Pages

Friday, December 31, 2010

Muslim yang sedar Melaksanakan Pengertian Ubudiyyah Kepada Allah.


Muslim itu meyakini dengan satu pengertian yang pasti dan putus bahawa dia tidak diciptakan dalam hidup ini melainkan untuk beribadat kepada Tuhannya.

Seperti firman Allah swt. yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembahKu.”
(Az-Zariaat: 56)

Beribadat kepada Allah swt. dapat dilaksanakan di dalam segala gerak geri yang positif. Ia adalah hasil daripada satu perasaan yang bertunjangkan kepada ubudiyyah kepada Allah swt. Yang Maha Esa dan Maha Kuasa. Perasaan yang mendorong muslim untuk mencari keredhaan Tuhannya di dalam setiap amal dan usahanya.

Sesungguhnya sebesar-besar ibadah yang dilakukan oleh seorang muslim yang sebenarnya ialah menegakkan hukum-hukum Allah swt. , membangunkan pemerintahan Islam, supaya manusia diperintah menurut syariat Allah swt. dan membentuk cara hidup ini menurut cara hidup Islam. Samada dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Seorang muslim yang benar akan merasai bahawa ibadatnya masih kurang selagi dia tidak berusaha bersungguh-sungguh dan melibatkan diri bersama-sama mereka yang berkeinginan untuk merealisasikan tujuan besar ini.

Dengan meninggikan kalimah Allah di bumi ini baharulah terlaksananya ubudiyyah manusia kepada Allah swt. Sistem Islam diamalkan dan hukum Allah dilaksanakan.

Itulah kenyataan hidupnya yang istimewa, itulah makna dan pengertian hidupnya yang tinggi. Dia akan mengurbankan usaha, waktu dan hartanya untuk menolong dakwah Islamiah, risalah Islam dan jihad untuk meninggikan kalimah Allah. Dia akan berusaha tanpa henti dengan penuh tekun untuk merealisasikan cita-citanya itu.

Itulah juga ibadah yang sebenar-benarnya yang dipikul oleh muslim yang bertaqwa, yang benar, yang dapat menghampirkan diri kepada Tuhannya.

Wallahua'lam.

Tuesday, December 28, 2010

Hukum Letak Gambar Muslimah di Facebook


Assalamualaikum ustaz,
(Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS)

Apa hukum muslimah meletakkan gambar mereka yg menutup aurat di dalam laman sosial (eg facebook, friendster) atau blog peribadi tanpa tujuan dharuri?


Jawapan:

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه أجمعين

وبعد,

Ada beberapa sudut yang perlu dibincang dalam isu ini antaranya ialah perhiasan yang dibenarkan didedahkan oleh seorang wanita , isu saranan menundukkan pandangan kepada kaum lelaki ,isu niat dan isu fitnah.

Firman Allah SWT:

Bermaksud : "Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya"; (terjemahan sebahagian ayat 31 surah al-Nur ).

Dalam tafsir Ibnu Kathir dinukilkan beberapa pandangan mengenai perhiasan tubuh yang diberi pengecualian antara:

عن ابن عباس: { وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا } قال: وجهها وكفيها والخاتم

Ibnu Abbas mengatakan antara perhiasan berkenaan ialah wajah , kedua tapak tangan dan cincin. Beliau membawa dalil :

عن عائشة، رضي الله عنها؛ أن أسماء بنت أبي بكر دخلت على النبي صلى الله عليه وسلم وعليها ثياب رقاق، فأعرض عنها وقال: “يا أسماء، إن المرأة إذا بلغت المحيض لم يصلح أن يُرَى منها إلا هذا” وأشار إلى وجهه وكفيه

Daripada Aishah R.A bahawa Asma’ bte Abu Bakar menemui Nabi SAW dalam keadaan berpakaian agak nipis lantas Nabi SAW berpaling daripadanya dan berkata “wahai Asma’ sesungguhnya apabila sampai peringkat umur baligh , tidak harus dirinya dipandang kecuali ini sambil menunjuk kepada muka dan tapak tangannya."(sunan Abi Daud 4014).

