Pages

Saturday, November 29, 2014

NIKAH : ADAT VS IBADAT

Nikah adalah ibadah yang disunnahkan dan mempunyai nilaian yang besar di sisi agama. Nikah adalah menifestasi ketaatan mukmin terhadap syariatullah dan mendekatkan diri dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Walau apa intipatinya, nikah tetap merupakan ibadah yang perlu dilaksanakan dengan peraturan Islam demi mencapai hakikat kesempurnaan iman. Syariatullah yang benar dan sunnatullah yang berlandaskan akhirat, pasti membawa kebahagian yang hakiki. Nikah bukan tuntutan adat, tetapi nikah adalah ibadah. Pastikan segala perkara berkait nikah menepati sunnah dan tidak bertaqlid kepada adat semata-mata. Gunakan ilmu dan kebijaksanaan untuk membezakan antara adat dan ibadah nikah.

1)      Memilih pasangan
Adat : Asalkan cantik di mata berkenan di hati.
Ibadah : Yang terbaik adalah yang beragama. (Hadith Sahih Riwayat Bukhari 6:123, Muslim 4:175)

2)      Berkenalan
Adat : Berkawan untuk mengenal hati budi pasangan. Lakukan aktiviti bersama-sama supaya lebih mesra.
Ibadah : Banyakkan istikharah kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui. Berkenalan sekadar keperluan. (Hadis Sahih riwayat Bukhari dalam no: 1162)

3)      Bertunang
Adat : Majlis bertunang yang meriah dihadiri sahabat handai dan saudara mara.
Ibadah : Majlis yang hanya melibatkan perjanjian antara ibubapa gadis dengan lelaki yang meminangnya. Tidak perlu dihebahkan. (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani)

4)      Hantaran perkahwinan
Adat : Mengikut tahap pendidikan dan kedudukan wanita.
Ibadah : Tiada sebarang wang hantaran. (tiada rujukan hadis kerana tiada di dalam Islam)

5)      Mas kahwin
Adat : Mas kahwin/mahar yang rendah. (hadis marfu’ riwayat At-Tabrani, terlalu lemah pada sanadnya).
Ibadah : Pemberian yang bernilai dan berfaedah sebagai penghargaan suami kepada isteri. Antara mahar paling rendah yang pernah diberikan Rasulullah s.a.w kepada isterinya adalah 12 auqiyyah bersamaan 500 Dirham bersamaan RM2147. Mahar yang paling tinggi Rasulullah adalah kepada Khadijah sebanyak 20 ekor unta dan Ummu Habibah sebanyak 4000 Dirham bersamaan RM41181 (HR.Muslim dan Abu Daud, al-Majmuk:18/8-9, Kitab Hukum Dr. Yusuf Qardhawi:256). Bergantung kepada kemampuan suami dan Rasululullah s.a.w menyediakan mahar yang berbeza mengikut kemampuannya ketika itu.

6)      Walimatul urus
Adat : Tetamu yang datang memberi wang kepada tuan rumah.
Ibadah : Tetamu tidak perlu memberikan wang kepada tuan rumah. Majlis walimah adalah jamuan makan percuma untuk menghebahkan pernikahan. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: al-Walimah, 16/152, no. 4768).

7)      Solat sunat selepas bernikah
Adat : Melakukan solat sunat nikah selepas akad nikah di hadapan tetamu.
Ibadah : Sujud syukur selepas akad nikah. Solat sunat hanya dilaksanakan bersama isteri pada malam pertama pernikahan. (Hadis Riwayat Ibn Mas'ud, HR Ibn Abi Syaibah dengan isnad hasan)

8)      Meletak tangan di atas ubun-ubun isteri dan berdoa
Adat : Dilakukan selepas akad nikah di hadapan tetamu.
Ibadah : Dilakukan ketika berdua-duaan dengan isteri sebelum solat sunat nikah di waktu malam. (Riwayat Abu Daud no.1260)

9)      Bersanding dan bersolek
Adat : Bersanding di atas pelamin dan pengantin bersolek tebal (tabarruj).
Ibadah : Tidak bersanding dan pengantin wanita tidak bersolek secara berlebihan (tidak tabarruj). (Syarah Syeikh al-Albani dalam kitab “Jilbaabul mar-atil muslimah” hal. 38, Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah).

10)  Berinai
Adat : Wanita memakai inai di semua jari dan lelaki memakai inai pada tiga jari tangan.
Ibadah : Hanya wanita yang dibenarkan memakai inai dan lelaki diharamkan memakai inai untuk perhiasan. Inai hanya boleh dipakai untuk mewarnakan rambut dan janggut bagi lelaki. (Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud, diriwayatkan oleh Abu Daud, sahih Al-Jaami' no 2502, Imam an-Nawawi dalam fatwa al-Majmu').

11)  Menyarung cincin
Adat : Menyarung cincin perkahwinan di hadapan tetamu.
Ibadah : Tidak pernah disunnahkan menyarungkan cincin di hadapan tetamu bahkan ia menyerupai budaya nasrani. (al-Albani, Adaab az-Zifaaf fii  as-Sunnati al-Muthahharah, m/s. 212 – al-Maktabah al-Islamiyah).

12)  Mencium dahi isteri
Adat : Mencium dahi isteri di khalayak ramai.
Ibadah : Tidak dibenarkan mencium isteri di khalayak ramai kerana Islam amat menjaga maruah. (Hadis Muslim no 50 dan 52).

13)  Dulang hantaran
Adat : Bertukar-tukar dulang hantaran dengan bilangan yang ganjil.
Ibadah : Tiada dulang hantaran. Sunat memberi hadiah yang ikhlas kepada suami atau isteri tanpa mempamerkan kepada khalayak ramai. (HR. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 594, dihasankan Al-Imam Al-Albani t dalam Irwa`ul Ghalil no. 1601).

14)  Ucapan kepada pengantin
Adat : Selamat pengantin baru. Semoga bahagia ke anak cucu.
Ibadah : Mudah-mudahan Allah memberimu keberkatan dan mempersatukan kamu berdua dalam kebaikan.
“Baarakallahu lakuma wabaraka 'alaiykuma wa jama'a baiynakuma fii khoir”. (Hadis riwayat Tirmizi, Nasaei dan Ibnu Majah. Menurut Tirmizi ia adalah Hadis Hasan).

15)  Majlis khatam al-Quran atau tahlil kesyukuran
Adat : Dilakukan bersama majlis walimah.
Ibadah : Tidak pernah disunnahkan dalam Islam.


Jadikan nikah anda, atau anak-anak anda kelak sebagai ibadah yang benar dan  mengikut syiar Islam yang tulen. Gantikan adat-adat yang tidak disunnahkan kepada ibadah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan akan terbinalah sebuah baitul Muslim yang bakal melahirkan generasi qaedah sulbah yang mampu mengembalikan Tamadun Islam yang gemilang.

Rujukan : al-Quran dan sunnah.

Sumber:  https://www.facebook.com/notes/asmah-chems/nikah-adat-vs-ibadat/10204862415577007?pnref=story

Tuesday, November 25, 2014

Sekadar untuk rujukan....harap ada menafaatnya.

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
DI MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN WANITA, PEMUDA
DAN PUTERI UMNO 2014
“MEREKAYASA PERUBAHAN
MENDEPANI ZAMAN”

Bismillahirrahmanirrahim.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ، الْفَاتِحِ لِمَا أُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ، نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ، وَالْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ العَظِيْمِ .
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.
YB Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
Ketua Pergerakan Wanita
YB Sdr. Khairy Jamaluddin
Ketua Pergerakan Pemuda
YB Sdri. Mas Ermieyati Samsudin
Ketua Pergerakan Puteri
YB Naib-Naib Presiden UMNO
YB Setiausaha Agung UMNO
Ahli-ahli Majlis Tertinggi
Barisan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri

Saudara-saudari sidang perwakilan, dif-dif jemputan dan para pemerhati sekalian

1.Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w., malam ini saya dan saudara-saudari semua yang mewakili Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dari seluruh pelusuk negara, dapat sekali lagi berhimpun di Dewan Merdeka ini untuk mempertegaskan matlamat perjuangan parti kita, memperkukuhkan perpaduan dan merencana masa depan bangsa Melayu. Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita, pemuda dan puteri UMNO kerana terus istiqamah berada dalam saf perjuangan parti kita.
Hebatnya Hang Tuah sehingga kini,
Kisahnya menjadi bualan zaman,
Jiwa pejuang takkan terhenti,
Selagi nyawa di kandung badan.

SEJARAH PERJUANGAN UMNO
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2.Parti kita UMNO telah mencapai usia 68 tahun. Telah banyak ranjau yang kita lalui dalam pelbagai keadaan, pelbagai cabaran dan pelbagai zaman. Kita telah melalui pasang surut asakan terhadap perjuangan kita. Alhamdulillah, walaupun kita diasak dan diterjah dengan pelbagai dugaan, Allah masih memberikan kemenangan kepada UMNO. Allah masih mentakdirkan UMNO memikul amanah kuasa pemerintahan ini. Namun, jangan kita lupa, jangan kita alpa. Allah juga menggilirkan kemenangan antara sesama manusia sebagai pengajaran kepada kita semua. Sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran Ayat 140:
إِن يَمۡسَسۡكُمۡ قَرۡحٌ۬ فَقَدۡ مَسَّ ٱلۡقَوۡمَ قَرۡحٌ۬ مِّثۡلُهُ ۥ‌ۚ وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعۡلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَيَتَّخِذَ مِنكُمۡ شُہَدَآءَ‌ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ
Yang bermaksud:
Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar) dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

3.Inilah sunnatullah. Allah s.w.t. menggilirkan kemenangan dan kekalahan sesama manusia. Hatta antara kaum muslimin dan musyrikin pun, Allah menggilirkan kemenangan dan kekalahan sebagai peringatan kepada orang-orang yang beriman. Maka, dalam konteks UMNO, kemenangan yang kita perolehi dalam mana-mana pilihanraya tidak boleh menjadikan kita angkuh, sombong dan selesa. Cabaran terhadap perjuangan kita masih hebat, jalan yang perlu kita lalui masih berliku, ranjau di hadapan kita masih berduri. Maka, dalam perhimpunan kali ini, saya ingin mengajak saudara dan saudari supaya ikhlas dan jujur dengan diri kita sendiri. Kaji adakah parti kita berada dalam keadaan yang selamat? Adakah parti kita disenangi oleh sebahagian besar rakyat? Adakah parti kita bakal beroleh kemenangan dalam pilihanraya akan datang?

