sebagainya. 15 tahun adalah satu jangkamasa yang agak lama.

Perpisahan boleh menjadikan hubungan yang akrab menjadi longgar.

Namun di sudut hatiku aku masih mengharapkan agar perhubungan yang telah lama terputus disambung semula di atas dasar ukhuwwah Islamiyyah. Di atas asas Iman dan Taqwa kepada Allah swt.

Saturday, November 20, 2010

Aduhai Melayu


Penulis artikal ini.

Membelek-belek akhbar beberapa hari ini penuh dengan berita MELAYU. Selama duduk di Sabah, jarang diperkatakan isu tersebut. Mungkin kerana etnik Sabah dan Sarawak tidak merasakan diri mereka Melayu walau dari sudut perlembagaan mereka termasuk dalam takrifan Melayu. Cuma mereka mungkin ada alasan tersendiri untuk tidak mahu mengaku Melayu kerana sifat Melayu di Semenanjung itu sendiri.

Sudah beberapa bulan aku di Semenanjung, menggamit kenangan zaman remaja ketika belajar di sini dahulu. Kolej Islam Klang dan Pondok Pak Man Bukit Besar, Kedah. Zaman itu aku juga macam remaja yang lain sangat bersemangat dengan isu-isu politik. Aku rajin beli buku dan kaset-kaset ceramah pelbagai pemimpin dan tok guru. Waktu sekolah pondok dulu, hampir tiap minggu buat rombongan pergi mendengar ceramah politik. Seronok sebab banyak isu. Ceramah politik tanpa isu baru upama makan gulai basi.

Bab kata mengata memang dah jadi tabiat orang Melayu apatah lagi kalau dapat microphone di pentas politik. Sampai ke dalam almari pun kalau mampu mereka akan ceritakan. Bila penceramah menekan suara, kita dah tahu ia minta kita bertepuk atau bertakbir. Naik bulu roma dibuatnya. Sampai sebahagian ceramah tersebut aku hafal. Pandangan aku juga waktu itu macam kawan-kawan lain. Yang tak sebulu dianggap thagut.

Orang Melayu memang hebat berpolitik dan hebat dalam percaturan politik. Politik mereka lebih bersifat politik permusuhan dan bukan permuafakatan. Mungkin darah Hang Jebat dan Hang Tuah masih mengalir dalam darah mereka walau ada yang mengatakan keturunan Hang ni bukan Melayu. Menghimpunkan orang Melayu dalam satu wadah politik agak mustahil, kecualilah kita mampu memaksa semua orang Melayu makan belacan… ramai juga orang Melayu yang geli melihat belacan. Tapi yang tak mustahil ialah duduk semeja berbincang walau kerusinya berlainan… tapi itupun orang Melayu tak mampu buat.

Rasanya dah tiba masanya parti-parti orang Melayu bersaing di medan praktikal. Kurangkan tuduh menuduh di akhbar dan ceramah. Fokuskan minda pengikut pada risalah sebenar kewujudan mereka sebagai Melayu Islam. Dari memperbanyakkan penceramah yang pandai berkata-kata ketika persidangan, muktamar dan konvensyen, baik parti-parti ini berlumba-lumba melahirkan intelektual, jutawan dan negarawan. Dari menghabiskan wang ringgit dalam kempen pilihanraya bagus mereka berlumba-lumba bagi biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu yang berkemampuan. Sayangnya orang Melayu menjadi bangsa yang paling ramai berhutang setelah menamatkan pengajian di universiti.

Banyak lagi medan boleh tunjukkan hebatnya parti-parti politik Melayu. Cubalah berlumba-lumba bina sekolah, universiti swasta bertaraf dunia, syarikat-syarikat gergasi bertaraf dunia. Atau berlumba-lumpa menyelesaikan masalah ummah… sosial, miskin tegar, mundur akademik dan pelbagai bidang lain yang mereka boleh tunjuk kehebatan. Kadangkala melihat sekolah agama swasta milik orang Melayu dan sekolah swasta milik bangsa lain… tengok rupa bangunan sudah mengambarkan jurang perbezaan. Kita masih mengharapkan subsidi kerajaan dan itulah mentaliti kita… termasuk aku.

