Pages

Monday, January 27, 2014

Kewafatan Syeikh Abdul Karim Zaidan dan biografinya

January 28, 2014 Berita Dunia Islam 0

Abdul Karim Zaidan
 


YAMAN, 27 Jan – Seorang tokoh ulama dan pemikir Islam, Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan telah meninggal dunia di bandar San’aa’, ibu negara Yaman. Beliau yang berasal dari Iraq meninggal dunia (pada hari Isnin 27/1/2014, bersamaan 26 Rabiul Awal 1435 Hijriah) ketika umurnya 97 tahun. Beliau telah menetap di Yaman dan mengajar di Universiti Iman semenjak tahun 90an.
 
Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan terkenal sebagai tokoh dakwah dan pemikir Islam, menjadi pakar rujuk dan telah menulis puluhan karya dalam perundangan, syariah dan pendidikan Islam. Syeikh Abdul Karim juga dianggap sebagai seorang ulama yang hebat, berani mempertahankan Islam dalam apa-apa isu dan sangat menitikberatkan kesatuan rakyat Iraq.
 
Kematian Syeikh Abdul Karim merupakan satu kehilangan besar kepada umat Islam sedunia secara umum, dan kepada bumi Iraq secara khusus kerana usaha beliau yang tidak pernah jemu dalam menghadapi penjajahan Amerika yang mengancam kedaulatan bumi Iraq.

Biografi Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan

Beliau dilahirkan pada tahun 1917 di Baghdad. Pendidikannya bermula di pusat-pusat pengajian Al-Quran di masjid-masjid di kampungnya. Kemudian beliau menyambung pengajiannya di Fakulti Undang-undang di sebuah universiti di Baghdad. Selepas itu beliau menyambung pengajian sarjananya di Universiti Kaherah dan berjaya mendapat keputusan Imtiaz. Pada tahun 1962, beliau berjaya mendapat keputusan Imtiaz tahap pertama dalam pengajian doktor falsafah di universiti yang sama.

Semasa berada di Maahad Syariah Islamiyah di Universiti Kaherah, beliau mengikuti pengajian khas dalam Fiqh Islami dan rujukan utamanya ialah buku-buku Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah. Beliau juga menyertai pengajian dan perbincangan-perbincangan fiqh semasa.

Beliau kemudiannya dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah dan Ketua Jabatan Syariah Islamiyah di Fakulti Undang-undang di Baghdad, kemudian menjadi Ketua Jabatan Agama di Fakulti Adab Universiti Baghdad. Selepas itu menjadi pensyarah Syariah Islamiyah di Fakulti Pengajian Islam lalu menjadi dekan di fakulti tersebut.

Pada 1992, beliau meninggalkan Iraq dan dilantik menjadi pensyarah Syariah Islamiyah di Jabatan Pengajian Islamiyah dan pensyarah pengajian sarjana dan doktor falsafah di Universiti San’aa’ dan kekal di universiti itu sehingga meninggal dunia.

Beliau juga menjadi pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Iman di San’aa’.
Sejak tahun 70an, beliau dilantik menjadi anggota beberapa majlis ulama dan majlis fiqh Islami sedunia.
Beliau telah dikurniakan anugerah khas Raja Faisol Arab Saudi di atas penulisannya yang hebat iaitu “Al-Mausu’ah” atau Ensiklopedia berkenaan hukum-hakam wanita dan baitul muslim.

Beliau juga telah menulis banyak karya ilmiah yang hebat dan banyak di antaranya telah dijadikan silibus universiti-universiti.
Antara hasil penulisan beliau ialah:
 بحوث فقهية معاصرة
 الوجيز في أصول الفقه
موجز الأديان في القرآن
 المفصل في أحكام المرأة والبيت المسلم ويقع ب(11) جزءاً
 المستفاد من قصص القرآن للدعوة والدعاة
 الإيمان بالقضاء والقدر
 أصول الدعوة
 (اللقطة وأحكامها في الشريعة، (مجموعة بحوث فقهية
 القيود الواردة على الملكية الفردية
القصاص والديات في الشريعة الإسلامية
 المدخل لدراسة الشريعة الإسلامية
 الوجيز في شرح القواعد الفقهية
 نظرات في الشريعة الإسلامية مقارنة بالقوانين الوضعية
 نظام القضاء في الشريعة الإسلامية
أثر القصود في التصرفات والعقود
اللقطة وأحكامها في الشريعة الإسلامية
أحكام اللقيط في الشريعة الإسلامية
حالة الضرورة في الشريعة الإسلامية
الشريعة الإسلامية والقانون الدولي العام
الاختلاف في الشريعة الإسلامية
عقيدة القضاء والقدر وآثرها في سلوك الفرد
العقوبة في الشريعة الإسلامية
حقوق الأفراد في دار الإسلام
القيود الواردة على الملكية الفردية للمصلحة العامة في الشريعة الإسلامية

Semoga Allah memasukkan beliau dalam golongan para anbiya’ dan solihin dan diharapkan akan lahir lebih ramai ulama yang hebat seperti beliau untuk memenangkan agama ini.

Mohd Firdaus Salleh Hudin
Wartawan ISMA

Sumber:  http://www.ismaweb.net/v4/2014/01/kewafatan-syeikh-abdul-karim-zaidan-dan-biografinya/

Di mana letaknya maruah kita?



MULANYA saya cuba bersangka baik dengan apa yang menimpa seorang guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi, Johor, atas nama dakwah. Tetapi setelah lama mengikuti isu ini, ditambah oleh sebuah syarikat pembinaan yang menghalau artis bertudung dalam majlisnya, menjadikan saya jadi geram.

Mana tidaknya, lembaga sekolah tersebut telah memaksa guru mualaf untuk membuka tudungnya dan diancam keselamatannya jika tidak berbuat demikian.

Sedihnya, apabila guru tersebut melaporkan kepada pihak berkuasa, beliau ditukarkan serta-merta ke sekolah lain.

Peliknya, tiada tindakan tegas dikenakan terhadap kepimpinan SJKC tersebut. Mana keberanian kita? Mana dia pemimpin yang memperjuangkan Islam dan hak asasi manusia ini? Kejam sungguh kita semua. Kena pada orang Islam, tak apa. Kena pada bukan Islam, heboh 1Malaysia.

Saya ingatkan orang bukan Islam telah insaf dan memahami perkara asas mengenai Islam. Maklumlah sudah lama tinggal di tanah air tercinta ini. Paling kurang memahami kedudukan Islam selaku agama negara. Rupa-rupanya tidak.

Apabila ada desakan mahukan tindakan disiplin diambil terhadap ahli lembaga sekolah tersebut, maka kita pun berkata ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing.

Apa semua ini? Lebih meloyakan, ketika pengerusi lembaga dan guru besar sekolah tersebut memohon maaf secara terbuka, maka kita pun beramai-ramai datang memberikan sokongan dan tepukan.

Sambil bersalaman dengan guru mualaf tersebut, guru besar itu berkata: “Saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni, sesuai dengan slogan 1Malaysia”. Kita pun tutup fail. Wah… senang sungguh.

Mudah sangat hidup di Malaysia. Bila bukan Islam buat salah, minta maaf, selesai, atas alasan 1Malaysia. Bila kita buat silap, maka dikatakan bertentangan dengan 1Malaysia. Maka kita terus salah, mereka terus betul.

Apakah kita sudah lupa isu pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya yang didakwa mengeluarkan ‘ucapan rasis’ pada tahun 2010? Seluruh media ultra kiasu menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Langsung tidak diberikan peluang untuk membela diri. Desakan demi desakan dilakukan agar beliau dipecat dan ditukar.

Julai dan Ogos 2013, pengetua SMK Alam Megah, Shah Alam, turut menerima nasib sama kerana dikatakan memberi ucapan rasis. September 2013, guru penolong kanan SMK Engku Husin Semenyih, Kajang, pun turut menjadi mangsa.

Pada Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristana “makan di tandas” semasa bulan Ramadan tersebar, sekali lagi seluruh media ultra kiasu dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB guru besar turut digodam.

Pelbagai tuduhan dibuat tanpa langsung memberi peluang kepada beliau membela diri. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri merayu dan menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.

Namun, dalam isu guru mualaf dan SJKC ini, semua media ultra kiasu senyap sepi. Kenapa tidak sensasikan isu ini dan memaksa guru besarnya dipindahkan atau meletakkan jawatan? Jawapannya mudah, mereka sekapal.

Saya yakin, penghinaan ke atas guru mualaf tersebut, dan artis bertudung, sengaja dilakukan. Peliknya, guru mualaf tersebut yang ditukarkan ke sekolah lain, bukan guru besar itu.

Lebih menjengkelkan lagi, ketika isu ini dibangkitkan, kita diminta sabar, siasat dahulu, jangan bertindak terburu-buru, perlu berhikmah dan bermacam-macam alasan. Inilah sifat orang Melayu, terlalu bertolak ansur, sehingga ditolak beransur-ansur.

Benar, memaafkan seseorang itu satu sifat yang baik. Tetapi itu bukan bermakna, pesalah boleh terlepas begitu sahaja.

Masih ingatkah kita pada zaman Nabi, apabila seorang Muslimah dipermainkan oleh Yahudi sehingga terselak kain dan menampakkan auratnya? Apa tindakan selepas itu? Jawapannya, perang.

Hari ini kita tidaklah sampai ke peringkat perang. Tetapi menjadi tanggungjawab seorang pemimpin negara untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya dianiaya oleh musuh-musuh Islam.

Ingatlah! maruah dan keadaan umat Islam semakin tercabar. Malangnya, tiada pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar. Lebih menyedihkan, penghinaan itu berlaku di bumi kita sendiri yang berasaskan Melayu dan Islam.

Sumber:  http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/di-mana-letaknya-maruah-kita-1.244702
=================================================================
Berkaitan........ 

http://www.lamankongsi.com/2014/01/guru-denda-murid-macam-lembu-dihukum.html

Sunday, January 26, 2014

Kain rentang berbaur provokasi kalimah Allah digantung di gereja


January 26, 2014 Berita Utama 0


Allah is Great Banner at Penang 

GEORGE TOWN, 26 Jan – Pemuda Umno Bahagian Jelutong  
mendakwa kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah Allah digantung di perkarangan beberapa buah gereja dan sebuah perhentian bas di sekitar Pulau Pinang awal hari ini.