4.Saudara-saudari, jika kita himbau kembali sejarah penubuhan UMNO dalam konteks dunia pada waktu itu, UMNO berada di tengah-tengah kancah pertembungan antara fahaman nasionalis, fahaman komunis dan fahaman sosialis. Namun, UMNO berjaya membina identiti perjuangannya sendiri di atas semangat kebangsaan Melayu yang berteraskan Islam. Pada ketika itu juga, nasionalisme merupakan ideologi utama yang menggerakkan parti-parti politik di negara-negara tanah jajahan bangkit menentang penjajah. Alhamdulillah, berkat perjuangan UMNO, negara kita berjaya mencapai kemerdekaan.

5.Pada masa yang sama, sebagai sebuah parti yang toleran dan sederhana, UMNO berjaya merintis kerjasama dengan parti-parti yang mewakili kaum-kaum lain di negara kita untuk membina sebuah negara bangsa. Sebagai kerajaan pula, parti kita UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan ekonomi dengan cara kita sendiri. Sehingga beberapa dekad yang lalu, UMNO adalah sinonim dengan sebuah ceritera kejayaan; ceritera sebuah negara yang aman dan stabil di sebalik kepelbagaian kaum dan agama. Hasil perjuangan UMNO, negara kita telah berganjak daripada sebuah negara miskin sewaktu merdeka kepada negara industri yang insya-Allah akan menjadi negara maju dalam beberapa tahun lagi di bawah gagasan besar Wawasan 2020.

CABARAN PERUBAHAN ZAMAN

6.Namun, suasana politik hari ini sudah banyak berubah. Di seluruh dunia, nasionalisme bukan lagi ideologi utama. Malah, banyak parti nasionalis yang memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing telah berkubur. Selepas era perang dingin, liberalisme telah muncul sebagai ideologi yang dominan di seluruh dunia. Di bawah lembayung ideologi baharu ini, idea-idea Barat mengenai demokrasi, kebebasan dan kesamarataan tersebar secara meluas, termasuk di negara-negara Asia. Sama ada kita sedar atau tidak, kebangkitan gerakan demokrasi liberal dan masyarakat sivil yang memperjuangkan kebebasan dan kesamarataan mengikut neraca Barat telah memberi kesan yang besar kepada perjuangan UMNO.

Memperteguh Kedudukan Istimewa Melayu dan Bumiputera

7.Hari ini, banyak pertubuhan dan individu yang sama ada secara langsung atau tidak langsung mempersoalkan hak keistimewaan Melayu, kedudukan istimewa agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu dan lain-lain lagi yang merupakan teras perjuangan UMNO. Apabila UMNO bersuara membela kepentingan Melayu, mereka kata UMNO rasis. Tetapi apabila kaum-kaum lain bangkit memperjuangkan hak kaum masing-masing, itu dikatakan hak kumpulan minoriti dalam sebuah negara demokrasi. Sama juga, apabila UMNO bangkit mempertahankan kedudukan Islam, UMNO dikatakan ekstrem, walhal Islam adalah Agama Persekutuan. Tetapi apabila kepentingan kumpulan agama lain diperjuangkan, itu dikatakan hak kebebasan beragama. Hari ini, perkara-perkara penting yang termaktub di dalam perlembagaan yang melindungi hak semua kaum secara saksama semakin dipersoalkan.

8.Suara kumpulan penentang ini semakin lantang sehingga kedengaran di forum-forum antarabangsa. Mereka menuduh UMNO mengamalkan diskriminasi dan zalim terhadap rakyat. Ini amat pelik bagi saya. UMNO yang dahulunya berjuang bermati-matian untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman penjajah; UMNO yang memperjuangkan keadilan sosial; UMNO yang mempelopori politik kesederhanaan; hari ini, dalam zaman kebebasan ini, UMNO dituduh sebagai parti yang zalim, parti yang menindas, parti yang menjajah rakyat. Pendek kata, segala yang buruk dan keji itu adalah UMNO. Seolah-olah tiada setitik pun jasa UMNO kepada negara. Kebaikan yang ditabur ditutupi oleh debu-debu pembohongan, fitnah dan propaganda jahat. Demikianlah zaman telah berubah, pola fikir masyarakat telah berubah, cabaran kepada UMNO juga berubah.

Agenda Ekonomi Bumiputera dan Merapatkan Jurang Ketidaksaksamaan Adalah Agenda Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
9.Perubahan juga berlaku dalam bidang ekonomi. Dahulu, pembangunan negara kita digembeleng oleh kerajaan. Kuasa kerajaan membolehkan kita melaksanakan program penstrukturan semula masyarakat menerusi Dasar Ekonomi Baru. Melalui dasar ini juga kita telah berjaya mengeluarkan masyarakat daripada belenggu kemiskinan dan menangani penguasaan ekuiti asing dalam ekonomi negara. Kita juga menetapkan sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus sekurang-kurangnya, dan penyertaan Bumiputera digalakkan dalam setiap sektor ekonomi. Dasar ini dibentuk agar ekonomi berkembang dan pengagihan berlaku secara adil dan saksama. Atas sifat bertimbang rasa dan semangat supaya kek ekonomi dapat dirasai oleh semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan UMNO pada waktu itu tidak bersifat keterlaluan untuk meminta lebih daripada 30 peratus.

10. Walaupun sasaran pemilikan ekuiti Bumiputera tidak tercapai, namun Alhamdulillah, DEB telah berjaya mengagihkan kekayaan negara kita secara lebih saksama serta meningkatkan pendapatan kaum Bumiputera dan bukan Bumiputera. Tuduhan bahawa DEB kononnya satu dasar keterbelakang, menyekat pelaburan, menyebabkan brain drain dan hanya menguntungkan segelintir pihak yang ada kabel politik adalah tidak benar. Bagi saya, tuduhan meleset ini hanya dicipta oleh mereka yang sarat dengan kebencian. Banyak kajian ilmiah yang menunjukkan bahawa semua kaum mendapat manfaat daripada pelaksanaan DEB. Ini termasuk kajian mutakhir Dr Muhammed Abdul Khalid yang diterbitkan di dalam bukunya the Color of Inequality yang membuktikan bahawa DEB telah memberi manfaat kepada semua kaum dari segi pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, pemilikan ekuiti dan lain-lain. DEB telah mencapai sebahagian matlamat pengagihan ekonomi dan menyamaratakan peluang. Namun, masalah ketirisan memberikan kesan negatif kepada pencapaian matlamat asal DEB yang disasarkan oleh kepimpinan UMNO terdahulu.

11. Namun begitu, 24 tahun selepas pelaksanaan DEB berakhir, kita kembali mendengar keluh kesah dan gundah-gulana masyarakat Melayu. Dalam era pasca DEB, data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia untuk tahun 2013 menunjukkan bahawa jurang ekonomi antara kaum masih wujud. Misalnya, median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina, iaitu RM4,643 dan kaum India sebanyak RM3,676. Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain. Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan.

12. Begitu juga, satu kebenaran yang pahit untuk kita akui ialah kaum Bumiputera masih menerima layanan yang tidak saksama dalam sektor swasta. Kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwok Aun dan Dr. Muhammed Abdul Khalid pada tahun 2012 mendapati bahawa bagi setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama. Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%. Kita juga sering mendengar keluhan pekerja Bumiputera yang menerima gaji lebih rendah berbanding kaum-kaum lain dalam sektor swasta. Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera.

13. Secara umumnya, kedudukan ekonomi orang Melayu hari ini masih meruncing. Ketidaksaksamaan dalam masyarakat agak menggerunkan kita. Pada masa yang sama, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam meneruskan agenda ekonomi Melayu. Kita bersaing dalam ekonomi yang lebih terbuka. Kita berhadapan dengan fahaman kesamarataan yang menentang sebarang pelaksanaan agenda Melayu. Menerusi pelbagai instrumen perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, negara kita didesak supaya jangan lagi mengamalkan dasar untuk melindungi kepentingan kaum Bumiputera. Kononnya, dasar seperti ini merupakan penghalang kepada pembangunan ekonomi dan merencatkan pasaran. Padahal, dasar ini pernah digunakan oleh negara maju lebih setengah abad sebelum mereka mencapai tahap negara maju.

14.Kita sebenarnya sedang menongkah arus kapitalisme global dan ideologi pasaran bebas yang semakin melebarkan jurang ketidaksaksamaan. Seperti yang diakui oleh pemenang hadiah nobel ekonomi Joseph Stiglitz dalam bukunya The Price of Inequality, dasar ekonomi yang berasaskan teori dan ideologi yang salah telah memburukkan keadaan ketidaksaksamaan dalam masyarakat di seluruh dunia, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

14. Saya fikir sudah sampai masanya kita menilai kembali model ekonomi negara kita. Ya, benar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.3% adalah antara yang tertinggi di Asia; nilai pelaburan langsung asing sebanyak RM216.5 bilion pada tahun 2013 adalah antara yang terbaik dalam sejarah; kedudukan Malaysia dalam Laporan Dayasaing Global 2014 meningkat daripada nombor 24 ke nombor 20 daripada 148 buah negara. Semua ini menunjukkan bahawa pencapaian ekonomi negara kita amat memberangsangkan dan kita berada pada landasan yang betul untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

15. Tetapi di sebalik semua pencapaian ini, Yang Amat Berhormat Presiden dan saya selaku Timbalan sering memikirkan adakah kita boleh memejamkan mata dan memekakkan telinga dengan tidak berbuat apa-apa jika kaum Bumiputera yang merupakan 67.4% daripada rakyat negara kita masih berada dalam kumpulan berpendapatan rendah; jika 4 juta daripada 6.5 juta pekerja yang mencarum dalam KWSP di negara kita berpendapatan kurang RM2,000 sebulan; jika jurang ketidaksaksamaan di negara kita antara yang tertinggi di rantau ini; jika rakyat masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

16.Mengenai isu perumahan, ada ahli UMNO di akar umbi yang mengatakan kepada saya, rumah-rumah yang dibina dengan harga RM400,000 sebenarnya bukan rumah mampu milik, tetapi rumah mampu tengok sahaja. Pandangan ini ada juga kebenarannya. Menurut Kajian Khazanah Research Institute, harga rumah mampu milik yang sewajarnya adalah 3 kali median pendapatan isi rumah, iaitu bagi kumpulan pendapatan isirumah 40% terbawah dengan harga RM70,000 dan kumpulan berpendapatan sederhana pada harga RM160,000 atau pada purata harga RM130,000. Rumah-rumah yang dibina dengan harga yang terlalu mahal, terutamanya di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar, sudah tentulah tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

16. Saudara-saudari, persoalannya nanti, ketika negara kita mencapai sasaran Pelan Transformasi Ekonomi dengan nilai GNI RM1.7 trillion, dengan pendapatan perkapita RM48,000, dengan penambahan 3.3 juta pekerja berkemahiran dan RM1.4 trillion pelaburan daripada sektor swasta dan kerajaan, berapakah daripada jumlah sasaran ini akan turun mengalir menjadi milik kaum Bumiputera? Dalam keghairahan kita meletakkan sasaran besar untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita juga harus menetapkan sasaran yang jelas untuk kaum Bumiputera dan memastikan kekayaan negara kita dapat diagihkan kepada semua rakyat baik di kota mahupun di desa, di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak, baik kumpulan berpendapatan tinggi mahupun kumpulan pertengahan dan 40% terbawah, semuanya – kulluhum ajma’in - perlu dipastikan mendapat peluang yang adil dan saksama.