Kalau orang Melayu benar-benar hebat barulah kita boleh syaratkan yang cuma ada Ph.D sahaja yang boleh dicalonkan bertanding. Barulah yang memimpin kita benar-benar cerdik seperti Oxford dan Harvard Universiti melahirkan pemimpin barat. Kadangkala nak memangkah kertas undi pun serba salah bila nama calon tu dulu mengaji kat U pun tak berapa nak lepas… baca teks ucapan yang orang sediakan pun tergagap-gagap… ermm. Sayangnya hingga kini orang Melayu hanya terkenal pandai bercakap dan kurang buat. Teori banyak, praktikal kurang. Sembang kedai kopi cukup hebat, yang kaya tauke Kopitiam.

Kini setelah hampir puluhan tahun, aku dapati corak berpolitik dan berfikir orang Melayu tak banyak berubah. Cuma mungkin dulu bangsa lain berdiam diri, pasrah dan mengalah. Dulu mereka tumpukan penguasaan bidang ekonomi, kuasai sektor perniagaan, jadi jutawan dan KAYA. Sekarang mereka dah dapat semua itu sebab waktu itu orang Melayu sibuk berebut kerusi, sibuk hukum menghukum hingga terlupa pada risalah asal kewujudan mereka. Kini bangsa lain yang dah dapat habuan dari kekayaan beralih pula kepada kekuatan kedua. KUASA. Ini kerana KAYA dan KUASA lengkap melengkapi. Orang Melayu dari dulu terlalu menumpu yang namanya KUASA dan agak zuhud mengejar yang namanya KAYA. Zaman tu mereka banyak dahulukan bangsa lain. Hinggakan habuan mereka dalam DEB yang cuma 30% mereka tak ambil semuanya.

Toleransinya orang Melayu. Sebab itu sampai kini kita masih tak mampu menyaingi bangsa lain. Paling-paling pun mampu mengeluarkan produk pencecah roti yang menyerupai KAYA keluaran YEOS. Membimbangkan… orang Melayu masih mengamalkan politik berpecah, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, kata mengata macam dulu-dulu juga. Tidak mustahil suatu hari mereka akan menjadi hamba di tanah sendiri. Kadang, baru sahaja ada cadangan untuk duduk semeja, datang orang Melayu juga yang memecahkan kerusi meja sebelum sempat duduk berbincang. Banyak masa dan emosi kita habis ke situ dan terlupa untuk mengejar bangsa lain yang memang telah menguasai KAYA… kini mengimpikan KUASA…

Memang tidak dapat dinafikan orang Melayu pernah hebat. Sejarah membuktikan dulunya kawasan ini dikuasai oleh kerajaan Melayu yang dikenali seluruh dunia. Kalau kita kaji mereka menjadi hebat akibat kedatangan Islam. Islam yang dianuti oleh raja dan rakyat diamalkan bukan hanya sebagai peraturan hidup harian bahkan menjadi undang-undang negara. Akhirnya kerajaan-kerajaan Melayu Islam ini mengusai laluan perdaganan Selat Melaka dan berniaga hingga ke timur dan barat. Orang Melayu dulu KAYA dan BERKUASA. Kalau bukan kerana kedatangan penjajah nescaya kerajaan-kerajaan Melayu masih lagi mengamalkan Islam dalam perundangan dan segenap aspek hidup mereka. Macam nenek moyang mereka dulu.

Bila penjajah datang, mereka cuba buang Islam sedikit demi sedikit dari diri orang Melayu. Akhirnya orang Melayu bukan hanya terjajah negara, bahkan ekonomi, minda dan emosi mereka. Bila merdeka mereka sibuk mencari resepi kemajuan di timur dan di barat untuk memajukan diri dan negara. Kadang nampak berjaya tapi dalam masa yang sama mengundang bahaya. Lihat sahaja, dalam kita berbangga dengan wujudnya pencakar langit dan majunya prasarana, orang Melayulah juga yang paling tinggi ranking dalam penagihan dadah, anak luar nikah, buang bayi, perceraian… Seolah-olah resepi yang kita guna manisnya cuma pada kulit tapi isinya pahit tak mampu ditelan.