Ketuanya Jasmin Noordin berkata perbuatan itu bukan dilakukan oleh pihak gereja tetapi sebaliknya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. “Saya percaya ada pihak tertentu yang sengaja hendak membuat provokasi supaya rusuhan kaum berlaku di Malaysia dengan menggantung kain rentang sedemikian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Difahamkan, kain rentang terbabit dengan jelas tertera ungkapan ‘Allah Is 
Great’ (Allah Maha Besar) dan “Jesus is the son of Allah’ (Jesus anak lelaki Allah) dipercayai digantung di lima kawasan di sekitar negeri ini.
Jasmin berkata pihaknya akan membuat aduan kepada pihak polis terhadap perbuatan itu yang dipercayai dilakukan pada tengah malam tadi.

Katanya, beliau berjaya menurunkan kain rentang berkenaan yang terdapat di Gereja St John Britto, di Sungai Pinang kerana perbuatan sedemikian akan menghancurkan keharmonian di negara ini. “Saya percaya kain rentang berbaur provokasi ini digantung di perkarangan lima buah gereja di negeri ini,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar kawasan berkenaan mendapati kain-kain 
rentang berkenaan telah diturunkan dan difahamkan hampir 100 penduduk Kampung Rawa, Sungai Pinang di sini berkumpul untuk melihat kain rentang terbabit sebelum ia diturunkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Agama Islam Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata beliau tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu sehingga dimaklumkan oleh pihak media. “Saya baru dapat tahu perkara tersebut dan satu siasatan segera akan dilakukan sebelum perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, ketika dihubungi, berkata dua buah gereja dan seorang penduduk tempatan membuat laporan polis berhubung kain rentang bersifat provokatif itu.

Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. 
- BERNAMA

Sumber:  http://www.ismaweb.net/v4/2014/01/kain-rentang-berbaur-provokasi-kalimah-allah-digantung-di-gereja/

================================================================== 
 BERKAITAN...

[Provokasi Kristian Atau Provokasi Munafik?]

Gambar kain rentang ini dikatakan diambil oleh seorang wartawan BERNAMA di Penang dan dihantar kepada group whatapss. Sebelum anda mula beremosi, sila baca apa yang Allah kata bila terima berita sebegini;

" Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(Al-Hujuraat 49:6)

Kita tidak tahu kesahihan berita ini dan jangan cepat menuding jari dan berdemonstrasi. Mari kita imbas kembali beberapa peristiwa utk iktibar kita,

1) Lupakah provokasi Abdullah ibn Saba yg menyebabkan umat Islam berperang sesama sendiri hanya selepas 28 Tahub kewafatan Baginda s.a.w?

2) Ingat September 11 ciptaan Amerika sendiri yg lalu menuding jari ke pengganas lalu digunakan sebagai alasan untuk menyerang Afghanistan?

3) Ingatkah kita kepala babi dibalut bendera PAS dibuang ke dalam surau?

4) Lupakah kita George Bush menuduh Iraq memiliki senjata pemusnah lalu digunakannya sebagai alasan utk menghancurkan Iraq, namun sehingga kita tiada senjata dijumpai walaupun Saddam Hussein telah mati digantung?

5) Lupakah kita Aisya, isteri Nabi dituduh berzina dgn sahabat oleh perbuatan keji Abdullah ibn Ubay ibn Salul?

Banyak lagi peristiwa yg sepatutnya menjadi iktibar.. Mengecewakan apabila setelah gambar ini dihantar ke dalam whatapss group yg terdiri dari org penting dan berilmu tinggi tentang Islam mula beremosi... Andai kita ada bukti nyata dan jelas bahawa memang benar Kristian yg lakukan, saya juga akan membantah kerana sengaja melanggar perintah mahkamah dan memprovokasi keharmonian di msia. Apa apapun, selidik dulu dan jangan beremosi lebih-lebih tak bertempat... Wallahualam.
 
 
 

Saturday, January 25, 2014

2 Berita menarik Perhatian di Sinar Harian Hari Ini..

Harun Taib meninggal dunia

Harun Taib
  •  Datuk Harun Taib
KUALA TERENGGANU - Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, 71, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada pukul 12.17 awal pagi ini.
Anak Allahyarham, Hilmi Harun yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir, berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir di HSNZ pada pukul 12.17 pagi semalam akibat kegagalan fungsi organ dalaman disebabkan penyakit kencing manis.

"Arwah sudah menghidap penyakit strok sejak 2010, tapi tahun terakhir ini kencing manis makin teruk dan serangan kuman sudah semakin merebak dan boleh dikatakan merebak ke buah pinggang walaupun keadaan darah dan jantungnya stabil," katanya ketika ditemui semasa majlis pengebumian Allahyarham di sini hari ini.

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke kampung halamannya di Manir untuk dimandi dan disembahyangkan di Markaz Tarbiyah Kubang Lembik, Manir pada pukul 10 pagi tadi dan diimamkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Kira-kira 5,000 orang termasuk beberapa pemimpin turut menziarahi jenazah Allahyarham dan bersolat jenazah.

Allahyarham pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir selama empat penggal iaitu bermula 1982 (Pilihan Raya Umum ke-6) sehingga 2004 pada PRU-11 dan sepanjang tempoh itu hanya sekali kalah pada PRU-7. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Persendirian Alur Lerang di Manir kira-kira pukul 11 pagi.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

Sementara itu, Jailani menyifatkan Allayarham sebagai seorang pemimpin yang senang untuk berbincang, berwibawa serta seorang yang tegas dalam menyuarakan pendapatnya. "Saya pernah duduk sekali bersembang dengan Allayarham dan bertukar pendapat dengannya...dan memang saya tidak mengira fahaman politik, selesa untuk bertukar pandangan dengan Allahyarham," katanya. - Bernama

------------------------------------------------------------------------------------------------


'Jangan guna kalimah ALLAH ganti God'

Nik Abdul Aziz
  • Nik Abdul Aziz
KOTA BHARU - Masyarakat bukan Islam di negara ini tidak boleh sesekali menggunakan kalimah ALLAH sebagai menggantikan perkataan God sebagaimana yang terdapat dalam kitab mereka khususnya Bible, tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya, perkataan God dalam kitab itu lebih tepat diterjemah kepada perkataan ‘tuhan’ bukannya ALLAH sebagaimana desakan sesetengah pihak.

“Tetapi yang menjadi masalah sekarang kerana ada orang mahu God diterjemah kepada ALLAH, ini tidak betul, God maknanya Tuhan, ia bukan bermakna ALLAH, ALLAH lain, tuhan lain, tuhan terlalu banyak, ada orang bertuhankan harta.

“Tuhan yang sebenar adalah ALLAH, tetapi God dalam bahasa Inggeris itu tidak boleh diterjemah kepada ALLAH, sebaliknya tuhan. Nama apa tuhan?

"ALLAH nama sebenarnya. Nabi Isa bukan tuhan, Siti Maryam tidak tuhan, (Malaikat) Jibril tidak tuhan, ALLAH itu nama-Nya, sifatNya ada 99, orang tidak boleh kenal ALLAH melainkan melalui nama-nama-Nya,” katanya ketika menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu.

Menurutnya, masyarakat Arab jahiliyah di Makkah menggunakan kalimah ALLAH sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi, malah sekarang orang Cina pun selalu menyebut Alhamdulillah, Insya ALLAH selaligus membuktikan kalimah ALLAH sudah jadi sebutan untuk semua tanpa mengira Islam atau kafir.

Bagaimanapun katanya, walaupun kini kalimah ALLAH itu menjadi lafaz ‘biasa’ dalam kegiatan seharian masyarakat termasuk orang bukan Islam, namun ia tidak boleh disamakan dengan tuhan yang dirujuk dalam fahaman agama mereka.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut mengenai isu kalimah ALLAH sebaliknya hanya mengulangi sokongannya terhadap keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada Januari tahun lalu.

Isu kalimah ALLAH hangat kembali berikutan tuntutan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew yang berkeras mahukan semua gereja Katolik di Selangor menggunakan kalimah ALLAH dalam perhimpunan mingguannya sebelum mengundang kemarahan umat Islam.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas pada 13 Januari tahun lalu sebulat suara memutuskan ALLAH adalah kalimah suci iaitu ALLAH Yang Esa, tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Majlis Syura Ulama ketika itu turut menegaskan bahawa kalimah ALLAH adalah kalimah khusus dan tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar kalimah tersebut, begitu juga sebaliknya.

Bicara hati.....

Assalamualaikum wbt..
Saya ucapkan terima kasih kepada saudara-saudara yang selalu berkunjung ke blog ini. Disamping berkongsi baca apa yang saya postkan. Mungkin ada tulisan di sini yang menepati citarasa saudara dan ada yang sebaliknya. Mungkin ada yang bermenafaat begitu juga ada yang sebaliknya. Ambillah yang baik dan ketepikan yang tidak baik kerana apa yang sama-sama kita hajatkan adalah kebaikan. Oleh sebab itu saya bersedia untuk menerima sebarang nasihat dan teguran. Adalah silap apabila saudara  merasakan  orang seperti saya ini tidak melakukan kesilapan. Yang saya takut apabila saya tidak mengaku kesilapan atau menolak kebenaran.

Adakah saudara masih ingat dengan post saya sebelum ini? Tidak mengapa samada saudara masih ingat atau tidak. Cuma saya nak beritahu bahawa post itu saya sudah keluarkan apabila saya dapati ianya kurang sesuai kerana mempunyai unsur politik kepartian sedangkan saya meletakkan diri saya sebagai non partisan atau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Tulisan itupun saya ambil dari sumber/tulisan orang lain.

Pada mulanya saya tertarik untuk dikongsikan kerana di dalamnya ada menyentuh beberapa perkara tentang kepentingan orang Melayu.

Perkara-perkara berhubung dengan Melayu memang saya sensitif kerana saya orang Melayu.  Maaf, setakat ini dulu....susah nak cerita panjang perkara-perkara macam ni.

Wallahua'lam.....

