Pages

Saturday, April 10, 2010

Dua kategori pemuda....



Akhir-akhir ini aku sering didatangi oleh ramai anak-anak muridku dan golongan belia yang merasakan hidup mereka tiada hala tujuan. Bila ku ajukan pelbagai persoalan hidup, sedikit sangat yang boleh di jawab.

Aku tidak ingin menyalahkan mereka tapi itulah wabak yang menimpa ummah apabila Islam tidak lagi tertegak seperti sepatutnya. Islam dianggap sekadar agama peribadi. Upacara-upacara ibadah ketika berhadapan waktu susah. Lebih kepada simbol-simbol pakaian atau aspek luaran.

Memang Islam ada aturan yang perlu diikuti dalam semua perkara termasuklah hal luaran. Tapi Islam lebih dari itu. Islam adalah kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan. Manapun sudut yang menerima haruman Islam pasti cemerlang. Lantas, ribuan tahun ia mampu menjadi satu tamadun yang cukup hebat dalam sejarah peradaban dunia.

Pemuda hari ini membesar dalam suasana Islam jatuh. Mereka menatap wajah Islam yang pucat setiap hari. Akhirnya wajah mereka juga pucat. Yang mereka lihat berseri adalah barat. Kosmetik metarialistik barat telah mewarnai wajah mereka. Semua yang ada di barat hebat dan yang ada pada Islam malap.

Tapi ada sebahagian pemuda yang masih waras akalnya, bersih jiwanya dan sempurna kemahuannya. Mereka memandang kehidupan ini diluar kefahaman majoriti bangsanya. Bahkan jauh dari kebiasaan keluarganya. Bagi mereka usia muda, sangat berharga. Pemberian Allah dan perlu digunakan untuk Allah. Untuk memperjuangkan kebenaran, membangun insan dan alam. Mereka tidak hidup hanya untuk perut sendiri.

Hidup pemuda ini tampak sedikit berbeza dari rakan-rakannya. Ini kerana priority mereka dalam hidup ialah ummah. Mereka ada perjuangan dan mereka merasa diri mereka pejuang.

Benarlah kata Imam Hassan al-Banna dalam risalahnya 'wahai pemuda': "pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Wahai anak-anak dan adik-adikku…anda ingin hidup dan mati dikategori mana??

Hakikatnya usia muda anda tidak kekal lama. Anda berjuang atau tidak pasti akan mati juga. Cuma, pasti berbeza orang yang berjuang untuk tuhannya dengan yang berjuang untuk membesarkan perutnya

Tentukanlah langkah anda…itulah corak yang akan mewarnai hidup anda dan penentu nasib akhirat anda

Jangan bazirkan usia muda anda...sertailah para pejuang. Kita corakkan semula alam ini dengan keagungan sistem dan aturan kehidupan Islam. Pasti anda tidak akan menyesal di saat menghembuskan nafas terakhir.


Sumber daripada blog us. Sarip Adul. Cuma gambarnya yang saya pilih...saya fikir bahan ini sesuai untuk tetamu-tetamu blog saya.

Wednesday, April 7, 2010

Jangan pandang Belakang


Sekali lagi ingin ku kongsikan hasil tulisan Ustaz Sarip Adul dengan saudara/i yang dikasihi. Semoga ianya bermenafaat untuk kita semua.

Aku nak berubah, aku nak jadi baik, aku nak bertaubat….rintihan seorang remaja yang kecundang berkali-kali dalam hidupnya. Bukan ia seorang yang ingin berubah. Ramai yang ingin menjadi orang baik-baik.

Perubahan untuk melalui jalan hidayah tidak semudah yang diimpikan. Banyak halangan dan cabaran. Cabaran pertama dari dalam diri manusia sendiri, namanya NAFSU. Nafsu sukakan keseronokan dan benci kepayahan. Jalan hidayah pula kurang aksesori. Ia memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Justeru, ramai yang rebah di langkah pertama ingin berubah.

Cabaran kedua ialah budaya luaran. Manusia akhir zaman ramai yang rosak. Malangnya mereka sendiri tidak tahu mereka rosak. Kalau tahupun buat-buat tak tahu.

Memang tidak senang untuk jadi baik. Lantaran itu, ramai yang dah memulakan perubahanpun kembali ke dunia asal. Lihat sahaja gelagat artis kita. Bertudung setahun dua…lepas tu kembali seksi macam zaman remaja.

Waktu mengajar di UIA dulu, aku menghadiri satu sesi ceramah keinsafan oleh seorang artis wanita terkenal yang katanya telah bertaubat. Sambil menanggis ia bercerita tentang pengalamannya. Yang mendengar juga turut menanggis. Tapi sekarang, kat TV mukanya sering terpampang…walau masih pakai tudung tapi terbuka sana sini.

Nak berada di atas jalan hidayah memang tak mudah. Bahkan tak ramai yang benar-benar inginkannya. Apatah lagi berjuang untuk mendapatkannya. Lihat sahaja majlis-majlis agama…bayar tambang pun ramai tak datang. Kalau konsert hiburan…bertiketpun mereka sanggup tunggu dari petang. Yang bertudung labuh dibanding dengan yang terdedah urat dan aurat, juga nisbah yang cukup jauh. Jamaah di masjid dibanding dengan jamaah di supermarket…juga nisbah yang sangat jauh. Lantaran itu sebenarnya untuk dapat hidayah bukannya susah, ini kerana kita tak perlu berebut.



Mungkin kerana tak ramai yang melalui jalan hidayah, melaluinya akan terasa sunyi. Kesunyian menyebabkan orang yang melaluinya berpaling ke belakang. Menoleh kebelakang untuk melihat orang ramai yang melalui jalan alpa. Jalan yang membuai mereka dengan jutaan irama kenikmatan. Imam al-Fudhail bin ’Iyaad memberi nasihat:



لا تستوحشْ طرقَ الهدى لقلّة أهلها ولا تغترّ بكثرة الهالكين



(Janganlah kamu rasa sunyi melalui jalan hidayah kerana sedikit ahlinya dan jangan terpedaya dengan ramainya orang binasa (kerana melalui jalan yang sesat)) (1).

Kata Ibnu Qayyim: “setiap kali engkau merasa sunyi kerana bersendirian, maka lihatlah pada rakan-rakanmu yang terdahulu (di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin). Berusahalah untuk mengejar mereka. Tutuplah pandangan dari melihat orang lain. Mereka itu tidak mampu menyelamatkan engkau dari siksaan Allah. Andainya mereka menjerit memanggil engkau dalam perjalananmu, jangan palingkan wajahmu pada mereka. Maka andainya engkau berpaling pada mereka, mereka akan mengoda dan menghalangmu”(2) .



Anda adalah seperti seekor Sang Kancil yang dikejar oleh seekor Harimau buas. Walaupun badanmu kecil, tuhan kurniakanmu kekuatan larian dan kelajuan yang menyamai kelajuan harimau. Andainya engkau berpaling kebelakang walau sesaat!, engkau akan kehilangan sedikit kelajuanmu. Itu sudah cukup bagi sang harimau menerkam dan membahammu.

Jangan pandang ke belakang lagi bila anda sudah memulakan perjalanan di atas jalan hidayah. Biarkan sahaja orang ramai di luar sana. Allah SWT janjikan untukmu kenikmatan yang tiada tolok bandingnya di hujung perjalanan. Syurga Firdausi bertemankan kekasih-kekasih Allah di kalangan para Nabi, Syuhada’, Siddiqin dan Solehin. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ

(Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya)(Al-Nisa’: 69).


Andainya anda terpengaruh walau ‘sedikit’ pada pemikiran, budaya dan cara hidup mereka, mereka akan sesatkan anda. Firman Allah:

وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

(Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus)(al-Maidah:77).

Sebenarnya anda orang terpilih di kalangan jutaan manusia. Allah SWT sayangkan anda. Dia campakkan ke dalam hati anda petunjukknya. Sebab itu anda terfikir untuk berubah. Andainya anda tinggalkan hidayah yang datang. Anda telah menzalimi diri sendiri. Menjadi hujjah Allah SWT untuk menyiksa anda di hadapannya nanti. Waktu itu anda sudah tidak boleh berkata: Ya Allah, aku tak sedar semua ini. Aku belum terima hidayah darimu!!.

Ingat, hidayah Allah itu umpama burung yang hinggap di tepi tingkap bilik. Andai anda halau ia, tidak mustahil ia langsung meninggalkan anda dan tak akan datang lagi.

Sumber: Blog Ustaz Sarip Adul

Sunday, April 4, 2010

Jangan lupakan Allah..



Kadang-kadang dalam kita menjalani kehidupan ini, kita akan berhadapan dengan satu-satu masalah. Manusia tidak boleh lari daripada masalah kerana itulah tujuannya Allah menciptakan manusia. Masalah itu adalah ujian. Bukankah Allah berfirman yang bermaksud, :"Allah lah yang menjadikan mati dan hidup ini agar Allah dapat menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya."(Al Mulk: 2)

Jadi di sini Allah sendiri telah menyatakan kepada kita yang Allah menjadkan mati dan hidup itu, untuk menguji manusia, siapakah di antara manusia ini yang lebih baik amalannya, siapakah yang lebih bertaqwa dan sebagainya. Kita hidup di atas muka bumi Allah ini sentiasa akan diuji oleh Allah SWT. Kadang-kadang ujian itu kita sedar dan kadang-kadang kita tidak sedar, kadang-kadang ujian itu ringan dan kadang-kadang berat, ujian juga boleh datang dalam bentuk pangkat dan kemewahan.

Orang yang tidak dapat mengatasi masalah dan tidak mahu berhadapan dengan masalah, orang itu akan lambat maju, lambat berubah dan tidak dapat bersaing dalam dunia hari ini.

Kekusutan fikiran dan masalah, menyebabkan kita mencari-cari siapakah yang dapat membantu menyelesaikan kekusutan fikiran kita. Kadang-kadang kita terlupa untuk meminta pertolongan daripada Allah.

Untuk keadaan tertentu, di mana manusia tidak dapat membantu menyelesaikan masalah kita, kita perlu berdoa kepada Allah. Berdoa dengan sungguh-sungguh. Allah Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Perbaikilah diri kita sekiranya selama ini kita lalai dari mentaati perintah Nya. Perbetullah jalan hidup kita supaya selalu berada di atas jalanNya.

Bersabar sekiranya doa kita masih belum dimakbulkan. Bersangka baiklah kepada Allah bahawa Allah akan perkenankan hajat kita bila sampai waktunya. Sekiranya doa kita tidak dimakbulkan mungkin Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Berdoalah supaya Allah berikan kebaikan-kebaikan samada kebaikan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu dan dihindarkan dari keburukan, samada keburukan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu.

Kadang-kadang mungkin sesuatu perkara itu kita rasa ianya baik untuk kita tetapi ia boleh merosakkan kita dan demikian juga sebaliknya.

Berdoalah selalu kerana Rasulullah sendiri mewariskan kepada kita berbagai-bagai doa. Sentiasa berdoa akan merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apakah perkara lain yang lebih utama selain dari hubungan yang akrab dengan Allah? Pencipta kita, Yang menguruskan kehidupan kita?