Dalam isu menundukkan pandangan Allah SWT berfirman:

Bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan." (Terjemahan ayat 30 surah al-Nur).

Mengikut sebahagian ulama muka dan tapak tangan adalah termasuk dalam perhiasan yang diberi keizinan oleh syara’ untuk didedahkan . Namun falsafah mengapa ia diberi keizinan ialah seperti diungkap oleh al-Hafiz Ibnu Kathir:

قال : { وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا } أي: لا يُظهرْنَ شيئا من الزينة للأجانب، إلا ما لا يمكن إخفاؤه.

“Janganlah mendedahkan perhiasan berkenaan kepada lelaki asing kecuali yang tidak mungkin atau sukar untuk disembunyikan”

Maka dengan itu , sengaja meletakkan gambar walaupun menutup aurat di dalam laman sosial (eg facebook, friendster) atau blog peribadi tanpa tujuan dharuri hendaklah dijauhi lebih-lebih jika gambar itu ada unsur tabarruj (berhias diri) , aksi yang merangsang dan membawa kepada fitnah yang lebih besar kepada diri sendiri mahupun keluarga .

Kecuali ada maksud tertentu yang diterima oleh shara’ tetapi dengan penampilan yang cukup beradab seperti bersama-sama rakan yang lain dalam sesuatu program atau bersama suami .

Hadith menyebut :

انما الأعمال بالنيات

Hanyasanya amalan itu dinilai berdasar kepada niat

Kaedah feqh menyebut :

الأمور بمقاصدها

Sesuatu perkara itu berdasarkan kepada tujuannya.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين

والله أعلم بالصواب

Disediakan oleh:
Ustaz Zamri Hashim
Sekretariat MUIS (Majlis Ulama Isma)

Monday, December 27, 2010

Muslim Yang Benar, mencari redha Tuhannya


Muslim yang benar sentiasa mengharapkan keredhaan Allah bagi segala usaha dan amalannya, bukan mengharapkan redha manusia. Kadang-kadang dia mungkin melakukan sesuatu perkara yang tidak di sukai oleh orang lain namun ianya diredhai oleh Tuhannya.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mencari keredhaan Allah dengan kemurkaan manusia, Allah mencukupkan dia dari urusan manusia. Dan barangsiapa mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah menyerahkan dia kepada manusia.”
(Riwayat Tarmizi)

Dia mengukur dan menimbang segala amal dan usahanya dengan timbangan keredhaan Allah. Mana yang diredhai Allah itulah yang dilaksanakannya. Mana yang tidak diredhaiNya itulah yang dijauhinya.

Dengan yang demikian, luruslah pertimbangan muslim itu dan benarlah pengukurannya di dalam segala urusannya. Jelas dan terang di hadapan matanya segala petunjuk di sepanjang jalan yang benar dan lurus. Selamatlah dia daripada segala perilaku yang tidak baik, yang bercanggah dengan kehendak Islam itu sendiri.

Ada golongan yang kita lihat bersembahyang dengan khusyuk di masjid tetapi di dalam suasana-suasana yang lain di tempat lain, mereka melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak Islam. Maka wujudlah apa yang dikatakan dualisma di dalam diri individu tersebut. Ada ketikanya dia taat dan di masa yang lain dia derhaka kepada Allah taala.

Rasul SAW bersabda: “Akan tiba satu saat pada akhir zaman di mana seorang itu beriman pada pagi hari dan kafir pada petang hari, beriman pada petang hari dan kafir pada pagi esok.”(mafhum hadith).

Kita dikehendaki untuk menjadi ‘full time muslim’ bukan ‘part time muslim’. Muslim sepanjang masa. Bukan muslim ketika berada di atas sejadah atau tikar sembahyang dan di masjid-masjid sahaja sedangkan merasakan tidak ada ikatan dengan Islam ketika berada di tempat-tempat yang lain.