Wednesday, January 22, 2014

Bayangkan jika tuntutan Comango diluluskan


syahrul fitri zawawi
 

Pernahkah anda membayangkan senario kehidupan masyarakat kita sekiranya tuntutan Comango diluluskan di Malaysia? Ikuti kisah seorang Muslimah bernama Xera (bukan nama sebenar) yang menyokong tuntutan Comango ini:

Anak gadis berusia 19 tahun, Xera sedang berhibur bersama rakan-rakannya di sebuah kelab malam:
“Xera, awakkan orang Islam. Awak boleh minum arak ke?”
“Memanglah aku orang Islam. Tapi hak akulah kan nak minum arak tu. Hak asasi manusia kan!”
“Awak tak perlu ikut arahan agama Islam ke?” sekali lagi Xera ditanya oleh rakannya, Anita yang non-Muslim.
“Aku perlu ikut tetapi itu merupakan hak aku untuk ikut arahan agama Islam atau tidak. Kalau susah sangat, aku keluar sahajalah daripada Islam. Lagi senang hidup aku!”
“Boleh ke?” Anita bertanya lagi.
“Sudah semestinya boleh. Dunia sekarang mementingkan hak asasi manusia. Tidak perlu ikut arahan agama kalau kita sebagai manusia merasakan kehidupan kita terkongkong dengan agama. Kamu cuba baca Perenggan 1 Comango yang memperjuangkan kebebasan menukar agama termasuk murtad daripada Islam berdasarkan hak asasi manusia.”

Selepas penat berhibur di kelab malam itu, Xera yang masih menuntut di salah sebuah universiti tempatan mengikut teman lelakinya ke sebuah hotel untuk berehat:
“Saya sayang awak juga… Jom la… Inikan lambang cinta kita,” teman lelaki mengajak Xera untuk berasmara.
“Takutla… Nanti Badan Pencegah Maksiat datang tangkap. Kita kan belum kahwin lagi…” Xera menjawab lembut.
“Ala.. Kita kan suka sama suka nak tidur bersama ni.”
“Betul juga tu… Hak kita sebagai manusia… Lagipun, mereka bukan boleh buat apa pun. Perenggan 9 Comango menghapuskan kesalahan jenayah syariah seperti khalwat dan zina. Orang yang mahu berzina tidak perlu risau dah…”

Xera yang kini sudah berusia 30 tahun telahpun berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 7 tahun yang diberi nama Xoro:
“Ibu, semalam ada kawan ajak Xoro ke konsert yang akan diadakan pada bulan depan.”
“Xoro, anak Ibu ini masih kecil. Tidak sesuai seorang Muslim apatah lagi seorang anak kecil menyertai konsert yang ada aktiviti maksiat.”
“Ini konsert dalam Festival Agama, Ibu. Festival Kuasa Allah,” Xoro menghulurkan satu helaian kertas poster untuk dilihat oleh ibunya.
“Festival ini bukan untuk orang Islam, Xoro,” si ibu cuba menerangkan.
“Ibu ni mengelirukanlah! Allah kan Tuhan kita orang Islam.”
“Allah yang dimaksudkan oleh Festival itu merujuk kepada …….”
- Perenggan 10.1.1 Comango menuntut penterjemahan ‘God’ kepada ‘Allah’ oleh Kristian Katolik di Malaysia. Contoh: Festival Kuasa Allah ke-18 di Jakarta (http://www.youtube.com/watch?v=kEQ8WXCR-hQ).

Selesai menghantar anaknya ke sekolah, Xera dan seorang rakan wanitanya berjalan menuju ke pejabat dan bersembang tentang Monica (bukan nama sebenar):
“Aku ada seorang staf baru. Cantik sungguh staf aku tu. Dia pun macam berkenan kat aku. Kira jadilah nanti!” Xera teruja.
“Apa maksud kau?” rakannya bertanya mahukan kepastian.
“Si Monica tu la. Cantik sangat. Dia lesbian tau! Class sangat.”
“Kau kan isteri orang. Suami kau kan lelaki paling kaya kat bandar ni. Tak cukup ke?”
“Alaa.. Laki aku tu laki aku, makanan kat rumah. Bila nak makan luar, aku cari la Si Monica.”
“Gila kau? Kau straight. Lepas tu nak jadi lesbian? Lebih-lebih lagi, biseksual terus?”
“Relaks la. Perenggan 6.1.1 dan 6.1.2 Comango menghalalkan seks songsang. Lesbian, gay, transeksual, biseksual. Semua boleh! Kau nak try?”

Xera tidak mampu mempertahankan perkahwinannya bersama bapa Xoro, kini Xera telah diceraikan oleh suami. Dikenali sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya, Xera dijemput menjadi undangan dalam suatu wawancara di sebuah stesen televisyen tempatan:
“Puan Xera adalah seorang tokoh wanita yang terbaik kerana mampu menjadi seorang usahawan yang berjaya walaupun merupakan seorang ibu tunggal dan membesarkan anaknya tanpa seorang suami. Boleh Puan kongsikan dengan penonton, apakah rahsia kejayaan Puan?” hos rancangan bertanyakan soalan pertama kepada Xera.
“Sekarang saya ada suami. Temporary marriage for 1 month,” Xera menjelaskan status perkahwinannya.
“Apa tu?” hos rancangan ini bertanya lagi kerana mahukan penerangan.
“Nikah Mut’ah.”
“Nikah Mut’ah adalah ajaran Syiah. Best ke?”
“Next year saya cari suami lain kot. Macam bosan je dengan suami sekarang ni. Tak romantik!”
- Perenggan 10.1.6 Comango menuntut kebebasan beragama, mempertahankan dakyah agama lain termasuk ajaran Syiah di Malaysia atas nama kebebasan beragama. Contoh: Bazaar of Sexes di Iran (http://www.youtube.com/watch?v=2DqO2Fl_Sbo).

Dialog-dialog sebegini mungkin asing bagi semua rakyat Malaysia pada hari ini terutamanya dalam kalangan orang Islam. Namun, Comango menjadi ancaman besar bagi umat apabila memungkinkan terjadinya situasi-situasi sebegini jika ancaman Comango dibiarkan menular dalam masyarakat.

Walaupun pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan Comango, tetapi gerakan mereka dikhuatiri masih berterusan menyerap masuk ke dalam masyarakat. Justeru, adalah wajib bagi setiap antara kita memberikan kesedaran bahaya Comango kepada masyarakat.

Kita perlu sedar bahawa tuntutan-tuntutan Comango yang bertentangan dengan Islam boleh memporak-perandakan negara dengan membenarkan rakyat bebas melakukan apa saja termasuk perkara bertentangan dengan ajaran Islam tanpa ada tindakan yang boleh diambil, sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh Timbalan Presiden ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya.

Atas kesedaran inilah kita harus menolak Comango secara keseluruhan agar kisah-kisah seperti ini tidak berpeluang menjadi realiti di Malaysia.

M Syahrul Fitri Zawawi 
Ketua Biro Tarbiyyah ISMA South Australia 2014
Pelajar PhD in Medicine The University of Adelaide Australia

Sumber:   http://www.ismaweb.net/v4/2014/01/bayangkan-jika-tuntutan-comango-diluluskan/

Tuesday, January 21, 2014

Demonstrasi: Kebebasan bersuara atau jenayah?


turun dataran merdeka1
 


Apabila Tuan Mufti Perak mengaitkan peserta demonstrasi TURUN dengan jenayah bughah, pelbagai reaksi mula diberikan oleh orang ramai. Ada yang menerimanya dan ada yang menolaknya. Pihak yang menolak mempersoalkan kenapa satu demonstrasi yang aman tidak boleh diterima oleh syarak? Pada saya, kenyataan Tuan Mufti tersebut ada asasnya yang tersendiri dari segi syarak walau pun mungkin ada beberapa istilah yang digunakan oleh beliau mungkin boleh diperbaiki untuk lebih tepat.

Oleh kerana agak rumit untuk menerangkan tentang hukum fiqh berkenaan jenayah bughah di dalam ruang yang terhad, saya cuba di sini untuk menghuraikannya semudah mungkin tanpa menyeliratkannya dengan perincian rujukan dan sumber. Huraian nas memerlukan ruang yang lebih panjang yang insyaAllah jika ada kesempatan lain, saya cuba huraikan.

Malaysia Adalah Negara Islam
Persoalan ini penting kerana sebahagian umat Islam keliru lalu berpendapat bahawa istilah bughah tidak boleh timbul sekarang kerana Malaysia bukanlah sebuah negara Islam. Makin hari makin ramai pihak yang mempertikaikan status keislaman Malaysia ini. Suka saya tegaskan di sini, Malaysia adalah negara Islam dan tidak pernah sekali-kali dan tidak akan menjadi negara sekular.

Muhammad Ahmad ar-Rasyid menyimpulkan pandangan-pandangan ulamak berkenaan status sesebuah negara; Islam atau tidak di dalam bukunya Usul Ifta. Beliau menyimpulkan bahawa satu-satu negara menjadi negara Islam apabila berjalan hukum Islam di situ selama beberapa generasi. Penjajahan dan pemerintah yang zalim tidak akan mengubah status negara tersebut kepada negara bukan Islam. Andalus yang pernah menjadi negara Islam selama lapan kurun tetap negara Islam walaupun pemerintahnya sekarang adalah Kristian, perlembagaannya sekular, orang Islamnya dibunuh dan ditukar agama. Ini menurut kesimpulan beliau. Begitu jugalah halnya dengan Palestin, Sudan Selatan dan lain-lain negara Islam di dunia hari ini.
Beliau berkata:
“Saya berpandangan satu-satu negara menjadi negara Islam apabila ia diperintah oleh orang-orang Islam secara sempurna selama satu atau dua generasi contohnya, sebagaimana yang tercatat di dalam sejarah Islam hasil daripada pembukaan Islam. Dengan sejarah silamnya itu negara itu menjadi negara Islam.”
Beliau berkata lagi berkenaan status negara Islam yang kemudiannya diperintah oleh pemerintah yang zalim atau dijajah oleh orang-orang kafir:
“Tidaklah sepatutnya keharusan menjatuhkan pemimpin (yang zalim atau kafir itu) itu menjadikan kita menjatuhkan hukum bahawa negara itu telah bertukar kepada negara harbi (negara bukan Islam). Bahkan ia kekal negara Islam tetapi jatuh di tangan seorang yang murtad lagi zalim. Apatah lagi jika sekiranya syiar-syiar Islam masih lagi berlaku dan masjid-masjidnya masih diimarahkan.”

