Pages

Saturday, April 30, 2011

Cinta Yang Utama.....


Izinkan saya untuk terus berbicara tentang cinta. Ini bukan kerana saya sedang mabuk cinta. Kerana cinta saya telah bermula sejak lama dahulu… dan sekarang hanya berusaha menyuburkannya.

Menyuburkan cinta kepada isteri, kepada anak-anak, kepada saudara mara, kawan-kawan, jiran tetangga dan semua orang yang satu akidah. Lebih jauh dari itu saya juga sedang menyuburkan cinta saya kepada Yang Maha Pencipta. Kerana itulah cinta yang paling agung dan paling kemuncak.

Saudaraku, bukankah di dalam hidup ini kita mempunyai banyak kecintaan? Cinta kepada isteri, anak-anak, ibubapa, saudara mara, kawan-kawan, cinta kepada kegemaran, cinta kepada hiburan…dan lain-lain lagi. Seterusnya…jangan lupa cinta kita kepada Allah.

Hayatilah makna cinta sedalam-dalamnya. Letakkan cinta kita di tempat yang sesuai.

Cintailah apa saja tetapi jangan melampaui cinta kita kepada yang Maha Pencipta. Kita tidak akan dapat mencintai apa yang kita cintai sekiranya ia tidak diciptakan oleh yang Maha Pencipta. Dan Yang Maha Pencipta tidak menciptakan sesuatu untuk kita cintai lebih daripada kita mencintaiNya.

Mari kita lihat firman Allah di dalam surah At-Taubah [24]:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.

Manusia tidak akan lepas daripada tarikan Iman dan tarikan hawa nafsu. Apabila kita tidak tunduk kepada tuntutan Iman bermakna kita telah tunduk kepada hawa nafsu. Tunduk kepada tuntutan Iman adalah bukti cinta kita kepada Allah.

Meletakkan cinta kepada Allah di tempat yang paling tinggi boleh menyelamatkan seseorang dari terjebak dengan perkara-perkara maksiat.

Wahai saudara…marilah sama-sama kita suburkan cinta kita kepada Yang Maha Pencipta kita.

Friday, April 22, 2011

Cinta Tanpa Syarat


Diceritakan, ada sebuah keluarga besar. Datuk dan nenek mereka merupakan pasangan suami isteri yang bahagia dan saling hormat menghormati diantara satu sama lain. Suatu hari, ketika ahli keluarga berkumpul bersama, si cucu bertanya kepada mereka berdua, "Atuk dan nenek, tolong beritahu kepada kami apa dia resepi atau cara atuk dan nenek mempertahan cinta selama ini agar kami yang muda-muda boleh belajar."

Mendengar pertanyaan itu, datuk dan nenek saling berpandangan sambil tersenyum. Dari wajah keduanya, terpancar rasa kasih yang mendalam di antara mereka. "Aha, nenek yang akan bercerita dan menjawab pertanyaan kalian," kata datuk.

Sambil menerawang ke masa lalu, nenek pun mula bercerita. "Ini pengalaman datuk dan nenek yang tak mungkin terlupakan dan rasanya perlu kalian dengar dengan baik. Suatu hari, kami berdua terlihat satu perbincangan di dalam sebuah artikel di majalah yang berjudul ‘bagaimana memperkuat tali pernikahan'. Di sana dituliskan, masing-masing dari kita diminta mencatat hal-hal yang kurang disukai dari pasangan kita. Kemudian, dibahas cara untuk mengubahnya agar ikatan tali pernikahan boleh menjadi lebih kuat dan bahagia. Nah, malam itu, kami sepakat berpisah kamar dan mencatat apa saja yang tidak disukai. Esoknya, selesai sarapan, nenek memulai lebih dulu membacakan daftar kekurangan-kekurangan datuk kamu. Kalau dikira, ternyata banyak juga, dan herannya lagi, sebegitu banyak yang tidak disukai, tetapi tetap saja datuk kalian menjadi suami tercinta nenekmu ini," kata nenek sambil tertawa. Mata tuanya tampak berkaca-kaca mengenang kembali saat itu.