Dekat dengan Allah akan melahirkan ketenangan jiwa. Itulah yang ramai orang tidak dapat memperolehinya pada hari ini walaupun mereka mempunyai kemewahan harta benda tetapi jiwa yang kosong. Mencari cara yang lain untuk mendapatkan ketenangan jiwa.

Saturday, April 3, 2010

Ketika Cinta Bertasbih


Saudara/i tetamuku yang dikasihi. Saya ingin kongsikan satu hasil tulisan yang saya ambil daripada satu laman web. Yang ditulis oleh Us. Sarip Adul. Semoga ianya memberi menafaat kepada anda.

Malam tadi sempat menonton filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2′ bersama puteri sulungku. Tapi bukan di pawagam, kat komputer rumah je. Dia sangat teruja sebab sudah habis membaca novel karangan Ustaz Habiburrahman al-Syirazi yang cukup laris. Anak remaja paling gemar novel cinta. Aku sendiri tak pernah membaca novel tersebut. Ia memakan masa yang lama untuk dikhatamkan. Melihat movie lebih cepat dan ringkas, walaupun kata anakku membaca novel lebih puas. Aku akui itu, sebab dulu pun aku kaki novel, maklumlah aliran sastera.

Antara fokus utama dalam bahagian kedua, menceritakan pengembaraan Ustaz Kheirul Azzam mencari calon isteri. Berhadapan dengan ibunya yang sangat cerewet memilih calon menantu, mesti cantik, solehah, berpendidikan tinggi dan paling penting berjilbab (tudung labuh). Hampir kesemua yang cuba dilamar oleh Ustaz Azzam adalah melalui orang tengah yang ia thiqah dengan kemampuan dan pengalaman mereka dalam menilai peribadi manusia.

Kataku pada puteriku, itulah cara tebaik dan cara Islam memilih pasangan. Untuk membina rumahtangga yang soleh perlu pasangan yang benar-benar soleh. Menentukan kesolehan seseorang calon tidak sepatutnya berpegang pada pemikiran sendiri bahkan perlu berbincang dengan orang yang pakar. Seperti apabila ingin membina rumah perlu berbincang dengan arkitek dan jurutera. Merekalah yang paling tahu akan keperluan dan bahan apa yang paling cocok untuk orang tersebut. Membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan ibubapa dan murabbi yang selama ini menghabiskan masa mendidik mereka amat zalim. Ini kerana, merekalah orang yang paling ingin melihat mereka bahagia.

Menyerahkan tanggungjawab mencari pasangan hidup pada orang yang berkemampuan mungkin makin jarang dilakukan oleh generasi muda kini. Bagi mereka semua itu budaya lama lagi kolot. Orang sekarang pilih sendiri. Tentukan sendiri orang bagaimana yang ia mahu. Baginya kalau sudah cinta segalanya akan baik belaka. Ibubapa sekadar perlu approve sahaja hubungan mereka. Kesannya… makin banyak rumahtangga yang kandas di tengah jalan. Tayar cintanya tidak mampu bertahan lama. Bocor walau sekadar terkena batu kecil yang tumpul. Dulu, cinta yang dipuja itu telah membutakan mata. Tidak nampak cacat cela pasangan, apatah lagi bagi pasangan yang ‘mahir’ menyembunyikan keaiban diri. Nantinya bila sudah dapat yang dipuja, barulah keaiban itu terzahir satu persatu.

Bagi orang seperti Ustaz Azzam, cinta bukan syarat utama pembinaan rumahtangga. Asas paling utama ialah ciri solehah wanita tersebut yang dizahirkan melalui jilbabnya. Peribadi si wanita pula diperakui dan dikenali secara mendalam oleh orang yang menjadi orang tengah. Orang tengah yang ia kenali kejujurannya. Ini kerana orang tengah yang jujur pastinya akan mencarikan calon terbaik dan paling sesuai untuk orang yang memberinya amanah. Ia perlu kenal secara mendalam peribadi kedua-duanya sebelum dipertemukan di hari taaruf. Ia mesti mengambil kira fizikal, usia, akhlak dan fikrah antara yang mencari dan dicari. Kalau sekufu dan match… barulah diperkenalkan. Waktu itu kedua-dua pihak boleh menilai cadangan si orang tengah yang soleh… andai setuju, teruskan untuk prosedur seterusnya. Andainya tidak menepati apa yang dicari, tolak dengan baik. Waktu itu tidak perlulah mereka bermain dengan bara cinta yang sering membakar iman dan maruah diri. Kadangkala memakan masa bertahun-tahun dan berakhir dengan kegagalan dan penyesalan.

Kalau sudah menepati syarat… solehah, cantik, berakhlak mulia dan berjilbab… pasti cinta akan hadir sendirinya. Bahkan ia terbit dari rasa cintanya kepada pasangannya yang mencintai tuhannya. Cinta waktu itu adalah ibadah yang terbit dari rumahtangga yang dari awal pembinaannya tulus mencari redha Allah SWT.

Ada satu dialog yang menarik dalam movie tersebut apabila Ustaz Azzam mendatangi rumah Ahmad Jazuli, seorang kaya yang pernah mendengar pengajaran Ustaz Kheirul Azam yang membaca kitab al-Hikam karangan Ibn Atoillah. Dulu Pak Jazuli pernah menawarkan puterinya pada Ustaz Azzam. Kata Pak Jazuli pada Ustaz Azzam bila ia datang: “…itu foto anak bapa, waktu ia sudah habis di ITB, setelah itu ia melanjutkan S2 di Belanda, pada waktu bapa ketemu nak mas ia sedang pulang selama 2 minggu. Ia minta dicarikan jodoh yang bisa membimbingnya membaca al-Quran dan mengimaminya solat. Waktu bapa melihat nak mas mengajar bapa terfikir nak maslah orangnya…”.

Ringkas syaratnya: dapat suami yang mampu ajar baca Quran dan jadi imam solat. Kataku pada puteriku, wanita solehah impiannya berbeza dari impian kebanyakan wanita moden masa kini. Bagi mereka memperolehi suami yang boleh membimbing agama dan akhirat mereka lebih diutamakan dari lelaki yang mampu meletak mereka di atas timbunan kemewahan. Ini kerana mengasaskan rumahtangga di atas timbunan harta semata-mata akan memudahkan ia goyah dan berkubur apabila dilanda gempa. Wanita solehah yakin dengan rezeki dan takdir ilahi. Allah juga berjanji bahawa sesiapa bertakwa kepada Allah dijadikan baginya tempat keluar dari permasalahan dan diberikan rezeki dari sumber yang mereka sendiri tidak sangkakan. Yang penting usaha dan mencari sebab.

Ibubapa yang mengharapkan kebahagiaan bagi anak-anaknya di akhirat dan di dunia, mereka akan mendahulukan agama dan akhlak untuk menjadi pasangan hidup anak-anaknya. Bukan harta dan martabat menjadi ukuran. Kiyai Lothfi menikahkan puterinya Ana Altafunnisa cuma bermaharkan sebentuk cincin dengan Ustaz Kheirul Azzam. Bahkan tidak sempat pun Ustaz muda tersebut bertukar baju apatah lagi menyediakan hantaran yang mahal-mahal. Orang sekarang berkahwin terlalu memfokuskan pada glamour dan aspek luaran melebihi keperluan sebenar. Majlis kahwin yang gah dan hantaran yang banyak angkanya. Bagi ibubapa yang soleh dan faham keperluan rumahtangga sebenar, memiliki menantu yang berakhlak mulia dan soleh/hah sudah cukup menjamin kebahagiaan rumahtangga anak mereka berpanjangan.

Seingatku, sewaktu menghabiskan pengajian 4 Thanawi dulu, di Pondok Bukit Besar, ramai kawan-kawanku yang menerima lamaran dari beberapa keluarga berhampiran pondok. Dalam erti kata lain ‘booking’ pelajar-pelajar tersebut sebelum ke Universiti al-Azhar untuk menjadi bakal menantu bila habis nanti. Bagi masyarakat pondok, nilai agama merupakan syarat utama memilih menantu. Budak-budak pondok yang terbiasa dengan budaya beragama, mengaji kitab-kitab kuning, berkopiah dan berserban sering menjadi pilihan. Mereka berharap menantunya nanti mampu membimbing puterinya menghayati agama dan memimpinnya ke syurga Ilahi.

Bila berbicara tentang rumahtangga dakwah dan tarbiah, timbul satu masalah bagi anak-anak yang ada kesedaran dan faham perjuangan. Menyerahkan tanggungjawab memilih sahaja pada ibubapa pasti berisiko tinggi, kecualilah ibubapanya memiliki fikrah dan faham perjuangan yang sama sepertinya. Waktu ini murabbi sepatutnya menjadi penasihat utama dan orang yang paling faham dalam menentukan bentuk pilihan. Ini kerana sang murabbi bukan sahaja menilai calon pasangan yang akan dicadangkan pada anak didiknya menepati asas agama, bahkan menyempurnakan keperluan perjuangan. Tapi budaya inipun sudah semakin kurang diamalkan dalam komuniti dakwah.

Sumber: ISMA Mesir

Batu-Bata..




Saudara seaqidahku yang dikasihi.

Kali ini hati saya tergerak untuk memperkatakan sesuatu yang ada hubung kait dengan batu bata.

Apakah istimewanya batu bata?
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Orang-orang mukmin bagi orang-orang mukmin yang lain ibarat bangunan yang sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain”.

Bahan utama untuk mendirikan bangunan adalah batu bata.

Cuba kita perhatikan batu bata. Kita akan dapati, yang pertama, batu bata diperbuat daripada bahan yang bermutu atau mutunya menepati keperluan untuk membuat bangunan, dan kedua kita dapati setiap batu bata mempunyai saiz dan bentuk yang sama.

Batu bata tadi apabila disusun dan diikat dengan simen, diperkukuhkan dengan besi, kayu dan lain-lain, dibentuk mengikut pelan tertentu boleh menjadi bangunan yang tersergam indah.

Sekiranya batu bata tersebut mempunyai bentuk dan saiz yang tidak sama, tentu sukar untuk menyusunnya, bukankah begitu?

Mungkin bangunan yang dihajati akan sukar atau tidak akan dapat dibina.

Saya nak kaitkan dengan apa yang berlaku kepada orang-orang mukmin/Islam sekarang ini. Kita amat sukar untuk bersatu kerana tidak mempunyai persamaan di dalam perkara-perkara yang sepatutnya mempunyai persamaan.

Orang-orang Islam mempunyai matlamat yang sama. Bukankah keredhaan Allah matlamat setiap orang Islam? Orang-orang Islam juga mempunyai panduan hidup yang sama, iaitu al Quran dan al hadith.

Tetapi kalau kita tanya setiap orang Islam, apakah matlamat hidup mereka? Bolehkah mereka menjawab, " Matlamat hidup saya nak cari keredhaan Allah". Kalau mereka iru adalah yang menagih dadah, buang bayi, membunuh....bergaduh adik beradik,tidak sembahyang, mendedahkan aurat dan sebagainya

Saudara yang dikasihi,

Supaya dapat bersatu orang-orang Islam perlu kepada keseragaman. Seperti yang kita lihat seragamnya batu bata itu.