Malaysia adalah negara yang menggabungkan negeri-negeri Islam Melayu dan masih meletakkan Islam di kedudukan tinggi di dalam perlembagaan. Ada institusi Islam yang mempunyai kuasa di peringkat pusat dan negeri. Zahir syiar-syiar Islam. Maka ia kekal negara Islam walau dengan pelbagai kepincangan pemerintah dan polisi. Kepincangan itu tidak sama sekali menukar statusnya kepada negara sekular.

Dari situ adalah wajib untuk dijalankan hukum hakam negara Islam seperti status kewarganegaraan; warganegara Islam dan warganegara kontrak untuk bukan Islam, wajib taat kepada pemerintah pada perkara-perkara yang bertepatan dengan syariah dan haram menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan kekuatan yang akan mengakibatkan mudharat yang lebih besar berlaku.

Dakwaan yang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular akan membawa kepada pencairan pemikiran Islam di dalam diri umat Islam. Kesannya antara lain adalah umat Islam akan akhirnya meletakkan kedudukan Islam di dalam kerangka negara sekular seperti yang berlaku di Barat. Di dalam isu bughah yang ingin kita bincangkan di sini, umat Islam akan keliru lalu mungkin menolak terus relevansi istilah bughah dalam konteks negara Malaysia hari ini. Usaha mengumpulkan kekuatan dari dalam dan luar negara untuk menjatuhkan kerajaan dan menukar status negara akan dikategorikan hanya sebagai kebebasan bersuara dan amat jauh sekali untuk dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah.

Pemerintah Yang Ada Adalah Pemerintah Yang Sah
Di dalam Islam, pemerintah dilantik melalui salah satu daripada empat cara. Ini merupakan kesimpulan Abdul Kadir Audah di dalam bukunya Tasyrie’ Jinaie fil Islam setelah meneliti sejarah Islam di dalam isu perlantikan pemimpin. Cara-cara tersebut adalah:
  1. Melalui pemilihan oleh ahlul hilli wal aqd (dianggotai oleh ulamak, fuqaha, pemuka dan sebagainya dari kalangan umat Islam).
  2. Melalui perlantikan oleh pemimpin sebelumnya.
  3. Melalui pemilihan yang dilakukan oleh satu kelompok kecil yang dilantik oleh pemimpin sebelumnya.
  4. Melalui kekuatan dengan cara menjatuhkan pemimpin sebelumnya dan berjaya menguasai rakyat (mughalabah).
Manakala Syeikh Dr. Muhammad Abd Kadir Abu Faris pula meluaskan cara pemilihan pemerintah negara Islam kepada apa-apa kaedah lain bersesuaian dengan zaman tersebut. Tetapi beliau meletakkan syarat sokongan ahlussyaukah (sekumpulan umat Islam yang mempunyai pengaruh ke atas umat keseluruhannya) untuk mengabsahkan perlantikan tersebut. Ini bertepatan dengan pandangan Ibnu Taimiyah:
“Imamah di sini ahlussunnah wal jamaah thabit dengan persetujuan ahlussyaukah atas perlantikan tersebut. Seseorang tidak menjadi pemimpin negara sehinggalah ahlussyaukah menyetujui perlantikannya. Dengan ketaatan ahlussyaukah kepada pemimpin itu tercapailah objektif imamah. Sesungguhnya objektif imamah dicapai melalui kemampuan dan kekuasaan. Apabila ahlussyaukah memberikan bai’ah yang memberikan kemampuan dan kekuasaan kepada pemimpin itu, jadilah dia pemimpin.”

Pemerintah yang ada hari ini dilantik melalui pilihan raya di dalam sistem demokrasi. Tidaklah Islamik sepenuhnya sistem demokrasi itu dan tidak juga wujud sistem itu sebelum ini di dalam sejarah Islam. Walau pun begitu, pemerintah yang naik telah dipersetujui oleh majoriti umat Islam dan terbukti berjaya menguasai rakyat dan memberikan suasana aman kepada negara. Tidak wujud pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkannya. Maka ia adalah pemerintah yang sah di sisi Islam. Mustahil bagi yang memahami maqasid Islam dari aktiviti kenegaraan untuk mengatakan bahawa pemerintah yang naik dengan cara ini adalah tidak sah dan tidak wajib ditaati.

Bagaimana pula kewujudan sekumpulan orang Islam yang tidak menyetujui perlantikan pemerintah dan menjadi pembangkang? Adakah kewujudan satu kumpulan yang tidak bersetuju menjadikan pemerintah itu tidak sah?

Hukum Islam di dalam hal ini adalah jelas. Yang menjadi ukuran adalah sokongan ahlussyaukah tersebut. Jika sokongan itu wujud dan keadaan telah pun terkawal dengan baik, maka kewujudan sekumpulan pihak yang tidak bersetuju itu tidak memberi apa-apa kesan kepada sah atau tidak. Ulamak membincangkan hal ini dan mengkaji beberapa kes perlantikan khulafa’ rasyidin berempat. Mereka mendapati bahawa perlantikan Saidina Abu Bakar ra tidak mendapat bai’ah daripada Saad bin Ubadah ra. Ada juga sahabat yang memberikan bai’ah hanya selepas beberapa bulan. Perlantikan Saidina Ali ra juga berlaku hanya dengan sokongan sebahagian besar umat Islam ketika itu. Perlantikan Saidina Umar ra sebagaimana yang diketahui secara jelas di dalam sejarah sememangnya dipersoalkan oleh sebahagian sahabat ra. Perlantikan Saidina Usman ra sahaja yang agak unik kerana beliau mendapat persetujuan dari keseluruhan umat Islam ketika itu seperti yang disebut oleh Imam Ahmad:
“Tidak ada di dalam umat ini yang lebih kukuh mendapat bai’ah selain dari Usman ra. Beliau dibai’ah dengan ijmak dari seluruh umat Islam.”
Tetapi ijmak perlantikan seumpama itu tidak lagi berlaku di zaman sesudahnya. Tempoh bermula daripada perlantikan Yazid bin Muawiyyah sehinggalah ke zaman Abd Malik bin Marwan dari kerajaan Bani Umayyah dipenuhi dengan kisah-kisah keengganan kumpulan-kumpulan Islam di sana sini untuk memberikan bai’ah. Tetapi ulamak Islam tetap mengatakan pemerintah yang terlantik itu adalah sah.

Jika Pemerintah Itu Fasik Atau Zalim, Bolehkah Rakyat Menjatuhkannya?
Pemerintah yang adil wajib ditaati. Pemerintah yang fasik atau zalim pula dibincangkan panjang oleh ulamak. Ada yang berpendapat ia terlucut secara automatik, ada yang berpandangan boleh dijatuhkan dan ada yang berpandangan tidak boleh dijatuhkan. Tetapi dari semua perbahasan yang panjang itu, ulamak bersetuju bahawa tahap mudharat menjadi ukuran di dalam menentukan hukum boleh atau tidak menjatuhkan pemimpin yang fasik atau zalim itu.

Sesuatu kemungkaran tidak boleh dicegah jika mengakibatkan berlaku kemungkaran yang lebih besar. Memang ada hadis-hadis yang menyuruh umat Islam membenteras kezaliman dan kemungkaran. Tetapi di samping hadis-hadis itu, terdapat juga beberapa hadis yang menyuruh umat Islam bersabar terhadap pemimpin yang zalim selama mana umat masih boleh solat dengan aman. Hadis-hadis itu tidak bertentangan di antara satu dengan yang lain, tetapi ukuran maslahat semasa itu menentukan bagaimanakah himpunan hadis-hadis itu diamalkan.

Dalam sistem demokrasi sekarang, umat Islam telah bersetuju bahawa setiap beberapa tahun akan dilakukan pemilihan semula pemerintah. Jadi, umat Islam telah bersetuju untuk tidak menjadikan pemimpin tertinggi negara sebagai satu jawatan yang akan dipegang sampai mati. Sistem penggiliran ini di sudut tertentu lebih baik daripada amalan sebelum ini yang meletakkan pemimpin tertinggi negara hanya akan bertukar setelah kematiannya atau dengan rampasan kuasa. Dengan sistem sekarang, rakyat ada ruang yang cukup luas untuk menukar pemimpin negara secara aman. Pemimpin yang fasik atau zalim itu boleh ditukar secara aman dengan sistem yang ada sekarang. Ini ruang yang cukup baik bagi umat untuk menukar pemimpin yang fasik pada hari ini. Mudharatnya kurang dan suasana aman boleh kekal.

Tetapi kadang-kadang ada masanya sebahagian umat Islam tidak mampu untuk menunggu pilihan raya seterusnya. Mereka berusaha untuk menjatuhkan pemimpin itu sekarang dengan apa juga cara yang boleh termasuklah melobi rakyat dan mengumpul kekuatan yang boleh memberi tekanan agar pemimpin itu jatuh. Di dalam Islam, tidaklah salah menjatuhkan pemimpin yang fasik atau zalim, tetapi keharusannya tidak mutlak begitu. Yang menjadi ukuran sentiasa adalah apa kesan daripada usaha itu? Membawa kepada mudharat yang lebih buruk atau membawa kepada kebaikan yang lebih?

Meneliti kata-kata ulamak Islam di dalam isu ini menunjukkan kepada kita yang mereka bersepakat bahawa menjatuhkan pemimpin fasik atau zalim itu mesti diukur dari sudut manfaat dan mudharat.
Berkata Ibnu Abi Syarif al-Syafie di dalam al-Masamirah:
“Seorang pemimpin yang fasik tidak terlucut jawatannya secara otomatik. Tetapi ia berhak dilucutkan jika pelucutan itu tidak membawa kepada fitnah (huru hara).”
Berkata pula al-Iji di dalam al-Mawaqif:
“Hendaklah umat melucutkan pemimpin jika ada sebab yang mewajibkan beliau dilucutkan. Jika usaha itu membawa kepada fitnah (huru hara) hendaklah diambil yang manakah yang ringan mudharatnya.”
Ibnu Taimiyah di dalam Minhaj al-Sunnah pula berkata:
“Jika usaha melucutkannya (pemimpin itu) lebih memudharatkan berbanding mengekalkannya (di jawatan itu), maka tidaklah harus seseorang melakukan sesuatu yang lebih besar mudharat semata-mata untuk menghilangkan mudharat yang lebih kecil.”
Berkata Ibn Abidin di dalam Hasyiyah Ibn Abidin:
“Jika dilantik seorang pemimpin yang adil kemudian beliau menjadi zalim dan fasik, pemimpin itu tidak terlucut secara automatik. Sebaliknya beliau boleh dilucutkan jika perlucutan itu tidak membawa kepada fitnah (huru hara).”