Lalu nenek melanjutkan, "Nenek membacanya hingga selesai dan kelelahan. Dan, sekarang giliran datukmu pula yang akan bercerita."

Dengan suara perlahan, datuk meneruskan. "Pagi itu, atuk membawa kertas juga, tetapi....kosong. Atuk tidak mencatat sesuatu pun di kertas itu. Atuk merasa nenekmu adalah wanita yang atuk cintai apa yang ada padanya, atuk tidak ingin mengubahnya sedikit pun. Nenekmu cantik, baik hati, dan mau menerima atuk sebagai suaminya, itu sudah lebih dari cukup bagi atuk."

Nenek segera mencelah, "Nenek sungguh sangat tersentuh oleh pernyataan datukmu itu sehingga sejak saat itu, tidak ada masalah atau sesuatu apapun yang cukup besar yang dapat menyebabkan kami bertengkar dan mengurangi perasaan cinta kami berdua."

Pembaca yang budiman,

Sering kali di dalam kehidupan ini, kita lebih banyak menghabiskan waktu dan tenaga untuk memikirkan perkara yang buruk dan negetif, mengecewakan dan yang menyakitkan. Padahal, pada masa yang sama kita sebenarnya boleh menemukan banyak kebaikan di sekeliling kita.

Saya yakin dan percaya, kita akan menjadi manusia yang berbahagia jika kita mampu berbuat, melihat, dan bersyukur atas hal-hal baik di dalam kehidupan ini dan senantiasa mencuba untuk melupakan yang buruk yang pernah terjadi. Dengan demikian, hidup akan dipenuhi dengan keindahan, pengharapan, dan kedamaian.

Di edit dari tulisan Andrie Wongso

Tuesday, April 19, 2011

CINTA??!!


Tiba-tiba hatiku tergerak untuk menulis sesuatu tentang cinta. Terasa aneh. Mungkin aku terpengaruh dengan kisah anak muda yang sering membicarakan tentang cinta dan memberikan berbagai tafsiran tentangnya.

Aku bukan ingin melakarkan tafsiran cinta mengikut apa yang tergambar di benakku. Aku cuma keliru dengan apa yang berlaku kepada mereka yang pernah mengungkapkan kata-kata cinta kepada pasangan masing-masing.

Bukan sedikit daripada mereka yangmana usia perkahwinan belum sampai setahun jagung tetapi mahligai cinta telah hancur berkecai dipukul badai..

Bukan apa-apa, aku cuma nak ingatkan, jangan permain-mainkan ‘cinta’. Jangan gunakan perkataan cinta untuk memerangkap pasangan kita supaya menerima kita. Bila sudah hidup bersama dan datang ujian dari Allah, barulah dapat dibuktikan cinta itu suci atau palsu. Barulah keluar perkataan, ‘saya tak sangkalah dia tu macam ni dan macam tu’. Tetapi masa bercinta semua indah belaka. Sanggup buat itu dan ini untuk meyakinkan pasangan masing-masing.

Aku sedih bila mendengar rumah tangga yang telah terbina, runtuh menyembah bumi. Kadang-kadang masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan baik, tetapi kerana pentingkan perasaan sendiri, sanggup berpisah….

Mungkin saudara sudah berumahtangga dan yang belum, pasti ingin berumah tangga. Ingatlah…betulkan niat kita dengan Allah swt. Susah dan senang yang akan dihadapi nanti adalah datangnya dari Allah swt. untuk menguji dan mendewasakan kita. Begitulah caranya Allah mendidik kita. Melatih kita secara amali yang kadang-kadang kita tidak sedar.

Marilah kita berdoa kepada Allah supaya kita dihidupkan di dalam keadaan selamat sejahtera dan meletakkan cinta kita kepadaNya mengatasi cinta kita kepada yang selain daripadaNya.