Keseragaman akan menghasilkan kesatuan. Orang Islam perlu kepada keseragaman dalam aqidah, aqidah yang sohih serta memahami tuntutannya. Kemudian keseragaman dalam fikrah, iaitu mempunyai kefahaman dan pemikiran Islam yang benar dan seterusnya keseragaman dalam beramal.

Di dalam Islam ada perkara-perkara yang kita boleh berbeza pendapat.Tetapi kita perlu meraikan pendapat orang lain juga.

Pada hari ini kita lihat umat Islam amat sukar bersatu. Terlalu banyak perkara remeh temeh yang menjadi dinding yang menyebabkan kita tidak dapat bersatu.

Berbeza fahaman politik, berbeza pendapat di dalam cabang-cabang fekah, berbeza warna kulit, berbeza fakulti, berbeza program/kursus dan lain-lain lagi.

Kes perlawanan bolasepak, kes anak-anak, kes lembu kambing, kita boleh bergaduh sesama sendiri.

Marilah kita mewujudkan keseragaman dan persamaan sesama kita dengan cara kita beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ketepikan perbezaan yang ada sedikit sebanyak kerana persaudaraan adalah lebih penting.

Firman Allah, maksudnya, " Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara".

Wallahu a'lam..

Wednesday, March 31, 2010

Meniti perubahan 4...



Saudara yang dikasihi,

Cuba lihat ketekunan penanam bonsai membentuk pokok bonsainya.

Di dalam fikirannya sudah tergambar bentuk yang hendak dihasilkan ke atas pokok bonsainya. Proses untuk menghasilkan pokok bonsai sebagaimana yang dihajatinya bukan mengambil masa yang sekejap. Tetapi mungkin bertahun-tahun lamanya. Tetapi itulah proses yang perlu dilakukannya dari sehari ke sehari, dari minggu ke bulan dan dari tahun ke tahun.





Baginya yang penting dia akan dapat menghasilkan pokok bonsai sebagaimana yang dihajatinya.

Begitulah perumpaan yang saya buat bagi kita yang hendak berubah bagi mencapai satu-satu matlamat. Kita tidak boleh lari dari fitrah atau hukum yang Allah telah tentukan bahawa untuk mendapatkan satu-satu hasil atau untuk mencapai satu-satu matlamat, kita perlu melalui jalan-jalan atau langkah-langkah yang tertentu.

Seorang yang memegang Ph D, telah melalui langkah-langkah awal sebelum mendapat Ph D. Dia kena masuk sekolah rendah, kemudian sekolah menengah, Universiti, buat ijazah, master dan barulah boleh buat Ph D.

Saudaraku.

Perlu ada gambaran bagi kita, kita nak jadi bagaimana?. Nak jadi orang yang macam mana?

Selama ini mungkin ramai orang yang fikir nak jadi apa. Nak jadi cikgu, nak jadi pensyarah, nak jadi doctor dan sebagainya.

Tapi yang kita perlu fikir juga, kita nak jadi pensyarah yang macam mana atau guru yang macam mana?

Bagaimana keperibadian kita sebagai seorang guru, pensyarah dan sebagainya.

Bagaimanakah bentuk sumbangan yang boleh kita berikan kepada agama, bangsa dan Negara dengan kedudukan kita sebagai guru dan pensyarah.

Yang saya fikir, guru-guru atau pensyarah-pensyarah perlu berjiwa Islam, berkeperibadian Islam, mempunyai kefahaman Islam yang betul dan tahu hala tuju ke arah mana hendak dibawa orang-orang di bawah mereka.

Saudara golongan terpelajar bolehlah fikir-fikirkan perkara ini. Saya sekadar menyuarakan pandangan. Saya bukan golongan terpelajar atau ahli agama.

Saya memberikan penekanan kepada proses perubahan yang kita kena lalui dalam hidup kita. Supaya kita beberapa tahun akan datang lebih baik daripada kita pada hari ini.

Wallahu a’lam..

Tuesday, March 30, 2010

Tidakkah ini membimbangkan saudara?


sumber dari devian art

Satu laporan di akhbar The Star melaporkan bahawa jumlah anak luar nikah yang dilaporkan ke Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2005-2009 adalah sejumlah 109,199. Dengan lebih tepat lagi jumlah itu adalah seperti berikut:-
• 2005 – 22,512
• 2006 – 24,139
• 2007 – 21,648
• 2008 – 17,953
• 2009 – 22,937
Melihat kepada data yang diberikan, hitung panjang anak luar nikah yang dilahirkan pada satu hari bagi tahun 2009 ialah lebih kurang 60 orang.
Ini jumlah yang dilaporkan. Bagaimana jika dicampur dengan jumlah yang tidak dilaporkan? Kita tidak pasti. Yang pasti negara kini dibanjiri oleh manusia-manusia yang tidak mengenal bapa mereka, mengalami kesukaran untuk hidup dan ditolak oleh masyarakat.

Mereka menjadi terasing dari masyarakat dan merasa rendah diri. Ada yang terpaksa membatalkan perkhawinan apabila pihak di sebelah pasangan mengetahui yang bakal isteri atau suaminya adalah anak luar nikah.

Dalam keadaan hidup penuh tekanan dan penghinaan dari masyarakat ini adakah mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna? Atau mereka hanya sekadar akan mengulangi perbuatan ibu bapa mereka saja?.

Masyarakat semakin rosak. Bukan mustahil kalau keadaan seperti ini berterusan, mungkin satu hari nanti perkara seperti ini boleh berlaku kepada jiran kita, saudara kita dan keluarga kita sendiri.

Siapakah yang hendak kita persalahkan di atas perkara yang berlaku? Tuduh menuduh tidak dapat menyelesaikan masaalah.

Sudah sampai masanya bagi kita untuk sama-sama menggembelingkan tenaga, mengggunakan apa saja ruang yang terbuka memerangi kemungkaran ini.

Saturday, March 27, 2010

Identiti Muslim Sejati (Siri 1)


Dalam hidup ini, kita memahami bahawa untuk mencapai sesuatu perkara yang besar perlu kepada persediaan. Begitu juga untuk melaksanakan tuntutan dakwah. Tugas yang besar dan agung ini terletak di atas bahu para daie yang bersedia melaksanakannya serta memahami tuntutan-tuntutannya. Sebagaimana kata-kata yang biasa didengari oleh seorang daie ‘Aslih nafsak wad’u ghoirak’ (perbaikilah dirimu dan serulah orang lain).

Marhalah ini dikira sebagai marhalah yang paling penting yang akan dilalui oleh para daie. Ia merupakan asas yang akan terbina di atasnya marhalah-marhalah berikutnya. Umpama tiang konkrit yang menguatkan komposisi sesuatu bangunan, begitulah pentingnya individu muslim dalam pembentukan sebuah masyarakat Islam.

Di antaranya seorang muslim itu akan bertarung dengan nafsunya, yang mana akan sentiasa hidup bersamanya pertembungan yang berterusan sehingga akhirnya ia mampu memandu serta menghalanya ke arah matlamat dan tuntutan Manhaj Islam.

Inilah juga yang dinamakan tarbiah kendiri. Berkata Iman Hasan Al-Banna ketika melalui marhalah ini: ‘wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami’.

Antara perkara yang perlu ada pada diri seseorang daie ialah:

1) Memiliki fizikal yang kuat
Setiap Muslim wajib mengetahui bahawa untuk melaksanakan tugas amal Islami, tanggungjawab serta bebanan yang ada padanya tidak akan terlaksana melainkan dengan memiliki badan yang sihat dan kuat. Kita memahami bahawa tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa tanpa perlu kepada kesungguhan dan perancangan yang teliti.

Bangunan yang tampak megah berdiri akhirnya akan tumbang jika hakikatnya tidak ada tiang-tiang konkrit yang kuat dan kukuh. Begitulah diibaratkan seorang daie yang lemah dan sering sakit akan mudah putus asa dan bermalas-malasan dalam melakukan sesuatu perkara. Selain itu, Allah S.W.T mengurniakan badan yang sempurna dengan segala pancaindera adalah supaya kita bersyukur dan menjaganya dengan baik demi melaksanakan amal ibadah kepada-Nya.

Rasulullah S.A.W juga pernah menegaskan perihal pentingnya penjagaan badan serta menjaganya dari terkena penyakit, supaya anggota ini mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dituntut oleh Islam dengan sebaik-baiknya. Berkaitan dengan ini sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah dari mukmin yang (dhoif) lemah”. Juga maksud sabda baginda s.a.w. lagi: “Sesungguhnya bagi jasad kamu ada hak ke atas kamu (penjagaan)”.

Bahkan jika kita mengkaji sirah kita akan mendapati bahawa Rasulullah S.A.W dan para sahabat memiliki kekuatan fizikal yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Mereka berjuang di medan perang umpama singa yang lapar. Kita meyakini di samping bantuan Allah yang dijanjikan kepada mereka, semuanya ini tentu sekali memerlukan persediaan yang rapi dan mantap juga strategi yang tersusun.

Nabi S.A.W dan para sahabat memahami bahawa kemenangan bukan sahaja akan tercapai dengan keimanan yang teguh, tetapi juga dengan usaha dan persediaan yang penuh kesungguhan. Benarlah firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri mengubahnya” (ar-Ra’d: 11).

Aspek fizikal dan kekuatan adalah penting bagi seorang muslim terutama untuk menghadapi musuh atau menghadapi situasi-situasi yang sukar dan mencabar. Dalam sebuah hadith Nabi S.A.W pernah bersabda, “Ajarilah anak-anakmu berenang, memanah dan menunggang kuda.” Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim yang memahami betapa syumulnya Islam, amat perlu bagi kita mementingkan latihan-latihan fizikal seperti olahraga, semua permainan yang menguatkan tubuh, berjoging, berenang, memanah dan sebagainya.

Semuanya ini merupakan wasilah untuk kita menyihatkan tubuh badan dan mengeluarkan peluh selain dari aktiviti-aktiviti lain yang seumpamanya.

Sirah juga pernah mencatatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bergusti dengan seorang pegusti yang handal ketika itu, dan baginda S.A.W berjaya mengalahkannya! Padahal Rasulullah S.A.W lebih tua dan berumur. Bayangkan, baginda S.A.W mula berjihad ketika berumur 50-an. Jika zaman ini, dengan umur yang sama, tentu ramai yang sudah bergelar datuk dan mempunyai cucu, tidak mampu berjalan jauh apatah lagi bersukan. Agak menyedihkan apabila ada yang menganggap bahawa sukan sudah tidak penting lagi bila mencapai usia dewasa.

Lebih menyedihkan ada segolongan mahasiswa yang berpendirian begitu. Mereka memberi alasan sibuk dengan pengajian, tidak cukup masa dan sebagainya. Ini adalah satu kefahaman yang silap.