17. Saudara-saudari, kita sebenarnya amat memerlukan satu model ekonomi yang benar-benar dapat memastikan pertumbuhan disertai dengan pengagihan yang saksama. Kita tidak boleh membiarkan majoriti rakyat negara kita terpinggir dan tersisih daripada arus kemajuan ekonomi negara. Apatah lagi, ketidaksaksamaan dalam masyarakat kita hari ini bukan lagi merupakan masalah kaum semata-mata, tetapi juga masalah kelas. Kita sedang menghadapi masalah jurang yang besar antara golongan kaya dan golongan miskin, jurang antara etnik dan intra etnik,jurang antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar, jurang antara CEO, pengurusan kanan syarikat dan pekerja bawahan. Semua ini jika dibiarkan berterusan akhirnya akan menjejaskan pencapaian ekonomi negara kita secara keseluruhan.

18. Sebagai mewakili suara orang Melayu dan Bumiputera, saya ingin tegaskan supaya pendekatan, dasar dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang kaum dan kelas dilaksanakan segera. Kita perlu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja Bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan, pengawalan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing, memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan, menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar, menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba mempersoalkan tindakan pembetulan ini sebagai agenda perkauman. Ini adalah agenda negara.

19. Oleh itu, kita perlu menjadikan Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional, bukan agenda kaum. Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh YAB Presiden mempunyai peranan penting untuk mengkaji secara terperinci kedudukan ekonomi Bumiputera, merencana hala tuju masa depan ekonomi Bumiputera, termasuk memperkukuhkan instrumen dasar, institusi dan inisiatif memajukan ekonomi Bumiputera. Saya mencadangkan supaya Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju. Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi. Saya juga mencadangkan satu Dasar Ekonomi Nasional yang baharu dirangka untuk memacu inisiatif kesaksamaan ke hadapan. Apatah lagi, tanggungjawab merapatkan jurang kaya dan miskin adalah perintah Allah s.w.t. kepada kita sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, Ayat 71:
وَٱللَّهُ فَضَّلَ بَعۡضَكُمۡ عَلَىٰ بَعۡضٍ۬ فِى ٱلرِّزۡقِ‌ۚ فَمَا ٱلَّذِينَ فُضِّلُواْ بِرَآدِّى رِزۡقِهِمۡ عَلَىٰ مَا مَلَڪَتۡ أَيۡمَـٰنُہُمۡ فَهُمۡ فِيهِ سَوَآءٌ‌ۚ أَفَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَجۡحَدُونَ
Yang bermaksud:
“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya dalam pada itu, orang-orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang-orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?”

Memperkukuhkan Manhaj Wasatiyyah Dalam Menangani Cabaran dan Ancaman Terhadap Islam

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
20.Kita juga sedang menghadapi pelbagai cabaran baharu dalam soal agama. Saban hari saya mendengar keluh kesah orang Melayu yang bimbang dengan kesan faham liberalisme dan sekularisme ke atas aqidah umat Islam. Hari ini kita banyak mendengar kes-kes pelanggaran syariat yang dilakukan atas nama kebebasan dan hak asasi. Penghinaan ke atas umat Islam juga dilakukan secara terbuka. Selain itu, umat Islam juga sedang berhadapan dengan ancaman ekstremisme dan militanisme yang sekiranya tidak dibendung segera akan memberi kesan buruk kepada negara.

21.Apa yang lebih membimbangkan ialah wujudnya trend sekularisasi dalam agama, iaitu agama dilihat dalam neraca ideologi sekular liberal Barat yang tercabut daripada akar Syariat. Trend ini sedang berkembang di seluruh dunia. Misalnya, majalah Economist keluaran bulan Oktober yang lalu memberikan gambaran yang agak mengejutkan mengenai amalan perkahwinan sejenis yang dilarang oleh syariat Islam dan juga oleh agama-agama lain. Menurut majalah ini, dalam tahun 1950-an, perkahwinan sejenis tidak diterima di hampir semua negara di dunia. Namun, dalam tempoh hanya enam dekad, yang disebut sebagai “the leap forward”, hari ini 113 negara atau 63% daripada keseluruhan negara di dunia telah mengiktiraf perkahwinan sejenis atas nama menghormati hak asasi dan kesamarataan.

22.Keadaan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam. Mereka bimbang sekiranya gejala sekularisasi agama ini tidak segera dibendung, maka benteng aqidah dan syariat yang sekian lama dipertahankan oleh umat Islam akan runtuh dirempuh arus liberalisme. Dalam konteks perjuangan UMNO, semua ini merupakan cabaran baharu yang tidak pernah kita lalui sebelum ini. Kalau dahulu kita cuma berhadapan dengan asakan PAS yang cuba membuktikan siapa lebih Islam. Tetapi hari ini kita berada di luar kancah perlumbaan ini. Kita sedang berada dalam dunia pasca-moden yang menganggap agama sebagai penghalang kepada kebebasan manusia. Dalam realiti hari ini, semakin ramai pula pihak yang cuba membuktikan siapa lebih liberal, bukan siapa lebih Islam.

23.Saudara-saudari, UMNO sebagai parti tunjang Melayu-Islam tidak pernah dan tidak akan sesekali meminggirkan agenda memartabatkan Islam daripada dasar perjuangan kita. Ia sudah lama termateri dalam Perlembagaan UMNO sebagaimana peruntukan Fasal 3.3 yang menjelaskan bahawa asas dan tujuan UMNO adalah untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam. Malah sejak 57 tahun kita merdeka, UMNO-lah yang telah banyak membangunkan Islam di negara ini dalam segenap sektor sama ada pendidikan agama, ekonomi dan kewangan Islam, pembangunan sosial, pentadbiran mahupun perundangan Syariah.

24. Pendekatan UMNO sejak dahulu, kini bahkan selamanya berpaksikan kepada orientasi atau manhaj Wasatiyyah. Yang dimaksudkan dengan Wasatiyyah bukanlah pendekatan yang bersifat ‘al-ghuluw wa ttatarruf fiddīn’ iaitu bersifat melampau dan keras dalam pendekatan beragama hingga terjerumus kepada perlakuan yang kaku dan beku, dan terbawa-bawa kepada perlakuan militan yang merosakkan agama. Wasatiyyah juga tidak bersifat ‘al-tasāhul fiddīn’ iaitu memperlonggar dan mempermudahkan agama hingga ke peringkat liberal yang menyesatkan.

25. Sebaliknya pendekatan wasatiyyah yang diamalkan UMNO adalah konsep kecemerlangan dan kesederhanaan umat yang berpaksikan Syariat Islam. Sememangnya maksud wasatiyyah di dalam Islam adalah berlegar sekitar konsep keadilan, kecemerlangan, pilihan terbaik dan perimbangan dalam segala perkara. Boleh dikatakan perkataan-perkataan ini adalah kata kunci dalam memahami konsep wasatiyyah dalam Islam. Pendekatan ini jelas diisyaratkan di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, Ayat 143:
وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَـٰكُمۡ أُمَّةً۬ وَسَطً۬ا لِّتَڪُونُواْ شُہَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدً۬ا‌ۗ
Yang bermaksud:
“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang terpilih lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberikan keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)".

26. Sebab itulah saudara-saudari sekalian, sebagai pendokong perjuangan suci ini, kita sebagai pejuang UMNO bermanhaj wasatiyyah harus tegas menentang gejala esktremisme dan militanisme yang ketika ini begitu cepat mempengaruhi anak-anak muda yang mahukan jalan pintas ke syurga. Kita juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang cuba memesongkan makna wasatiyyah yang cukup sinonim dengan prinsip kesederhanaan Islam atau moderation dengan membawa ideologi songsang seperti liberalisme dan sekularisme.

27. Kita juga tidak boleh lagi berada dalam khutub khanah lama untuk mencari penyelesaian baharu kepada kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini. Kita perlu meneroka ilmu dan kemahiran terkini untuk menangani cabaran semasa. Bagi saya, di sinilah letaknya peri penting tradisi keilmuan di dalam UMNO. Seluruh ahli UMNO perlu menambah khazanah ilmu di dada bagi mendepani cabaran masa kini.

28.Saya fikir budaya membuat laporan polis dan mengangkat sepanduk dalam menghadapi asakan terhadap akidah dan syariat Islam bukan lagi jawapan yang tuntas kepada kemelut yang dihadapi oleh ummah. Kita perlu memperbanyak perbincangan, penerbitan dan wacana mengenai kebebasan dan hak asasi manusia menurut persepektif Islam dan juga bagaimana Islam menghadapi tantangan sekularisme. Kita perlu menangani trend sekularisasi dalam agama ini dengan keteguhan akidah dan ketajaman minda, bukannya diselubungi oleh ketegaran emosi. Di samping itu, institusi-institusi Islam perlu diperkasa, penguatkuasaan undang-undang Islam perlu dipertegas dan kerjasama UMNO dengan NGO-NGO Islam perlu diperkukuh.
Bunga kesidang si bunga tanjung,
Tumbuh di laman mekar berkembang,
Agama dijulang Bangsa dijunjung,
Begitulah UMNO terus berjuang.

Pendidikan Sebagai Wahana Kemajuan dan Perpaduan Nasional

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
29.Kita juga menghadapi cabaran baharu dalam bidang pendidikan. Peranan pendidikan sebagai wahana untuk bangsa Melayu meningkatkan taraf sosio ekonomi menjadi lebih penting. Jika dahulu fokus kita dalam bidang pendidikan ialah untuk meningkatkan kadar enrolmen dan membasmi buta huruf. Hari ini, sasaran dalam bidang pendidikan telah berganjak kepada melahirkan tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Dalam dunia yang semakin kompetitif hari ini, memiliki kelayakan di peringkat menengah sahaja tidak memadai.