Melayu memang perlu terus menguasai tanah ini sebab di sinilah tumpah darah mereka. Tapi tidak bererti bangsa lain tidak ada hak dan tertindas. Mereka juga warganegara. Mereka juga lahir di sini. Tapi hak tuan rumah tetap tidak boleh dipertikaikan. Memperjuangkan bangsa sambil menindas bangsa lain itulah rasis dan asobiyyah jahiliyyah. Memperjuangkan bangsa tanpa mengambil hak dan menindas bangsa lain itu fitrah manusia, Nabi pun seringkali menyebut keistimewaan orang Arab dan bangsa Quraish. Cuma dalam kontek memperjuangkan Melayu, perlulah memahami maknanya seperti takrifan perlembagaan. Melayu itu Islam. Memperjuangkan Melayu bukan sekadar kerana Melayunya bahkan kerana Islamnya Melayu. Perjuangan bangsa mesti bersadurkan agama.

Melayu perlu terus memerintah kerana di situlah letaknya kuasa ISLAM yang diiktiraf oleh perlembagaan. Tapi apakah resepinya? Adakah masih resepi lama? Pandang ke barat atau pandang ke timur? Kita sudah tahu kesannya… kenapa kita tak pandang pada resepi yang pernah memajukan kerajaan Melayu yang dibangunkan oleh nenek moyang kita? Kalau Melayu dulu mampu maju dengan resipi Islam, kenapa kita tidak? Kenapa kita hilang keyakinan? Adakah minda kita masih terjajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun?

Kesultanan Melaka, Johor, Pahang, Acheh, Perlak, Samudera Pasai dulu maju dengan Islam. Satu resepi sahaja… Islam, yang telah dijanjikan oleh tuhan orang Melayu dan manusia sejagat bahawa di dalamnya ada hasanah dunia dan hasanah akhirat. Kenapa kita tak gali semua resepi dan rempah ratusnya lalu dimasak betul-betul menjadi identiti Melayu Muslim sejati. Orang Melayu paling mudah mengamalkan Islam kerana mereka memang telah difitrahkan dengan pelbagai sifat yang baik. Tidak macam orang Arab terkenal kasarnya. Pernah aku makan bersama mereka waktu di luar negara. Mereka makan nasi dengan mengepalnya besar dan bulat dan apabila memasukkannya dalam mulut melekat pada janggut. Orang Melayu makan sungguh tertib.

Itu baru makan. Islam mampu sebenarnya bawa orang Melayu maju seperti zaman kegemilangan nenek moyang mereka bahkan akan lebih maju. Lihat sahaja apabila kerajaan mula melaksanakan sistem kewangan Islam, orang Melayu mampu menjadi peneraju hinggakan bangsa asing belajar dari kita. Mereka mula menaruh minat pada ekonomi Islam. Itu juga satu dakwah kerana tabiat manusia nak kaya, nak untung dan tak nak rugi walau apapun sumbernya. Kenapa kita tak cuba gali lagi resepi Islam dan laksanakan pula dalam aspek-aspek lain? Pasti kesannya sama.

Islam bukan hanya undang-undang, undang-undang juga bukan sekadar hudud. Memang semua itu wajib dilaksanakan. Mengingkarinya boleh mengugurkan shahadatain. Orang Melayu sekarang tahu semua tu, tak mcm era 70-an 80-an. Zaman tu ramai sangat yang jahil. Orang Melayu sudah mula faham cuma kefahaman mereka belum sampai ke akarnya. Masih ada yang yang anggap Islam ini sekadar syiar-syiar tertentu. Masih ada yang anggap Islam fokus pada akhirat melebihi dunia. Ramai pelajarku yang ada kesedaran agama mengabaikan pelajaran kerana alasan dakwah dan risalah lebih utama dari akademik. Ajaran-ajaran sesat begini perlu diperbetulkan. Ia samalah seperti tinggalkan dunia demi persiapan ibadah dan akhirat.

Bahkan aku terpaksa menjadi motivator kepada beberapa usahawan bumiputera di Sabah dan Sarawak yang berpada dengan pendapatan RM20,000 hingga RM30,000 setahun kerana takut terlalu kaya. Akhirnya mereka sekadar menguruskan pendapatan dan bisnes yang sedia ada dan tidak mahu memperkembangankanya. Kataku umat Islam dahulu mencari kekayaan sampai menguasai kekayaan dunia. Tapi akhirnya mereka gunakan semua itu untuk membeli syurga dengan menafkahkannya pada jalan Allah. Kenapa usahawan Melayu tak mahu kaya? Kenapa tak wujud seratus orang seperti Syed al-Bukhari? Yang mampu menyediakan pelbagai bantuan kepada umat Islam? Untuk mewujudkan satu sekolah yang cukup prasarana sahaja ahli jawatankuasa terpaksa menagih simpati orang ramai.