Kesimpulan daripada pandangan-pandangan ulamak di atas, fasik dan zalim semata-mata tidak memberi sandaran syarak untuk dilucutkan atau dijatuhkan seseorang pemimpin. Termasuk di dalam pertimbangan juga adalah kesan selepas daripada usaha menjatuhkan pemimpin itu. Jika mudharatnya lebih besar, maka syarak tidak membenarkan usaha menjatuhkan pemimpin yang fasik itu.

Demonstrasi: Kebebasan Suara Atau Bughah?
Di sini kita masuk kepada topik yang ingin kita bincangkan di peringkat awal tadi iaitu berkenaan hukum bughah. Sebelum pergi jauh, saya ingin menyimpulkan semula beberapa perkara di atas:
  1. Malaysia adalah negara Islam yang perlu disempurnakan keislamannya. Ia bukan sekali-kali negara sekular.
  2. Pemerintah yang ada sekarang adalah pemerintah yang sah.
  3. Jika pemerintah yang ada sekarang ini fasik atau melakukan kezaliman, ia hanya boleh dijatuhkan jika usaha menjatuhkan itu tidak membawa mudharat yang lebih besar daripada mudharat kezaliman yang sedia ada.
Apabila kita mengatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam, ia tidak bermakna bahawa kerja-kerja islah dah dakwah sudah berakhir. Matlamat negara Islam adalah terlaksananya syariat Islam secara sempurna. Ketakutan sebahagian pendakwah untuk mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam berpunca daripada salah faham bahawa matlamat terakhir perjuangan Islam adalah golongan Islamis mendapat kerusi politik. Sedangkan matlamat sebenar adalah terlaksananya syariah dan berdirinya kehidupan Islam di muka bumi. Dari situ pengiktirafan Malaysia sebagai negara Islam tidak sesekali akan menjadikan usaha-usaha golongan Islamis sebagai tidak relevan. Tertegaknya negara Islam masih mewajibkan umat Islam melakukan amar makruf nahi mungkar untuk membetulkan yang salah dan menyempurnakan yang kurang.

Di sudut yang lain, jika Malaysia adalah negara Islam dan pemimpinnya adalah sah, sebarang usaha menjatuhkan pimpinannya dengan menggunakan kekuatan atau usaha menukar status negara kepada negara sekular atau mengubah perlembagaannya kepada yang lebih jauh dari ruh Islam, semua itu adalah jenayah. Jalan yang sah untuk menukar pimpinan adalah melalui jalan aman di dalam sistem pilihan raya sebagaimana yang telah dipersetujui bersama oleh umat Islam di Malaysia. Selain jalan yang aman ini, tidak pernah terbukti untuk tempoh puluhan tahun kebelakangan ini bahawa ianya akan menghasilkan natijah yang lebih baik untuk umat. Perubahan kuasa secara paksa dengan menggunakan kekuatan tanpa persiapan yang sungguh-sungguh hanya akan membawa umat Islam kepada keadaan yang lebih buruk. Cukuplah apa yang berlaku di dunia Arab sebagai pengajaran kepada umat Islam. Apakah keuntungan yang dikaut oleh rakyat Iraq? Apakah kebaikan yang dikecapi oleh rakyat Libya dan Tunisia? Apakah pula yang akan dihadapi oleh rakyat Mesir untuk tempoh puluhan tahun akan datang? Ke manakah hala tuju umat Islam Syria?

Mungkin itulah asas yang digunakan oleh Tuan Mufti Perak untuk mengaitkan peserta demonstrasi TURUN  dengan bughah. Saya menyetujuinya atas beberapa pertimbangan dengan sedikit perincian berkenaaan istilah yang digunakan oleh Tuan Mufti.

Demonstrasi TURUN tidak boleh dilihat berasingan daripada siri-siri demonstrasi yang banyak sebelum ini. Mesti dilihat satu pakej dengan tuntutan COMANGO yang mahukan Malaysia mengubah perlembagaannya untuk membenarkan falsafah dan gaya hidup liberal masuk bertapak di Malaysia. Mesti juga dikaitkan sekali dengan usaha-usaha sebahagian pihak dari kalangan non muslim yang mahu mengubah imej negara sebagai bukan negara Islam di mata dunia. Juga mesti dihubungkan sekali dengan tindakan sebahagian pembangkang yang tidak mahu mengiktiraf kerajaan yang ada sebagai sah lalu mereka-reka cerita palsu untuk menyokong dakwaan mereka. Mesti dilihat sebagai kesinambungan daripada tuntutan-tuntutan IFC yang sebenarnya akan meruntuhkan teras kenegaraan Malaysia. Mesti dikaitkan juga dengan kedegilan pihak Evangelist terus menerus menolak dan mencabar keputusan penguasa yang sah berkenaan isu kalimah Allah. Juga mesti dilihat sebagai kesinambungan projek mengubah dasar negara dari negara Islam kepada negara yang berteraskan kesamarataan mutlak berteraskan nilai Barat.

Kenapa mesti dilihat semua itu sebagai satu pakej? Kerana penganjurnya dan dalang di belakangnya adalah kumpulan manusia yang sama. Mereka cuma menukar-nukar proksi penganjur setiap kali mereka ingin menganjurkan apa juga demonstrasi dan tuntutan. Tetapi yang sentiasa menjadi tetamu khas dan mengisi pentas yang disediakan penganjur adalah orang yang sama. Mereka bermatlamatkan satu matlamat yang konsisten dari dulu hingga sekarang iaitu merubah status negara dan merubah perlembagaan. Ia tidak terhenti setakat isu kenaikan harga barang. Bahkan tidak terhenti setakat menurunkan Perdana Menteri dan barisan kabinet sedia ada sekarang. Matlamatnya lebih daripada semua itu.

Di dalam Islam, usaha merubah status negara, merubah perlembagaaan dan menghasut orang ramai untuk tidak memberikan ketaataan kepada pemerintah yang sah di dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syariat adalah satu jenayah. Tuan Mufti Perak menamakannya sebagai bughah. Saya berpendapat bahawa kategori jenayah itu berlegar di sekitar jenayah bughah, hirabah atau langgar kontrak kewarganegaraan Islam, bukan sekadar jenayah bughah sahaja.

Bughah ditakrifkan oleh ulamak dengan takrifan yang pelbagai berdasarkan khilaf mereka terhadap perinciannya. Tetapi yang jelasnya ulamak bersetuju kepada tiga rukun utama jenayah bughah iaitu; keluar dari ketaatan pemerintah, dengan menggunakan kekuatan dan berniat untuk tujuan jenayah itu. Dalil yang menjadi rujukan ulamak di dalam isu bughah antaranya adalah:
“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Hujurat: 9)

Ulamak kebiaasaannya akan menjadikan beberapa peristiwa di zaman awal Islam sebagai contoh bughah. Di antaranya adalah kisah perselisihan Saidina Ali ra dan Muawiyyah ra di dalam peristiwa perang Siffin dan peristiwa Tahkim. Di antaranya adalah kisah kumpulan Khawarij. Di antaranya lagi adalah perselisihan di antara pembesar Islam dengan Yazid bin Muawiyyah. Di antaranya lagi adalah peristiwa peperangan di antara Abdullah bin Zubair dan Abd Malik bin Marwan di dalam menentukan siapakah khalifah yang sah.
Hirabah pula bermaksud menggunakan kekuatan di kawasan yang sukar mendapat pertolongan manusia untuk merampas harta atau untuk membunuh atau untuk menakut-nakutkan manusia. Inilah takrif yang masyhur di kalangan ulamak mazhab Syafie. 

 Sebahagian ulamak mazhab Syafie memasukkan sekali pencabulan seks menggunakan kekerasan di dalam jenayah hirabah. Manakala ada sesetengah ulamak yang menghadkan jenayah hirabah hanya kepada rampasan harta sahaja. Kekuatan yang dimaksudkan di sisi mazhab Hanbali dan Hanafi adalah senjata tetapi mazhab Maliki dan Syafie tidak mensyaratkan penggunaan senjata. Bahkan mazhab Malik berpandangan jenayah hirabah boleh berlaku dengan hanya menggunakan helah dan tipu daya sahaja. Dalil yang menjadi rujukan ulamak di dalam jenayah hirabah antaranya adalah:
“Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh atau dipalang atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang atau dibuang negeri. Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.” (Al-Maidah: 33)

Manakala langgar dan batal kontrak kewarganegaraan merujuk kepada akad atau kontrak yang telah mengikat seorang kafir untuk menjadi warganegara sesebuah negara Islam. Jika mereka bersetuju dengan beberapa syarat yang dikenakan oleh negara Islam, maka mereka menjadi warganegara zimmi dan mendapat hak dan kewajipan tertentu di dalam negara Islam. Jika mereka melanggar perjanjian tersebut, maka status kewarganegaraan zimmi itu bertukar kepada harbi dan akan dikenakan tindakan oleh kerajaan Islam seperti buang negara dan seumpamanya. Dalil kepada jenayah ini adalah akad yang dipersetujui oleh orang-orang kafir ketika Rasulullah saw mengasaskan negara Islam Madinah melalui piagam Madinah. Kisah nasib Yahudi Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah yang dihalau dari negara Islam adalah dalil yang kuat berkenaan lucutnya status kewarganegaraan disebabkan jenayah melanggar kontrak kewarganegaraan zimmah.