Wallahu’lam. Astaghfirullah sekiranya berlaku kesilapan..

Sunday, April 17, 2011

Peringatan buat diri....berubahlah...


Berubah
Sesuatu yang sukar dilakukan
Namun, fitrah manusia mengharapkan perubahan.

Mengubah sifat
Mengubah tabiat
Mengubah perangai dan tingkah laku
Mengubah kebiasaan, penampilan diri, pemikiran.

Mengubah cara hidup
Dan mengubah..... apa saja yang ada pada diri
Supaya menjadi lebih baik, lebih berjaya, lebih dikasihi.

Mengubah
Apa yang ada dalam diri
Supaya berlaku perubahan kepada yang empunya diri
Itu adalah firman.

Siapa yang tidak mahu berubah
Pasti akan ketinggalan.

Walau bagaimana sukar…
Perubahan perlu dilakukan.

Wahai diri
Berapa lama waktu
Yang kau biarkan berlalu
Namun kamu masih terpaku di situ.

Memerhatikan kemusnahan...
Kemusnahan waktu
Tanpa kau isi dengan sesuatu
Yang bermenafaat untuk masa depanmu.

Perubahan
Bila tidak berlaku
Sedangkan waktu terus berlalu
Itu tandanya satu pembunuhan
Kerana waktu adalah kehidupan.

Monday, April 11, 2011

Izzatul Islam - Generasi Harapan (Pemuda Kahfi)



Di dalam peperiksaan di Darul Ulum, Imam Hasan Al-Banna pernah diminta menulis sebuah karangan bertajuk, ‘Apa yang akan anda buat selepas menamatkan pengajian dan apakah cara yang anda gunakan?’ Imam Hasan Al-Banna menulis seperti berikut:

‘Saya ingin menjadi seorang guru dan pendakwah. Saya akan mendidik para pemuda pada waktu siang, malam dan waktu cuti. Saya akan mengajak keluarga mereka mengamalkan cara hidup Islam dan menunjukkan kepada mereka jalan untuk mendapatkan kegembiraan dan kebahagiaan hidup yang sebenar. Saya akan menggunakan cara-cara yang paling baik yang termampu oleh saya untuk mencapai tujuan ini melalui syarahan, penulisan dan pengembaraan di jalan raya dan lorong-lorong.’

Wednesday, April 6, 2011

Mengingati Mati



Sedikit Peringatan Tentang MATI. Bukan untuk melemahkan semangat dalam berusaha bagi mencapai kemajuan hidup, tetapi supaya hati tidak dilalaikan dengan kemajuan dan kejayaan yang dikecapi.

Firman Allah yang bermaksud:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan mengujimu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu dikembalikan.” (QS. al-Anbiyaa’: 35).

(Tafsir Ibnu Jarir): “Kami akan menguji kalian dengan kesulitan dan kesenangan, kesehatan dan penyakit, kekayaan dan kefakiran, halal dan haram, ketaatan dan kemaksiatan, petunjuk dan kesesatan.”

Nasihat berharga bagi seorang mukmin adalah mengingati mati. Sabda Nabi saw,
"Banyak-banyaklah mengingat sesuatu yang boleh melenyapkan kenikmatan".
"Orang yang cerdik ialah orang yang selalu mengingati mati".

Jangan bangga dengan pakaian bagus kerana pakaian terakhir kita adalah KAIN KAFAN. Jangan bangga dengan kenderaan-kenderaan mewah kerana kenderaan terakhir kita adalah KERANDA. Jangan bangga dengan tempat tidur empuk kerana tempat tidur terakhir kita adalah TANAH. Jangan bangga dengan rumah mewah kerana rumah terakhir kita adalah KUBURAN. Jangan bangga dengan pangkat/gelaran kerana gelaran terakhir kita adalah ALMARHUM.

Subhanallah..