Ada satu masjid di Bangi ini, setiap Jumaat aku mesti bawa sedikit bekalan wang. Lepas solat pasti ada sejadah dihamparkan untuk orang ramai bersedekah dan menderma bagi pembinaan bangunan sekolah. Kadangkala sekolah yang terbina serba kekurangan. Paling sedih kadangkala Khatib terpaksa berkhutbah berapi-api untuk menaikkan semangat hadirin menderma. Sebab orang kita tidak ramai yang kaya raya. Yang kaya raya pula masih ramai yang sayang harta. Imam al-Banna pernah menyebut: Bukanlah zuhud itu engkau meninggalkan dunia dan menyerahkannya kepada orang kafir untuk menikmatinya. Tapi zuhud yang sebenarnya ialah engkau memiliki seluruh isi dunia hinggakan nilai dunia ini seumpama tanah sahaja dan kau nafqahnya pada jalan Allah. Itulah kefahaman sebahagian besar para sahabat yang dijanjikan masuk syurga. Mereka orang kaya dan mereka gunakan kekayaan tersebut untuk membeli syurga.

Melayu tanpa Islam umpama badan tanpa nyawa. Kalaupun mereka mampu bergerak, ia umpama mayat yang berjalan di tengah malam. Orang Melayu perlu membina diri mereka dengan Islam. Mereka perlu memahami Islam sebagaimana yang difahami oleh generasi awal dan sebagaimana yang difahami oleh nenek moyang orang Melayu di zaman keagungan mereka. Tanpa Islam Melayu akan terus layu.

Lantaran itu pendekatan politik kepartian dan cara berfikir orang politik tak akan mampu menyatukan orang Melayu. Mereka telah dibesarkan oleh sistem berpolitik ala barat yang kadangkala tidak terikat dengan batasan akhlak dan karamah insan. Tak kira golongan manapun mereka, hampir sama sahaja sepak terajangnya di pentas. Politik memang sebahagian dari Islam untuk mengurus kekuatan ummah. Politik Islam penuh dengan adab dan tatasusila. Ia bukan sekadar medan mencari kuasa tapi ia wasilah untuk mendekatkan manusia kepada penciptanya. Kita perlu pendekatan lain yang juga tak kurang pentingnya bahkan paling utama. Pendekatan tarbiah.

Tarbiah selama 13 tahun di Mekah telah mengeluarkan orang-orang Arab dari lemah menjadi kuat. Akhirnya mengetuai manusia membina tamadun yang hingga kini diingati sumbangannya. Orang Melayu perlu dididik semula memahami agama mereka. Perlu dididik semula memahami risalah hidup mereka. Perlu dididik semula memahami tabiat agama mereka. Perlu dididik semula seni menguasai dunia dan akhirat. Perlu dididik semula tentang kesyumulan Islam. Sayangnya mata pelajaran yang ada di sekolah-sekolah orang Melayu dan universiti-universiti mereka cuma sarat dengan masalah furu’ dan kurang menekankan semua itu. Hatta di sekolah-sekolah agama. Akhirnya mereka hidup dan berfikir dalam lingkungan diri mereka sendiri sahaja. Memang ada pelajaran agama… tapi sekadar melahirkan saudagar mimpi dan bomoh.

Islamlah sebenarnya yang memajukan Melayu. Tapi Islam yang difahami oleh generasi awal Islam. Tanpa Islam Melayu beginilah keadaannya sampai bila-bila. Kalau pun mereka maju, mereka sama macam orang putih yang menjajah mereka. Melayu dan Islam tidak sepatutnya berpisah.

Apapun aku orang Kedayan dari Sarawak.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”



Oleh: Ustaz Sarip Adul
Yang Dipertua ISMA Sabah

Tuesday, November 16, 2010

Kisah Benar: Aku, Lim dan Islam..