Jika dilihat dari perbahasan ulamak berkenaan ketiga-tiga jenayah ini, mungkin agak sukar untuk kita mengkategorikan usaha sekumpulan manusia untuk merubah status dan perlembagaan negara di dalam jenayah mana satu. Tetapi pengkaji fiqh Islam akan boleh dengan mudah menyimpulkan yang berikut:
1. Tidak boleh sama sekali kita mengatakan bahawa usaha merubah status negara dan perlembagaan itu bukan jenayah di dalam Islam. Jangan sesekali mengkategorikan usaha merubah status negara dan perlembagaan ini sebagai demonstrasi biasa untuk menyuarakan pandangan dan bantahan semata-mata. Ia adalah dua isu yang berbeza. Berkumpul untuk menyuarakan pandangan dan bantahan tidaklah salah menurut ramai ulamak. Tetapi yang berlaku di Malaysia ini bukan setakat menyuarakan bantahan dan cadangan. Ia bertujuan untuk merubah status negara dan perlembagaan. Itu adalah jenayah dan bukan sekadar kebebasan menyuarakan pandangan. Mereka ingin membuang agama secara mutlak daripada struktur negara dan mengubah rujukan tertinggi negara kepada akal manusia semata-mata. Allah melarang orang Islam menjadikan rujukan tertinggi mereka selain dari wahyu. Firman Allah:
“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Al-Nisa’: 59)

2. Jika yang melakukan usaha merubah status negara Islam tersebut adalah orang kafir, maka ia sama sekali tidak boleh dimasukkan sebagai jenayah bughah. Bughah khusus untuk orang Islam sahaja. Manakala orang kafir, ia lebih hampir kepada pembatalan akad zimmah kerana menjadi salah satu syarat di dalam syarat kewarganegaraan zimmah adalah tidak melawan pemerintah dan bersama mempertahankan keselamatan negara. Sedikit khilaf ulamak berkenaaan isu ini hanya berlaku pada isu jika orang kafir tersebut digunakan oleh orang Islam yang bughah; ada ulamak yang mengatakan mereka tidak jatuh menjadi harbi. Tetapi tidak ada khilaf langsung di kalangan ulamak tentang batal kontrak zimmah tersebut jika orang kafir itu sendiri yang menganjurkan usaha menghasut orang ramai untuk merubah status negara Islam. Ini boleh dirujuk di dalam kisah-kisah yang berlaku kepada satu demi satu suku-suku Yahudi di Madinah apabila mereka mengkhianati kontrak perjanjian mereka dengan Nabi s.a.w.

3. Bilangan ramai atau sedikit tidak menjadi isu untuk dikategorikan sebagai bughah. Yang menjadi ukuran kepada sebahagian ulamak bukannya bilangan mereka yang ingin mengubah status negara tersebut tetapi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk mengembalikan mereka kepada ketaatan. Jika bebanan itu banyak, maka bilangan mereka samada sedikit atau ramai tidak lagi menjadi perkiraan, mereka tetap dianggap sebagai bughah. Di dalam mazhab Hanbali, bilangan yang sedikit juga boleh dianggap bughah jika mereka bersenjata dan boleh melancarkan perang. Ini berdasarkan iktibar bahawa kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan dan sumber tenaga manusia yang ramai untuk mengembalikan mereka kepada ketaatan pemerintah.

4. Perkumpulan manusia yang berkumpul untuk menjatuhkan kerajaan Islam, jika tidak cukup syarat untuk dikategorikan sebagai bughah, maka ulamak akan mengkategorikannya sebagai hirabah dalam sesetengah keadaan. Contohnya adalah di dalam isu takwil. Bughah selalu dikaitkan oleh ramai ulamak dengan kekeliruan terhadap nas, atau istilah yang digunakan oleh sebahagian ulamak sebagai ‘mempunyai takwil’. Kumpulan bughah melawan kerajaan Islam kerana mereka menyangka secara salah bahawa syariat membenarkan mereka melawan. Jika kumpulan yang berkumpul untuk menjatuhkan kerajaan yang sah tidak mempunyai takwil, ini tidak bermakna mereka bukan penjenayah. Mereka adalah penjenayah di dalam kategori hirabah. Abdul Kadir Audah berkata:
“Hukum kumpulan manusia yang keluar dari ketaatan pemerintah tanpa takwil dan yang melawan dengan takwil tetapi tidak ada syaukah (kekuatan), pada sisi Imam Abu Hanifah dan Ahmad adalah hukum hirabah. Mereka akan diperlakukan di atas asas ini.”

5. Menentang kerajaan itu tidak semestinya menentang keseluruhan tiga institusi yang telah terpisah di dalam sistem pemerintahan moden; legislatif, eksekutif dan kehakiman. Tetapi menentang sebahagiannya juga adalah jenayah di dalam Islam. Abdul Kadir Audah berkata:
“Keluar dari ketaatan imam boleh jadi dengan cara melawan imam yang merupakan  ketua negara yang tertinggi atau pun melawan sesiapa yang mewakili imam.”

6. Ketiga-tiga jenayah ini mempunyai hukuman yang berbeza. Bagi jenayah bughah hukumannya adalah diperangi jika hanya boleh dileraikan kekuatan tersebut dengan perang. Bila perang berhenti dan golongan bughah telah kembali kepada ketataan pemerintah, mereka akan bebas menjadi warganegara yang aman. Bagi jenayah hirabah pula, hukumannya lebih berat iaitu salah satu daripada empat hukuman yang disebut di dalam ayat surah al-Maidah di atas. Manakala yang terbatal akad zimmahnya, kewarganegaraannya dibatalkan dan dia boleh dijatuhkan hukum buang negara.

7. Jika berlaku salah satu daripada tiga jenayah ini; bughah atau hirabah atau pembatalan akad zimmah, kerajaan boleh mengambil tindakan. Cuma diperincikan oleh ulamak apakah tindakan kerajaan itu. Adakalanya memang boleh sampai ke tahap menggunakan tentera dan adakalanya tidak sampai ke tahap itu. Ini semua bergantung kepada ijtihad kerajaan berdasarkan situasi yang berlaku.

Kesimpulan
Dari semua yang telah dikongsikan di atas, adalah jelas bahawa Malaysia adalah negara Islam dan perlu dinilai semua perkara berdasarkan neraca Islam. Dengan itu mengajak orang berkumpul dan menghasut orang ramai untuk mengubah status negara dan mengubah perlembagaan supaya jauh daripada prinsip Islam adalah satu jenayah. Kita tidak boleh menjatuhkan hukum kepada satu demonstrasi tanpa mengaitkannya dengan satu silsilah (rangkaian) usaha terancang yang panjang. Menjadi hak kerajaan untuk membenteras perkumpulan tersebut melalui apa-apa cara seperti yang diperincikan oleh fiqh Islam termasuklah jika terpaksa menggunakan kekuatan tentera. Hukum kategori orang ramai yang terlibat di dalam usaha menentang negara tersebut berkisar di sekitar samada bughah, hirabah atau batal kontrak zimmah. Inilah hukum Islam jika isu ini dibincangkan dengan neraca Islam.
Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden ISMA

Sumber:  http://www.ismaweb.net/v4/2014/01/demonstrasi-kebebasan-bersuara-atau-jenayah/

Monday, January 20, 2014

Masih akan terbelakah maruah pekerja Islam? Di sebalik kisah Cikgu Choy






Rombongan I-Guru melawat Cikgu Choy Yi San (dua dari kanan)
 Rombongan I-Guru melawat Cikgu Choy Yi San (dua dari kanan)

Diskriminasi dan penindasan terhadap pekerja Islam di premis bukan Islam sering diperkatakan. Ia telah mencetuskan kebimbangan dan rasa tidak puas hati kepada penganut Islam. Ia juga memberi mesej buruk bahawa kedudukan orang Islam di negara Islam sendiri tidak dihormati. Syiar Islam direndah-rendahkan walaupun hanya berkuasa dalam premis yang terhad iaitu sebuah sekolah. Mereka telah berani dengan sewenang-wenangnya mengambil tindakan ekstrim mengugut dan mendiskriminasi seorang muslim yang bekerja di premis tersebut.
 
Yang terbaru seorang guru muallaf telah diugut keselamatannya kerana beliau hanya menggunakan hak peribadinya sebagai seorang muslim untuk mengamalkan amalan agamanya sendiri tanpa menyakiti dan menghina bangsa lain.

Choy Yi San (Cikgu Choy), 25 tahun, berasal dari Seremban. Beliau merupakan anak kedua daripada dua orang adik-beradik. Beliau memeluk agama Islam ketika usianya 23 tahun. Pada mulanya, Cikgu Choy tidak bertudung kerana belum bersedia untuk mendedahkan keislamannya kepada keluarga dan rakan-rakannya.
Pada pagi Ahad 19 Januari, Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (I-Guru), sebuah agensi di bawah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah menziarahi Cikgu Choy yang menetap sementara di rumah keluarga angkatnya di Kota Tinggi untuk mendengar sendiri kisah yang dilalui oleh guru muda itu.

Rombongan disambut dengan ceria oleh Cikgu Choy dan keluarga angkatnya. Dalam pertemuan ringkas itu, kami mendengar luahan hati Cikgu Choy berkenaan kesnya yang kurang mendapat perhatian daripada pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Kota Tinggi pada awal tahun 2013 selepas menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan di sebuah institut perguruan.

AZAM BARU 2014
Selepas setahun mengajar, beliau bertekad memakai tudung di sekolah sebagai salah satu azam di tahun baharu. Identiti baru sebagai muslimah sejati yang bertudung dan menutup aurat telah lama tersemat di hati sejak memeluk agama Islam. Hari Rabu, 1 Januari yang merupakan hari pertama persekolahan sesi 2014 adalah hari pertama beliau bertudung di sekolah. Kemunculan beliau bertudung ternyata tidak disenangi oleh pihak pentadbiran sekolah. Beliau telah menerima jelingan sinis daripada daripada beberapa orang termasuk Guru Besar, Chiew Swee Tuan. Namun, Cikgu Choy meneruskan tekadnya bertudung. Pada hari berikutnya, beliau menerima reaksi yang sama.

Pada 6 Januari, Cikgu Choy ke pejabat Guru Besar untuk membincangkan agihan tugas guru kerana beliau dilantik sebagai PK Pentadbiran lantikan dalaman.  Guru Besar mengambil kesempatan pertemuan itu untuk menyoal dan memberi “nasihat” mengenai keIslaman Cikgu Choy. Antara “nasihat” beliau ialah masih berpeluang lagi untuk kembali ke agama asal, masih banyak pilihan lagi, kenapa hendak mengurung diri dalam agama Islam. Tetapi Cikgu Choy tidak langsung mengendahkan “nasihat” itu.