Ini adalah satu bahaya yang sangat besar dan ujian yang sengit yang menimpa umat Islam hari ini.

Marilah kita sama-sama kembali kepada Islam dan mengambil Islam sebagai panduan di dalam keseluruhan hidup kita.

Wallahua’lam.

Rujukan: Keperibadian Muslim, Mohd Ali Hashimi.

Wednesday, December 22, 2010

Satu Pertemuan



Jam satu setengah pagi
Mata yang masih belum mahu lelap
Bila hati masih bersedia untuk jaga.

Bukan apa-apa
Hanya untuk menulis beberapa ayat
Di sini, di saat ini.

Jam satu setengah pagi
Hati masih mengharapkan pertemuan
Denganmu, yang membaca tulisan ini
Kerana sudah beberapa ketika
Aku tidak menulis di sini
Dan kita tidak bertemu.

Tulisanku adalah mewakili diriku
Bila aku menulis, aku mengharapkan pertemuan denganmu
Bila engkau menatapinya
Aku kira itu adalah satu pertemuan diantara kita
Apabila kita bertemu di sini
Aku merasakan keakraban terjalin…
Itu yang kuharapkan.

Pukul satu setengah pagi
Sewajarnya aku berada di peraduan
Namun untuk satu pertemuan
Biarlah aku ukir beberapa perkataan
Kerana aku amat menghargai pertemuan ini.


Siap: satu lima puluh pagi 23 Dec. '10

Tuesday, December 14, 2010

Dakwah


Dengan nama Allah aku mulai tulisanku ini. Semoga apa yang ku tulis mendapat keredhaanNya.

Tulisanku kali ini sekadar menzahirkan rasa hatiku, betapa aku telah meletakkan satu cita-cita dan juga harapan di dalam sanubariku bahawa biarlah keterlibatanku di dalam blog dan facebook adalah untuk mendapatkan keredhaan AIlah. Juga sebagai satu saluran dakwah.

Erti dakwah sebagaimana yang ku dapati daripada Hidayatul Mursyidin tulisan Syeikh Ali Makhfuz ialah: Mendorong manusia agar membuat kebaikan dan menuruti petunjuk, memerintah mereka memperbuat kebajikan, dan melarang mereka daripada perbuatan mungkar, agar mereka mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.

Yang mana berdakwah itu merupakan satu perjuangan hidup untuk menjunjung tinggi undang-undang Ilahi dalam seluruh aspek kehidupan manusia dan masyarakat, sehingga ajaran Islam menjadi sibghah (celupan) yang mendasari, menjiwai dan mewarnai seluruh sikap dan tingkahlaku manusia dalam kehidupan dan pergaulan hidupnya.

Dakwah, sesuatu yang tidak asing dalam ajaran Islam tetapi asing di sudut penghayatan umat Islam hari ini. Dakwah, satu tugas yang mulia tetapi ramai orang yang rasa kurang selesa apabila ada orang yang ingin berdakwah kepada mereka, apatah lagi untuk mereka berdakwah kepada orang lain.

Namun Nabi kita telah meletakkan satu harapan yang besar kepada umatnya supaya berdakwah. Ingatlah Sabda Baginda yang bermaksud, “Sampaikanlah daripada aku ini walaupun dengan satu ayat”.

Bolehlah kita fahami dari maksud kata-kata ini ialah supaya kita semua berdakwah (menyebarkan Islam) mengikut kemampuan yang kita ada.

Aku rasa rugi sekiranya kita semua tidak menjadikan facebook dan blog kita sebagai satu landasan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Bukankah kita semua menghabiskan banyak masa kita di situ.

Marilah sama-sama kita mendidik hati kita supaya rasa selesa dengan dakwah, terutama sekali dengan ajaran Islam itu sendiri.

Wallahua’lam.