Aku punya seorang rakan baik dari zaman kanak-kanak. Lim Wei Choon. Sama-sama bersekolah rendah hingga ke peringkat menengah. Selepas SPM. Aku masuk ke Tingkatan 6, manakala Lim dihantar keluarganya melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Kenangan sewaktu kanak-kanak hingga ke zaman remaja terlalu banyak yang dikongsi bersama.

Setiap kali hariraya menjelang, Lim pasti berkunjung ke rumah ku untuk menikmati dodol arwah ayahku yang amat digemarinya. kadangkala, jika ada kenduri kendara di rumahku, pasti Lim akan turut serta. Aku jarang ke rumahnya kecuali umtuk beberapa sambutan seperti harijadi dan juga Tahun Baru Cina. Aku takut dengan anjing peliharaan keluarga Lim.

Dengan Lim juga aku belajar matematik manakala subjek Bahasa Malaysia sering menjadi rujukannya padaku. Kenangan-kenangan seperti memancing, mandi jeram, ponteng sekolah untuk melihat pertandingan ‘breakdance’, semuanya kami kongsi bersama-sama. Apa yang ingin kunyatakan ialah, warna kulit dan perbezaan ugama tidak pernah menjadi penghalang persahabatan kami. 20 tahun telah berlalu, Lim telah menetap di Amerika setelah berjaya mendapat Green Card, beliau bekerja di sana. Itu yang kuketahui dari kakaknya.

Hubungan ku dengan Lim terputus setelah dia melanjutkan pelajaran. Maklumlah, di zaman kami dulu tiada internet, email atau telefon bimbit, yang ada cuma sesekali menghantar poskad bertanya khabar.

Suatu pagi. Aku bertembung dengan kakak Lim di pasar , kakaknya memberitahu Lim akan pulang ke tanahair. Dan aku amat terkejut dengan berita yang kudengar dari kakaknya.

” He’s name is no more Lim Wei Choon. He’s now Ahmad Zulfakar Lim since 5 years ago. ..Subhanallah!

Syukur Alhamdulillah, rakan baikku telah menemui hidayah dari Allah S.W.T. Memang aku tak sabar untuk berjumpa dengannya lebih-lebih lagi setelah menjadi saudara seagama denganku.

Hari yang kutunggu-tunggu telah tiba, dan petang itu aku berkesempatan bertemu dengan Lim di rumahnya. Ada satu keraian istimewa sempena menyambut kepulangannya. Ketika aku tiba, tetamu sudah semakin berkurangan. ..

"Assalamualaikum." Itulah kalimat pertama dari mulutnya, wajahnya sudah jauh berubah, air mukanya amat redup dan tenang.

Aku menjawab salam dan berpelukan dengannya dan kami menangis umpama kekasih yang sudah terlalu lama terpisah.

"Ini dia olang memang sudah manyak lama kawan, dari kecik ini dua olang”. Ibu Lim menjelaskan pada beberapa orang tetamu yang melihat peristiwa kami berpelukan dan menangis itu. Tetapi aku bukan menangis kerana apa, tetapi kerana amat sebak dan terharu dan sangat bersyukur melihat keislaman rakanku. Lim mengajak aku duduk di buaian di halaman rumahnya untuk berbual-bual. Beliau masih fasih berbahasa melayu walau sudah lama berada di perantauan.

"Talha, kau kawan baik aku kan? betul tak?". "Memanglah..Kenapa kau tanya macam tu?".
"kalau kau kawan baik aku, Kenapa kau biarkan aku diseksa?"

"Sorry Lim. Aku tak faham..diseksa? What do you mean?"

"Cuba kau fikir, kita ni kawan dari kecil. Aku ingat lagi, rumah kau tu, is my second house.Tapi, mengapalah kau tak pernah ceritakan pada aku tentang Islam? Mengapa aku kena pergi ke US baru aku dapat belajar tentang Islam? Mengapa bukan di Malaysia, negara Islam ni?. Dan mengapa aku diIslamkan oleh seorang bekas paderi kristian?"

Aku terdiam, kelu tak mampu menjawab. Dan Lim terus berkata-kata. "Kalau betullah kau kawan baik aku, Kenapa kau cuma nak baik dengan aku di dunia saja? kau suka tengok kawan baik kau ni diseksa di dalam api neraka?.

