Pages

Monday, June 27, 2011

Kata-Kata.....

Kata-kata…
Sesuatu yang lahir dari hati.
Darinya dapat dikenal hati dan budi.

Kata-kata…
Bukan saja dari mulut atau lidah
Yang dapat kita dengari
Tetapi kata-kata…
Dapat di tatap dan dibaca
Dalam bentuk tulisan.

Kata-kata…
Kadang-kadang amat mudah dihamburkan
Tanpa pertimbangan dan usul periksa.

Kata-kata…
Kesannya adakala parah
Membunuh banyak jiwa
Adakalanya menghidupkan hati yang sudah mati.

Kata-kata…
Adakalanya indah
Tersulam cinta
Adakalanya memedihkan hati
Bak tercucuk duri.

Kata-kata…
Munajat hamba kepada Khaliknya
Luahan hati tika menyendiri.

Kata-kata…
Tidak akan habis ditulis
Iaitulah kalimat Allah, berupa ilmu
Walaupun air laut menjadi tinta.

Firman Allah, bermaksud,
"Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat (ilmu) Tuhanku, maka akan habislah lautan ini sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)."(Al-Kahfi: 109)

Kata-kata…
Teruskan berkata-kata
Selagi kamu mampu
Tetapi awasilah kata-katamu
Berkata-katalah dengan baik.

Berkata-katalah dengan perkataan yang paling baik..

Firman Allah, bermaksud,
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (s.w.t.), mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri".
(Fushshilat: 33)

Friday, June 24, 2011

Catatan Lawatan ke Utara.


Alhamdulillah pada pukul 4.45 pagi tadi saya dan peserta rombongan yang mengadakan lawatan ke utara tanah air telah selamat sampai di UMT. Rasa agak penat kerana kurang dapat tidur dalam perjalanan. Lebih-lebih lagi kerana sepanjang satu minggu yang lepas aktiviti saya agak padat dan melibatkan fisikal.

Lawatan yang agak santai dan menyeronokkan kerana isteri saya turut serta dalam rombongan. Jumlah peserta adalah 22 orang termasuk 6 pasangan suami isteri. Lawatan dianjurkan oleh Kelab Kakitangan Fakulti Sains dan Teknologi Malaysi,UMT.

Tempat-tempat yang sempat kami lawati ialah Kilang HR Manufacturing Sendirian Berhad , yang mengeluarkan produk susu kambing Hi Goat di Mergong, Buffalo Park dan makam Mahsuri di Langkawi serta singgah di Muzium Padi dan Pekan Rabu semasa perjalanan pulang dari Langkawi.

Rasa bangga dan bersyukur apabila melihat orang Melayu dapat mendirikan kilang sepertimana kilang HR Manufacturing Sdn. Bhd. yang begitu besar, jumlah pekerja yang ramai, mengeluarkan produk yang berbagai dan mempunyai alat-alat dan mesin yang lengkap.


Di Buffalo Park kami diberi penerangan oleh En. Nordin tentang sejarah penubuhan Buffalo Park serta aktiviti yang dijalankan. Di sini terdapat kerbau sapi yang diternak di dalam kandang dan susunya diproses untuk dijadikan produk-produk makanan seperti yougart, ais krem dan juga cheese.

Seterusnya kami melawat makam mahsuri dan saya tidak melepaskan peluang untuk masuk ke dalamnya walaupun dikenakan bayaran sebanyak lima ringgit seorang. Kali terakhir saya datang ke sini lebih kurang duapuluh tahun yang lepas.

Saya berada di dalamnya agak lama untuk menikmati keunikan rumah-rumah lama yang masih dikekalkan untuk tatapan jenerasi kemudian, juga muzium yang mempamerkan berbagai kelengkapan orang dahulu kala, juga kisah sejarah Mahsuri. Mengingatkan kepada saya bahawa orang Melayu mempunyai sejarah sendiri yang perlu diingati. Yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan.

Di dalam perjalanan pulang kami melawat Muzium Padi, berdekatan Gunung Keriang, di daerah Alor setar, Kedah. Untuk masuk kami dikenakan bayaran tiga ringgit seorang dan dua ringgit tambahan apabila membawa kamera.

Yang menariknya di Muzium Padi ini adalah di tingkat 3. Di mana kita akan dapat melihat keindahan pemandangan tanaman padi dalam bentuk ‘mural’ dan landskap. Lukisan 3D yang hidup membuatkan kita seperti melihat pemandangan yang sebenar.
Lukisan tersebut merupakan mural yang terbesar dan tercantik di Malaysia. Kita boleh menghayati panorama tersebut di atas platform berputar. Satu pusingan lengkap mengambil masa lebih kurang 15 minit. Sangat menarik…….

Di dalam perjalanan pulang saya amat tertarik dengan sawah padi yang subur menghijau, sayup mata memandang dan boleh dikatakan dapat dilihat di sepanjang perjalanan di Negeri 'Rice Bowl Of Malaysia'.

Wednesday, June 15, 2011

Keciwa...cetusan rasa....


Keciwa…
Tiba-tiba saja perkataan keciwa melintas di dalam benak saya. Mungkin ia sesuatu yang menarik kalau dapat saya bicarakan tentangnya, saya fikir.

Kerana perasaan keciwa sedikit sebanyak telah dan akan dirasai atau dilalui oleh semua orang di sepanjang kehidupan mereka.

Ada orang yang berhadapan dengan perasaan keciwa yang parah sehingga sanggup membunuh diri. Ada orang yang memendamkan perasaan keciwa mereka sehinggalah ke akhir hayat.