Sunday, December 12, 2010

Aku


Dari wajahmu aku mengenali kamu
Dari tutur dan bicaramu aku mengenali kamu
Dari suka dan bencimu aku mengenali kamu
Dari pakaianmu aku mengenali kamu
Dari tulisanmu aku mengenali kamu
Dan…aku mula untuk memahami diri kamu.

Begitulah juga aku
Sebagaimana yang engkau kenali
Aku adalah wajah dan air mukaku
Aku adalah bicaraku
Aku adalah suka dan benciku
Aku adalah apa yang engkau lihat diriku.

Dan…aku akan terus menjadi aku
Sebagaimana yang engkau kenali
Semoga engkau dapat memahami aku.

Muhammad: 07 Muharram 1432.

Saturday, December 11, 2010

Ketenangan Jiwa, sambungan.........


Orang beriman lebih berhak merasakan ketenangan jiwa dan ketenteraman hati. Ini adalah kerana mereka menempuh jalan hidup yang sesuai dengan fitrah (kemanusiaan) yang di tanamkan Tuhan dalam jiwa manusia.

Fitrah manusia hanya dapat dipuaskan dengan mengetahui Allah, beriman dan menghadapkan tujuan kepadaNya. Di situ baru dia mengenal akan dirinya, mengetahui tujuan perjalanan hidupnya, mengetahui tugas dan kewajipan terhadap Tuhan yang menciptakannya.

Seseorang yang tidak mengenal Tuhannya, dan tidak mengenal akan dirinya sendiri, tidak akan dapat merasakan kebahagiaan dan ketenangan yang sebenarnya.

Kadang-kadang fitrah manusia ini ditutupi oleh karat syubhat dan debu syahwat, tunduk kepada kehendak nafsu, terpengaruh dengan amalan nenek moyang yang bercanggah dengan Islam dan sebagainya. Ini menyebabkan fitrah tadi menjadi lemah dan tidak merasakan keperluan untuk berhubung dengan Allah.

Bukti bahawa fitrah tadi masih ada ialah apabila seseorang itu ditimpa cobaan hidup, yang tidak ada orang lain dapat menyelamatkannya. Ketika itu barulah dia ingat kepada Allah, dan berdoa kepadaNya.

Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 67; “Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, maka lenyaplah dari ingatanmu apa yang kamu puja selain Allah.”

Kesimpulannya, manusia tidak boleh hidup tanpa mempunyai kepercayaan, mempercayai Tuhan yang dibesar dan dimuliakan, ditakuti dan ditumpahkan harapan kepadaNya. Siapa yang menyembah Allah, dia tidak akan memuja dan tunduk kepada selain Allah. Dengan demikian, kehidupannya sejalan dengan fitrah kemanusiaan yang ditanamkan Tuhan ke dalam jiwanya dan dengan yang demikian dia akan memperolehi ketenangan dan ketenteraman dalam hidupnya. Wallahua'lam.

Wednesday, December 8, 2010

Ketenangan Jiwa


Ketenangan jiwa adalah sesuatu yang disimpan oleh Allah untuk diberikan kepada orang-orang pilihanNya. Ramai orang yang Allah berikan kepintaran, kesihatan, harta yang banyak serta pangkat dan kemasyhuran. Tetapi ketenangan jiwa hanya dikurniakan Allah dengan ukuran yang terbatas.

Perjalanan hidup ini telah memberikan pelajaran kepada kita bahawa, orang-orang yang selalu dilamun keluh kesah, kesempitan fikiran dan kegoncangan batin, merasa sepi dan jiwa kosong adalah mereka-mereka yang tidak memperoleh nikmat Iman dan keyakinan.

Ketenangan jiwa itu adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam hati orang-orang yang beriman dari penduduk bumi, supaya mereka berhati teguh di kala orang lain mengalami kegoncangan, mereka yakin ketika orang lain dalam keraguan, mereka sabar ketika orang lain berkeluh kesah dan mereka berdada lapang ketika orang lain kebingungan.