Pada 7 Januari, Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Encik Pang telah datang ke sekolah untuk memeriksa perkembangan pertukaran jubin Bilik Sumber Sekolah. Beliau tersempak dengan Cikgu Choy dan bersapa seperti biasa walaupun agak terkejut dengan penampilan Cikgu Choy yang bertudung, kemudian beliau ke pejabat Guru Besar.

DIUGUT BUNUH
Tidak lama kemudian, Guru Besar meminta Cikgu Choy ke pejabatnya. Pada awal pertemuan, Encik Pang memberi pandangan negatifnya mengenai keIslaman Cikgu Choy. Keadaan semakin tegang dan serius apabila Cikgu Choy menerima 3 ugutan dari Encik Pang yang melibatkan maruah dan keselamatan Cikgu Choy jika tidak membuka tudung semasa bertugas.

Pertama: Jika beliau tidak membuka tudung, beliau dan keluarganya akan dimalukan di sekolah.
Kedua: Jika beliau masih tidak membuka tudung, pihak sekolah akan memanggil wartawan lalu beliau dan keluarganya akan dimalukan di hadapan wakil media itu dan disiarkan di akhbar.
Ketiga: Jika beliau masih tidak membuka tudung, En Phang akan menembak Cikgu Choy dan kemudian En Phang akan menembak mati dirinya sendiri.
 
Pada petang 7 Januari itu juga, Cikgu Choy diminta hadir ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) oleh seorang Pegawai PPD. Maka Cikgu Choy berniat untuk berjumpa dengan Bapa Angkat Sekolah untuk mendapat pendapat beliau terhadap masalah yang baru ditimpa itu selepas perjumpaan dengan Pegawai PPD tersebut. Tiba sahaja di PPD, baru Cikgu Choy mengetahui bahawa pegawai PPD tersebut ingin memberi zakat peribadi kepada beliau. Pegawai PPD tersebut bertanya sama ada Cikgu Choy mempunyai masalah setelah memeluk agama Islam. Cikgu Choy menyatakan baru timbul masalah dengan penduduk Telok Sengat. Beliau menggunakan “penduduk Kampung”  kerana masih tidak tahu mengajukan kepada siapa. Pegawai PPD tersebut mencadangkan untuk terus berjumpa dengan Timbalan PPD Kota Tinggi.

Dengan segera, Cikgu Choy berjumpa dengan Timbalan PPD dan memberitahu masalah yang dialami itu untuk mendapat pandangan Tuan Timbalan PPD. Cikgu Choy dinasihati untuk membuat laporan polis kerana ugutan bunuh bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Beliau kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Teluk Sengat.
 
Selepas laporan polis dibuat, pihak PPD bertindak segera dengan menukar Cikgu Choy ke sekolah lain di Kota Tinggi atas alasan keselamatan. 

Walaubagaimanapun, ugutan yang diterima tidak melemahkan semangat Cikgu Choy untuk meneruskan hidup sebagai seorang muslimah. Beliau tidak merasa gusar dengan peristiwa yang berlaku, bahkan merasa bertuah kerana apa yang berlaku ini telah menjadikan keislamannya bukan lagi rahsia. Apa yang beliau bimbangkan bahawa tudungnya perlu dibuka telah dapat diatasi. Beliau masih boleh memakai tudung walaupun diugut.

Menurut Cikgu Choy lagi, kes ini bukan isu terpencil di sekolah tersebut bahkan terdapat beberapa orang murid perempuan beragama Islam di sekolah itu yang dilarang oleh pihak sekolah. Perkara ini bercanggah dengan kenyataan Guru Besar yang disiarkan oleh Utusan Malaysia yang mengatakan beliau menghormati pemakaian tudung oleh orang Islam.

Suatu yang dikesali ialah tiada tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak pengurusan sekolah terutamanya En Phang. Meskipun siasatan polis sedang dijalankan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan ke atas pihak pengurusan sekolah kerana pihak sekolah telah menafikan hak asasi seorang muslimah bahkan melakukan tindakan ekstrim dengan pelbagai ugutan memalukan dan mengancam keselamatan.

Apakah dengan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa ini bermakna memberi laluan luas kepada mana-mana institusi bukan Islam untuk melakukan pelbagai diskriminasi terhadap pekerja Islam yang bekerja di bawah seliaan mereka?
Adakah tudung seorang muslimah telah dianggap sebagai mengancam keselamatan di sekolah?

Siti Khadijah Salleh
Wartawan ISMA Johor

Sumber:  http://www.ismaweb.net/v4/2014/01/masih-akan-terbelakah-maruah-pekerja-islam-di-sebalik-kisah-cikgu-choy/

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------
Satu komen pilihan dalam isu ini

Apabila pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya didakwa mengeluarkan 'ucapan rasis' pada 12 Ogos 2010 ketika mengulas masalah disiplin pelajar - seluruh media alternatif dan penyokong totok mereka akan menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Dipindahkan ke sekolah tidak mencukupi, beliau seharusnya dipecat dan dijadikan contoh teladan.

Apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristina pada bulan Julai 2013 makan di tandas semasa bulan ramadhan, sekali lagi seluruh media alternatif dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB Pengetua digodam. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.

Namun, apabila Ahli Jemaah SJKC Nan Ya di Johor pada minggu lepas memaksa seorang guru muallaf berbangsa Cina untuk membuka tudungnya atau akan diambil tindakan keras, semua pihak tersebut diam seribu bahasa. Malah, setelah guru tersebut melaporkan pada polis, guru tersebut pula yang dipindahkan sedangkan Ahli Jemaah bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan disiplin.

Apabila ada pihak mahu membangkitkan isu tudung ini dan menuntut keadilan, dikatakan pula kita masyarakat majmuk, jangan digembar-gemburkan isu ini. Apabila kita mahu menjaga izzah dan maruah wanita muslimah tersebut, dikatakan pula kita siasat dulu, mungkin ada Ahli Jemaah SJKC Cina itu tidak faham agama Islam. Apabila ada pihak mahu tindakan tegas harus diambil terhadap ahli jemaah sekolah, dikatakan pula isu ini perkara kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yg lebih meruncing.

Ya Allah, mengapakah begitu selektif sekali golongan ini? Di manakah sebenarnya sensitiviti umat ini? Di manakah sebenarnya maruah dan ghairah umat ini untuk mempertahankan kemuliaan agama tercinta ini? Sudah begitu buta politikkah kita sehingga isu umat Islam tiada langsung di dalam agenda kecuali apabila menguntungkan tujuan politik untuk menjatuhkan parti lawan?
Sudah lupakah peristiwa di pasar emas Bani Qainuqa? Sudah lupakah kisah Khalifah Abu Ishaq Al-Mu'tasim?

Wahai umat Islam, sedarlah akan kemuliaan agama yang tercinta ini. Takutilah ancaman Allah dan janganlah kita termasuk dalam golongan yang dimaksudkan Allah untuk digantikan seperti dalam Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.” Al-Maidah:54

Kepada Allah kita berserah.

Wallahua'lam.

Megat A Rithauddeen
Aktivis ISMA


Sumber: Arus Baru.

Sunday, January 19, 2014

Mari kita sama-sama prihatin....ini bukan perkara kecil

Salam,

Sekarang sudah heboh satu Malaysia kisah Pn Shalwati dan suami ditahan di Sweden atas tuduhan memukul anaknya kerana tak solat.

Kebetulannya Pn Shalwati yg kami panggil Shal adalah rakan satu Univ saya dan isteri sewaktu kami sama-sama menuntut di University of the Pacific, Stockton California, Amerika Syarikat dulu.

Benda ini kecik aje sebenarnya, pukul sedikit kat tangan tak solat budak2 biasa lah.

Yg jadi masalahnya ini di negara Sweden. Org mungkin kata ini isu org Kapiaq Kristian org Barat anti Islam, tapi tak ada kena mengena sebenarnya. 
Shal dan keluarga terperangkap dalam sistem social enterprise di Sweden yg menjadikan foster parents (keluarga angkat) dan orphanage home (rumah anak yatim) sebagai bisness dlm sabuah kisah perniagaan enterprise yg besar.

Rantaian "bisness" mereka ini begitu besar dan melebar dari atas ke bawah yg mewujudkan beribu2 peluang pekerjaan dan subsidy kerajaan yg lumayan.

Dlm keadaan rakyat Sweden yg hanya punyai anak sekitar dua orang satu keluarga, adalah sukar mencari anak2 yatim utk di "feed" ataupun disuapkan kpd bisness social enterprise ini.

Tanpa anak2 angkat ini, maka beribu2 peluang pekerjaan untuk pekerja kebajikan dan sistem subsidy sosial ini akan ranap dan pupus; lantas mereka mensasarkan keluarga2 asing/immigrant dari luar yg datang menetap di Sweden seperti dlm satu kes keluarga dari Afrika yg anaknya ditoreh sedikit wajahnya kerana adat. Tak pasti mcm mana kes sebenar, tapi menurut sumber akhir sekali mak ayah boleh balik ke negara asal, tapi anak2 diambil. 

Mcm tu juga dgn satu kes yg melibatkan keluarga Russia, diberitakan anak2 juga diambil.

Menyedari tentang perkara ini dan khuatir anak2 Shal juga berakhir dengan nasib yg serupa, saya atas kapasiti sebagai seorang individu yg punyai anak-anak sebaya anak2 Shal memohon campur tangan semua pihak2 yg prihatin, agar dapat berbuat sesuatu dan membawa pulang anak-anak mereka ke bumi Malaysia ini seberapa segera.

Akidah anak-anak ini sedang berada dalam taruhan.

Terima Kasih

Mohd Monier Bin Mat Din
Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa/i Malaysia.

University of the Pacific,
Stockton. California. USA. 
Salam,

Sekarang sudah heboh satu Malaysia kisah Pn Shalwati dan suami ditahan di Sweden atas tuduhan memukul anaknya kerana tak solat.