Kau tahu, kalaulah aku ni tak sempat masuk islam hingga aku mati. Aku akan dakwa semua orang melayu Islam dalam kampung kita ni sebab tak sampaikan dakwah dan risalah Islam pada aku, keluarga aku dan non muslim yang lain. Kau sedar tak, kau dah diberikan nikmat besar oleh Allah dengan melahirkan kau di dalam keluarga Islam. tapi, nikmat itu bukan untuk kau nikmati seorang diri, atau untuk keluarga kau sendiri, kau dilahirkan dalam Islam adalah kerana ditugaskan untuk sampaikan Islam pada orang-orang yang dilahirkan dalam keluarga bukan Islam macam aku".

Aku masih tunduk dan tidak terkata apa-apa kerana sangat malu.

"Berdakwah adalah tugas muslim yang paling utama, sebagai pewaris Nabi, penyambung Risalah.Tetapi apa yang aku lihat, orang melayu ni tidak ada roh jihad, tak ada keinginan untuk berdakwah, macamana Allah nak tolong bangsa melayu kalau bangsa tu sendiri tak tolong ugama Allah? Aku bukan nak banggakan diri aku, cuma aku kesal. Sepatutnya nikmat ini kau kena gunakan dengan betul dan tepat, kerana selagi kau belum pernah berdakwah, jangan kau fikir kau sudah bersyukur pada Allah.

Dan satu lagi, jangan dengan mudah kau cop orang-orang bukan Islam itu sebagai kafir kerana kafir itu bererti ingkar. Kalau kau dah sampaikan seruan dengan betul, kemudian mereka ingkar dan berpaling, barulah kau boleh panggil kafir.

Aku menjadi amat malu, kerana segala apa yang dikatakan oleh Lim adalah benar, dan aku tak pernah pun terfikir selama ini. Aku hanya sibuk untuk memperbaiki amalan diri sehingga lupa pada tugasku yang sebenar.

Baru aku faham, andainya tugas berdakwah ini telah dilaksanakan, Allah akan memberikan lagi pertolongan, bantuan dan kekuatan serta mempermudahkan segala urusan dunia dan akhirat sesorang itu".

Petang itu aku pulang dengan satu semangat baru. Aku ingin berdakwah!

Lim yang baru memeluk Islam selama 5 tahun itu pun telah mengislamkan lebih 20 orang termasuk adiknya. Mengapa aku yang hampir 40 tahun Islam ini (benarkah aku islam tulen) tidak pernah hatta walau seorang pun orang bukan Islam yang pernah kusampaikan dengan serious tentang kebenaran Islam?

Semoga Allah mengampuni diriku yang tidak faham apa itu erti nikmat dilahirkan sebagai Islam.

Kisah benar ini kiriman seorang ahli jemaah masjid al Munawwarah dari Jeram Pasu.


Dikutip dan diedit dari blog Ustaz Halim.

Sunday, November 14, 2010

Aku Malu


Ya Rabb
Aku malu
Bila aku tidak dapat mengawal diri
LaranganMu aku langgari
Dan suruhanMu aku abaikan.

Ya Rabb
Aku malu
Bila aku mengagung-agungkanMu
Dan mengaku
Bahawa solatku, ibadahku
Hidupku dan matiku
Adalah keranaMu
Namun aku masih mencuaikan perintahMu.

Ya Rabb
Aku malu
Bila aku lupa diri
Rasa ujub terselit di hati
Dengan sedikit ilmu
Yang aku miliki
Dan sedikit kekuatan
Yang engkau beri.

Ya Rabb
Aku malu
Bila aku selalu berseru
Tunjukkanlah aku jalan yang lurus
Namun aku masih menyimpang
Dari jalan itu
Sedangkan aku tahu
Arah tujunya jalan itu.

Ya Rabb
Aku malu
Bila aku sedari
Tubuhku akan kaku
Lidahku akan kelu
Dengan izinMu.

Ya Rabb
Biarlah aku malu
Dan jadi pemalu
KeranaMu.