30.Sebagai parti yang memperjuangkan nasib Bumiputera, UMNO perlu memberi perhatian secara lebih serius kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja Bumiputera. Data terkini menunjukkan 64.3% tenaga buruh Bumiputera mempunyai sijil SPM dan ke bawah. Hanya 27.8% berpendidikan tinggi. Keadaan ini tidak memberikan kelebihan kepada kaum Bumiputera untuk bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Oleh itu, kita perlu berani berganjak untuk melihat pendidikan sebagai komponen penting dalam meningkatkan pencapaian Bumiputera. Di samping memberikan fokus kepada pencapaian di peringkat pengajian tinggi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada bidang latihan teknikal dan vokasional untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing pekerja Bumiputera.

31.Di samping itu, kita jangan lupa peranan pendidikan sebagai wahana perpaduan dan wahana untuk membina identiti nasional. Kerana itu saya sering menegaskan kepentingan kita memperkasakan sekolah kebangsaan sebagai sekolah perpaduan. Jika murid daripada semua kaum dapat belajar di bawah satu bumbung dengan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan, maka saya yakin perpaduan di negara kita akan menjadi lebih kukuh. Hari ini, polarisasi kaum masih wujud sebahagiannya kerana politik kebencian yang dimainkan oleh sesetengah pihak. Sensitiviti kaum tidak dipedulikan, institusi Raja dimomokkan, malah wujud cabar mencabar antara agama. Saya percaya, kita boleh mengembalikan kepercayaan antara kaum melalui satu sistem pendidikan kebangsaan yang memberi keutamaan kepada perpaduan nasional.

32.Matlamat ini boleh kita capai jika kita meletakkan asas-asas yang kukuh untuk perpaduan dalam sistem pendidikan kita. Ini termasuklah memperkasa Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan menjadikan perpaduan nasional sebagai agenda utama semua aliran persekolahan di negara kita, termasuk di sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama rakyat, sekolah swasta dan lain-lain. Jangan lagi ada kisah murid yang tidak tahu berbahasa Melayu, sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan negara kita. Jangan lagi ada insiden kenyataan berbaur perkauman dikeluarkan oleh guru atau murid di sekolah. Jangan lagi ada perasaan prejudis kaum dan agama yang tebal dalam kalangan rakyat negara kita. Saya fikir, tempoh 57 tahun merdeka sudah cukup untuk kita hapuskan segala rasa prejudis dan syak wasangka antara kaum. Tinggal lagi, kita semua, baik parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, gerakan pendidikan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, perlulah ada keikhlasan, ada kejujuran, dan ada kesungguhan untuk memupuk perpaduan. Jangan kita bercakap mengenai perpaduan, tetapi pada masa yang sama bertindak menebalkan tembok pemisahan kaum.

33.Pada hemat saya juga, dalam semangat untuk mengikis sikap prejudis sesama rakyat, adalah wajar kerajaan mengambil tindakan tegas dalam membendung kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama daripada memercikkan api perbalahan. Adalah lebih baik kita mencegah daripada nantinya terpaksa merawat luka permusuhan yang parah. Kerana itu saya telah menyatakan pendirian saya mengenai Akta Hasutan. Bagi saya, Akta ini wajar dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan. Peruntukan khusus perlu dimasukkan untuk melarang mana-mana pihak daripada mempersoalkan jaminan perlembagaan mengenai kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan. Akta ini juga perlu menghalang mana-mana pihak daripada mempersoalkan hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing. Begitu juga dengan kedudukan tanah rezab Melayu dan Regimen Askar Melayu DiRaja yang merupakan sebahagian daripada wasiat Raja-Raja Melayu perlu dilindungi daripada perbuatan menghasut. Apa yang penting ialah kita perlu melihat Akta Hasutan bukan sebagai akta yang hanya melindungi kepentingan orang Melayu, tetapi akta yang memelihara perpaduan dan keharmonian nasional.

PERSEPSI ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
34.Hari ini, parti kita sedang menyongsong perubahan. Sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, UMNO telah banyak berjasa kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia.Tiada siapa yang boleh menafikan sumbangan UMNO kepada agama, bangsa dan tanah air. Tetapi, survival parti kita pada masa hadapan tidak boleh bergantung semata-mata kepada rekod sumbangan kita pada masa lalu. Rakyat, khususnya orang Melayu, ingin melihat apa sumbangan UMNO kepada mereka dalam mengharungi cabaran masa hadapan yang lebih getir. Untuk itu, kita perlu mempersiapkan UMNO untuk menjadi parti masa hadapan, parti harapan umat Melayu, parti idaman generasi muda Melayu dan parti yang sesuai dengan dinamika politik nasional.

35.Terus terang saya katakan saya agak bimbang melihat perkembangan hari ini. UMNO masih bertahan di kampung-kampung, tetapi semakin hilang sokongan masyarakat bandar yang lebih terbuka, lebih terdedah kepada pelbagai maklumat dan lebih sofistikated dari segi pemikiran, nilai dan cara hidup. Dalam pilihanraya umum yang lalu, UMNO kalah di kebanyakan kawasan bandar majoriti Melayu. Kita kalah di Shah Alam, Ampang, Lembah Pantai, Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan banyak kawasan lain yang suatu ketika dahulu merupakan kubu kuat UMNO. Kita juga kalah teruk di Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia.

36.Dalam rangka menyediakan ucapan saya pada malam ini, saya mendapatkan pandangan pemuda dan pemudi Melayu mengenai UMNO. Mereka terdiri daripada graduan muda, golongan profesional, aktivis masyarakat, usahawan dan ahli akademik. Bagi saya, pandangan orang muda terhadap UMNO adalah penting dalam menentukan survival UMNO. Orang muda merupakan pewaris perjuangan parti kita, dan pandangan mereka tentang UMNO akan menentukan jatuh bangunnya UMNO pada masa hadapan.

37.Saya bertanya kepada mereka apa persepsi mereka terhadap UMNO? Apa aspirasi mereka? Apa harapan mereka? Apa kebimbangan mereka? Apa perkara penting yang hendak disampaikan kepada UMNO? Saya minta supaya mereka bercakap secara jujur, ikhlas dan terbuka. Saya ingin tahu apa yang perlu UMNO lakukan supaya anak-anak muda di luar sana ghairah untuk berada bersama-sama kita dalam saf perjuangan UMNO.

38.Izinkan saya berkongsi pandangan mereka dengan saudara dan saudari pada malam ini. Pertama, mereka kata UMNO sedang mengalami trust deficit atau defisit kepercayaan; kedua, UMNO ini parti feudal; ketiga, dalam UMNO ada budaya play safe dan budaya pak turut; keempat, UMNO dikuasai oleh warlord; dan kelima, UMNO diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur. Ini kata mereka.

39.Mereka menjelaskan satu persatu kepada saya apa yang mereka maksudkan dengan kelima-lima perkara ini. Mengenai defisit kepercayaan, mereka beritahu saya mereka sebenarnya sokong perjuangan UMNO. Mereka sayang kepada UMNO. Bagi mereka tidak ada parti lain yang boleh diharapkan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanah air melainkan UMNO. Cumanya, mereka ingin melihat pemimpin UMNO di setiap peringkat lebih berintegriti, lebih amanah, lebih jujur, lebih telus, tidak terpalit dengan gejala rasuah, tidak menonjolkan kemewahan yang berlebihan, tidak bergaduh sesama sendiri dan sebagainya. Jika ini boleh dilakukan, maka orang muda akan percaya semula kepada UMNO.

40.Mereka juga tidak mahu UMNO terlalu terikat dengan hirerki hingga mewujudkan gambaran parti kita menjadi parti feudal sehingga orang bawah tidak boleh bersuara selagi orang atas tidak bersuara. Sehinggakan hendak beri pandangan pun kena tengok apa orang atas kata. Kalau orang atas kata A, maka yang di bawah mesti kata A. Kalau orang atas kata B, yang di bawah pun mesti kata B.

41.Menurut mereka lagi, orang muda dalam UMNO mempunyai idea-idea yang bernas tetapi merasakan lebih baik diam daripada bercanggah pandangan dengan orang atas. Ada yang kata kalau bercakap lebih sedikit nanti dianggap hendak memandai. Ada pula yang beri nasihat orang muda mesti berhati-hati dalam politik. Jangan terlalu menonjol. Jangan terlalu laju. Nanti kena sekat, nanti kena cantas, kena kerat, kena sabo, kena cah keting, kena terajang dan lain-lain lagi. Jadi, lama-kelamaan mereka fikir lebih baik diam daripada bercakap, atau lebih selamat jadi pak turut saja. Seolahnya ada satu budaya play safe, atau budaya pilih jalan selamat dalam UMNO.

42.Akibatnya, dalam UMNO, lebih ramai orang memilih untuk berdiam diri daripada bercakap. Ini mewujudkan persepsi bahawa parti kita sedang dilanda budaya kelesuan. Akhirnya, orang Melayu dan rakyat tertanya-tanya di mana suara keramat UMNO? Di mana taring Pemuda? Di mana ketegasan Wanita? Di mana kelantangan Puteri? Kesannya, kita seolahnya ketandusan pemimpin untuk menjuarai kepentingan orang Melayu. Sehinggakan timbul cakap-cakap di luar sana yang mengatakan NGO Melayu lebih lantang daripada UMNO dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu.

43.Bagi saya, kita perlu membuktikan bahawa UMNO bukannya sebuah parti yang lesu. UMNO bukannya parti yang mempunyai budaya pak turut, budaya nyanyi, budaya puji, budaya lambung, budaya ampu sana ampu sini. UMNO adalah parti yang berwibawa, parti yang ada idealisme, parti yang ada masa depan, parti pilihan anak-anak muda. Ingatlah, orang muda hari ini tidak suka jadi pak turut. Mereka naik geli dengan budaya ampu. Mereka benci budaya sabo. Mereka tolak budaya cah keting. Jika kita boleh buang semua budaya negatif ini jauh-jauh, saya yakin UMNO akan menjadi parti pilihan orang muda.

44.Satu lagi ialah budaya warlord. Ramai yang beritahu saya dalam UMNO ada banyak warlord. Mereka ini amat berkuasa kerana mempunyai ramai pengikut setia yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Dengan sokongan pengikut, warlord akan mengugut pemimpin atasan parti untuk berikan apa sahaja yang mereka minta. Jika tak diberi, mereka akan sabo parti dalam pilihan raya.