Kebetulannya Pn Shalwati yg kami panggil Shal adalah rakan satu Univ saya dan isteri sewaktu kami sama-sama menuntut di University of the Pacific, Stockton California, Amerika Syarikat dulu.

Benda ini kecik aje sebenarnya, pukul sedikit kat tangan tak solat budak2 biasa lah.

Yg jadi masalahnya ini di negara Sweden. Org mungkin kata ini isu org Kapiaq Kristian org Barat anti Islam, tapi tak ada kena mengena sebenarnya.
Shal dan keluarga terperangkap dalam sistem social enterprise di Sweden yg menjadikan foster parents (keluarga angkat) dan orphanage home (rumah anak yatim) sebagai bisness dlm sabuah kisah perniagaan enterprise yg besar.

Rantaian "bisness" mereka ini begitu besar dan melebar dari atas ke bawah yg mewujudkan beribu2 peluang pekerjaan dan subsidy kerajaan yg lumayan.

Dlm keadaan rakyat Sweden yg hanya punyai anak sekitar dua orang satu keluarga, adalah sukar mencari anak2 yatim utk di "feed" ataupun disuapkan kpd bisness social enterprise ini.

Tanpa anak2 angkat ini, maka beribu2 peluang pekerjaan untuk pekerja kebajikan dan sistem subsidy sosial ini akan ranap dan pupus; lantas mereka mensasarkan keluarga2 asing/immigrant dari luar yg datang menetap di Sweden seperti dlm satu kes keluarga dari Afrika yg anaknya ditoreh sedikit wajahnya kerana adat. Tak pasti mcm mana kes sebenar, tapi menurut sumber akhir sekali mak ayah boleh balik ke negara asal, tapi anak2 diambil.

Mcm tu juga dgn satu kes yg melibatkan keluarga Russia, diberitakan anak2 juga diambil.

Menyedari tentang perkara ini dan khuatir anak2 Shal juga berakhir dengan nasib yg serupa, saya atas kapasiti sebagai seorang individu yg punyai anak-anak sebaya anak2 Shal memohon campur tangan semua pihak2 yg prihatin, agar dapat berbuat sesuatu dan membawa pulang anak-anak mereka ke bumi Malaysia ini seberapa segera.

Akidah anak-anak ini sedang berada dalam taruhan.

Terima Kasih

Mohd Monier Bin Mat Din
Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa/i Malaysia.

University of the Pacific,
Stockton. California. USA.

Sumber:  Fb Green Project.


Friday, January 17, 2014

Kes pukul anak: Anak pasangan Malaysia tak gembira



Pukul anak tak solat, pasangan dikenal pasti  
Pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden atas dakwaan 
memukul anak lelaki mereka. - Foto dipetik daripada Astro Awani.
 
KUALA LUMPUR - Empat anak pasangan warga Malaysia, yang ditahan polis Sweden setelah didakwa memukul mereka kerana enggan bersolat, menyatakan rasa tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat berlainan agama di negara itu.

Anak sulung pasangan itu yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 14, berkata, beliau dan tiga adik lelakinya yang berusia 7, 11 dan 12 tahun ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial negara itu sejak ibu bapa mereka ditahan pada 18 Disember lepas.

Aisyah berkata mereka tidak gembira dengan keadaan di dalam rumah berkenaan.

"Kami tidak gembira tinggal dengan keluarga angkat sebab keluarga ini bela anjing.

"Keluarga angkat juga makan makanan tidak halal...walaupun kami tidak diberi makanan itu tetapi kami berkongsi pinggan mangkuk yang sama," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Aisyah berkata mereka juga berulang kali menyatakan hasrat pulang ke Malaysia secepat mungkin namun tidak dibenarkan pihak khidmat sosial.

Katanya mereka juga tidak dibenarkan bertemu ibu bapa dan anggota keluarga dari Malaysia.

Menurutnya seminggu selepas penahanan ibu bapa mereka, keluarga dari Malaysia datang untuk bertemu dengan mereka namun tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa Sweden.

Anak kedua yang mahu dikenali sebagai Ammar pula berkata mereka mahu pulang ke Malaysia secepat mungkin kerana tidak tahan tinggal dengan keluarga angkat itu.

"Kami rindukan mummy dan daddy...kami nak balik Malaysia tapi mereka tidak benarkan. Kami sedih, setiap kali balik sekolah mummy dan daddy tiada.

"Sebelum ini, mummy dan daddy hantar dan ambil kami di sekolah. Sekarang terpaksa naik kenderaan awam sendiri. Adik bongsu pun menangis setiap hari sebab rindukan mummy dan daddy," katanya.

Tahanan reman pasangan suami isteri itu, yang dipercayai kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan guru yang bercuti tanpa gaji, dilanjutkan dua minggu lagi bagi membantu siasatan. - Bernama

Sumber:  http://www.sinarharian.com.my/nasional/kes-pukul-anak-anak-pasangan-malaysia-tak-gembira-1.241599



Reaksi pembaca kes warga Malaysia ditahan polis Sweden kerana 'mendera' anak
             (Sumber:  http://greenboc.blogspot.com/2014/01/di-sweden-undang-undangnya-bertentangan.html)
KUALA LUMPUR: Konsep ‘dera’ di Sweden mungkin berbeza dengan konsep dera di Malaysia, terutama sekali untuk kes-kes yang melibatkan kanak-kanak.

Jesteru ramai berpadangan bahawa tindakan pasangan warganegara Malaysia yang ditahan atas tuduhan ‘mendera’anak mereka kerana tidak menunaikan solat adalah disalah ertikan.

Dalam komen yang diperolehi dari laman web Astro AWANI, seorang pembaca berkata definisi dera di Sweden berlainan dengan definisi dera yang difahami di Malaysia kerana Sweden mengamalkan ‘no spanking law’ iaitu undang-undang yang melarang ibu bapa menghukum anak mereka dengan cara memukul.

Menurut pembaca yang dikenali sebagai Kembara Srikandi, definasi 'spanking' di negara itu, andai dipukul meskipun tidak meninggalkan kesan adalah salah disisi undang-undang Sweden.

Seorang lagi pembaca pula berpendapat, di Sweden ibu bapa bukan sahaja tidak dibenarkan memukul anak, malah menengking pun tidak dibenarkan.

“Bukan setakat 'spanking', tengking anak pun tak boleh, sebab itu generasi kanak-kanak di Sweden sememangnya terkenal dengan kebiadaban mereka dengan orang tua, disebabkan undang-undang reka cipta manusia atas nama hak asasi,” kata pembaca tersebut yang menamakan diri Anak Dagang.

Di laman Facebook Astro AWANI pula, ada respon yang bersetuju dengan tindakan pasangan itu dan ada yang juga yang tidak bersetuju.

Komen dari Mohammad Saiful Anwar mengatakan, “Hanya orang yang tidak berilmu sahaja akan menyokong anak yang tidak solat. Pukul untuk mengajar anak, bukan untuk mendera.”

Komen dari Baizura Rahman pula mengatakan bahawa merotan anak selepas umur 10 tahun sekiranya tidak solat adalah disuruh dalam Islam setelah dinasihati dan ditegur dan ianya disebut dalam hadis Nabi.

Sementara itu, seorang pembaca iaitu Alyaa Syafiah pula berpendapat, merotan anak kerana tak solat sebenarnya tak perlu kerana tindakan itu akan menyebabkan anak-anak itu solat di depan ibu bapa sahaja.

Sebaliknya, dia merasakan adalah lebih baik sekiranya menggunakan pendekatan psikologi untuk memnujuk anak-anak itu mendirikan solat jemaah bersama-sama.

Di Sweden, undang-udang yang melarang ibu bapa memukul, mencederakan atau memalukan anak-anak mereka telah diwujudkan pada tahun 1979.

Undang-undang tersebut bertujuan memupuk konsep penjagaan anak yang positif serta membendung penderaan terhadap kanak-kanak.

Undang-undang itu juga mengharamkan sebarang bentuk hukuman terhadap kanak-kanak samada ringan ataupun berat.

Bagaimanapun ada sesetengah pakar di Sweden perpendapat bahawa semenjak undang-undang itu dilaksanakan, kanak-kanak Sweden menjadi degil dan biadap.

Menurut sebuah laporan South China Morning Post yang diterbitkan pada 28 Oktober, 2013, seorang ahli psikitri iaitu David Eberhard berkata undang-undang tersebut telah menyebabkan kanak-kanak Sweden telah mula menuntut hak sama rata dengan orang dewasa.

Katanya ia telah menyebabkan kanak-kanak itu menjadi penentu keputusan untuk keluarga mereka seperti bila hendak makan, tidur, menonton televisyen dan sebagainya.

Pada Sabtu, sepasang warga Malaysia dilapor ditahan polis Sweden kerana dikatakan menghukum anak sebab tidak menunaikan solat.

Menurut sumber, suami isteri itu ditahan susulan laporan penderaan oleh salah seorang anak mereka kepada seorang guru di mana guru berkenaan kemudian melaporkannya kepada polis Sweden.

Menurut sumber, kes tersebut dijangka dibicara 16 Januari ini.
-astroawani




ULASAN GB

Terbalik. Di Sweden ibubapa bukan sahaja dilarang memukul, malah menengking anak-anak tidak dibenarkan. Sedangkan di dalam Islam, anak-anak tidak boleh bercakap kasar, apatah lagi menengking kedua ibu-bapanya.

Firmanullah s.w.t.

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. jika salah seorang di antara keduanya atau Kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, Maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya Perkataan “ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (al-Isra’:23)

Memukul anak untuk memberi pengajaran supaya solat dianjurkan di dalam ajaran Islam., Tetapi dianggap sebagai satu penderaan oleh undang-undang di Sweden.

Nabi saw pernah bersabda: "Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila dia berumur 7 tahun dan pukullah dia bilamana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkan dari tempat tidur."

Hadis ini adalah merupakan seruan wajib sembahyang. Kanak-kanak itu belum lagi wajib bersembahyang tetapi yang wajib ialah bapa menyuruhnya bersembahyang.

Semuga Allah swt selamatkan keluarga berkenaan kerana mematuhi ajaran Islam sekalipun ia bertentangan dengan undang-undang dunia. 

  (Sumber:  http://greenboc.blogspot.com/2014/01/di-sweden-undang-undangnya-bertentangan.html)