Ketenangan seperti inilah yang memenuhi jiwa Rasulullah saw. ketika berhijrah bersama Abu Bakar. Tidak ada perasaan cemas dan dukacita, tiada rasa takut dan gentar, tiada rasa ragu-ragu dan keluh kesah.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolongnya (Muhammad), ketika orang-orang kafir mengusirnya, hanya berdua saja, ketika keduanya di dalam gua, di kala itu dia berkata kepada kawannya: “Janganlah engkau bersedih hati, sesungguhnya Allah bersama kita,” (At Taubah 40).

Tidakkah kita semua mengharapkan agar jiwa kita menjadi tenang?. Orang yang ingin mendapatkan ketenangan akan berusaha ke arah jalan itu. Apabila Allah ingin memberikan ketenangan kepada seseorang , Allah akan membuka jalan agar orang itu mencapai ketenangan. Benarlah firman Allah yang bermaksud, “ Barang siapa yang bersungguh-sungguh pada jalan Kami, nescaya kami akan tunjukkan jalan Kami.”

Itulah dia jalan ketenangan yang ramai orang berlumba-lumba ke arahnya.

Rujukan: Al Iman wal Hayah

Monday, December 6, 2010

Perasaan Rendah Diri


Perasaan rendah diri. Satu perasaan yang tertanam di dalam diri seseorang. Merasakan diri mereka serba kurang, tidak berkebolehan, rasa sukar untuk masuk ke dalam kumpulan ramai. Rasa berat untuk memberikan sesuatu pandangan, takut tidak diterima oleh orang lain.

Perasaan rendah diri tersemat di dalam diri seseorang tanpa diundang. Biasanya sejak alam kanak-kanak lagi. Perasaan ini akan menjadikan seseorang itu terhalang untuk maju, ketinggalan dalam persaingan disebabkan merasakan dirinya tidak berkebolehan, kurang yakin kepada diri sendiri.

Perasaan rendah diri menyebabkan seseorang itu menjadi mudah tertekan, suka memendam perasaan, amat sensitif dan perasaannya mudah tersentuh walaupun hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh temeh.

Perasaan rendah diri atau tidak ada keyakinan diri telah memusnahkan kehidupan ramai orang. Perasaan ini boleh menjadikan seseorang itu mengalami stress atau tertekan, disebabkan tidak mampu menanggung bebanan fikiran atau masalah yang dihadapi.

Seseorang yang telah terperangkap di dalam situasi begini seharusnya mencuba untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Mereka perlu berusaha membina kekuatan dalaman. Berusaha untuk mengenalpasti kelemahan diri dan menerimanya sebagai takdir Ilahi. Cubalah untuk mengikisnya sedikit demi sedikit.

Di samping itu hendaklah berusaha memupuk sifat-sifat positif di dalam diri. Banyak berdoa kepada Allah swt., bermohon agar Allah memberikan kekuatan.

Sayangilah diri sendiri. Redhalah dengan apa yang Allah telah takdirkan untuk diri kita. Sedarlah, orang lain ramai lagi yang tidak miliki seperti apa yang ada pada kita.

Carilah sahabat-sahabat yang baik dan boleh dipercayai. Luahkan perasaan kepada mereka dan mintalah pandangan dan nasihat daripada mereka. Di sekeliling kita masih terdapat ramai lagi orang yang baik-baik dan bersedia untuk menolong kita.

Lihatlah orang yang telah berjaya. Apakah sifat-sifat yang mereka miliki. Cubalah untuk mengikut sifat-sifat yang baik yang ada pada mereka.

Yang penting kita perlu berusaha untuk mengatasi masalah tadi kerana kita perlu kuat semangat dan mempunyai ketahanan untuk menghadapi liku-liku hidup yang masih jauh yang berada di hadapan kita.

Sekadar renungan....semoga ianya bermenafaat untuk kita bersama. Wallahua'lam.