45.Kita perlu buktikan bahawa warlord bukan sebahagian daripada budaya UMNO. Kita menolak sikap sekalangan yang cuba untuk kekal berkuasa dengan menabur kemewahan kepada pengikut. Sehinggakan ada yang kata tak payah buat kerja dalam UMNO. Yang perlu dibuat ialah kumpul kekayaan untuk tabur kemewahan kepada pengikut supaya mereka sentiasa setia. Keadaan ini menyebabkan kos politik menjadi semakin mahal. Yang tiada wang tidak boleh masuk politik. Walaupun ada bakat, ada kelulusan, ada kebolehan, mereka tak mampu untuk bergerak aktif dalam parti jika tiada wang. Saya bimbang, akhirnya nanti yang naik dalam hirerki parti adalah orang yang ada wang, bukan orang yang ada kebolehan. Orang kata money is everything in politics. No money, no talk. Seolahnya, wang adalah kuasa, wang adalah segala-galanya.

46.Saya kadang kala terfikir adakah sudah tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan? Adakah sudah tidak ada nilai pengorbanan dalam politik? Adakah pengikut menilai pemimpin semata-mata berdasarkan kemampuan mereka untuk tabur kemewahan? Adakah pemimpin mengukur kesetiaan pengikut berdasarkan harga yang mereka bayar? Bagi saya, budaya ugut dan tabur ini amat bahaya kepada parti kita. Budaya ini akan menyebabkan politik wang berleluasa di dalam parti. Pengikut yang terima wang akan suka. Mereka puji pemimpin yang boleh beri sesuatu kepada mereka. Tetapi jangan kita lupa. Rakyat di luar sana tak suka politik wang. Mereka curiga bila lihat orang politik hidup mewah. Tak setimpal dengan pendapatan. Apatah lagi jika ada yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan. Rakyat akan mula menuduh bermacam perkara yang tidak baik terhadap parti kita. Inilah punca masalah trust deficit atau defisit kepercayaan terhadap UMNO. Jadi, ingatlah. Apa guna kita naik dalam hirerki parti, tetapi rakyat menolak parti kita kerana mereka tidak suka dengan imej dan sikap kita.

47.Apa yang saya sebutkan ini adalah persepsi dan kritikan orang muda terhadap UMNO. Barangkali ada yang betul, ada juga yang kurang tepat. Tetapi mengambil yang baik daripada kritikan ini adalah lebih afdal. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti yang terbuka dan kita sentiasa bermuhasabah. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Zumar Ayat 18:
ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Yang bermaksud:
Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayat petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.

HARAPAN ORANG MUDA TERHADAP UMNO

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
48.Sebenarnya, orang muda dan umat Melayu seluruhnya menaruh harapan yang tinggi kepada UMNO. Mereka tidak menolak perjuangan UMNO. Mereka mahu supaya pemimpin UMNO tegas memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam, tetapi pada masa yang sama tidak dilihat terlalu ekstrem perkauman atau terlalu liberal. Mereka percaya bahawa dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum, UMNO perlu bersikap adil terhadap kaum-kaum lain, tetapi tidaklah sampai menggadaikan asas dan prinsip perjuangan UMNO. Pendek kata, orang muda mahu UMNO terus menjadi parti yang sederhana, parti yang berjaya mengekalkan keseimbangan dalam hubungan kaum dan agama. Apa yang penting ialah pemimpin UMNO mesti dilihat lebih ikhlas, lebih jujur, lebih telus, lebih adil dan lebih berwibawa dalam menggalas perjuangan parti.

49.Saya fikir orang muda mempunyai pemikiran yang agak kritis. Apabila ada perkara yang dilihat tidak cocok dengan idealisme mereka, maka mereka akan mengkritik.Tetapi itulah lumrah orang muda. Itulah juga kekuatan orang muda. Mereka yakin dengan idealisme mereka dan berani memperkatakan apa yang mereka fikir benar. Mereka ada courage – iaitu keberanian - dan ada conviction - yakni keyakinan yang teguh dengan apa yang mereka fikirkan benar. Kedua-dua sifat inilah yang menjadikan orang muda ada kewibawaan, ada ketokohan, ada keupayaan untuk memimpin.

50.Jadi, dalam proses untuk melengkapkan perubahan dan peremajaan UMNO, untuk menjadikan UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, saya mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera:

Pertama, UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran (opinion leader) di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti;

Kedua, UMNO perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO. Paltform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian. Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat;

Ketiga, wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsip dan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.

Keempat, semarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda;

Kelima, wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti;

Keenam, gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baharu untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa; dan

Ketujuh, bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.

MEREKAYASA PERUBAHAN

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
51.Bagi saya, UMNO mesti melakukan perubahan yang drastik jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa. Pendekatan dan gerak kerja UMNO hari ini sedang dipintas oleh gerakan yang lebih canggih dan sesuai dengan selera masa kini. Lebih-lebih lagi, jika UMNO ingin menjadi parti masa hadapan, maka citra UMNO mestilah cocok dengan jiwa anak-anak muda Melayu, golongan profesional Melayu dan tidak lupa seluruh generasi muda yang berada di desa mahupun di kota. Mereka adalah pewaris perjuangan parti kita.

52.Untuk itu, UMNO memerlukan suntikan tenaga muda sama ada di kalangan wanita dan lelaki, yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin parti. Orang lama mesti beri laluan kepada orang muda. Lebih-lebih lagi jika kita menjadi liabiliti kepada parti, kita harus segera berundur secara terhormat. Kita telah lama bercakap mengenai peremajaan UMNO, tetapi tanyalah diri kita apakah proses ini benar-benar berlaku di dalam parti.

53.Kita tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan tidak ditangguhkan selepas pilihanraya umum seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Saya juga mencadangkan pindaan Perlembagaan UMNO diadakan tahun hadapan dengan memperuntukkan pindaan yang sesuai untuk membolehkan barisan pelapis muda menyumbang peranan dan khidmat bakti yang lebih besar kepada UMNO. Saya percaya UMNO tidak akan berpecah sekiranya pemilihan diadakan. Pemimpin UMNO tentunya cukup matang untuk menghadapinya. Saya sendiri akan sentiasa berdiri bersama-sama YAB Presiden untuk merealisasikan perubahan dan peremajaan parti kita.

54.Ini adalah seruan terakhir untuk UMNO. Do or be dead! Jangan letak kepentingan diri melebihi kepentingan parti. Saya ingin mengingatkan diri saya sendiri dan pemimpin UMNO di semua peringkat, jika kita menjadi batu penghalang kepada peremajaan parti, maka kita mesti berundur secara terhormat. Parti kita mesti kekal relevan supaya bangsa Melayu terus terbela. Diri kita tidak penting. Yang penting ialah bangsa Melayu dan UMNO. Ingatlah, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada dalam dirinya. Sepertimana firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Ra’du Ayat 11:
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ

55.Jangan kita lupa akan seruan YAB Presiden. Di Dewan Merdeka ini jugalah semasa merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun 2008, Presiden dengan jelas menuntut agar kita berubah untuk kepentingan rakyat. Saya petik kata-kata Presiden. “Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah”. Soalnya, apakah kita mengambil serius gesaan YAB Presiden ini? Atau, adakah ia ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri?

56.Saudara-saudari, kita mesti memperbetulkan segera segala kesilapan kita dan melakukan perubahan demi kelangsungan agama dan bangsa kita. Amatilah betul-betul peringatan Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam surah Al-An’am Ayat 6:
أَلَمْ يَرَوْا كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنْ قَرْنٍ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ مَا لَمْ نُمَكِّنْ لَكُمْ وَأَرْسَلْنَا السَّمَاءَ عَلَيْهِمْ مِدْرَارًا وَجَعَلْنَا الْأَنْهَارَ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهِمْ فَأَهْلَكْنَاهُمْ بِذُنُوبِهِمْ وَأَنْشَأْنَا مِنْ بَعْدِهِمْ قَرْنًا آخَرِينَ
Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
57.Zaman untuk dipuja dan dipuji dalam kelompok sendiri sudah berlalu. Ini adalah zaman untuk kita bersama-sama masyarakat, merasai keresahan mereka, berusaha mencari penyelesaian kepada permasalahan yang mereka alami. Ini zaman untuk kita meraih keyakinan rakyat, zaman untuk kita memimpin bangsa mengharungi cabaran yang semakin hebat. Hormat rakyat bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Berusaha, berkhidmatlah kepada rakyat bagi mendapatkan hormat mereka kepada kita. UMNO adalah parti massa yang lahir daripada kebangkitan rakyat yang mempunyai matlamat dan arah tuju yang jelas. UMNO terbina demi masa depan umat Melayu dan negara. UMNO bukan parti yang lahir daripada rasa benci, tetapi penuh dengan rasa kasih dan sayang demi kesejahteraan rakyat. UMNO adalah parti yang sarat dengan harapan untuk masa depan bangsa dan negara. Binalah keyakinan, tunjukkanlah keazaman, hamparkanlah harapan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya bahawa parti ini adalah pilihan terbaik buat mereka.

59.Kepada umat Melayu dan Bumiputera yang sedang menekuni ucapan saya ini samada yang berada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bersatulah kita atas nama kewatanan dan kecintaan kepada negara. Kita sudah tiada masa untuk bertelingkah atau berbenci antara satu sama lain. Kepada seluruh rakyat tanpa batas kaum dan fahaman, marilah kita menolak gerakan meracuni dan membenci sesama kita. Jangan kita biarkan negara ini runtuh hanya kerana umpan-umpan yang dilontarkan kepada kita oleh pihak luar.

60.Buat Wanita, bangunlah dengan istiqamah perjuangan. Hulurkan salam jemputan buat wanita Melayu dari segenap ceruk rantau dan latar belakang--guru wanita, ustazah, peguam, doktor, pegawai profesional hatta NGO wanita dan ibu-ibu tunggal-- marilah bersama-sama sebaris dengan kita dalam perjuangan ini. Buat Pemuda, bangkitlah dengan bara perjuangan. Beranikan diri berada di mana sahaja bila panggilan untuk berkorban masa dan tenaga. Bawalah golongan muda yang dahagakan kebersamaan dan interaksi. Berikan mereka harapan. Buat Puteri, bangkitlah dengan semangat baharu yang segar membawa pemudi dan wirawati negara meyakini perjuangan kita. Tanamkan benih kasih kepada mereka, nescaya mekarlah nanti dengan rimbunan pendokong.

61.Harapan saya kepada seluruh bangsa Melayu, renunglah nasib masa depan bangsa kita. Hargai sejarah perjuangan bangsa di masa lalu, perjuangan yang meletakkan kita di sini hari ini. Bangkitlah bersama-sama UMNO untuk merencana masa depan bangsa kita agar tidak hilang ditelan zaman, agar terus tegar mendepani cabaran. Saya percaya, dengan kekuatan tekad dan keazaman kita semua, dengan limpahan rahmat dan inayah Allah s.w.t, UMNO akan beroleh kekuatan dan keyakinan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan, dan seterusnya mara membela agama, bangsa dan negara kita.