Dalam hal ini As-Syahid Imam Hasan Al-Banna juga telah memberi beberapa panduan dan nasihat untuk individu muslim supaya mengambil berat tentang fizikalnya, katanya:

‘Wajib ke atas individu muslim membuat pemeriksaan doktor, dan berikhtiar mengubati penyakit sekiranya ada penyakit. Hendaklah menitik berat atas sebab-sebab yang boleh memberi kekuatan pada fizikal dan juga penjagaan kesihatan. Beriltizam dengan riadah sekalipun hanya dengan berjalan kaki, dan juga hindari daripada mengambil terlalu lebih manisan dan selainnya yang boleh memberi mudharat pada kesihatan’.

Kesimpulannya, amat penting kita menjaga:

1) Kesihatan badan dan hindari daripada penyakit. Kesihatan badan mempunyai pengaruh terhadap jiwa dan akal. Orang-orang dahulu berkata: Akal yang sihat berada dalam tubuh yang sihat. Tubuh yang sakit tidak mampu melaksanakan tugas-tugasnya. Oleh itu perlu diberi perhatian yang sewajarnya terhadap kebersihan, pemeliharaan kesihatan dan perubatan, begitu juga kita perlu menjauhi kebiasaan yang merugikan seperti berjaga sehingga jauh malam, merokok dan sebagainya. Selain itu kurangkan minuman berkafein seperti kopi dan teh serta hentikan merokok sama sekali.

2) Kekuatan jasmani dan keterampilannya. Hal ini kerana, penjagaan tubuh badan tidaklah mencukupi jika sekadar terhindar dari penyakit saja, bahkan harus kuat, bertenaga, berketrampilan serta mampu bergerak dengan cepat dan mudah. Buatlah jadual harian atau mingguan untuk riadah sama ada secara individu atau berkumpulan.

3) Stamina dan ketahanan tubuh. Kesihatan dan kekuatan tubuh tidaklah memadai, selama ia tidak terbiasa, menahan derita mengatasi kesulitan serta sedia menghadapi bermacam-macam situasi seperti panas dan dingin, daerah lembah dan tanah berbukit-bukit, keuntungan dan kerugian. Oleh sebab itu orang mengatakan “Biasakanlah hidup susah kerana nikmat itu tidak kekal.”

4) Pemakanan yang seimbang dan amalkan memakan makanan yang memang diakui boleh mengubati penyakit seperti madu, habbatus sauda’ dan lain-lain.

Sumber: Laman Web ISMA-Mesir Cawangan Tanta

Thursday, March 25, 2010

Tabiat Dakwah



Sesungguhnya tugasan dakwah atau menyeru kepada kebaikan merupakan sunnah para Nabi sepanjang zaman sehinggalah Nabi Muhammad saw.
Kewajipan ini tidak hanya terhad kepada golongan berpendidikan agama semata-mata, bahkan ia seharusnya sama-sama dipikul oleh setiap mereka yang bersaksi ‘Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah’.Persaksian ini merupakan suatu momentum besar untuk kita bekerja menyampaikan risalah Islam kepada manusia.

Puji dan syukur kepada Allah, dewasa ini, semakin ramai yang menyedari hakikat kewajipan ini. Justeru, kita melihat lahirnya golongan muda yang begitu bersemangat menyampaikan kefahaman Islam yang syumul. Niat mereka suci bersih semata-mata demi mencari rahmat dan keredhaan Allah swt. Pagi dan petang mereka dibasahi keringat yang bakal menjadi hujah bagi mereka kelak di hari mereka berhadapan dengan Tuhan mereka.

Namun, dalam kesungguhan dan semangat ini, setiap pendakwah itu perlu sentiasa peka dengan ciri-ciri khusus pada dakwah ini agar usaha dakwah ini tidak lari dari matlamat asalnya; rahmat dan redha Allah swt. Juga agar usaha dakwah ini akan terus berkembang dan menjadi asbab keberhasilan memandu masyarakat kembali kepada Islam.

Antara ciri khusus dakwah ini; Bertepatan amal dengan lisan.

Firman Allah swt: [61:3] “Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.

Demikian kerasnya amaran daripada Allah swt agar kita menjaga perlakuan kita supaya selari dengan apa yang kita serukan. Seorang pendakwah seharusnya menjadi cerminan kepada seruannya. Amatlah malang jika seorang pendakwah itu pada suatu masa menyeru kepada kebaikan dan pada masa yang lain dia gagal melakukan kebaikan itu.
Demikian juga amatlah malang jika seorang pendakwah itu pada suatu masa menghalang suatu kemungkaran dan pada masa yang lain dia gagal menghalang dirinya sendiri dari kemungkaran itu. Lebih dari itu, seorang pendakwah yang gagal melaksanakan ciri khusus dakwah ini akan menjadi fitnah kepada dakwah itu sendiri. Natijahnya, masyarakat akan mula memandang serong kepada usaha dakwah kerana tiadanya qudwah atau ikon yang dapat mereka jadikan contoh dalam melaksanakan Islam secara praktikal.

Antara ciri khusus dakwah ini; Rabbaniah.

Selain usaha dakwah yang berterusan, seorang pendakwah itu perlu meletakkan pergantungannya semata-mata kepada Allah kerana hidayah itu adalah hak mutlak Allah swt. Demikian firmanNya dalam surah al-Qasas ayat 56. Maksudnya; “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)” . [28:56]

Justeru, ciri rabbaniah pada dakwah ini menuntut setiap pendakwah supaya sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah swt iaitulah dengan memperbanyakkan amalan sunnah seperti tilawah al-Quran, zikir-zikir yang ma’thur daripada sunnah, doa, qiamullail, puasa serta solat selain ibadah wajib yang telah difardhukan.

Antara ciri khusus dakwah ini; Amal Jamai’e

Firman Allah swt dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.Demikian juga sabda Nabi saw: “Bagi setiap Nabi ada penolongnya (hawariy), dan penolongku Zubair anak bapa saudaraku”.

Demikian dua dalil dari sekelian banyak dalil daripada sirah dakwah yang panjang membuktikan bahawa usaha dakwah ini memerlukan kepada gerak kerja bersama. Individu yang berdakwah secara berseorangan kebiasaanya akan cepat berasa lemah apabila berhadapan dengan cabaran serta ujian terutama ketika berhadapan dengan pelbagai ragam dan sifat manusia.
Berlainan dengan usaha dakwah secara berkelompok (amal jamaie), setiap penggerak dakwah dalam kelompok ini akan saling memperkuatkan antara satu sama lain. Bahkan budaya saling menasihati antara mereka juga akan memastikan tujuan dan matlamat asal dakwah untuk mencari keredhaan Allah tidak dicemari oleh tujuan duniawi yang pastinya bersifat sementara.

Antara ciri khusus dakwah ini; Bijak mencari peluang

Seorang ahli perniagaan yang berjaya akan sentiasa mengintai-intai peluang untuk menambah keuntungan serta meluaskan perniagaannya. Demikian juga dengan perniagaan kita dalam medan dakwah. Keberhasilan kita dalam usaha dakwah selain hakikatnya merupakan kurniaan daripada Allah swt adalah banyak bergantung kepada sejauh mana kita bijak mencari peluang untuk menyampaikan fikrah Islam itu.
Medium penyampaian dakwah dewasa ini tidak lagi hanya terhad di mimbar-mimbar masjid atau di pondok-pondok pengajian. Pendakwah yang baik perlu bijak memanfaatkan perkembangan teknologi dalam usaha dakwahnya. Banyak lagi bidang perlu dikuasai oleh para pendakwah bagi memastikan usaha dakwah ini selari dengan perkembangan semasa.
Demikian 4 ciri khusus yang seharusnya ada pada pendakwah agar usaha dakwah ini dapat dilaksanakan dengan sempurna diiringi doa yang berterusan supaya akhirnya menjadi asbab kembalinya Islam di tempat asalnya. Maka wahai sekalian saudaraku, marilah ke medan amal!

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Tuesday, March 23, 2010

Berita...Maklumat...





Berita….maklumat….
Setiap bermulanya hari baru, kita akan cari berita, akan cari maklumat. Kita akan dapatkan berita dan maklumat dari akhbar… dari peti televison….dari komputer/internet, dari kawan-kawan di kedai kopi dan lain-lain lagi.

Apa yang berlaku di tempat kita?….Apa yang berlaku di dalam negara kita?…. Apa yang berlaku di negara-negara lain? Begitu kuat keinganan untuk mengetahui maklumat-maklumat tersebut.

Apabila bermulanya hari baru kita tidak sabar-sabar lagi untuk membuka internet, membuka blog-blog tertentu untuk mendapatkan maklumat-maklumat dan bahan-bahan terkini. Membuka e mail dan facebook untuk melihat kalau-kalau ada sesiapa yang menghantarkan sebarang maklumat untuk kita.

Masyarakat hari ini sudah sebati dengan perkara-perkara seperti itu..Kalau satu hari tak belek surat khabar, tak buka internet, tak tengok t.v. , rasa macam ada benda yang tak kena ….Apa lagi kalau seminggu…atau sebulan….tak ada surat khabar, t.v. dan internet.

Apa yang saya sebutkan di atas hanya sekadar untuk membuat perbandingan dengan kesungguhan kita untuk menatap, membaca dan mendapatkan maklumat-maklumat daripada al Quran. Al Quran adalah kalamullah..ditujukan khusus kepada kita semua sebagai petunjuk dan panduan.

Tetapi bagaimanakah layanan kita terhadap al Quran. Berapa ramai daripada kita yang tidak boleh membaca al Quran? Berapa ramai daripada kita yang membelek atau membaca al Quran hanya sekali sekala…dan seterusnya………

Jangan hairan apabila melihat kerosakan akhlak muda mudi pada hari ini. Puncanya kerana kita telah meninggalkan petunjuk dan panduan yang Allah turunkan untuk kita.

Marilah sama-sama kita kembali mendekati Al Quran. Bermula dengan membacanya dengan betul….memahami maksud atau makna ayat-ayatnya….dan akhirnya sehingga kita merasa tidak selesa jika dalam satu hari kita tidak membaca al Quran.

Yang sebenarnya peringatan ini ditujukan untuk diri saya juga..Wallahu a’lam..

Sunday, March 21, 2010

Iktibar dari 'Tangan'





Tangan.

Satu anggota daripada badan yang Allah anugerahkan kepada kita. Cuba bayangkan, apakah yang boleh kita lakukan tanpa tangan?

Dengan tangan kita menyuap makanan, menggosok seluruh badan ketika mandi,menyarungkan pakaian ke badan……

Tangan akan mengusap bahagian badan yang sakit, membersihkan bahagian badan yang kotor.

Tangan akan diangkat tanda menyokong, tanda setuju, tanda sanggup untuk melakukan sesuatu tugas…dan ketika berikrar janji.

Ketika air mata mengalir, kesedihan…tangan yang memainkan peranan untuk menyekanya.

Tangan dihulurkan ketika kita bersalam…memeluk sahabat kita yang lama berpisah.

Tangan akan kita tadahkan ke atas ketika berdoa…..tanda pengharapan…

Oh…tangan ..begitu banyak tugas yang kau lakukan….