Wednesday, November 10, 2010

Taat Setia Menurut Perintah Tuhannya


Ukuran Iman seseorang muslim adalah berdasarkan kepada kepatuhan dan perlaksanaannya kepada apa yang diperintahkan oleh Allah swt. Taat setia kepada semua perintahNya, dari sebesar-besar perkara sehinggalah kepada sekecil-kecilnya, samada dia suka atau dia benci, walaupun ianya bertentangan dengan hawa nafsunya.

Sabda Rasulullah saw. yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang dari kamu sehinggalah hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa.” (Annawawi).

“Maka demi Tuhanmu, mereka ( pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasakan di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima sepenuhnya.” (An-Nisa’: 65)

Islam itu adalah satu penyerahan yang mutlak kepada hukum Allah dan rosulNya.

Oleh kerana itu terhindarlah dari hidup seseorang muslim itu dari sebarang penyelewengan dengan hidayat Allah dan tidak menjauhi perintah Rasulullah saw. Samada di dalam diri, di dalam keluarganya atau terhadap orang-orang yang berada di bawah kekuasaannya.

Sumber rujukan: Keperibadian Muslim, Mohd Ali Hashimi

Monday, November 8, 2010

Mukmin Yang Sedar



Perkara pertama yang dituntut oleh Islam kepada seorang muslim itu ialah menjadi muslim yang beriman dengan sebenarnya kepada Tuhannya. Dia sentiasa berhubung dengan Tuhannya, mengingatiNya serta bertawakkal menyerah diri kepadanNya.

Dia merasakan dalam lubuk jiwanya bahawa sesungguhnya dia sangat berhajat dan sentiasa perlu kepada kekuatan Allah swt., kepada bantuan dan sokonganNya sekalipun dia telah berusaha bersungguh-sungguh menyediakan sebab-sebab yang dimestikan.

Muslim yang sejati dan benar ialah muslim yang hatinya sedar, celik mata dan terbuka pintu Imannya. Menyedari bahawa segala keindahan yang terbentang di seluruh alam ini adalah ciptaan Allah swt. Yakin tangan Allah swt. yang tinggi, yang tersembunyi di sebalik alam itulah yang mengendalikan urusan alam dan urusan manusia.

Oleh yang demikian, dia selalu ingat kepada Allah swt. Sentiasa melihat kudrat kekuasaan Allah yang tidak terbatas setiap detik dan ketika lalu bertambah Imannya dan bertambah ingat kepadaNya.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]

Rujukan: Keperibadian Muslim. Mohd Ali Hashimi

Saturday, November 6, 2010

Renung sejenak...


Saudaraku yang di kasihi,
Marilah kita merenung sejenak dan sama-sama berfikir. Merenung tentang alam ciptaan Allah ini. Allah ciptakan bumi, bulan, matahari serta planet-planet yang lain.
Allah ciptakan juga segala keperluan untuk manusia hidup di atas muka bumi ini.

Allah ciptakan manusia dengan akal yang sempurna supaya manusia dapat terokai setiap ruang dan mengambil menafaat daripada ciptaanNya.

Amat tersusun dan amat halus ciptaan Allah.

Lebih jauh daripada itu, Allah utuskan para nabi dan para rosul untuk membimbing manusia ke jalan yang benar. Allah turunkan kitab-kitab supaya manusia dapat berpandukan kepadanya.

Sehingalah sampai kepada Nabi Muhammad s.a.w., di mana baginda telah mempusakai kita dengan kitab Al-Quran dan hadith-hadith baginda.

Ini adalah untuk kepentingan umat manusia, supaya manusia dapat berpandu kepadanya di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan hidup mereka. Juga dalam soal-soal beribadah kepada Allah swt.

Oleh kerana manusia adalah milik Allah, sudah tentu amat layak bagi Allah mengadakan peraturan hidup yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Namun sebahagian besar manusia telah engkar daripada mematuhi hukum-hukum atau peraturan yang Allah telah tetapkan. Ini adalah kerana kejahilan dan kedegilan mereka sendiri.

Bagi kita yang sedar akan tanggungjawab kita untuk mengabdikan diri kepada Allah, dan berjuang untuk menegakkan agamaNya, marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan hubungan kita dengan Allah swt. Melaksanakan suruhanNya dengan lebih bersungguh-sungguh dan mengambil bekalan kekuatan dariNya untuk perjuangan yang masih panjang.

“Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Al-A’raf: 128).

“Sesunguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Haj: 40).