Gagahnya pahlawan dahulukala,
Menjadi tauladan sepanjang zaman,
Kalian tinggalkan warisan bangsa,
Untuk kita teruskan perjuangan.
Hidup Melayu! Hidup Melayu! Hidup Melayu!

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2014

Monday, November 24, 2014

Doa selepas tahiyat akhir sebelum salam

(Doa selepas tahiyat akhir sebelum salam) 

 

Jika diperhatikan, hadith sahih yang sampai kepada kita hari ini daripada Abu Bakar As-Siddiq r.a tidak begitu banyak berbanding daripada sahabat-sahabat Rasulullah yang lain seperti Abu Hurairah r.a, Abu Sa'id Al-Khudri r.a. dan lain-lain.

Maka seorang yang mempelajari ilmu hadith dan sesiapa sahaja yang berminat dengan ilmu hadith, akan begitu gembira apabila menjumpai hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakar As-Siddiq. Kerana mereka begitu menghargai apa yang diajar sendiri oleh Rasulullah kepada kekasihnya Abu Bakar, sahabat Baginda yang telah menemaninya ketika berhijrah, yang menjadi sahabat pertama membenarkan israk dan mikraj, malah menjadi khalifah umat Islam yang pertama !

Salah satu hadith masyhur daripada Abu Bakar adalah doa yang Nabi s.a.w ajarkan kepadanya adalah :

عن أبي بكر الصديق رضي الله عنه
: أنه قال لرسول الله صلى الله عليه و سلم علمني الدعاء أدعو به في صلاتي . قال قل اللهم إني ظلمت نفسي ظلما كثيرا ولا يغفر الذنوب إلا أنت فاغفر لي مغفرة من عندك وارحمني إنك أنت الغفور الرحيم


(Daripada Abu Bakar As-Siddiq r.a. bahawa beliau berkata kepada Rasulullah s.a.w, : “Ajarkan kepadaku satu doa yang dapat aku baca dalam shalatku”

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Katakanlah : Ya Allah, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri dengan penganiayaan yang banyak sekali, dan tiada siapa lagi dapat mengampunkan dosa-dosa ini kecuali Engkau. Maka ampunkanlah aku dengan pengampunan dariMu dan belas kasihanilah aku, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pengampun lagi Penyayang)
+ + +

Sedangkan Abu Bakar r.a yang imannya tidak tertanding oleh sesiapapun diajarkan Nabi s.a.w supaya berserah diri pada Allah dan meminta pengampunan, siapalah kita untuk tidak berbuat demikian?

Ayuh mulakan hari ini dengan doa yang begitu berharga ini !
Sumber : Fb Majlis Ulama Isma.


Tambahan.....


Doa-doa lain yang elok juga dibaca:

Pertama:

للَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Ertinya: “YA Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, daripada ujian kehidupan dan kematian, dan daripada kejahatan ujian al-masih dajjal.” (HR Muslim 1276)

Kedua:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي, أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْت

Ertinya: “Wahai Tuhan, ampunilah bagiku dosa-dosa yang terdahulu, yang terkemudian, yang aku rahsiakan, yang aku nyatakan, yang aku melampau, dan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku tentangnya. Engkaulah yang mendahulukan dan mengemudiankan sesuatu, tiada tuhan sebenar melainkan Engkau.” (Muslim 1762).


 

Saturday, November 22, 2014

Tun Hamid: Melayu perlu bersatu demi agama, bangsa dan negara


WAHAI MELAYU, FIKIRLAH. BUKAN RASA, BUKAN INGAT, FIKIR!

 November 23, 2014 Berita Utama #2, Utama 0


konvensyen perpaduan nasional 23 nov 2014
KONVENSYEN PERPADUAN NASIONAL
23 November 2014

DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA MELAYU PERLU BERSATU
Oleh 
Tun Abdul Hamid Mohamad, Mantan Ketua Hakim Malaysia

Kemuncak perpaduan orang Melayu adalah dalam tahun 1946. Pada masa itu orang Melayu bersatu padu menentang Malayan Union. Mereka bersatu menentang ancaman dari luar. Akhirnya British menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Orang Melayu bersatu padu menentang ancaman pengganas Komunis. Beberapa orang pemimpin kiri Melayu lari  ke hutan dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) kerana takut ditangkap British. Mereka diperalatkan oleh PKM untuk mempengaruhi orang Melayu menyokong perjuangan komunis. Mereka gagal. Akhirnya PKM terpaksa menyerah kalah.

Orang Melayu juga bersatu padu dalam pejuangan menuntut kemerdekaan. Walaupun pada masa itu orang Melayu sudah berpecah kepada tiga buah parti politik nasional iaitu UMNO, Parti Negara dan PAS, semuanya sekata dalam menuntut kemerdekaan. Malah, pada masa itu, PAS nampaknya lebih Melayu daripada UMNO. Sebab itulah PAS menuntut supaya Pulau Pinang dan Melaka dijadikan Negeri-Negeri Melayu demi menjaga hak keistimewaan orang  Melayu. Atas alasan yang sama jugalah PAS menentang penubuhan Malaysia, apatah lagi termasuk Singapura. Begitu prihatin PAS kepada orang Melayu dan agama Islam pada masa itu.

Biar apa pun, seperti yang dibuktikan dalam Pilihan Raya Umum 1955, UMNO adalah parti Melayu yang dominan dan orang Melayu tetap sekata dalam menuntut kemerdekaan. Dari segi itu, perpaduan Melayu tidak terjejas.

Rundingan kemerdekaan berjalan dengan orang Melayu diwakili oleh UMNO. UMNOlah, bersama-sama wakil-wakil Raja-Raja Melayu, yang menuntut supaya kedudukan Raja-Raja Melayu dikekalkan. UMNOlah yang membuat tuntutan- tuntutan supaya agama Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan (walaupun perkataan “rasmi” digugurkan oleh penggubal-penggubal Perlembagan.) UMNOlah yang menuntut supaya Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu, Regiment Askar Melayu dan tanah simpanan Melayu dikekalkan. Maka kesemuanya termaktub di dalam Perlembagaan kita, dan kita menjadi apa yang kita jadi hari ini. Jika tidak di mana kita?

Maka, pada detik 12.00 tengah malam 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu pun merdekalah. Tetapi, di sebalik emosi, semangat dan kegembiraan pada malam itu, satu perkara berlaku, yang kebanyakan orang tidak tahu. Pada malam itu, warganegara Persekutuan Tanah Melayu bertambah sekali ganda akibat pemberian kerakyatan oleh Perlembagaan Kemerdekaan itu. Akibatnya, jika dalam Pilihan Raya Umum 1955, pengundi Melayu adalah sebanyak 84.2%, dalam Pilihan Raya Umum 1959, hanya dua tahun selepas Merdeka, pengundi Melayu jatuh kepada 57.1%.

Dalam Pilihan Raya Umum 1959 juga Perikatan kehilangan dua buah negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu, kepada PAS. Nyata sekali penonjolan PAS bahawa ia bukan sahaja lebih Melayu dari UMNO, malah PAS Islam dan UMNO tidak, telah dapat mempengaruhi orang Melayu di Kelantan dan Trengganu. Namun demikian,  itu tidak  menggugat perpaduan orang Melayu di peringkat nasional kerana PAS hanya tertumpu kepada dua buah negeri Pantai Timur itu sahaja.

Dalam tahun 1963, Malaysia tertubuh. Walaupun orang Melayu merasakan kedudukannya tergugat dengan adanya Singapura dalam Malaysia, Konfrontasi Indonesia dan Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew telah menyatupadukan orang Melayu dalam menghadapi “ancaman luar”. Malah dalam peristiwa 13 Mei dalam tahun 1969, orang Melayu tetap bersatu kerana ia merasakan bahawa ia menghadapi “ancaman luar”.
 
Peristiwa 13 Mei membawa kepada pindaan kepada Akta Hasutan 1948 yang sangat penting, iaitu dengan memasukkan seksyen 3(1)(f) yang menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang mempersoalkan isu kerakyatan, kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak-hak tertentu yang diberi kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Perlu diambil perhatian bahawa ini dilakukan oleh Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa.
Selepas itu keadaan di Malaysia tenang dan negara membangun. Nikmatnya dirasai oleh semua rakyat, Melayu atau bukan Melayu. Tidak ada sesiapa yang boleh menafikannya.

Selama lebih kurang dua dekad selepas penubuhannya, PAS telah memain peranan yang berfaedah kepada bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia. PAS tidak terlalu besar untuk menjadi ancaman kepada UMNO di peringkat nasional. Saya tidak kisah ia memerintah negeri seperti Kelantan. Hakikatnya di Kelantan cuma ada PAS dan UMNO, kedua-duanya Melayu dan Islam. Perbezaan di antara keduanya hanya siapakah pemimpinnya. Lagi pula, adanya PAS menyebabkan UMNO lebih berhati-hati berkenaan isu Melayu dan Islam.

Untuk beberapa dekad selepas penubuhannya, PAS menonjolkan dirinya sebagai lebih Melayu dan lebih Islam daripada UMNO. Ia survive atas asas itu. Tetapi, pada masa yang sama, perubahan juga berlaku dalam UMNO. UMNO juga menunjukkan bahawa ia juga tidak kurang Islamnya daripada PAS, malah ia boleh menunjukkan apa yang dilakukannya, bukan sahaja setakat bercakap.

Untuk survive, PAS perlu tunjuk bahawa ia berlainan daridapa UMNO. Maka bermulalah “pengkafiran” UMNO dan orang UMNO; PAS memperjuangkan Islam, UMNO   memperjuangkan “asabiah”; dan, oleh itu, PAS Islam, UMNO tidak. Hinggakan menyebut perkataan “Melayu” dan ungkapan “hak orang Melayu” yang diperuntukkan  dalam  Perlembagaan pun seolah-olah bercanggah dengan ajaran Islam dan berdosa. Kepada mereka, saya bertanya: Kita dilahirkan Melayu dan Islam. Itu taqdir Allah S.W.T. terhadap kita. Salahkah jika kita katakan kita Melayu dan Islam? Salahkah jika kita katakan kita hendak mempertahankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan? Bukankah, dalam konteks Malaysia,  apa yang merugikan orang Melayu juga merugikan umat Islam?

Siapa yang ketawa? DAP dan NGO-NGO bukan Melayu. Maka sesiapa sahaja yang mempertahankan peruntukan Perlembagaan mengenai hak orang Melayu dituduh “racist”. Saya pun dituduh “racist”. PAS harus sedar bahawa ia juga bertanggungjawab menjadikan orang-orang bukan Melayu itu bersikap demikian. Demikian juga dalam hal kalimah “Allah”. Sekurang-kurangnya pada peringkat awalnya ulama’ dan pemimpin PAS mengambil pendirian yang memihak kepada gereja Katholik membolehkan mereka menuduh bahawa yang menentang hanya UMNO. Kepentingan siapa yang PAS perjuangkan?