Begitu banyak rahsia disebalik penciptaanmu.

Adakah kita sanggup menjadi insan semulia tangan?
Insan yang sanggup berkorban untuk keselesaan orang lain?
Menyumbangkan masa dan tenaga
Untuk kesejahteraan manusia…..

Saturday, March 20, 2010

Berikanlah kemaafan....



Picture by xxkiriku

Maafkanlah kesalahan orang kepada kamu. Janganlah kamu simpan kemarahan itu berpanjangan. Di dalam perjalanan hidup, seseorang tidak akan lepas daripada melakukan salah dan silap. Ramai orang yang sedar atau insaf di atas kesilapan yang pernah dilakukan oleh mereka terhadap orang lain. Akhirnya mereka menjadi orang yang baik-baik.

Sedarlah...diri kita juga banyak melakukan kesilapan. Jangan kita rasa menyesal yang berpanjangan di atas kesilapan kita. Kerana ianya telah berlalu...terimalah ia sebagai satu taqdir. Maafkanlah diri sendiri di atas kesilapan yang telah lalu.

Disebalik kesilapan yang telah dilakukan, mungkin ada hikmah yang tersembunyi. Ada pengajaran yang boleh diambil. Pengalaman yang lalu mengajar kita menuju kedewasaan. Kedewasaan dalam berfikir dan bertindak. Sekali kita rebah, kita akan lebih berhati-hati supaya tidak rebah untuk kali seterusnya.

Masa-masa yang kita lalui di dalam hidup ini adalah berupa rawatan....yang boleh mematangkan lagi pemikiran kita.

Jangan lupa kepada PROSES PERUBAHAN yang di sebut sebelum daripada ini. Bahawa perubahan diri kita perlu melalui proses-proses dalaman diri kita. Proses yang perlu berjalan secara berterusan. Mentarbiyah diri kita, hati, jiwa dan perasaan kita. Selalu muhasabah diri....selalu mendekatkan diri dengan Allah.....Selalu bermunajat, berdoa, memohon kekuatan dan petunjuk dari Allah.

Biarlah peningkatan Iman berlaku sedikit demi sedikit daripada tidak meningkat langsung. Yang penting kita perlu pastikan kita berada di atas landasan yang betul, yang boleh menyampaikan kita kepada destinasi yang dituju.

Tuesday, March 16, 2010

kOLEKSI bERITA bUANG bAYI

Oleh Mohd Fadly Samsudin

HILANG akal! Itu gambaran sikap melampau remaja yang terjerumus dalam aktiviti seks luar nikah sehingga ‘bunting’ anak haram lalu membuang atau membunuh zuriat itu tanpa berperikemanusiaan.



SIASAT…anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai



TIDAK BERHATI PERUT…bayi yang dibungkus dengan plastik hitam diletakkan di tempat pembuangan sampah di Taman Wahyu, Kepong.
Kes pembuangan bayi kian menjadi-jadi dan lebih memalukan, jenayah itu dilakukan remaja Melayu beragama Islam yang dikatakan memiliki adab serta akhlak yang tinggi. Pelik kerana hari ini masyarakat mempunyai tahap pemikiran yang baik, asas agama kuat, tinggal dalam suasana aman dan damai dan penuh ciri ketimuran. Tetapi, mengapa perkara ini masih berlaku? Jika dikaji, memang tidak dinafikan perhubungan seks bebas mendorong gejala pembuangan bayi. Apabila sudah mengandung dan bagi mengelak malu kepada keluarga, cara mudah ialah membuang atau membunuh bayi itu.
Sudahlah melakukan dosa berzina, selepas itu tergamak membunuh zuriat sendiri tanpa rasa bersalah, lebih buruk berbanding haiwan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (Surah Al-Israa’ ayat 32) Memang benar manusia secara fitrah memerlukan seks. Justeru, Islam menggalakkan manusia berkahwin supaya hubungan yang sebelumnya haram menjadi halal.
Bayangkan wajah kudus zuriat yang dilahirkan, adakah si ibu sanggup membunuh makhluk itu sedangkan dia bersusah payah mengandung selama sembilan bulan? Bagi setiap wanita yang merasai saat melahirkan bayi, ia ibarat di persimpangan, antara hidup dan mati. Kesakitan ketika bersalin diibaratkan yang kedua tersakit selepas kesakitan Izrail datang mencabut nyawa. Sebagai manusia waras, tentu kita tidak dapat membayangkan bagaimana seorang wanita sanggup melahirkan bayi dan membuang atau membunuh bayi itu dalam masa yang sama.
Sudah terlalu kerap berita penemuan bayi yang menjadi tajuk utama media massa. Tong sampah, kubur, semak, sungai, kaki lima, lubang tandas, malah kawasan masjid juga menjadi sebahagian kawasan pembuangan bayi.

Bayi yang ditemui amat jarang sekali masih bernyawa kerana kebanyakannya sudah meninggal dunia akibat dihurung semut atau hilang anggota badannya kerana ‘dimamah’ haiwan liar.
Ada juga yang meninggalkan bayi mereka dengan menulis nota seperti ‘tolong kebumikan mayat ini.’ Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan bayi ketika ini adalah kerana mereka mahu menutup aib serta bimbang diketahui keluarga. Ke mana hilangnya sifat perikemanusiaan dalam diri masyarakat sekarang kerana bayi adalah kurniaan Allah yang tiada nilainya? Jika zaman sebelum Islam, masyarakat sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, apa bezanya masyarakat hari ini? Perbuatan membuang dan membunuh bayi ibarat perlakuan jahiliyah moden yang tidak boleh dimaafkan.
Al-Quran dan Sunnah mengingatkan kita bahawa setiap ciptaan Allah di muka bumi ini amat berharga. Bukan saja manusia dan haiwan, malah tumbuhan pun dilarang dicabut hidup-hidup. Perbuatan segelintir mereka melakukan perkara terkutuk terbabit turut memberi impak buruk kepada umat Islam. Firman Allah dalam bermaksud: “Tidakkah patut bagi setiap mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain mengenai urusan mereka.” (Surah al-Ahzab ayat 36) Justeru, ibu bapa perlu memastikan pembentukan sahsiah anak menepati ciri Islam sejati. Budaya hidup bebas terutama perlu diberi perhatian serius kerana dikhuatiri ‘lesen’ berkenaan akan merencatkan pembinaan watak dalam diri anak mereka. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab.” (Riwayat Bukhari) Manusia yang ditakrifkan sebagai jahil adalah mereka yang tiada hati dan akal fikiran. Mereka tidak berpijak di bumi nyata sehingga berani melakukan sesuatu di luar pertimbangan. Tiada guna jika mereka hanya malu kepada masyarakat, tetapi bukan kepada Allah s.w.t. Remaja perlu segera insaf dan sedar bahawa hidup pada zaman remaja hanya seketika. Maka mereka perlu bijak memilih jalan kehidupan yang sempurna. Pensyarah Jabatan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata tanda manusia hari ini kembali semula ke zaman jahiliah bukan bermakna mereka tidak berilmu, tetapi kerana nilai kemanusiaan sudah hilang.
“Perbuatan membunuh anak mengatasi nilai hidup kebinatangan. Binatang mungkin membunuh anak mereka ketika dilahirkan, tetapi kebanyakannya atas faktor survival (dijadikan makanan).
“Naluri keibubapaan tetap menganggap perbuatan berkenaan salah. Perbuatan itu tetap tidak dapat menghapuskan kesalahan yang mereka lakukan,” katanya.
Beliau berkata, Islam amat menekankan aspek pencegahan dan sebab itu Allah melarang mendekati apatah lagi melakukan zina.
“Zina adalah dosa besar. Ia merosakkan sistem keturunan manusia kerana jika sudah terlanjur pasti membawa kepada mengandung anak luar nikah.
“Sebenarnya tiada alasan mereka membunuh dan membuang anak yang tidak berdosa berkenaan,” katanya.
Menurutnya, manusia hilang nilai kemanusiaan kerana mereka hidup bertuhankan nafsu. “Imam al-Ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu,” katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’araf ayat 179)Mayat bayi ditemui dalam longkang
KUCHING 6 Mac – Selepas isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen baru-baru ini, kini muncul lagi kes yang sama.

Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.

Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.

“Siasatan awal mendapati, bayi terbabit dipercayai dibuang dan meninggal dunia pagi ini.

“Ketika ditemui, keadaan bayi itu masih mempunyai tali pusat serta ada kesan darah. Ia dibalut dengan sehelai kain tuala,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kock Keong berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.


Jurujual wanita ditahan disyaki buang bayi
SEGAMAT 1 Mac – Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di sini baru-baru ini.

Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan di rumahnya di Taman Segamat Baru pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Md. Ali berkata, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat bayi tersebut.

Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Rabu lalu, seorang kakitangan di sebuah pusat latihan memandu gempar apabila menemui bungkusan berbau busuk yang ditinggalkan di dalam tandas wanita.

Bungkusan plastik yang ditemui dalam sebuah tangki air tandas itu kemudian diperiksa oleh pihak polis sebelum disahkan sebagai mayat seorang bayi.

Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mengesahkan jantina bayi itu adalah lelaki, dipercayai dilahirkan kira-kira dua hingga lima hari sebelum mayatnya ditemui.