Ada orang yang menyedari dan merasai kekeciwaan itu bertapak di dalam sanubari mereka dan menanggung keperitannya berpanjangan…

Ada orang yang tidak sedar bahawa kekusutan fikiran yang mereka hadapi adalah disebabkan sesuatu kekeciwaan yang telah mereka alami.

Dari pengamatan saya, saya rasa perasaan keciwa itu boleh lahir kerana tidak tercapai sesuatu yang dihajati atau tidak mendapat sesuatu yang diharap-harapkan. Mendapat sesuatu yang tidak berkenan di hati. Kehilangan sesuatu yang dimiliki dan perkara-perkara yang seumpamanya.

Ditinggalkan kekasih… putus cinta…gagal dalam peperiksaan…kehilangan harta benda…. Tidak mendapat kasih sayang ibu bapa… pasangan berlaku curang…. Menerima pembahagian yang tidak adil…..keciwa kerana apa yang kita harapkan untuk kita perolehi tetapi orang lain yang dapat….. dan berbagai-bagai sebab musabbab lagi yang boleh menyebabkan seseorang boleh mengalami kekeciwaan.

Perasaan keciwa melahirkan perasaan tidak puas hati… Hati yang sentiasa berserabut… Tidak tenang.. Marah, dendam, perasangka buruk dan berbagai-bagai gangguan mental.

Perasaan keciwa yang terpendam kadang-kadang menyebabkan wajah seseorang tidak berseri, pudar, tidak ceria, kurang menarik dan sebagainya.

Ada orang yang berjaya mengikis perasaan keciwa yang mereka alami. Mereka kembali kepada ketentuan Allah. Mereka menerima apa yang berlaku sebagai satu takdir. Mereka bersangka baik kepada Allah dengan memujuk hati mereka supaya merasakan apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

Orang-orang yang rapat hubungan hati mereka dengan Allah tidak akan rasa keciwa terhadap apa yang Allah takdirkan kepada mereka.

Dalam kehidupan sekarang, kehidupan berlumba-lumba, kehidupan yang banyak berlakunya tipu muslihat, kehidupan yang banyak cabaran, penting bagi kita mempunyai ketahanan mental untuk berhadapan dengan perkara-perkara tersebut.

Jalannya tidak lain daripada kita mendekatkan diri dengan Allah swt. Mentaati segala suruhannya. Buat apa yang diperintahkan untuk kita melakukannya dan tinggalkan apa yang diperintahkan untuk kita meningalkannya.

Adakah anda mengalami rasa keciwa???? Apakah punca anda rasa keciwa?? Jangan biarkan rasa keciwa merosakkan hidup kita…

Wallahua’lam….

Monday, June 6, 2011

Perceraian


Malam tadi saya telah menonton satu rancangan di televisyen yang membicarakan tentang perceraian. Di dalam rancangan tersebut ada dinyatakan bahawa mengikut statistik 2009, purata kes perceraian dalam sehari ialah 75 kes.

Kalau 75 kes sehari, setahun dah berapa……banyak tu…. Adakah kita sebagai satu anggota dalam masyarakat tidak merasa prihatin dengan keadaan tersebut?

Akibat perceraian, sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak-anak. Berlaku kurang keseimbangan di dalam satu-satu keluarga. Bertambahnya ibu-ibu tunggal yang terpaksa menanggung beban sebagai ketua keluarga. Anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang dan penjagaan yang sepatutnya.

Keluarga adalah satu unit daripada masyarakat. Apabila sesuatu keluarga rosak, ia akan memberi kesan kepada kesetabilan masyarakat. Apabila lebih banyak keluarga-keluarga dalam masyarakat itu rosak, maka ia akan menyumbang kepada berbagai-berbagai penyakit masyarakat.

Apakah bentuk masyarakat atau negara yang kita kehendaki untuk anak-anak cucu kita akan datang? Menjadi tanggung jawab kita bersama untuk merancangnya. Kerana jenerasi hari ini adalah bertanggungjawab di dalam melahirkan bentuk jenerasi akan datang.

Kembali kepada soalan kawan saya yang pernah bertanya kepada saya bagaimanakah cara untuk mengelakkan atau mengurangkan berlakunya perceraian. Jawapan saya ringkas saja, kita kena jadi orang baik. Orang baik ialah orang yang taat suruhan agama.

Orang yang baik akan cari pasangan di kalangan orang baik-baik. Suami isteri yang baik akan saling menjaga batas-batas agama di dalam kehidupan berumah tangga. Saling bantu membantu, nasihat menasihati untuk melaksanakan amanah Allah. Apabila berlaku pertelingkahan mereka akan rujuk kepada kehendak agama.

Kita, anak-anak kita dan setiap orang kena jadi orang baik. Hanya dengan patuh kepada suruhan agama sahaja yang boleh menjadikan kita orang baik.
Bukankah keluarga itu datangnya daripada individu-individu. Bila baiknya individu akan baiklah sesebuah keluarga dan seterusnya masyarakat.

Perceraian itu ibarat satu penyakit. Untuk menghapuskan penyakit itu perlu dilihat kepada puncanya. Sebagaimana demam denggi yang berpunca dari nyamuk. Kalau bagi ubat sahaja, puncanya tidak disekat bagaimana penyakit itu dapat dihapuskan.

Oleh sebab itu penyelesaian kepada masalah perceraian saya nampak, masyarakat perlu dididik dengan didikan agama dan jauhkah mereka daripada budaya/pengaruh barat yang merosakkan.


Wallahu a'lam.