Lebih kurang mulai tahun 1980an, PAS mula berkembang dari kampung ke bandar dan dari Pantai Timur ke Pantai Barat. Beberapa faktor luaran dan dalaman membantu perkembangan PAS itu. Antara faktor-faktor luaran ialah seperti Revolusi Iran dan perjuangan Mujahidin Afghanistan menentang Russia. Antara faktor-faktor dalaman pula ialah umrah yang lebih mudah dan penonjolan jenama “Islam” yang mengubah fesyen pakaian orang Melayu kepada pakaian ala-Arab, ala-Pakistan malah ala-Afghanistan yang dianggap sebagai “pakaian Islam”. Ini termasuk menyimpan janggut sebagai identiti Islam atau seseorang itu telah menjadi lebih warak. Dalam keadaan demikian, memilih parti politik yang berjenama Islam adalah natural.

Di samping itu, wujud pula penglipur-penglipur lara di kalangan pemimpin-pemimpin PAS  yang  memberi hiburan percuma kepada pendengar-pendengar ceramah mereka dengan mencaci musuh-musuh politik mereka di samping menjanjikan pahala kepada sesiapa yang mendengarnya. Tidak kurang juga peranan pegawai-pegawai masjid yang terdiri dripada orang-orang PAS. Setiap tahun, beribu-ribu graduan keluar daripada universiti-universiti, kolej-kolej dan fakulti-fakulti Islam dan yang pulang dari univeriti-universiti Timur Tengah, banyak di antara mereka menghadapi masalah untuk memasuki pasaran pekerjaan. PAS menjadi tarikan mereka, sekurang-kurangnya untuk meluahkan frustration.
Bagi orang muda yang idealistic itu, rhetoric PAS adalah lebih menarik daripada fakta-fakta yang dikemukakan oleh UMNO. Semua pencapaian dianggap sebagai tanggungjawab kerajaan. Yang diangan-angankan adalah lebih menarik, tidak kira ianya realistic atau tidak. Tanya mereka apakah yang mereka akan lakukan jika mereka memerintah, selain daripada melaksanakan hudud? Besar kemungkinan tidak ada jawapan.

Keadaan menjadi lebih buruk dengan kehadiran Parti Keadilan Rakyat. Pada mulanya, orang Melayu yang emosi “merasakan” (“rasa” bukan “fikir”) bahawa penganiayaan telah berlaku. Sekarang mereka patut sedar hal yang sebenar.

Sampai ke millennium kedua. Orang Melayu telah terbahagi tiga. Terutama sekali di Pantai Barat  Semenanjung, di mana majoriti pengundi Melayu tidak sebesar di Pantai Timur, pengundi Melayu berpecah teruk dan pengundi bukan Melayu menjadi penentu.

Melihat perpecahan orang Melayu, orang Cina khususnya, yang memang pandai membuat perkiraan, telah bersatu di belakang DAP, mengambil faedah daripada undi penyokong PKR dan PAS untuk menjatuhkan BN dan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah. Perak selepas PRU12 adalah misalan yang baik. ADUN PAS dijadikan sebagai Menteri Besar menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa bahawa mereka telah berjaya menubuhkan sebuah “Kerajaan Islam”. Hakikatnya majoriti ahli Exco adalah ahli-ahli DAP dan merekalah yang sebenarnya berkuasa.

Pada pandangan saya, Kerajaan telah membuat satu kesilapan dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya boleh faham mengapa Deklarasi Darurat dan undang-undang yang dibuat di bawahnya dimansuhkan. Untuk mengatakan selepas tahun 2000 kita masih berada di bawah keadaan darurat adalah tidak munasabah. Demikian juga melaksanakan undang-undang yang dibuat khas untuk menangani keadaan semasa darurat juga sukar untuk dibela walaupun dari segi undang-undang ia adalah sah.
Tetapi saya dapati sukar untuk memahami mengapa ISA juga turut dimansuhkan. Perlu diambil perhatian bahawa ISA dibuat di bawah Perkara 149 untuk menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya.

Memanglah undang-undang yang membolehkan penangkapan dan tahanan tanpa perbicaraan bukanlah undang-undang yang baik. Tetapi, sudahkah kita lupa 13 Mei? Adakah keadaan yang menggugat ketenteraman negara, tidak kira oleh siapa, komunis, militant Islam, kumpulan pelampau dan lain-lain sudah tidak ada lagi? Mana lebih baik ISA atau Quantinamo? (Untuk perbincangan mengenai ISA dan Quantinamo, sila baca ucapan dan kertas kerja saya bertajuk “Conflict of Interests Between Different Basic Rights” dan “Legal and Judicial Transformation in Malaysia” yang boleh didapati dalam laman web saya: http://www.tunabdulhamid.my)
Saya faham bahawa Kerajaan mahu melihat Malaysia berada di kedudukan yang baik di mata dunia. Tetapi, Singapura yang mengekalkan ISA, berada di kedudukan yang lebih baik, hampir dalam semua hal. ISA bukanlah sebab utama yang menentukan kedudukan itu.

Adalah mendukacitakan bahawa pemansuhan ISA dibuat tanpa memberi peluang kepada orang ramai, terutama sekali orang Melayu dan NGO Malayu, malah UMNO juga, untuk  menyuarakan bantahan mereka. Pembangkang, Majlis Peguam dan Ngo-Ngo bukan Melayu  memang dari awal lagi menentang ISA. Ertinya, hanya merekalah yang didengar.

Berikutnya, NGO-NGO bukan Melayu membuat tuntutan-tuntutan yang tidak berpatutan yang melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan khususnya mengenai hak orang Melayu dan kedudukan Islam. Tindakan Gereja Katholik juga sangat berbahaya. Individu-individu mula menghina agama Islam dengan terang-terangan termasuk iklan berbuka puasa dengan sup babi. Lagu Kebangsan dihina, hak orang Melayu dipersoalkan, mahkamah diugut, termasuk oleh ahli-ahli yang berhormat yang seolah-olah tidak tahu atau tidak menghormati undang-undang yang dibuat  oleh  Parlimen  yang  mereka  sendiri  menjadi  ahli.  Sabah  diceroboh  oleh pasukan bersenjata dari luar negara dengan kerjasama penduduk tempatan yang asalnya pelarian dan berbagai-bagi lagi. Malah, makin sehari nampaknya keadaan di negara kita semakin hampir dengan keadaan di Thailand sebelum rampasan kuasa yang  terbaru. Adakah itu corak “demokrasi” yang hendak ditiru? Jika mahu demokrasi kekal ia hendaklah diamalkan dengan cara yang berhemah dan bertamadun. Ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku di Thailand itu.

Semua perbuatan itu bukan sahaja boleh menggugat perpaduan negara, malah ketenteraman negara. Perbuatan itu mesti dibendung. Untuk itu Kerajaan hendaklah memikir semula mengenai keperluan mengadakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kita tidak patut takut kepada kritikan mengenainya.

Di samping itu, Kerajaan tidak patut terlalu berlembut apatah lagi takut kepada mereka sehingga tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Tidak guna mempunyai undang-undang jika tidak berani menggunanya. Pelampau tidak memahami diplomasi.

Selepas itu, Kerajaan membuat satu kesilapan lagi apabila ia hendak memansuhkan Akta Hasutan 1948. Akta Hasutan asalnya dibuat oleh British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara yang tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British dalam tahun 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, ia itu seksyen 3(1)(f) dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa. Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) berkuatkuasa pada 10.8.1970. Bagi saya, pengwujudan seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain.

Ringkasnya, seksyen 3(1)(f) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi seseorang jika dia mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Sekali lagi rancangan memansuhkan Akta Hasutan ini adalah hasil tuntutan pembangkang, Majlis Peguam dan NGO-NGO bukan Melayu. Ertinya, sekali lagi, suara mereka jugalah yang didengar sedangkan mereka tidak pernah mengundi UMNO dan BN dan tidak akan mengundi UMNO dan BN manakala orang Melayu yang mejadi penyokong setia UMNO dan BN dipinggirkan.

Kesilapan berlaku lagi dengan penubuhan Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC). Lihatlah nama-nama ahlinya.  Siapakah mereka dan apakah yang mereka perjuangkan? Kemudian dilantik pula Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU&D). Lihat pula siapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusinya.

Dalam hal ini tiga “highjacking” telah berlaku. Pertama, Akta Hasutan terletak di bawah portfolio Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang Menterinya ialah YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sepatutnya, semua perkara yang berkenaan dengan akta itu, sama ada hendak memindanya atau memansuhkannya, hendaklah datangnya dari kementerian itu. Ini penting bukan sahaja kerana akta itu terletak di bawah kementerian itu, tetapi kerana kementerian itu mempunyai mahklumat- maklumat, termasuk maklumat rahsia, mengenai ketenteraman negara yang akan menentukan dasar mengenainya. Bagaimana Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) boleh mengambil alih bidangkuasa ke atas Akta Hasutan itu dan menyerahkan kepada Majlis Peguam untuk menggubal undang-undang untuk memansuhkannya?

Kedua, mengikut procedure biasa, penetapan dasar dilakukan oleh kementerian berkenaan (dalam hal ini, KDN) sebelum ia diputuskan oleh Kabinet. Dalam hal ini, penentuan dasar, sekurang-kurangnya di pringkat permulaan, diserahkan kepada JUU&D. Pengerusi JUU&D adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen PAS Parit Buntar dan Timbalan Pengerusinya adalah Encik Lim Chee Wee, mantan Presiden Majlis Peguam. Kita semua tahu bahawa Majlis Peguam adalah penyokong kuat parti-parti pembangkang terutama sekali DAP dan PKR. Mengapa lantik pembangkang untuk menentukan dasar, walaupun di peringkat awal?
Ketiga, mengikut procedure biasa, setelah dasar ditentukan oleh kementerian berkenaan, gubalan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara. Dalam hal ini, gubalan dilakukan oleh Majlis Peguam. Mengapa?

Mendapat peluang itu, Majlis Peguam terus menggubal apa yang dikenali sebagai Rang Undang-Undang Harmoni. Isi kandungannya mirip tuntutan KOMANGO dan pemansuhan Akta Hasutan. Apa hubungannya perpaduan dengan pemansuhan Akta Hasutan? Adakah dengan membenarkan orang menghasut supaya membenci Raja, Bahasa Kebangsaan, hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, rakyat akan persatu padu?

Selepas itu mereka terus mengadakan “Townhall Meetings” untuk menerangkan cadangan mereka. Siapa yang menghadiri “Townhall meetings” itu? Adakah “Townhall Meetings” diadakan di kampung-kampung, di rumah-rumah panjang dan di kawasan pendalaman? Tak cukup dengan itu, dari apa yang yang boleh dilihat dari laman web The Malaysian Bar dan laporan The Malaysian Insider, persatuan-persatuan peguam dari merata dunia memberi sokongan kepada Majlis Peguam dalam hal ini. Mengapa mereka harus campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia? Siapa yang meminta sokongan mereka? Tuan-tuan boleh teka sendiri. Singapura masih mempunyai Akta Hasutan (Sedition Act). Singapura tidak teragak- agak untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap seseorang di bawah akta itu. Tiada pula sesiapa mengkritiknya. Mengapa persatuan-persatuan peguam itu tidak menuntut supaya ia dimansuhkan?
Mujurlah kali ini individu-individu dan NGO-NGO Melayu sempat sedar apa yang sedang berlaku. Akibat pembongkaran, bantahan dan penentangan mereka, orang Melayu, malah orang UMNO sendiri telah sedar. Orang-orang Melayu dalam PAS dan PKR juga patut sedar jika mereka masih menganggap diri mereka “Melayu”.
Orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak hendaklah sedar bahawa usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk menghapuskan hak-hak mereka. Orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak hendaklah sedar bahawa mereka hanya baru keluar dari kampung dan kawasan pendalaman satu atau dua generasi. Sudahkah mereka lupa daratan?
Akta Hasutan hendaklah dikekalkan. Seterusnya saya mencadangkan supaya Akta Hasutan dipinda untuk memasukkan Perkara 3 (agama Islam sebagai agama Persekutuan),  Perkara  8(4)(c) (perlindungan, kesentosaan dan pemajuan orang asli), Perkara 8(4)(f) (menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu) dan Perkara 89 (tanah simpanan Melayu) ke dalam seksyen 3(1)(f).

Elok juga Kerajaan memikirkan untuk memansuhkan kesalahan menghasut terhadap Kerajaan. Kewujudan peruntukan itu tidak consistent dengan amalan demokrasi. Malah, untuk berkempen pilihan raya pun tidak boleh. Sebab itulah selama ini tidak ada sesiapa pun yang dituduh kerana kesalahan itu. Jika demikian untuk apa kesalahan itu dikekalkan dalam undang-undang. Ia hanya memberi gambaran bahawa Kerajaan bersifat autocratic. Di samping itu, saya juga mencadangkan:

1. Segala  urusan   mengenai   Akta   Hasutan   hendaklah   dilakukan   oleh kementerian yang bertanggungjawab mengenainya ia itu Kementerian Dalam Negeri (KDN).
2. Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) tidak sepatutnya mengambil alih perkara yang terletak dalam bidangkuasa KDN dan Peguam Negara.
3. Procedure biasa di mana kementerian  berkenaan  menentukan dasar dan gubalan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara manakala keputusan muktamat dibuat oleh Kabinet hendaklah diikuti.
4. Ketepikan draf Rang Undang-Undang Harmoni (RUU Harmoni) yang digubal oleh Majlis Peguam itu.
5. Akta Hasutan hedaklah dilaksanakan dengan tegas.
6. Bubarkan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan sekaligus Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUU&D). Kerja JPNIN hendaklah dibuat oleh JPNIN boleh consult sesiapa sahaja tetapi terajunya mestilah dipegang oleh JPNIN sendiri. Keputusan dasar hendaklah dibuat oleh JPNIN manakala keputusan muktamat mengenainya dibuat oleh Kabinet.

Masalah yang menghadapi orang Melayu sekarang bukan hanya sekadar pemansuhan ISA dan Akta Hasutan. Masalahnya ialah bahawa orang Melayu menghadapi ancaman akan menjadi Red Indians di tanahair sendiri. Percayalah bahawa ancaman yang dihadapi oleh orang Melayu sekarang adalah lebih serius daripada bila-bila masa dalam sejarah bangsa Melayu. Dulu sekurang-kurangnya orang Melayu bersatu menghadapi ancaman luar. Sekarang mereka berpecah dan diperalatkan.

Maka, PAS dan UMNO perlulah berfikir untuk bercantum, bergabung atau bekerjasama,  sekurang-kurangnya di peringkat Persekutuan, untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada PKR dan DAP. PAS mesti sedar bahawa perjuangan asal mereka adalah untuk Melayu dan Islam; bahawa jika Pakatan Rakyat berkuasa DAP akan menjadi parti dominan, bukan PKR atau PAS; bahawa PKR tidak boleh diharap untuk membela orang Melayu dan agama Islam; bahawa DAP adalah lebih chauvinistic daripada MCA atau Gerakan; bahawa PKR atau PAS tidak boleh mengawal cita-cita DAP seperti UMNO mengawal MCA dan Gerakan. Maka jika PAS tidak mahu hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam digugat, ia hendaklah bekerjasama dengan UMNO.

Saya tidak menyebut Parti Keadilan sebab parti itu tidak pernah berkata ia berjuang untuk orang Melayu. Ia hanya berjuang untuk seorang Melayu, itu pun jika orang itu masih menganggap dirinya Melayu.

Sebenarnya, di antara PAS dengan UMNO sudah tidak ada apa-apa perbezaannya lagi. Apa bezanya Kelantan yang diperintah oleh PAS selama lebih kurang 40 tahun dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia selain daripada pengasingan lelaki dan perempuan di kaunter bayaran dan semasa menaiki bas dan beberapa sepanduk “Allahu Akbar”, “Subhanallah” dan “Alhamdulillah” di tepi jalan? Jika dulu Qari’ah haram mengambil bahagian dalam tilawah Al-Qur’an, sekarang sudah harus.

Semasa berkempen di Kelantan pemimpin-pemimpin UMNO pun memakai kopiah putih. Ertinya, semasa di Kelantan, pemimpin-pemimpin UMNO juga mahu nampak seperti orang PAS. Apa yang menjadi “penghalang” bukan ideologi tetapi kepentingan diri. Pemimpin-pemimpin di kedua-dua buah parti takut hilang kedudukan, jawatan dan pendapatan masing-masing, jika kedua-dua parti itu bercantum, bergabung atau bekerjasama. Soalannya, itukah yang mereka perjuangkan?

Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak juga patut sedar bahawa kedudukan mereka dalam Perlembagaan adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika mereka mahu kedudukan mereka selamat, mereka hendaklah bersama-sama orang Melayu, UMNO dan BN. Bahawa sebahagian daripada mereka beragama Kristian tidak pernah menjadi masalah. Mereka boleh terus mengamalkan agama mereka seperti biasa. Apa yang dibantah oleh orang Islam ialah cubaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam bible dan upacara agama dalam Bahasa Melayu, terutama sekali di Semenanjung, kerana motifnya adalah untuk mempengaruhi orang Melayu menganut agama Kristian.

Jika PAS dan parti-parti anak-anak Negeri Sabah dan Sarawak boleh bersama-sama dengan UMNO dan BN, Kerajaan Persekutuan akan selamat walaupun orang Cina bersatu di belakang DAP. Apabila mereka merasa bahawa keadaan itu akan merugikan mereka, mereka akan mula berfikir semula untuk berkerjasama dengan BN. Orang Cina membuat perkiraan mengikut  untung-rugi. Itu adalah prinsip mereka.

Kita sekali-kali tidak hendak meminggirkan orang Cina. Semenjak PRU 1955, UMNO memberi kawasan-kawasan majoriti Melayu yang selamat kepada calon-calon MCA dan MIC semata-mata untuk memberi representasi yang lebih kepada mereka. Apa yang berlaku selepas PRU13 pun adalah pilihan mereka sendiri. Mereka sendiri yang memilih untuk tidak menyertai Kerajaan. Sekarang mereka telah mengubah pendirian, setelah menimbang semula untung  ruginya. Pengundi-pengundi Cina yang berdiri sebulat suara di belakang DAP juga mungkin akan mengubah pendirian mereka apabila mereka menimbang semula untung-ruginya. Jika tidak pun tidak mengapa. Itu pilihan mereka. Jangan salahkan orang lain.

Rakyat Malaysia keturunan India juga patut bertanya diri mereka sama ada Kerajaan Pakatan Rakyat akan menjaga kepentingan mereka lebih baik daripada rekod BN selama lebih daripada lima dekad.

Perlu ditekankan bahawa kita tidak menuntut kontrak sosial dikaji semula. Kita tidak menuntut hak-hak yang telah dipersetujui dan diperuntukkan di dalam Perlembagaan disemak semula. Kita tidak menuntut hak yang telah diberi kepada orang lain diberi kepada kita. Kita cuma berkata, “Marilah kita sama-sama menghormati kontrak sosial yang kita telah persetujui. Marilah kita sama-sama menghormati hak-hak masing-masing seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan. Marilah kita sama-sama membina negara kita Malaysia. Sesunguhnya Malaysia mempunyai cukup untuk semua. Cuma orang yang tamak yang tidak akan cukup sampai bila-bila.

Sambil itu, pemimpin-pemimpin UMNO juga patut sedar diri. Sebenarnya UMNO sebagai sebuah parti Melayu dan Islam berada di atas landasan yang betul. UMNO sepatutnya terus menjadi parti dominan Melayu dan Islam. Masalahnya adalah pemimpin-pemimpinnya. Faktor nombor satu yang menyebabkan orang bencikan UMNO ialah persepsi rasuah yang tinggi. UMNO mestilah perbetulkan persepsi ini, bukan hanya dengan cakap dan kempen tetapi dengan mengelakkan perbuatan rasuah.

Golongan professional merungut mengenai kesukaran untuk memasuki dan memenangi apa-apa jawatan dalam hierarchy UMNO. Itu adalah antara faktor-faktor mengapa golongan professional tidak menyertai UMNO. Mereka lebih mudah mendapat tempat dalam PAS. Jika hal ini berterusan UMNO akan ketandusan pemimpin. Hal ini telah pun dirasai hari ini dan mestilah diperbetulkan jika UNMO tidak mahu terkubur.

Percayalah,  apabila pemimpin-pemimpin  sesuatu  bangsa  atau  sesebuah  negara lebih mementingkan diri sendiri daripada bangsa dan negaranya, maka itu adalah alamat kehancuran bangsa dan negara itu.
WAHAI MELAYU, FIKIRLAH. BUKAN RASA, BUKAN INGAT, FIKIR! Terima kasih.


Sumber: http://www.ismaweb.net/2014/11/tun-hamid-melayu-perlu-bersatu-demi-agama-bangsa-dan-negara/