ARKIB : 23/02/2010



Banyakkan Rumah Perlindungan
Apakah hak perlindungan dari segi kelahiran bayi menurut undang-undang ke atas ibu yang hamil di luar nikah ini? NOOR AZIAH: Sebenarnya semua wanita sama ada yang berkahwin atau pun tidak berhak kepada penjagaan semasa mengandung dan melahirkan anak. Penjagaan mengikut piawaian antarabangsa kerana kita sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Kita juga menandatangani konvensyen berkaitan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) di mana artikel 12 menjelaskan bahawa:1) Negara yang menjadi ahli kepada konvensyen hendaklah membuat cara sesuai untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam hal kesihatan untuk memastikan, dan berasaskan kesamarataan di antara lelaki dan wanita, mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk perancangan keluarga;2) Apa pun yang dinyatakan oleh para (1), negara ahli hendaklah memastikan setiap wanita mendapat perkhidmatan kesihatan berhubung dengan kehamilan, semasa berpantang dan selepas melahirkan anak, memastikan semua perkhidmatan adalah percuma di mana-mana yang perlu serta pemakanan yang berkhasiat semasa mengandung dan menyusukan anak.Jika dilihat dari konvensyen ini, Malaysia terikat dengan artikel 12 kerana kita telah menandatangani dan meratifikasi CEDAW. Maka setiap wanita mempunyai hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan semasa mengandung, semasa melahirkan anak dan semasa menyusukan anak.Perlindungan yang mereka berhak perolehi adalah hak perkhidmatan kesihatan. Oleh yang demikian, tanpa mendiskriminasi, semua wanita yang hamil berhak kepada perlindungan ini dan hospital di Malaysia mesti atau wajib memberikan mereka perkhidmatan tersebut.Jika yang hamil luar nikah, Akta Kanak-kanak 2001 membuat peruntukan perlindungan bagi gadis yang mengandung luar nikah di mana seksyen 41(2)(d) membenarkan kanak-kanak perempuan berumur bawah 18 tahun yang mengandung luar nikah ditempatkan di tempat selamat di atas permohonannya sendiri untuk ditempatkan sedemikian.Dua peruntukan ini memberi perlindungan perundangan kepada ibu yang mengandung tanpa nikah terutama jika ibu tersebut masih kanak-kanak.Di hospital atau di rumah perlindungan, tentu mereka mendapat jagaan yang rapi untuk membolehkannya melahirkan anak dengan selamat dan semasa mengandung mendapat jagaan yang rapi termasuk makanan berkhasiat.Bagi gadis di bawah 16 tahun, kehamilannya adalah disebabkan rogol (kesalahan jenayah mandatori – mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah 16 tahun) dan pelaku boleh dihukum penjara dan rotan.Bagi wanita Islam, jika kehamilan tidak disebabkan rogol malahan kerana perzinaan secara suka sama suka, maka ia adalah suatu kesalahan jenayah syariah jika didakwa dan disabitkan.Pasangan yang berzina boleh dipenjara sehingga 3 tahun, atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya. Jika wanita tersebut sedang hamil, hukuman boleh ditangguhkan sehingga beliau melahirkan anaknya.Apakah punca sebenar kes-kes begini berdasarkan kajian? NOOR AZIAH: Saya baru selesai menjalankan kajian yang bertajuk ‘Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia’. Kajian ini saya buat bersama tiga rakan yang lain iaitu Dr. Che Norlia Mustafa, Mohd Al Adib Samuri dan Hafilah Musa.Dalam kajian, saya menemu bual 58 responden yang hamil luar nikah dari sebuah rumah perlindungan. Apabila ditanya kenapa mereka mengandung luar nikah mereka menjawab sedemikian:Alasan / Punca Kejadian dan Kelahiran Anak Tidak Sah Taraf

Suka sama suka (23 kes)
Terlalu percayakan lelaki sebagai kekasih (8 kes)
Suka bebas/terlalu bebas (6 kes)
Ingin mencuba seks (3 kes)
Kurang didikan agama (2 kes)
Dirogol (11 kes)
Pengaruh kawan-kawan
(7 kes)

Sebab-sebab lain seperti tekanan keluarga, diabai ibu bapa, jika mengandung ibu bapa akan bagi kahwin dan lain-lain.Bagaimana mengambil jalan tengah antara membantu ibu yang hamil luar nikah dengan hukuman? NOOR AZIAH: Sebenarnya tiada jalan tengah dalam isu mengandung luar nikah. Kita semua manusia yang dijadikan Allah sebagai hambanya. Kita semua ada peranan masing-masing dalam kehidupan seharian kita di dunia ini.Dunia kita hari ini telah terlalu moden dan mendidik anak di dunia yang serba moden dan tanpa sempadan ini bukanlah suatu perkara yang mudah.Perlakuan seks bebas di kalangan remaja kita semakin menjadi-jadi. Ini bukan soal tiada didikan agama atau ibu bapa kurang peka. Godaan amat besar dan anak-anak kita teruja minda, emosi dan iman.Bagi kanak-kanak perempuan, jika hamil luar nikah, mereka tidak ditangkap. Mereka diberi perlindungan jika berumur bawah 18 tahun. Bagi yang atas 18 tahun, biasanya juga tidak ditangkap kecuali selepas melahirkan anak, mereka tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tiada surat nikah.Mereka boleh mendaftarkan kelahiran anak dan memberi anak nama tapi anak tak ada nama ayah. Itupun setahu saya Jabatan Pendaftaran Negara tak pernah lapor kepada pejabat agama pun. Biasanya tindakan pendakwa syarie akan dibuat berasaskan siasatan dan aduan.Sebenarnya menjadi kewajipan semua orang Islam menghalang kemungkaran berlaku. Dalam kes ini ia telah berlaku. Yang perlu ialah pesalah menjalani hukuman dunia terhadap kesalahannya.Sebagai orang Islam, dia mesti tahu bahawa berzina itu berdosa besar dan mesti dihukum. Jika tiada tindakan diambil, maka yang melakukan kesalahan tidak akan merasa berdosa dan bersalah. Salah tetap salah.Tetapi anak luar nikah yang dilahirkan itu tidak bersalah. Maka jika ibunya tidak berkemampuan maka kerabatnya berkewajipan melindungi anak tersebut dan jika tiada, maka kerajaanlah bertanggungjawab terhadapnya.Sebagai langkah pertama, ibu yang mengandung luar nikah hendaklah dipastikan sebab dia mengandung luar nikah. Jika sah kerana zina, dia mesti menjalankan hukuman selepas melahirkan anaknya.Dia juga perlu dibantu untuk boleh hidup berdikari selepas menjalani hukuman. Hukuman itu pula mesti memberi kesan kekesalan, keinsafan dan bukan rasa benci terhadap agama atau penghukumnya.Masyarakat kita umumnya sukar memberi sokongan kepada mangsa terlibat. Adakah ini turut menyumbang kepada peningkatan kes membuang bayi?NOOR AZIAH: Masyarakat kita masyarakat yang berpegang kepada adat dan agama. Namun dalam masa yang sama kita lebih senang menghukum dari membantu mangsa.Kata orang “berat mata memandang, lebih berat bahu memikul”. Tiada seorang wanita pun mahu mengandung luar nikah jika diberi pilihan. Semuanya berlaku di atas kehendak Allah dan kita mesti melihatnya sebagai pengajaran dan perlu diambil iktibar.Malangnya kita manusia yang sangat lemah. Apabila kejadian seperti ini berlaku, kita tuding jari, cari salah siapa. Dah berlaku, semua orang salah… ibu bapa salah, masyarakat salah…pemimpin salah, semua salah…Jangan cari salah.Cari macam mana nak hindar dan baiki keadaan. Sebab itu apabila tahu saja mengandung, anak gadis panik. Lari dari rumah, cuba gugurkan dan akhirnya jika semua ikhtiar gagal, mereka buang bayi.Fikiran mereka buntu dan mereka tiada siapa nak mengadu. Semua salahkan mereka, mereka juga malu. Saya yakin memang sikap kita secara tak langsung menyumbang kepada pembuangan bayi.Bagi yang tidak kena batang hidung, mereka tidak melihat perlunya diwujudkan rumah persinggahan untuk golongan ibu hamil di luar nikah ini. Kata mereka, ia hanya akan mendorong lebih banyak kes sedemikian. Benarkah NOOR AZIAH: Rumah Perlindungan atau Persinggahan untuk ibu yang hamil sangat perlu kerana ia boleh mengurangkan jumlah pembuang bayi. Tapi ia mestilah tanpa syarat dan no question ask?Kita bukan nak galakkan mereka berzina. Itu anggapan yang biasa dibuat masyarakat umum. Itu anggapan salah. Rumah ini boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak.Kita boleh beri peluang untuk anak tak sah taraf hidup normal sebagai anak angkat. Ibu yang terlanjur boleh diberi peluang kedua membaiki hidupnya dan memulakan kehidupan yang baru. Mesti ada modul yang sesuai untuk memperbaiki diri dan sahsiah mereka.Kehamilan tidak akan berlaku tanpa penglibatan lelaki. Apa pula tindakan yang perlu diambil ke atas lelaki terlibat.NOOR AZIAH: Kata orang Inggeris, It takes two to tango. Yang malangnya, wanita membawa bukti yang jelas. Kita ada teknologi.Kita boleh buat DNA pada anak dan pada lelaki yang dikatakan menyebabkan seseorang wanita itu hamil. Kita hadapkan kedua-duanya ke mahkamah, jika Islam, lelaki mesti menjalani hukuman juga.Satu lagi ialah mereka patut diperintahkan membayar nafkah anak tak sah taraf tersebut bukan kerana nasab tetapi sebagai hukuman. Itu lebih berkesan kerana mereka akan lebih berhati-hati di masa akan datang.Saya pernah cadang dulu lelaki membayar diat (denda) kepada wanita yang dihamilkannya itu. Dia juga perlu membayar pampasan kepada anak biologinya.
Bayi lelaki ditemui rentung dalam tong sampah
13/02/2010 3:02pm


AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my


KUALA KRAI 13 Feb. – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan beberapa hari ditemui dalam keadaan rentung dalam sebuah tong sampah di belakang sebuah bank di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahim Che Ghani berkata, mayat bayi itu ditemui oleh seorang pekerja Majlis Daerah Kuala Krai kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya bayi malang tersebut dibuang ke dalam tong sampah berkenaan sebelum dibakar. – Utusan


Buang bayi tindakan kejam
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 11 Feb. – Betul-betul kejam. Kalau tak nak, bagi saja pada kita! Demikian reaksi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang terkejut dan kecewa dengan kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

“Saya bangun pagi tadi, terus baca tentang kes ini, ia betul-betul kejam. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku,” tegasnya.

Shahrizat ditemui pemberita selepas melancarkan jurnal antarabangsa Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang berlaku sejak Isnin lalu apabila mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah sehari kemudian.

Semalam, mayat seorang lagi bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka.

Shahrizat berkata, kejadian-kejadian itu menjadi satu petunjuk yang amat membimbangkan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.

“Ini menunjukkan masyarakat kita menghadapi tekanan. Sebab itu dalam hidup kita ini perlu ada keseimbangan. Kita lihat dulu perkara seperti ini tidak berlaku sekerap ini.

“Ini kerana dulu kita ada keluarga yang besar. Apa-apa terjadi pun bukan saja ibu bapa membantu, saudara-mara lain juga akan tolong. Tetapi kita lihat ia sudah tidak ada pada hari ini sebab struktur keluarga yang kian berkecai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan banyak lagi pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan wanita dan keluarga menyediakan bantuan kepada mereka yang tidak ada saluran lain untuk meminta pertolongan.

“Kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara. Kalau tak mampu hendak menjaga anak yang baru dilahirkan bagi pada kita, kita boleh jaga. Tolong jangan buat macam ini. Rumah-rumah perlindungan kita juga banyak.

“Setidak-tidaknya datang berjumpa pemimpin tempatan, Wanita UMNO pun boleh kalau sudah tidak tahu ke mana hendak minta bantuan lagi,” katanya.

Ketua Wanita UMNO itu memberitahu pergerakan itu dan NGO mempunyai kaunselor yang boleh membantu mereka yang bermasalah.

“Banyak orang nak bantu, kalau tak mampu bawa ke hospital atau balai polis. Saya percaya hospital akan terima,” tegasnya.

Apa yang penting bagi Shahrizat, perbuatan kejam dan tidak bertanggungjawab seperti membuang bayi tidak boleh dijadikan budaya dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai NIEW, Shahrizat berkata, pertubuhan itu akan menjadi penggerak kepada wanita di negara ini dan seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan dalam isu-isu wanita.

Katanya, NIEW juga diyakini dapat meningkatkan imej wanita terutama di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam segala hal.

“Kadang-kadang imej negatif terhadap wanita menjadi masalah kerana persepsi yang tidak dapat dihakis. Jadi NIEW perlu berusaha gigih untuk meningkatkan martabat wanita,” katanya.

Mayat Bayi Dibekal Ubat Semut Dan Gunting
09/02/2010 pada 11:39 pm · Dikirim dalam Isu Semasa, Kekejaman Terhadap Bayi

Tindakan mencurigakan dua lelaki yang membawa cangkul dan memecut laju motosikal melalui jalan tanah merah membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di Lorong Perusahaan Maju Lapan, berdekatan Juru Autocity, di sini, semalam.

Lebih memeranjatkan, penjenayah berkenaan boleh dikatakan ‘baik hati’ apabila meletakkan ubat anti semut, gunting selain membungkus bayi berkenaan menggunakan kain lampin.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum ditanam di belakang sebuah kilang.

Kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu disedari orang ramai selepas mendapati dua lelaki menunggang motosikal jenis MZ 125 dalam keadaan mencurigakan melalui jalan tanah merah itu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tidak diketahui bangsa itu didakwa membawa cangkul dan menunggang motosikal dalam keadaan laju.

“Apabila orang ramai ke tempat dua lelaki terbabit dipercayai menanam sesuatu, mereka menemui mayat seorang bayi lelaki dengan separuh badannya dari paras leher ke bawah tertanam.

“Berdasarkan fizikalnya, bayi ini cukup sifat dan berambut nipis, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, bayi itu sudah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119 atau balai polis berhampiran. ~~myMetro

Mayat bayi dalam tong sampah
Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my


--------------------------------------------------------------------------------



IPOH 30 Dis. – Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam tong sampah di kawasan rumah pangsa Jalan Asby di sini hari ini.

Bayi malang itu dijumpai oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang sedang bertugas memungut sampah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pekerja MBI itu yang sedang menjalankan rutin harian terkejut apabila menemui mayat bayi berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi dan terus melaporkannya kepada polis.

“Mayat bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Polis kini sedang mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

“Sehingga kini belum ada suspek yang ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu, Azisman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh atau menghubungi talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Mayat bayi itu, katanya, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.


“Dan apabila anak-anak yang ditanam hidup-hidup menyoal ‘Kerana dosa apa dia dibunuh’ ” (Surah At-Takwir : 8 – 9). Sejarah berulang. Jahiliyah Arab di zaman Nabi saw kini berulang di Zaman Internet, tidak mustahil berulang jika umat menjauhi petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.
Bayi perempuan tidak cukup bulan ditemui tertanam di tanah perkuburan



--------------------------------------------------------------------------------





SEREMBAN 30 Mac – Polis hari ini mengesahkan penemuan mayat bayi perempuan yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Senawang di sini pagi ini mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Mayat bayi yang baru berusia 14 minggu itu ditemui tertanam oleh seorang penjaga kubur setelah ternampak kesan tanah gembur serta kotak dipercayai bekas menyimpan mayat bayi malang itu di tanah perkuburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, penjaga kubur itu kemudian membuat laporan polis sebaik sahaja mengesan sesuatu yang aneh di tanah perkuburan tersebut.

“Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, penjaga kubur berkenaan membuat laporan polis tidak lama kemudian. Sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi tanah perkuburan itu.

“Hasil siasatan awal, polis menemui satu kotak dipercayai diguna untuk menyembunyikan mayat berkenaan dengan bahagian dalamnya terdapat kertas surat khabar dan bongkah tanah serta kesan lendir dan darah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Saiful Azly, polis kemudian menggali lokasi tanah itu dan menemui mayat seorang bayi perempuan berusia kira-kira 14 minggu dibungkus dengan kain putih seperti dikapankan dan ditanam di tanah perkuburan itu.

Difahamkan, Tanah Perkuburan Islam Senawang tersebut masih belum beroperasi untuk sebarang pengkebumian.

“Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit, kerana dipercayai mempunyai unsur jenayah,” tegasnya.

Ketika ini, kata beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab.

Sehingga kini juga, tambah Saiful Azly, belum ada tangkapan dibuat dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat.

Dipercayai, bayi malang itu meninggal dunia kerana tidak cukup bulan dan ditanam di tanah perkuburan itu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Polis juga sedang mengenal pasti keturunan bayi berkenaan dan akan menunggu laporan bedah siasat,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil membantu dan menghubungi mana-mana balai polis terdekat.

Bayi lelaki baru lahir ditemui
MERSING 21 Mac – UtusanOnline – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan pembuangan sampah di Pantai Air Papan, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rashid berkata, bayi malang itu ditemui seorang pengunjung yang baru tiba di pantai itu untuk berkelah pada pukul 10.30 pagi.

”Polis yakin bayi itu baru sahaja dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih mempunyai tali pusat dan tubuhnya masih berdarah,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, bayi yang kelihatan sihat itu dipercayai berketurunan Melayu. Dia kini dibawa ke Hospital Daerah Mersing untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

SUNGAI PETANI 14 Mei – Sungguh kejam. Gejala buang bayi kini kembali berulang. Kali ini, mayat bayi yang dilahirkan disembunyikan di bawah katil.
Seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai mengandung anak luar nikah sanggup menyembunyikan bayi lelakinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan di bawah katil di rumahnya, sebelum ditemui polis malam tadi.

Bayi lelaki yang cukup sifat seberat dua kilogram itu dipercayai dilahirkan pagi Sabtu lalu dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau, dekat sini.

Wanita yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di sini itu kemudian meninggalkan mayat bayi tersebut di bawah katil tanpa pengetahuan sesiapa.

Dia kemudian meminta bantuan saudaranya menghantar ke hospital kerana mendakwa ’sakit perut’.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian itu hanya disedari oleh pegawai perubatan Hospital Sik yang merawatnya dan mengesan tali pusat bayi masih tertinggal dalam rahim wanita berkenaan.

Menurutnya, wanita itu dikatakan tidak mahu memaklumkan kejadian tersebut kerana khuatir dimarahi oleh ahli keluarganya.

“Curiga dengan tindakan wanita itu, pegawai perubatan hospital kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

“Polis yang memeriksa rumah wanita itu menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat dibungkus dengan tuala dan diletakkan bawah katil,” katanya.

Kejadian buang bayi sebelum ini berlaku di Perak pada Isnin lalu apabila mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang sungguh menyayat hati di Masjid Simpang Lima, Kerian bersama wang tunai RM150 untuk urusan pengkebumian.

Sementara itu, Hashim memberitahu, ketika ditemui, bayi tersebut dalam keadaan hampir reput dan berbau busuk.

Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, mayat bayi terbabit dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat manakala wanita berkenaan ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut kerana mengalami pendarahan dalaman.

disalin daripada: inijalanku, blog ustaz Halim.

Tuesday, March 9, 2010

Meniti Perubahan...3

Apakah makna perubahan itu?

Saudaraku, cuba kita perhatikan, Allah menciptakan manusia ini melalui proses-proses perubahan daripada satu tahap ke satu tahap.

Mula-mula kita berada di alam RUH, kemudian di alam RAHIM. Selepas itu kita dilahirkan ke alam DUNIA. Seterusnya kita akan berada di alam BARZAH dan kemudian kita akan di bangkitkan di alam AKHIRAT.

Cuba kita lihat asal kejadian manusia itu sendiri, melalui ayat al Quran yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. Kemudian kami jadikan saripati itu air mani (yang disimpan) dalam tempat yang kokoh (rahim). Kemudian air mani itu Kami jadikan segumpal darah lalu segumpal darah itu kami jadikan segumpal daging dan segumpal daging itu kami jadikan tulang belulang, lalu tulang belulang itu kami bungkus dengan daging, kemudian kami jadikan dia makhluk yang (bentuk) lain. Maka Maha Sucilah Allah. Pencipta yang paling baik”. ( Surah Al Mukminun 12-14).Itulah proses-proses atau tahap-tahap perubahan yang manusia telah lalui.

Manusia dilahirkan sebagai bayi kecil. Yang hanya boleh buat beberapa perkara sahaja….. Kemudian boleh meniarap, merangkak, bangun berdiri, berjalan, berlari, memanjat, selam scuba, pergi sampling dan macam-macam lagi.



Allah sendiri, yang lebih memahami tentang kejadian manusia, telah menurunkan al Quran secara bertahap atau berperingkat. Untuk mengubah manusia yang hidup dalam kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam, daripada kekufuran kepada Beriman.

Banyak peristiwa yang telah berlaku sebelum lahirnya perubahan-perubahan itu. Faktor masa adalah sebahagian daripada rawatan dan pemulihan daripada segala kelemahan.


Sekian untuk pertemuan kali ini. Kebenaran itu dari Allah dan kesilapan itu dari kelemahan diri saya sendiri.

Sunday, March 7, 2010

Meniti Perubahan....2

Dalam usaha melaksanakan perubahan, Mungkin beberapa perkara perlu ada di dalam pemikiran kita. . Apa yang hendak diubah? Kita hendak berubah ke mana? Bagaimana cara kita boleh berubah? Apa tujuan kita berubah? Apa yang akan saya cuba bincangkan nanti lebih banyak berkisar perubahan di sudut agama.

Saya ada satu idea untuk dikongsikan dan anda cuba fikir-fikirkanlah…. Allah jadikan akal untuk kita berfikir dan menilai sesuatu perkara. Sekiranya perkara yang akan saya perkatakan nanti baik, bolehlah diterima dan sekiranya ia tidak baik, tolak tepi..

Ibaratkanlah, kita diarahkan untuk pergi ke satu destinasi yang asing, yang jaraknya jauh dan jalannya bersimpang siur, berliku, dan sukar dilalui. Ada juga terdapat taman-taman indah yang mempesonakan. Kita telah dibekalkan dengan satu peta yang lengkap untuk sampai ke destinasi tersebut. Dan kita semua telahpun memulai perjalanan tersebut. Masing-masing dengan langkah masing-masing. Ada orang yang selalu berpandukan peta yang diberikan dan ada orang yang sambil lewa, tidak berpandukan kepada peta tersebut dan bermacam-macam caralah setiap orang melakukan perjalanan itu.

Mungkin ada diantara kita yang asyik dengan sesuatu tarikan yang ada di tengah-tengah perjalanan itu. Menyebabkan kita kadang-kadang lupa kepada arahan untuk sampai ke destinasi yang telah ditetapkan dan terpisah pula daripada jalan yang sepatutnya dilalui.

Tiba-tiba kita tersentak dan baru tersedar yang kita sebenarnya ditugaskan untuk sampai ke destinasi yang telah ditetapkan. Apakah yang perlu kita buat?? Beberapa perkara yang mungkin kita boleh buat pada masa itu ialah, kita perlu keluarkan semula peta yang diberikan. Kita perlu lihat di mana lokasi kita berada pada masa itu. Adakah tersasar jauh daripada jalan yang sebenarnya? Bagaimana cara kita dapat kembali semula ke jalan yang sepatutnya kita lalui? Siapa boleh bantu kita untuk sampai ke situ? Kita juga perlu lihat ke belakang, bagaimana atau kenapa kita boleh tersasar, supaya tidak berlaku lagi kesilapan sebagaimana yang telah kita lakukan.

Perubahan adalah satu proses dalaman, yang bermula daripada dalam diri kita. Pemikiran-pemikiran yang berlegar-legar di dalam benak kita. Bertitik tolak dari hati kita dan lahirlah tindakan-tindakan seterusnya…Allah tidak akan mengubah keadaan seseorang/sesuatu kaum itu melainkan mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka.

Perubahan adalah satu usaha yang berterusan. Orang muknin dituntut supaya menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.

Insya Allah jumpa lagi di lain pertemuan…

Friday, March 5, 2010

Meniti Perubahan...1

Dengan izin Allah, saya telah mengenali seseorang di face book yang ‘Sedang mencari Dia’ dan berusaha untuk berubah menjadi baik. Seorang yang masih muda, seusia anak saya…..seterusnya terlintas di benak saya untuk menulis tajuk Meniti Perubahan 1, 2 dan seterusnya ini…..


Allah ciptakan manusia ini dengan berbagai rupa, bentuk tubuh badan yang tidak sama, warna kulit yang berbeza dan juga feel perangai yang berbagai ragam. Tahap kecerdikan yang tidak sama, kebolehan juga tidak setara.

Setiap orang dilahirkan dari latar belakang keluarga yang agak berbeza., dididik dengan cara yang berbeza, dibesarkan dalam masyarakat yang berbeza. Oleh sebab itu, apabila kita bandingkan seseorang individu dengan individu yang lain, sedikit sebanyak pasti akan ada perbezaannya, di sudut rupa, saiz tubuh badan, warna kulit, feel perangai, tahap kecerdikan dan lain-lain lagi. Mereka yang lahir dari satu keluarga pun masih wujud perbezaan-perbezaan tersebut.

Apa yang saya ingin jelaskan di sini ialah, Allah menciptakan kita dalam keadaan yang cukup berbeza di antara satu sama lain.

Setiap bayi dilahirkan dalam keadaan bersih, suci…..dan kemudian mereka membesar dengan menerima didikan daripada kedua ibubapa mereka, persekitaran dan seterusnya pendidikan secara formal di sekolah, universiti dan sebagainya.

Pendidikan secara formal dan tidak formal itulah yang banyak mencorakkan diri atau kehidupan seseorang. Pendidikan yang tidak formal termasuklah apa yang dilihat di tv/internet, dibaca daripada buku/majalah, pergaulan ibubapa, masyarakat dan sebagainya. Sekiranya perkara yang baik yang mereka dengar dan lihat, ini membantu mereka menjadi baik dan begitulah sebaliknya.

Hasilnya, jadilah kita semua dalam bentuk berbagai ragam. Ada orang yang wajahnya ceria, mudah bergaul, mudah mintak tolong, sabar, tenang, peramah dan sebagainya, sementara yang lain mempunyai sifat-sifat yang berlainan pula.

Ada orang akhlaknya baik, taat perintah Allah, rajin sembahyang, tutup aurat, sementara seorang yang lain akhlaknya kurang baik dan sebagainya. Apabila kita melihat seseorang yang akhlaknya baik, mungkin mereka telah melalui satu proses didikan yang baik sebelumnya. Daripada didikan ibubapa, didikan di sekolah, persekitaran yang baik, kawan-kawan yang baik dan sebagainya. Begitu juga, bila kita lihat seseorang itu akhlaknya kurang baik, mungkin mereka telah melalui kehidupan awal yang terdedah dengan didikan, keadaan/suasana yang kurang baik.

Apabila kita melihat diri kita sendiri, zahir dan batin. Itulah kita. Apabila kita lihat zahir kita, kita akan nampak wajah kita, bentuk tubuh kita secara keseluruhannya. Kemudian apabila kita melihat ke dalam diri kita pula, kita akan nampak pula sifat, perasaan dan apa saja yang berkait dengan kejiwaan dan hati. Untuk mudah cakap ‘jenis kita’. Jenis malas ke, pemarah, pendendam, pemaaf, sabar, suka tolong orang, pemalu, rendah diri…..dan lain-lain lagi.

Itulah kita, sehingga saat ini, yang telah di ciptakan dan ditaqdirkan oleh Allah menjadi seperti diri kita sekarang. Yang perlu kita redha dan terima segala-galanya. Rupa paras kita, bentuk tubuh kita, sejarah hidup kita, suka duka yang telah kita lalui, susah senang kita sekarang, semuanya berlaku dengan izin, kekuasaan dan kehendak Allah.

Kalau kita hendak berubah, gambaran-gambaran seperti yang saya sebutkan tadi perlu ada pada kita. Bahawa kita ini hanyalah seorang hamba Allah, makhluk ciptaan Allah, yang tidak mempunyai kekuatan melainkan dengan kehendak dan pertolonganNya. Apa yang telah berlaku, apa yang ada pada kita, semuanya adalah ketentuan Allah. Allah Maha Mengetahui hikmat di sebalik segala ciptaanNya.

Kita diberikan akal oleh Allah untuk kita berfikir, menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Allah turunkan panduan hidup untuk kita ikuti, iaitu agama Islam. Agama bolehlah diibaratkan sebagai satu ‘manual’ kepada satu alat yang canggih. Pencipta alat yang menyediakan ‘manual’ tersebut sudah pasti tahu segala-galanya tentang alat ciptaannya. Sekiranya alat tersebut tidak dikendalikan mengikut panduan yang telah ditetapkan, sudah pasti lambat laun alat itu akan rosak. Begitulah kerosakan-kerosakan yang kita lihat berlaku kepada umat manusia hari ini adalah hasil daripada tidak mengikut panduan yang telah ditetapkan oleh Pencipta alam ini.

Apabila ada individu yang menyatakan perasaannya ‘Sedang Mencari Dia’ dan ingin berubah……menjadi lebih baik, saya rasa bersyukur dan melahirkan kalimah alhamdulillah…
Mungkin ini boleh dikira sebagai ‘starting point’ bagi dirinya untuk mendaki anak-anak tangga yang lebih tinggi bagi menghampirkan diri kepada Allah Swt..

Tetapi untuk berubah dan mencari Dia, kita kena melalui susah payah. Contohnya, nak bangun sembahyang subuh pun susah kan?? Ini semua adalah ujian, kerana ujian inilah yang akan menentukan tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang. Saya bukanlah seorang yang layak untuk membicarakan persoalan yang besar seperti ini.

Cukup setakat ini dulu yang mampu saya paparkan. Sekadar mengambil sedikit masa yang terluang di hari cuti umum dan cuti hujung minggu yang panjang ini.

Maaf sekiranya terdapat sebarang kesilapan….mungkin saya akan sambung lagi di lain waktu, insya Allah.

Monday, March 1, 2010

Masam itu manis

Masam itu manis

Cabaran dan dugaan adalah fitrah kehidupan. Adakalanya ombak taufan datang menggoncang hati menghasilkan kegelisahan yang melenyapkan sebuah ketenangan. Hati kita resah, gelisah dengan masalah yang melanda.

Lalu kita menjalani siri-siri kehidupan dengan tekanan sehingga mengukir riak muka masam. Biarpun matahari pagi masih bersinar terang, namun oleh kerana masalah yang membelenggu diri – terbina tembok pemisah antara kita dan ketenangan.

Inilah fitrah kehidupan.

Hidup ini tidak selalunya indah. Walaupun mungkin poket kita dipenuhi dengan wang dan rakan-rakan di sekeliling pinggang, itu semua tidak lagi bermakna andai hati tidak tenang. Ada manusia, apabila diuji dengan secebis kesusahan, ia melenting menghambur kata-kata kesat menyalahkan semua insan serta tuhan. “Apa salah aku sehingga diuji dengan ujian seberat ini?” Mulutnya menzahirkan kebencian. Mengangkat diri ke makam tertinggi.

Firman Allah SWT,

“Namun apabila tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, lalu dia berkata, “Tuhanku telah menghinaku”. (Al-Fajr: 16)

Insan itu lupa bahawa alam ini tidak sentiasa cerah. Selimut kegelapan malam pasti terbentang setelah matahari siang memancar terik. Dan begitu juga kehidupan kita. Andai segalanya indah dan mudah pasti kita akan bosan dan tidak merasakan nikmatnya sebuah kelapangan. Dan atas dugaan yang melanda, ramai manusia yang lupa diri, lupa tuhan, lupa akhirat. Tidak puas hati, tidak reda dengan masalah yang berlaku.

Mungkin kerana merasakan diri terlalu mulia dan suci untuk mendapat ujian sebegitu. Dan mulalah ia menyalahkan segalanya, hanya dirinya saja yang berada pada kebenaran. Namun sekiranya difikir-fikir kembali, sehingga bila emosi itu akan menyelesaikan masalah?

Oleh itu kehidupan mengajar kita bahawa ‘kita adalah siapa kita’. Sekiranya kita inginkan bahagia, maka kebahagiaan pasti hadir. Sebuah kisah yang dipetik daripada buku “The 7 habits of Highly Effective People” oleh Stephen R. Covey – sebuah kisah tentang seorang banduan di zaman pemerintahan diktator Nazi. Dia seorang lelaki yang menjadi banduan dalam tahanan penyiksaan oleh askar nazi yang kejam.

Setiap hari dia diseksa, dipaksa berkerja keras serta tidak diberi makanan. Berbagai-bagai penyiksaan dikenakan. Namun apa yang pelik adalah dia tidak pernah merungut, bahkan sentiasa tersenyum. Seolah-olah bahagia. Apabila ditanyakan mengapa ia masih bahagia lalu ia menjawab, “Askar nazi telah menguasai jasadku, oleh itu aku takkan serahkan hatiku kepada mereka. Hati ini milik aku dan aku inginkan hati ini sentiasa bahagia”.

Begitulah jua kita. Bahagia itu dicipta dan dipelihara. Berhentilah daripada menyalahkan keadaan, takdir serta kesilapan insan. Sebaliknya marilah kita melihat kedalam diri sendiri, mungkin kita yang lupa dan alpa lantas masalah ini tiba. Andainya kehidupan ini sempit, maka bergeraklah kepada tempat yang lebih luas. Biarkanlah apa yang telah terjadi, masalah yang telah berlaku. Andainya sesuatu telah hilang daripada kita, maka ciptalah ia!

Allah telah mengajar kita dalam Quran,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri”. (Ar-Ra’d: 11)

Ya, kita adalah siapa yang kita ingin jadi. Kuncinya perubahan. Dan perubahan itu bermula dengan berfikiran positif. Sentiasa positif walaupun berlaku apa-apa dugaan. Masam manis kehidupan ini adalah fitrah. Hidup ini ibarat roda, adakalanya kita berada di atas dan kadangkala kita berada di bawah. Masalah itu penyeri kehidupan yang akan menjadikan kita lebih menghargai sebuah ketenangan. Sekiranya manusia menghidangkan limau masam kepada kita, maka buatlah air limau manis yang menyegarkan. Hidup ini indah. Masam itu manis.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir