Pages

Monday, June 7, 2010

Masih wujudkah wanita sepertinya?




Tulisan: Dr. Hasliza Ahmad Fauzi

Baru-baru ini, setelah sekian lama beristirehat dalam pantang selepas kelahiran anak sulungku, aku menghadiri program “Kasih dipadu, da’wah dipacu” yang dikendalikan oleh Unit Baitul Muslim ISMA Shah Alam & Klang. Kehadiran pada awalnya agak suram, membuatku terfikir, siapakah yang dijemput ke majlis ini? Adakah golongan kami yang baru menikah saja? Tapi, semakin lama semakin ramai bilangan peserta lelaki dan wanita sehingga terpaksa bersempit-sempit.

Satu pengisian yang menarik oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA tentang keluarga muslim berserta pengalamannya yang mempunyai 13 orang cahaya mata. Serta kehadiran Ustazah Norakilah binti Baharin, ketua Biro Wanita Ipoh dalam sesi forum, benar-benar membuatkanku menitiskan airmata. Betapa, kehidupan suami-isteri merupakan satu agenda yang besar, maka perancangannya juga mesti hebat, persediaan diri mesti kukuh di awalnya. Itulah tarbiyyah yang diajarkan kepadaku dari dulu.

Terpanggil untuk menulis sedikit rencana untuk ruangan Bait Muslim kepada wanita mukminah. Kisah ini kupilih untuk dikongsikan kerana tersentuh dengan kata-kata Encik Mohd Shahril Atiqi, salah seorang ahli forum, mengatakan beliau memilih isterinya kerana inginkan seorang isteri yang memahami tugasnya sebagai isteri seorang mujahid Islam seperti Khadijah binti Khuwailid. Jesteru itu beliau sentiasa diingati oleh Rasulullah swt walaupun selepas kewafatannya.

Dari pembacaan buku tulisan Muhammad Rasyid al-‘Uwaiyyid, aku tersentuh dengan olahan 3 sifat atau akhlak utama Khadijah binti Khuwailid, sebagai seorang isteri kepada Rasulullah yang diambil dari kisah perbicaraan antara Khadijah dan Rasulullah selepas kali pertama Rasulullah menerima wahyu di Gua Hira’ dan juga ketika bertemu dengan Waraqah bin Naufal. Aku kira, pembaca semua sedia maklum tentang kisah ini secara kasar.



Yang pertama, adalah dari sudut penyambutan Rasulullah saat pulang ke rumah. Khadijah menyahut penuh panggilan suami untuk menyelimuti beliau dan tidak meninggalkannya dalam keadaan ketakutan. Hingga akhirnya Rasulullah merasakan kehangatan dan ketenangan. Setelah Rasulullah berasa sedikit tenang, barulah Rasulullah bercerita kepada Khadijah akan kejadian yang menimpa Baginda bertemu Jibril di Gua Hira’. Khadijah tidak terus bertanyakan sebab-sebab Baginda jadi begitu dan tidak memaksa Baginda untuk menceritakan. Bahkan, sikap menyahut panggilan dan menyediakan apa yang diperlukan Nabi untuk menenangkan Baginda adalah perkara pertama yang dilakukannya. Setelah Rasulullah tenang, Baginda sendiri menceritakannya kepada Khadijah. Di sinilah contoh teladan bagaimana peranan seorang isteri yang benar-benar memahami posisinya dan mengerti keperluan suami tanpa mengajukan soalan-soalan yang boleh menambahkan lagi keserabutan fikiran.

Kedua, adalah pada saat Nabi mengatakan bahawa Baginda sedang dalam ketakutan yang amat sangat. Kita perhatikan cara Khadijah menenangkan suaminya dan berusaha menghilangkan kekhuatiran dan ketakutan yang menguasai perasaan Rasulullah waktu itu. Khadijah tidaklah berkata “Sudahlah, jangan takut”. Tetapi Khadijah menghiburkan Rasulullah dengan berkata “Sesungguhnya engkau gemar menyambung persaudaraan, menanggung beban penderitaan, mengusahakan sesuatu yang belum ada, memuliakan tetamu serta membantu orang-orang menegakkan kebenaran”. Akhlak terpuji inilah yang dijadikan pilihan Khadijah untuk menenangkan Nabi. Pemilihan bahasa yang bersopan santun dalam komunikasi suami-isteri aku kira satu perkara yang teramat penting untuk menggambarkan penghargaan dan budi pekerti yang luhur. Dengan itu, si suami pasti akan bercerita dengan semangat, penuh kejujuran kepada si isteri. Di samping itu, ianya juga mampu mengelakkan salah faham. Tidaklah terjadi seperti contoh apabila dua orang bercerita, kedua-duanya berkata “Saya suka ikan”. Seorang memikirkan tentang ikan di dalam akuarium dan seorang lagi memikirkan tentang ikan goreng!! Sedangkan mereka berbicara dengan satu ayat yang sama.

Teladan ketiga yang ingin diutarakan penulis ini tentang kisah Khadijah dan Rasulullah, iaitu pada saat Khadijah mempunyai gagasan pemikiran untuk membantu suaminya, lantas mencadangkan untuk membawa Nabi bertemu anak pakciknya, Waraqah bin Naufal, yang merupakan seorang ahli agama Nasrani juga penulis Kitab dalam bahasa Ibrani. Khadijah memandang Waraqah mampu menafsirkan apa yang terjadi pada diri suaminya di Gua Hira’ dengan harapan Nabi bertambah tenang. Ini merupakan satu sikap yang sangat baik di mana seorang isteri bersegera untuk memberi cadangan bantuan kepada suami apabila memungkinnya untuk melakukan sedemikian. Posisinya sebagai isteri difahami dengan baik sebagai orang yang terbaik untuk mendengarkan cerita dan membantu suami. Jangan sampai suami meminta bantuan dari pihak lain sebelum berbincang isteri. Dengan itu ku kira yang dikatakan susah senang dirasakan bersama lantas kasih sayang bertambah kuat antara suami-isteri.

Apabila bertemu Waraqah, Khadijah memulakan bicara dengan mengatakan “Wahai anak pamanku, dengarkanlah cerita dari anak saudara lelakimu ini.” Inilah kata-kata yang dilantunkan oleh Khadijah, sebuah cerminan kepada keluhuran budi bahasanya. Ianya jelas kelihatan dari dua sudut tindakannya. Yang pertama, apabila Khadijah tidak menceritakan apa yang berlaku ke atas diri Nabi tetapi membiarkan Nabi menceritakan sendiri. Dengan demikian, tidak ada penambahan atau pengurangan dalam cerita, dan juga memberikan Nabi kuasa bercerita tentang perihal yang berlaku pada dirinya sendiri. Yang kedua, tindakan Khadijah menampakkan bahawa beliau sangat menghormati Nabi saw dan merendah diri di hadapan suaminya dengan tidak memerintahkan Baginda menceritakan apa yang telah menimpa dirinya misalnya dengan mengatakan “Ceritakanlah apa yang engkau alami kepada Waraqah.” Tetapi perintah itu tertuju kepada Waraqah untuk mendengarkan cerita dari Nabi saw.

Begitulah 3 contoh teladan yang sangat menyentuh perasaanku daripada kisah ini. Mungkinkah ada lagi mukminah hari ini yang meneliti kisah-kisah para isteri Rasulullah, para sahabiyyah dan juga isteri orang-orang tab’ien untuk dijadikan contoh agar kita dapat menjadi bidadari suami kita di jannah kelak. Berusahalah agar suami merasakan bahawa dalam rumahtangga, ada mutiara luar biasa yang di mana dia dapat berkongsi segala rasa, seterusnya dapat membantunya untuk memacu taklifan berat di luar sana.

Wallahu’alam.

Oleh: Dr Hasliza Ahmad Fauzi
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang

Monday, May 31, 2010

Nasihat Untuk Pengantin Perempuan




Dalam seminggu dua ini saya menerima banyak undangan ke majlis kenduri kahwin. Tergerak di hati saya untuk mengongsikan satu nasihat yang baik yang diberikan oleh Ummu Hakim kepada puterinya yang akan melangsungkan pernikahan. Semoga ianya bermenafaat untuk kita bersama.


Ummu Hakim berpesan kepada puterinya:
“Anakku, kamu akan meninggalkan suasana tempat kamu dilahirkan. Kamu akan meninggalkan sarang tempat kamu dibesarkan, berpindah ke sarang lain yang belum pernah kamu kenal. Dan kamu akan memperolehi teman hidup yang belum pernah menemanimu.

Dia berkuasa ke atas diri kamu, dia menjaga kehidupanmu. Oleh itu hendaklah kamu menempatkan dirimu sebagai hamba baginya dan dengan berbuat begitu dia pula akan menjadi hamba kepada kamu (membalas kepatuhan dengan sebaik-baiknya).

Anakku, perhatikan baik-baik beberapa pesanku ini kerana ia boleh menjadi bekal yang berguna bagi kamu:

Temanilah suami kamu dengan cara hidup serba sederhana, merasa cukuplah dengan apa yang ada dan bergaullah dengan kebaikan dan kepatuhan.

Jagalah diri kamu baik-baik di hadapan mata dan hidungnya supaya kamu tidak kelihatan buruk dalam pandangannya dan jangan sampai dia tercium bau yang tidak enak dari tubuhmu. Bercelaklah kerana celak adalah hiasan yang terbaik. Dan ketahuilah bahawa air ( yakni kebersihan diri yang sentiasa dipelihara) adalah pengganti terbaik minyak (wangian) yang kamu tidak punyai.

Perhatikanlah dengan baik waktu makan suamimu dan jagalah ketenangannya waktu dia sedang tidur. Rasa lapar dapat menimbulkan kemarahan dan demikian juga tidur yang terganggu.

Jagalah keselamatan hartanya dan keamanan rumahmu, peliharalah kehormatannya dan hormatilah anggota-anggota keluarganyanya. Dengan menjaga kehormatan harta bendanya kamu akan dihargai dan dengan menghormati anggota keluarganya, kamu akan diberikan perhatian yang baik.

Sekali-kali jangan kamu membicarakan rahsianya dengan orang lain dan jangan pula kamu menentang perintahnya. Kalau kamu sebarkan rahsianya kamu akan dapati dia tidak akan jujur terhadap dirimu dan kalau kamu tentang perintahnya, dia akan marah kepadamu.


Janganlah kamu gembira ketika dia sedang berduka dan jangan pula kamu bersedih ketika dia sedang bergembira. Sebab yang pertama itu membuktikan ‘akalmu pendek, manakala yang kedua itu pula boleh mengeruhkan fikirannya.

Jadilah kamu orang yang paling menghormati suamimu, pasti dia akan menjadikan dirinya orang yang paling memberi penghargaan besar terhadap dirimu. Jadilah kamu orang paling mudah menyetujui pendapatnya, nescaya dia akan menjadi orang yang paling lama menemani hidupmu.

Akhirnya, ketahuilah, kamu tidak akan dapat memperolehi keinginanmu sebelum kamu mengutamakan kesukaannya melebihi kesukaanmu sendiri, sebelum kamu mengutamakan kesenangannya lebih daripada kesenanganmu sendiri, samada dalam perkara yang kamu suka ataupun dalam perkara yang kamu tidak suka.
Semoga Allah SWT menunjukkan bagi kamu pilihan yang baik.”

Wednesday, May 12, 2010

Rasa syukur....


As we take Knowledge, we should spread Knowledge too.



Saya rasa bersyukur kepada Allah swt. kerana semalam saya telah dapat memasukkan….'al-Quran' ke dalam blog saya dengan bantuan seorang kawan..

Dengan yang demikian, saya dengan mudah dapat menatap Al-Quran, mendengar bacaan al-Quran daripada qari-qari yang terdapat di dalam senarai, dapat mengetahui terjemahan ayat-ayat al-Quran dan sedikit sebanyak dapat mengetahui hukum-hukum tajwid.

Saya juga menjemput saudara untuk sama-sama memenafaatkannya. Sila klik…Quran Explorer…di sebelah kanan….

Saya juga memasukkan 'Pembina' ke dalam blog list saya. Mungkin ianya bermenafaat untuk para belia.

Saya bukanlah mahir sangat dalam penggunaan komputer dan mengendalikan blog. Saya telah memperbaiki penampilan blog saya sedikit demi sedikit sehinggalah seperti yang dapat dilihat sekarang. Itu pun masih banyak kekurangan berbanding dengan blog-blog orang lain yang saya kagumi.

Apa yang penting bagi saya, blog saya dapat dijadikan sebagai saluran dakwah. Agar saya dapat memasukkan bahan-bahan yang bercorak agama dan mengajak kepada kebaikan. Supaya tetamu saya dapat mengambil menafaat darinya.

Saya masih memasukkan hasil tulisan orang lain ke dalam blog saya supaya ianya dapat dikongsi bersama. Kalau harapkan saya sendiri untuk menulis bahan-bahan ugama untuk blog saya…..setakat mana sangat yang saya mampu.

Namun, di dalam usaha-usaha untuk memertabatkan Islam sebagai sistem hidup, saya usahakan juga sekadar termampu. Menggerakkan dakwah dalam ruang-ruang yang saya boleh lakukan.

Dalam situasi umat Islam berada di dalam keadaan lemah, siapa pun kita dan dalam situasi mana pun kita berada, kita perlu memberikan sumbangan kepada Islam. Lakukanlah yang terbaik yang kita mampu.

Sebagaimana kata-kata orang Inggeris:

If you can’t be a highway, then just be a trail,
If you can’t be a sun, be a star,
It isn’t by the size that you win or fail-
Be the best of what ever you are!

Namun jalan yang terbaik ialah dengan kita menggabungkan diri kita ke dalam kumpulan-kumpulan atau persatuan-persatuan Islam. Kerana yang lemah akan menjadi kuat jika kita bersatu. Islam menuntut kita supaya berjemaah.

Setakat ini dulu di pertemuan ini. Semoga jumpa lagi di waktu yang lain.

Sunday, May 9, 2010

Kenyataan Ikhwan Muslimin sempena memperingati ulang tahun Nakbah Palestin ke-62


Hari yang bersejarah ini (Nakbah Palestin) pastinya akan menjadikan para pengkaji dan pemikir Islam yang berkecimpung dalam setiap bidang, dari setiap golongan, untuk menelaah sebab-sebab, dan faktor-faktor serta kesan-kesannya terhadap dunia Islam. Tabiat musuh dan ketamakannya, cara untuk berhadapan dengannya, dan menentangnya, pasti ia akan dikaji dan dihuraikan dalam bentuk-bentuk yang lebih luas. Perkara ini khususnya, adalah kerana Nakbah (yang bermaksud tragedi berdarah) yang telah bermula pada tahun 1948 ini masih lagi berterusan dan berpanjangan hari demi hari.

Penjajahan Zionis terhadap Palestin hari ini bukanlah seperti penjajahan Barat terhadap negara-negara Islam pada kurun ke-19 dan ke-20, yang hanya berlalu dan pergi, tetapi ia lebih daripada itu. Ia adalah satu jenis penjajahan penghapusan etnik dan penempatan haram secara kekerasan dan keganasan yang terus berkembang tanpa mempedulikan mana-mana peraturan antarabangsa. Dengan inspirasi daripada kecelaruan akidah mereka dan beralaskan dakwaan-dakwaan sejarah, mereka terus berusaha untuk menguasai bumi Palestin itu dan mengosongkan ia daripada penduduknya, dengan keganasan dan pembunuhan, menghalau penduduk tempatan, memusnahkan kampung dan ladang serta menggantikan tempat penduduk Palestin dengan Yahudi yang datang dari seluruh dunia.

Walaupun mereka telah mengisytiharkan negara haram mereka (Israel) pada tahun 1948, tetapi mereka sebenarnya belum lagi meletakkan garis pemisah di antara negara mereka dengan negara-negara lain. Ini kerana mereka masih lagi meneruskan misinya iaitu memperkembangkan tanah jajahan mereka sehingga mencapai objektif mereka iaitu mendirikan Israel Raya (Israel Kubra) yang terletak di antara Sungai Nil dan Sungai Furat. Mereka juga berusaha untuk menghancurkan Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan Haikal Sulaiman yang mereka dakwa. Ben Gurion telah berkata: “Tiadalah erti Israel tanpa Al-Quds, dan tiadalah erti Al-Quds tanpa Haikal”. Mereka berusaha untuk menakluk rantau itu dan menguasai segala kekayaannya, dalam masa yang sama memperhambakan rakyatnya dengan cara yang zalim. Ia merupakan suatu projek penjajahan yang lengkap yang berasaskan kepercayaan agama.

Ketika mereka mula menjejakkan kaki mereka ke tanah kita, tanah ini tidak pernah mengenal erti keamanan dan keselesaan serta apa-apa bentuk pembangunan, yang ada hanyalah peperangan dan kecelakaan, pada tahun-tahun seperti 1948, 1956, 1967, 1982 dan 2006. Segala malapetaka yang menimpa telah menyebabkan kemusnahan, pembunuhan, pertumpahan darah dan pembaziran harta benda serta kemunduran.

Segala penyembelihan yang telah mereka lakukan terhadap rakyat Palestin seperti di Deir Yasin, Qabyah, Kafr Qasim, Khan Yunis, dan banyak lagi kampung-kampung yang lain, telah mengorbankan orang-orang tua dan kanak-kanak serta menguburkan janin-janin, menghancurkan rumah-rumah, yang telah berlaku beberapa kali di Qana, Beirut, Sabra dan Syatila, dan Bahrul Baqar di Mesir. Pembunuhan tawanan Palestin dalam perang 1956 dan 1967, menanam mereka hidup-hidup, konspirasi untuk mengambil sebahagian daripada kawasan Sungai Nil, meletakkan perisik untuk mengetahui rahsia ketenteraan dan ekonomi, usaha untuk memisahkan Selatan Sudan daripada bahagian utaranya, penyebaran fitnah terhadap Darfur untuk memecahbelahkan negara-negara Arab, menyemarakkan permusuhan PLO dan HAMAS, pengepungan di Jalur Gaza, segalanya adalah kekejaman dan kezaliman untuk menundukkan rakyat Palestin dan menimbus isu sebenar (agenda mereka membina Israel Raya).

Ia juga termasuk dalam konspirasi mereka terhadap apa yang berlaku di Iraq dan penjajahannya, dengan menyemarakkan isu perkauman, lantas mengakibatkan kehancuran dan kemusnahan pada setiap sudut kawasannya. Mereka juga berusaha untuk melakukan perkara yang sama kepada Iran, kerana merasakan ia mampu menggugat mereka dengan teknologi persenjataan nuklear yang dimiliki oleh negara Iran. Ini semua telah jelas membuktikan bahawa mereka ini bukanlah manusia biasa yang mempunyai sikap kemanusiaan yang murni, tetapi mereka adalah ibarat binatang buas yang dahagakan darah, yang sentiasa ingin mengambil dan menguasai apa yang ada pada tangan-tangan kita, dan menakluk bumi di bawah tapak kaki kita.

Segala perkara yang berlaku ini bersumberkan kepada kefahaman mereka yang sangat-sangat merendahkan manusia selain mereka. Hakham Shamon Bar telah berkata: “Kamu semua wahai para Yahudi inilah yang dinamakan manusia, sedangkan para haiwan itu tidak dinamakan manusia!”. Hakham Eido Alba berkata: “Sesungguhnya pengharaman untuk membunuh dan menumpahkan darah manusia tidak dihukum ke atas Yahudi sekiranya yang dibunuh adalah bukan Yahudi, dibolehkan untuk membunuh selain Yahudi (ke atas bangsa yang kita peranginya) termasuklah wanita dan kanak-kanak”.

Semua jenayah yang kejam tanpa perikemanusiaan itu memerlukan penentangan dan pengutukan kita terhadapnya. Sekiranya kita berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa, ia bererti kita memberi mandat kepada mereka dalam jenayah ini, walaupun ia telah melukakan perasaan setiap bangsa Arab dan umat Islam, walaupun ia telah mengorbankan jutaan rakyat Palestin.

Penentangan terhadap projek yang hina dan penghancuran Zionis terhadap Al-Aqsa ini tidak boleh tidak mestilah dengan projek dunia Arab dan dunia Islam seluruhnya. Ia perlu bagi menolak sebarang operasi-operasi damai yang dicadangkan sejak tahun 2002, menolak sebarang pengiktirafan kuasa besar Zionis, menilai semula rundingan damai dan hubungan diplomatik bersamanya, menolak sebarang bentuk tolak ansur yang sia-sia di antara Zionis dan Palestin, tidak menerima sebarang perdamaian di antara mereka dengan mana-mana negara Arab, menolak sebarang pengiktirafan terhadap tanah yang telah dirampas dan rakyat yang dihalau serta meng-Yahudi-kan Al-Quds, menyuarakan pandangan umum, di peringkat Mesir, dunia Arab, dan dunia Islam, serta seluruh dunia untuk menegakkan kebenaran bagi pihak rakyat Palestin, mengheret segala penjenayah peperangan ke muka keadilan, mengambil segala aspek kekuatan politik untuk membebaskan rakyat-rakyat daripada penindasan dan mengelakkan mereka daripada kemusnahan, membina dan mentarbiyah rijal-rijal di atas tunjang keimanan dan prinsip-prinsip, berusaha untuk menjadi penyatu yang menyatukan saf-saf umat di negara Arab, dan negara-negara Islam, paling kurang pun di rantau ini, mengumpulkan segala kekuatan ekonomi dengan persepakatan di antara negara-negara ini, mengkaji secara ilmiah terhadap perkara ini dan mementingkan perindustrian dan pembangunan Palestin, menyokong penentangan terhadap Zionis dalam apa jua bentuk sekalipun, menghancurkan pengepungan terhadap Jalur Gaza, serta berusaha untuk menegakkan keadilan buat rakyat Palestin.

Marilah kita bersama-sama merenung kembali ayat Al-Quran:

“Kamu akan mendapati manusia yang paling benci dan memusuhi orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrikin” (Surah Al-Maidah: 82)

“Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah bersedih, kerana sesungguhnya kamu adalah lebih tinggi martabat daripada mereka sekiranya kamu beriman” (Surah Ali Imran: 139)

Ikhwan Muslimin,
Kaherah,
10 Jamadil Awal 1431H bersamaan 24 April 2010M

Tuesday, May 4, 2010

STRESS





Di dalam kehidupan kita, pada ketika-ketika tertentu kita tidak boleh lari daripada berhadapan dengan sesuatu masalah, cabaran, kesusahan dan sebagainya. Masalah ini pula berpunca daripada berbagai-bagai sumber. Masalah kerja, masalah kewangan, masalah rumah tangga, kehilangan orang yang dikasihi atau tempat pergantungan dan sebagainya.

Perkara ini adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Masalah yang dihadapi kadang-kadang mendatangkan satu tekanan kepada diri seseorang menyebabkannya berada dalam keadaan resah gelisah ataupun disebut stress.

Stress adalah hasil daripada ketidak seimbangan diantara cabaran-cabaran yang kita hadapi dengan keupayaan kita dalam menangani cabaran tersebut.

Stress juga berlaku apabila seseorang dibebankan dan diletakkan berbagai-bagai permintaan ke atas diri mereka dan timbul kekhuatiran jika semua beban dan permintaan ini tidak dapat diatasi.

Orang-orang yang mengalami stress menyebabkan diri mereka menjadi gelisah, risau, takut, sedih, fikiran bercelaru, keyakinan diri menurun dan sebagainya.

Rasulullah mengajar kita satu doa yang amat sesuai sekali kita baca setiap hari lebih-lebih lagi ketika hati kita dilanda kesedihan dan kegelisahan.

Doa ini ada hubungkait dengan sifat-sifat yang ada dalam diri manusia dan punca-punca manusia ditimpa stress. Bacalah doa ini dengan ikhlas dan tujukan permohonan kita kepada Allah dengan hati yang bulat.



Berdoalah kepada Allah, kerana Dialah yang mentakdirkan sesuatu perkara itu berlaku. Susah senang, sihat dan sakit, hidup dan mati dan lain-lain lagi semuanya dengan izin Allah.

Banyak hikmah di sebalik kesusahan, kepayahan yang Allah berikan kepada kita. Kebiasaannya kita akan lebih ingat kepada Allah dan lebih bergantung kepadaNya ketika kita dalam kesusahan.

Penyelesaian lain ketika kita stress, berbincanglah dengan orang-orang yang kita percayai boleh membantu kita. Jangan biarkan kegelisahan itu kita tanggung sendiri. Mungkin ada di kalangan kenalan-kenalan kita yang boleh membantu. Rasa stress akan berkurangan apabila kita dapat luahkan segala masalah kita kepada orang lain.

Thursday, April 29, 2010

Mencari kemaafan seperti Bilal r.a. dan Abu Zar r.a.




Fitrah Insani

Setiap orang mudah melakukan kesalahan. Tidak kira kesalahan itu kecil atau besar, seorang manusia lebih-lebih lagi seorang remaja akan mudah membuat kesilapan dalam bertatih di alam kehidupan ini. Sedar tidak sedar, jika dikira satu persatu kesalahan yang kita lakukan, boleh kalah ketebalan yellow pages. Bahkan boleh dilistkan dan dikategorikan kesalahan kita, setiap tahun, setiap bulan, setiap hari, setiap jam… setiap detik mungkin.

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.

Itulah manusia, mudah terpikat dengan hawa nafsu dan tak lari daripada maksiat.

Kisah Agung Antara 2 Sahabat:


Di dalam riwayat pernah diceritakan, Abu Zar r.a memanggil Bilal r.a dengan gelaran “wahai anak hitam”. Bilal r.a yang mendengar panggilan tersebut terdiam dan tidak membalas panggilan Abu Zar r.a itu. Dengan rasa kesal Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah untuk mengadukan hal tersebut. Tiba di rumah Rasulullah, Bilal r.a meluahkan isi hatinya pada Rasulullah. Seketika sahaja, berubah wajah Rasulullah menjadi merah padam. Rasullah terus ke tempat Abu Zar berada, tetapi hanya lalu sahaja. Rasulullah terus ke masjid.

Mengetahui bahawa Rasulullah marah padanya, lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah. Rasulullah berkata kepadanya “Wahai Abu Zar, kamu telah menghina Bilal dan menghina asal usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal usulnya adalah orang jahiliyah sebelum masuk Islam, dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa-sisa jahiliyyah”.

Abu Zar r.a merasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu pada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan pintalah Allah ampunan atas doaku…” . Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal r.a, Abu Zar merangkul Bilal sambil memohon maaf padanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata “Demi Allah wahai Bilal aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kamu injak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.

Apakah yang berlaku selepas itu ? Anda teka…

Nilai Agung Pada 2 Sahabat

Bilal kemudiannya mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkatnya dari tanah. Mereka berdua berpelukan dengan penuh kasih sayang dan tangisan.

Lihat ukhuwwah yang terjalin dan nilai akhlak pada Bilal r.a dan Abu Zar r.a. Bukan hanya betapa merendah diri Abu Zar memohon kemaafan, bahkan betapa mulia dan kasihnya Bilal r.a, walaupun diperlakukan sebegitu, atas rasa kasih dan sayang pada Abu Zar, Bilal memaafkannya.

Warna-warni Hari Ini

Kita lihat bukan sahaja orang yang melakukan kesalahan sahaja tidak prihatin untuk meminta maaf jika berbuat kesalahan. Lebih menyedihkan lagi, kita sendiri pun sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Bila ditegur dan dinasihati orang yang berbuat salah, tanpa ada rasa kasih dan sayang di dalam diri kita. Hampir semua keburukan orang yang bersalah menyilau di mata kita, tanpa berfikiran positif dan optimis.

Nikmat Ukhuwwah Bukan Saja-saja

Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat kesalahan, cepat-cepat meminta maaf. Akui kesalahan dan azamkan tidak akan diulang. Juga buat mereka yang ada yang melakukan kesalahan padanya, rendah diri dan maafkanlah dia. Kasih sayang itu Allah tidak kurniakan secara percuma. Hanya yang ikhlas dan berkehendak sahaja akan Allah ganjari.

Rahsia seorang sahabat kepada Abdullah bin Umar r.a ketika mencari kelebihan seorang sahabat yang Rasulullah sebut jaminan syurga padanya.

“Sesungguhnya, sebelum aku tidur, aku akan memaafkan segala dosa seluruh manusia, sama ada yang menghinaku, mencaciku, memburuk-burukkan diriku, memfitnahku dan mengata tentang diriku. Maka aku mohon dari Allah agar dimaafkan segala dosa mereka.”

Mohonlah kemaafan pada mereka yang kita lakukan kesalahan dan sudilah memaafkan orang lain sebelum Allah tarik nikmat-nikmatnya yang lain.

Sumber: Laman Web Kelab Remaja ISMA

Saturday, April 24, 2010

Mari kita bina ukhuwwah....



Apa perasaan anda apabila membaca post saya sebelum ini? 'Pensel dalam kemaluan mangsa rogol'.

Saya rasa tidak ada orang yang gembira apabila membacanya melainkan mereka-mereka yang seangkatan dengan ‘pelaku-pelaku’ yang telah dikuasai oleh nafsu kebinatangan tersebut.

Kejadian-kejadian seperti itu adalah petunjuk bahawa masyarakat kita sedang mengalami penyakit. Berlaku ketidak seimbangan di dalam masyarakat, sebagaimana orang yang sakit, kita akan dapat lihat tanda-tanda penyakit itu pada zahirnya akibat berlaku ketidak seimbangan di dalam badan orang itu.

Penyakit yang tidak bahaya akan mudah dirawati tetapi kalau penyakit yang bahaya ia akan mengambil masa yang lama, belanja yang besar untuk mengubatinya.

Rendahnya nilai-nilai akhlak di dalam masyarakat Islam adalah berpunca daripada masalah akidah.

Sebagai seorang muslim kita perlu rasa simpati dan perlu timbul satu kesedaran untuk membantu menyelesaikan kemelut yang melanda masyarakat kita.

Saya pernah mendengar seorang ustaz memberi penjelasan bahawa jika kita melihat seseorang yang hampir lemas, dan kita mempunyai kemampuan dan kemudahan (pelampung, bot dsb.) untuk membantunya, kita berdosa jika kita tidak membantunya yang boleh menyebabkannya mati lemas.

Ada di kalangan masyarakat kita yang keadaan mereka bolehlah diibaratkan seperti orang yang hampir lemas. Lemas kerana bergelumang dengan maksiat. Mengetepikan ajaran Islam di dalam kehidupan.


Kita boleh memainkan peranan untuk memperbaiki masyarakat dengan menyokong/menyertai mana-mana badan dakwah supaya tenaga-tenaga kita dapat digembelingkan ke arah mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.

Hari ini kita lemah kerana kita tidak bersatu. Sebatang lidi mudah dipatahkan, tetapi kalau seberkas lidi tidak mampu untuk kita patahkan.

Marilah kita kuatkan ikatan ukhuwwah sesama kita, persaudaraan kerana Allah. Saling kenal mengenal, saling nasihat menasihati, saling lengkap melengkapi, saling sayang menyayangi….kerana Allah.

Wednesday, April 21, 2010

Pensel Dalam Kemaluan Mangsa Rogol


dEVIANT aRT: tRAUMA


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/04/22


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua sebuah sekolah di Rawang yang dirogol rakan sekelasnya dalam bilik darjah, minggu lalu, bukan saja disahkan sudah mengandung sebulan, malah sebatang pensel sepanjang empat sentimeter turut ditemui dalam kemaluannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, berkata berdasarkan hasil laporan pemeriksaan hospital yang diterima semalam, polis percaya mangsa sudah lama dijadikan bahan pemuas nafsu beberapa pelajar serta didera sewaktu diperkosa. “Kes ini disiasat secara menyeluruh kerana mangsa yang tinggal di sebuah rumah kebajikan di Rawang, bukan saja dirogol ketika waktu persekolahan, malah didera,” katanya kepada pemberita di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang, 13 April lalu, pelajar itu yang bersendirian dalam kelas, dikatakan dirogol seorang rakan sekelasnya manakala beberapa lagi pelajar lelaki mengepung mangsa bagi mengelak insiden itu disedari pelajar lain termasuk guru.

Mangsa hanya memberitahu mengenai kejadian itu kepada seorang kakitangan di rumah kebajikan berkenaan, Ahad lalu sebelum membuat laporan di Balai Polis Rawang pada hari sama.

Rosly berkata, sebaik menerima laporan itu, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan, manakala suspek ditahan di sekolahnya pada keesokannya.

“Siasatan awal mendapati mangsa sudah banyak kali dirogol suspek sejak beberapa bulan lalu. Kita percaya mangsa turut diperkosa lebih daripada seorang pelajar.
“Namun, mangsa takut untuk membuat laporan kerana dipercayai diugut suspek yang akan bertindak lebih teruk sekiranya perkara itu didedahkan,” katanya.

Beliau berkata, polis akan mengambil keterangan beberapa pelajar yang dipercayai bersubahat dalam kejadian itu.

Katanya, mangsa yang ditempatkan di hospital, kini mengalami trauma teruk dan hanya berdiam diri.


APA PERASAAN ANDA????????????

Monday, April 19, 2010

PEMBENTUKAN INDIVIDU SOLEH




Individu adalah merupakan batu bata, yang mana dengannya tertegaklah sebuah masyarakat keseluruhannya. Sebab itu Islam memberikan perhatian sepenuhnya kepada setiap tahap perkembangan dan pertumbuhan manusia itu sendiri, kerana dia merupakan asas keluarga dan masyarakat. Bila baik individu-individu ini baiklah keluarga dan masyarakat.

Pembaikan individu pada pandangan Islam tidak akan sempurna kecuali lengkapnya empat sifat yang dianggap oleh al Quran sebagai syarat kejayaan semasa hidup di dunia dan akhirat. Sifat-sifat tersebut terkandung di dalam surah al-Asr:-

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.”

Syarat pertama untuk pembaikan individu ialah iman, yang mana dengannya menjadikan seseorang manusia itu jelas tentang konsep dirinya, alam dan kehidupan, jelas tentang pemilik alam ini, dan jelas tentang kehidupan manusia itu sendiri. Sekiranya konsep ini rosak, maka rosaklah kehidupan seluruhnya, rosak amalan, rosak akhlak dan rosaklah perhubungan-perhubungannya.

Bilamana jelas konsep ini, manusia jelas keujudanya, jelas matlamat hidupnya dan apa yang ada di sebalik hidup ini. Dia beriman bahawa dia bukanlah seperti debu-debu yang berterbangan tetapi hidup untuk matlamat yang cukup besar iaitu menjadi khalifah Allah di dunia ini, dan mencari keredhaanNya dan syurgaNya di akhirat nanti.

Syarat kedua ialah amal soleh yang merupakan buah iman yang lahir dalam bentuk amalan yang bukan hanya sekadar iman dalam pemikiran ataupun semangat sahaja. Al Quran tidak menetapkan satu bentuk yang khusus tentang amal soleh. Ianya merangkumi apa yang mendatangkan kebaikan kepada manusia samada pada tubuh, jiwa individu, masyarakat dan apa yang mendatangkan kebaikan dalam kehidupan ini samada harta benda, ruh akhlak, yang lahir dari ibadat, muamalat, adab dan akhlak.

Syarat ketiga ialah pesan memesan dengan kebenaran, bererti seorang beriman memesan dengan kebaikan kepada orang lain dan menerima pesan memesan kebaikan daripada orang lain. Ini menunjukkan bahawa al Quran memberi satu konsep yang jelas kepada orang beriman bahawa mereka hidup di dalam masyarakat, mengambil darinya dan memberi, dan tidaklah seperti seorang pendita yang hanya seorang diri dalam rumah ibadatnya tanpa mengambil tahu tentang hal yang ada di sekelilingnya.

Dengan ini jelas bahawa seorang muslim tidak cukup menjadi seorang soleh hanya untuk dirinya sahaja, Sedangkan beliau tidak mengajak orang lain kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya. Seorang Islam hendaklah hidup sebagai seorang perajurit kepada kebenaran, beriman dan mencintainya, membantu dan berdakwah kepadanya.

Syarat keempat:- iaitu pesan memesan dengan kesabaran. Orang-orang yang mendokong risalah kebenaran berhajat kepada kesabaran untuk menasihati dirinya sendiri dan menasihati orang lain seperti ia menasihati dirinya sendiri. Sudah menjadi sunnatullah pendokong-pendokong kebenaran akan disakiti, kerana itu mereka perlu bersabar. Luqman pernah berkata kepada anaknya ketika beliau menasihatinya: “ Hai anakku, dirikanlah solah dan surulah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya itu termasuk dalam hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” Surah Luqman ayat 17.

Keempat-empat syarat ini menjadikan seseorang itu individu soleh seperti yang terkandung dalam surah al Asr. Individu soleh ini meliputi samada lelaki atau perempuan, tua atau muda.

Saturday, April 17, 2010

Mahkota Akhlak



Akhlak merupakan pendorong bagi menjauhi perkara-perkara yang buruk. Ia merupakan satu perasaan yang hidup yang dapat mengangkat jiwa seorang insan daripada melakukan kesalahan atau dosa. Dengan akhlak kita akan merasa tercelanya perkara-perkara yang hina. Akhlak ini akan lahir dalam diri seorang insan apabila dia mengetahui bahawa Allah s.w.t sentiasa memerhatikannya. Sesungguhnya akhlak malu itu merupakan mahkota kepada akhlak.

Malu itu sebahagian daripada iman

Iman mempunyai pelbagai cabang, ketika mana Rasulullah s.a.w menyatakan bilangan cabang-cabang iman, hanya akhlak malu disebut secara khusus. Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Iman itu mempunyai tujuh puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman” (hadith riwayat Muslim). Dan dalam riwayat yang lain Baginda bersabda “Iman itu mempunyai enam puluh lebih cabang, dan malu itu merupakan sebahagian daripada iman” (hadith riwayat Al-Bukhari)

Malu itu akhlak Islam

Akhlak malu telah disebut secara khusus tanpa cabang-cabang yang lain daripada cabang iman kerana ia merupakan akhlak Islam yang paling penting. Sabda Rasulullah s.a.w: “Bagi setiap agama itu akhlaknya dan akhlak Islam itu malu” (hadith riwayat Malik). Para sahabat tertarik dengan akhlak malu yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah merupakan seorang yang teramat malu. Daripada Abi Said Al-Khudri r.a berkata bahawa: “Rasulullah s.a.w itu lebih malu daripada perawan dalam tempat persebunyiannya” (hadith riwayat Al-Bukhari).

Malu itu neraca amalan

Malu itu merupakan suatu neraca. Manusia mengetahui kebaikan suatu amalan dengan pelbagai jenis neraca. Di antara neraca tersebut ialah malu. Kita akan mendapati mereka yang menggunakan neraca malu tidak akan menerima suatu amalan yang menyebabkan mereka berasa malu. Sesungguhnya apabila mereka ingin melakukan sesuatu mereka akan melihat pada diri mereka, sekiranya mereka berasa malu mereka tidak akan melakukannya, dan sekiranya sebaliknya mereka akan melakukannya. Apabila seseorang hilang malu, maka dia akan melakukan apa yang diingininya dengan sesuka hatinya. Daripada Abi Mas’ud Uqbah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya antara kata-kata ungkapan kenabian terdahulu yang dapat diketahui dan dipetik oleh manusia ialah: Jika engkau tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang engkau mahu” (hadith riwayat Al-Bukhari).

Malu itu semuanya baik

Jika di sana terdapat akhlak yang semuanya baik, itulah dia malu. Daripada Imran bin Husain bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Malu itu semuanya baik (akibatnya)” atau baginda bersabda “Malu itu baik semuanya (akibatnya)” (hadith riwayat Muslim). Perasaan takut yang lahir daripada sifat malu tidak dianggap sebagai pengecut. Mereka yang malu lebih rela darahnya tumpah daripada jatuh air mukanya. Inilah kemuncak berani. Takut yang lahir daripada sifat malu bukanlah suatu kekurangan kerana dia hanya takut kehilangan kemuliaan dan keindahan dirinya.

Malu itu suatu perhiasan

Terdapat perkara-perkara yang menambahkan kecantikan sesuatu apabila diiringinya. Di antara perkara tersebut ialah malu. Ia menghiasi setiap perkara yang diiringinya. Daripada Anas r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidaklah sesuatu perkara yang diiringi kekejian itu kecuali ia akan menodainya, dan tidaklah sesuatu perkara yang diiringi malu kecuali ia akan menghiasinya” (hadith riwayat At-Tirmidzi).

Hilang malu penyebab kebinasaan

Hilang malu merupakan sesuatu yang amat ditakuti oleh para salafussoleh. Bagi mereka ia merupakan salah satu daripada punca kebinasaan. Ini berpandukan kepada sabda Rasulullah.s.a.w: “Sesungguhnya apabila Allah ingin membinasakan seorang hamba dicabut darinya perasaan malu, setelah tercabut perasaan malunya tidak akan menimpanya kecuali perkara yang amat dibenci (oleh Allah), setelah itu tercabut pula sifat amanah darinya, setelah tercabut sifat amanah dari dirinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang pengkhianat, setelah itu tercabut darinya sifat rahmah, setelah tercabut sifat rahmah darinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang yang celaka dan dilaknat (dijauhkan), setelah itu dia tercabut dari simpulan Islam” (hadith riwayat Ibnu Majah).

Malu lelaki dan wanita

Malu itu dituntut kepada lelaki dan perempuan. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w melintasi seorang lelaki ansar yang sedang sedang menasihati saudaranya tentang hal sifat malu – yakni malu mengerjakan kejahatan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: “Biarkanlah ia, sebab sesungguhnya sifat malu itu termasuk dari keimanan” (hadith riwayat Al-Bukhari).

Namun fitrah wanita menjadikannya lebih malu, oleh itu perkara yang mencemarkan malu seorang wanita itu lebih daripada lelaki. Sekiranya malu seorang lelaki zahir secara praktikal dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh mengaibkannya begitu juga wanita malah lebih lagi. Seorang wanita yang pemalu tidak akan merenung kepada sesiapa yang berbicara dengannya. Dan ketawanya hanyalah dengan senyuman apabila dengan kehadiran orang asing, dan tidak ketawa terbahak-bahak. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melakukannya walaupun dia seorang lelaki. Daripada Abdullah bin Harith bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah ketawa kecuali dengan senyuman (hadith riwayat At-Tirmidzi). Dan wanita apabila ingin membeli perhiasan peribadinya (pakaian dan lain-lain), perasaan malunya akan menghalangnya daripada membeli daripada penjual lelaki.

Kami golongan yang praktikal

Setiap perkara berkaitan dengan malu yang telah disebutkan haruslah menjadi tugasan amali setiap individu. Kita perlu menetapkan suatu tempoh yang tertentu untuk sentiasa menilainya dalam diri kita. Semoga kita dapat memastikan bahawa akhlak malu hadir dalam tingkahlaku kita.

Semoga semua tugasan amali ini menjadi tarbiyah dan latihanuntuk diri kita sepanjang tempoh ini. Semoga malu menjadi akhlak kita dan sentiasa mendampingi kita. Kita kena cuba untuk menghafal hadith-hadith yang telah disebutkan sekadar mampu. Ia akan membantu kita menegaskan lagi makna-makna tersebut dalam diri kita.Ia juga dapat membantu kita menyampaikannya kepada manusia yang lain. Suatu kewajipan bagi kita untuk menyampaikan kepada semua muslimin dan muslimat.

Sumber: Laman Web ISMA Mesir, Cawangan Iskandariah.

Tuesday, April 13, 2010

Untuk Pemuda




Saya ingin kongsikan tulisan Imam Hasan al Banna yang ditujukan untuk pemuda khususnya mahasiswa……




Wahai pemuda,

Sesuatu gagasan akan berjaya jika wujud keyakinan yang kuat terhadap gagasan yang didokong, wujudnya keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya, serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikannya. Keempat-empat asas ini iaitu keimanan, keikhlasan, semangat dan usaha adalah sifat-sifat istimewa para pemuda.

Sebabnya, asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini hanya ada pada pemuda. Atas dasar ini, dalam mana-mana bangsa para pemuda menjadi tonggak kepada kebangkitan mereka .

Wahai pemuda,

Kita imani dan kita yakini bahawa di sana hanya ada satu gagasan yang dapat menyelamatkan dunia yang sedang sengsara ini, memimpin manusia yang sedang kebingungan dan membimbing mereka ke arah jalan yang benar.

Gagasan inilah sepatutnya yang diperjuangkan dan dijadikan harapan. Manusia perlu dipimpin supaya tunduk di bawah naungannya dengan mengorbankan jiwa dan harta serta segala yang dimilikinya. Gagasan yang dimaksudkan ini adalah Islam yang suci, agama yang tiada cacat cela, tiada keburukan dan tidak akan menyesatkan sesiapa sahaja yang menganutnya.

Firman Allah yang bermaksud: “ Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (al Maidah: 3)

Jadi, dengan ini gagasan kita ialah gagasan Islam. Gagasan ini membangun di atas landasan Islam. Gagasan ini menjadikan Islam sebagai satu-satunya rujukan. Gagasan ini berjuang demi untuk Islam. Gagasan ini tidak akan menggantikan Islam dengan sistem lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya.” (Aali Imran: 85)

Saturday, April 10, 2010

Dua kategori pemuda....



Akhir-akhir ini aku sering didatangi oleh ramai anak-anak muridku dan golongan belia yang merasakan hidup mereka tiada hala tujuan. Bila ku ajukan pelbagai persoalan hidup, sedikit sangat yang boleh di jawab.

Aku tidak ingin menyalahkan mereka tapi itulah wabak yang menimpa ummah apabila Islam tidak lagi tertegak seperti sepatutnya. Islam dianggap sekadar agama peribadi. Upacara-upacara ibadah ketika berhadapan waktu susah. Lebih kepada simbol-simbol pakaian atau aspek luaran.

Memang Islam ada aturan yang perlu diikuti dalam semua perkara termasuklah hal luaran. Tapi Islam lebih dari itu. Islam adalah kecemerlangan dalam semua aspek kehidupan. Manapun sudut yang menerima haruman Islam pasti cemerlang. Lantas, ribuan tahun ia mampu menjadi satu tamadun yang cukup hebat dalam sejarah peradaban dunia.

Pemuda hari ini membesar dalam suasana Islam jatuh. Mereka menatap wajah Islam yang pucat setiap hari. Akhirnya wajah mereka juga pucat. Yang mereka lihat berseri adalah barat. Kosmetik metarialistik barat telah mewarnai wajah mereka. Semua yang ada di barat hebat dan yang ada pada Islam malap.

Tapi ada sebahagian pemuda yang masih waras akalnya, bersih jiwanya dan sempurna kemahuannya. Mereka memandang kehidupan ini diluar kefahaman majoriti bangsanya. Bahkan jauh dari kebiasaan keluarganya. Bagi mereka usia muda, sangat berharga. Pemberian Allah dan perlu digunakan untuk Allah. Untuk memperjuangkan kebenaran, membangun insan dan alam. Mereka tidak hidup hanya untuk perut sendiri.

Hidup pemuda ini tampak sedikit berbeza dari rakan-rakannya. Ini kerana priority mereka dalam hidup ialah ummah. Mereka ada perjuangan dan mereka merasa diri mereka pejuang.

Benarlah kata Imam Hassan al-Banna dalam risalahnya 'wahai pemuda': "pemuda yang lahir serta membesar di tengah-tengah umat yang keadaannya senang lenang kerana kekuasaannya sudah kukuh dan kemakmuran hidupnya cukup mewah. Maka ia pun lebih banyak menumpukan tenaga untuk dirinya sendiri dari kepentingan umatnya, malah mungkin dia bermain-main dan berfoya dengan senang hati dan tidak berfikir apa-apa.

Di samping itu ada pula pemuda yang lahir membesar di tengah-tengah umat yang terpaksa berjuang dan bertindak kerana mereka dijajah dan dikuasai oleh musuh; oleh itu umat tersebut terpaksa berjuang sedaya upaya untuk mengembalikan hak mereka yang dirampas, harta kekayaan yang disamun. Begitu juga segala kebebasan juga telah hilang. Pada ketika itulah kewajipan utama lagi pertama bagi pemuda tersebut supaya menumpukan segala perhatian demi untuk kepentingan umat lebih banyak dari faedah dirinya sendiri.

Ketika bertindak sedemikian itu, pemuda tersebut akan memperolehi kemenangan dan pelbagai kebaikan serta mencapai ganjaran dari Allah dalam bentuk kebajikan dan pahala di akhirat kelak.

Wahai anak-anak dan adik-adikku…anda ingin hidup dan mati dikategori mana??

Hakikatnya usia muda anda tidak kekal lama. Anda berjuang atau tidak pasti akan mati juga. Cuma, pasti berbeza orang yang berjuang untuk tuhannya dengan yang berjuang untuk membesarkan perutnya

Tentukanlah langkah anda…itulah corak yang akan mewarnai hidup anda dan penentu nasib akhirat anda

Jangan bazirkan usia muda anda...sertailah para pejuang. Kita corakkan semula alam ini dengan keagungan sistem dan aturan kehidupan Islam. Pasti anda tidak akan menyesal di saat menghembuskan nafas terakhir.


Sumber daripada blog us. Sarip Adul. Cuma gambarnya yang saya pilih...saya fikir bahan ini sesuai untuk tetamu-tetamu blog saya.

Wednesday, April 7, 2010

Jangan pandang Belakang


Sekali lagi ingin ku kongsikan hasil tulisan Ustaz Sarip Adul dengan saudara/i yang dikasihi. Semoga ianya bermenafaat untuk kita semua.

Aku nak berubah, aku nak jadi baik, aku nak bertaubat….rintihan seorang remaja yang kecundang berkali-kali dalam hidupnya. Bukan ia seorang yang ingin berubah. Ramai yang ingin menjadi orang baik-baik.

Perubahan untuk melalui jalan hidayah tidak semudah yang diimpikan. Banyak halangan dan cabaran. Cabaran pertama dari dalam diri manusia sendiri, namanya NAFSU. Nafsu sukakan keseronokan dan benci kepayahan. Jalan hidayah pula kurang aksesori. Ia memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Justeru, ramai yang rebah di langkah pertama ingin berubah.

Cabaran kedua ialah budaya luaran. Manusia akhir zaman ramai yang rosak. Malangnya mereka sendiri tidak tahu mereka rosak. Kalau tahupun buat-buat tak tahu.

Memang tidak senang untuk jadi baik. Lantaran itu, ramai yang dah memulakan perubahanpun kembali ke dunia asal. Lihat sahaja gelagat artis kita. Bertudung setahun dua…lepas tu kembali seksi macam zaman remaja.

Waktu mengajar di UIA dulu, aku menghadiri satu sesi ceramah keinsafan oleh seorang artis wanita terkenal yang katanya telah bertaubat. Sambil menanggis ia bercerita tentang pengalamannya. Yang mendengar juga turut menanggis. Tapi sekarang, kat TV mukanya sering terpampang…walau masih pakai tudung tapi terbuka sana sini.

Nak berada di atas jalan hidayah memang tak mudah. Bahkan tak ramai yang benar-benar inginkannya. Apatah lagi berjuang untuk mendapatkannya. Lihat sahaja majlis-majlis agama…bayar tambang pun ramai tak datang. Kalau konsert hiburan…bertiketpun mereka sanggup tunggu dari petang. Yang bertudung labuh dibanding dengan yang terdedah urat dan aurat, juga nisbah yang cukup jauh. Jamaah di masjid dibanding dengan jamaah di supermarket…juga nisbah yang sangat jauh. Lantaran itu sebenarnya untuk dapat hidayah bukannya susah, ini kerana kita tak perlu berebut.



Mungkin kerana tak ramai yang melalui jalan hidayah, melaluinya akan terasa sunyi. Kesunyian menyebabkan orang yang melaluinya berpaling ke belakang. Menoleh kebelakang untuk melihat orang ramai yang melalui jalan alpa. Jalan yang membuai mereka dengan jutaan irama kenikmatan. Imam al-Fudhail bin ’Iyaad memberi nasihat:



لا تستوحشْ طرقَ الهدى لقلّة أهلها ولا تغترّ بكثرة الهالكين



(Janganlah kamu rasa sunyi melalui jalan hidayah kerana sedikit ahlinya dan jangan terpedaya dengan ramainya orang binasa (kerana melalui jalan yang sesat)) (1).

Kata Ibnu Qayyim: “setiap kali engkau merasa sunyi kerana bersendirian, maka lihatlah pada rakan-rakanmu yang terdahulu (di kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solehin). Berusahalah untuk mengejar mereka. Tutuplah pandangan dari melihat orang lain. Mereka itu tidak mampu menyelamatkan engkau dari siksaan Allah. Andainya mereka menjerit memanggil engkau dalam perjalananmu, jangan palingkan wajahmu pada mereka. Maka andainya engkau berpaling pada mereka, mereka akan mengoda dan menghalangmu”(2) .



Anda adalah seperti seekor Sang Kancil yang dikejar oleh seekor Harimau buas. Walaupun badanmu kecil, tuhan kurniakanmu kekuatan larian dan kelajuan yang menyamai kelajuan harimau. Andainya engkau berpaling kebelakang walau sesaat!, engkau akan kehilangan sedikit kelajuanmu. Itu sudah cukup bagi sang harimau menerkam dan membahammu.

Jangan pandang ke belakang lagi bila anda sudah memulakan perjalanan di atas jalan hidayah. Biarkan sahaja orang ramai di luar sana. Allah SWT janjikan untukmu kenikmatan yang tiada tolok bandingnya di hujung perjalanan. Syurga Firdausi bertemankan kekasih-kekasih Allah di kalangan para Nabi, Syuhada’, Siddiqin dan Solehin. Firman Allah SWT:

وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ وَحَسُنَ أُولَئِكَ

(Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, yaitu: Nabi-nabi, para shiddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya)(Al-Nisa’: 69).


Andainya anda terpengaruh walau ‘sedikit’ pada pemikiran, budaya dan cara hidup mereka, mereka akan sesatkan anda. Firman Allah:

وَلَا تَتَّبِعُوا أَهْوَاءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا مِنْ قَبْلُ وَأَضَلُّوا كَثِيرًا وَضَلُّوا عَنْ سَوَاءِ السَّبِيلِ

(Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus)(al-Maidah:77).

Sebenarnya anda orang terpilih di kalangan jutaan manusia. Allah SWT sayangkan anda. Dia campakkan ke dalam hati anda petunjukknya. Sebab itu anda terfikir untuk berubah. Andainya anda tinggalkan hidayah yang datang. Anda telah menzalimi diri sendiri. Menjadi hujjah Allah SWT untuk menyiksa anda di hadapannya nanti. Waktu itu anda sudah tidak boleh berkata: Ya Allah, aku tak sedar semua ini. Aku belum terima hidayah darimu!!.

Ingat, hidayah Allah itu umpama burung yang hinggap di tepi tingkap bilik. Andai anda halau ia, tidak mustahil ia langsung meninggalkan anda dan tak akan datang lagi.

Sumber: Blog Ustaz Sarip Adul

Sunday, April 4, 2010

Jangan lupakan Allah..



Kadang-kadang dalam kita menjalani kehidupan ini, kita akan berhadapan dengan satu-satu masalah. Manusia tidak boleh lari daripada masalah kerana itulah tujuannya Allah menciptakan manusia. Masalah itu adalah ujian. Bukankah Allah berfirman yang bermaksud, :"Allah lah yang menjadikan mati dan hidup ini agar Allah dapat menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya."(Al Mulk: 2)

Jadi di sini Allah sendiri telah menyatakan kepada kita yang Allah menjadkan mati dan hidup itu, untuk menguji manusia, siapakah di antara manusia ini yang lebih baik amalannya, siapakah yang lebih bertaqwa dan sebagainya. Kita hidup di atas muka bumi Allah ini sentiasa akan diuji oleh Allah SWT. Kadang-kadang ujian itu kita sedar dan kadang-kadang kita tidak sedar, kadang-kadang ujian itu ringan dan kadang-kadang berat, ujian juga boleh datang dalam bentuk pangkat dan kemewahan.

Orang yang tidak dapat mengatasi masalah dan tidak mahu berhadapan dengan masalah, orang itu akan lambat maju, lambat berubah dan tidak dapat bersaing dalam dunia hari ini.

Kekusutan fikiran dan masalah, menyebabkan kita mencari-cari siapakah yang dapat membantu menyelesaikan kekusutan fikiran kita. Kadang-kadang kita terlupa untuk meminta pertolongan daripada Allah.

Untuk keadaan tertentu, di mana manusia tidak dapat membantu menyelesaikan masalah kita, kita perlu berdoa kepada Allah. Berdoa dengan sungguh-sungguh. Allah Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Perbaikilah diri kita sekiranya selama ini kita lalai dari mentaati perintah Nya. Perbetullah jalan hidup kita supaya selalu berada di atas jalanNya.

Bersabar sekiranya doa kita masih belum dimakbulkan. Bersangka baiklah kepada Allah bahawa Allah akan perkenankan hajat kita bila sampai waktunya. Sekiranya doa kita tidak dimakbulkan mungkin Allah akan gantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Berdoalah supaya Allah berikan kebaikan-kebaikan samada kebaikan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu dan dihindarkan dari keburukan, samada keburukan yang kita tahu ataupun yang kita tidak tahu.

Kadang-kadang mungkin sesuatu perkara itu kita rasa ianya baik untuk kita tetapi ia boleh merosakkan kita dan demikian juga sebaliknya.

Berdoalah selalu kerana Rasulullah sendiri mewariskan kepada kita berbagai-bagai doa. Sentiasa berdoa akan merapatkan hubungan kita dengan Allah. Apakah perkara lain yang lebih utama selain dari hubungan yang akrab dengan Allah? Pencipta kita, Yang menguruskan kehidupan kita?

Dekat dengan Allah akan melahirkan ketenangan jiwa. Itulah yang ramai orang tidak dapat memperolehinya pada hari ini walaupun mereka mempunyai kemewahan harta benda tetapi jiwa yang kosong. Mencari cara yang lain untuk mendapatkan ketenangan jiwa.

Saturday, April 3, 2010

Ketika Cinta Bertasbih


Saudara/i tetamuku yang dikasihi. Saya ingin kongsikan satu hasil tulisan yang saya ambil daripada satu laman web. Yang ditulis oleh Us. Sarip Adul. Semoga ianya memberi menafaat kepada anda.

Malam tadi sempat menonton filem ‘Ketika Cinta Bertasbih 2′ bersama puteri sulungku. Tapi bukan di pawagam, kat komputer rumah je. Dia sangat teruja sebab sudah habis membaca novel karangan Ustaz Habiburrahman al-Syirazi yang cukup laris. Anak remaja paling gemar novel cinta. Aku sendiri tak pernah membaca novel tersebut. Ia memakan masa yang lama untuk dikhatamkan. Melihat movie lebih cepat dan ringkas, walaupun kata anakku membaca novel lebih puas. Aku akui itu, sebab dulu pun aku kaki novel, maklumlah aliran sastera.

Antara fokus utama dalam bahagian kedua, menceritakan pengembaraan Ustaz Kheirul Azzam mencari calon isteri. Berhadapan dengan ibunya yang sangat cerewet memilih calon menantu, mesti cantik, solehah, berpendidikan tinggi dan paling penting berjilbab (tudung labuh). Hampir kesemua yang cuba dilamar oleh Ustaz Azzam adalah melalui orang tengah yang ia thiqah dengan kemampuan dan pengalaman mereka dalam menilai peribadi manusia.

Kataku pada puteriku, itulah cara tebaik dan cara Islam memilih pasangan. Untuk membina rumahtangga yang soleh perlu pasangan yang benar-benar soleh. Menentukan kesolehan seseorang calon tidak sepatutnya berpegang pada pemikiran sendiri bahkan perlu berbincang dengan orang yang pakar. Seperti apabila ingin membina rumah perlu berbincang dengan arkitek dan jurutera. Merekalah yang paling tahu akan keperluan dan bahan apa yang paling cocok untuk orang tersebut. Membuat keputusan sendiri tanpa mengambil kira pandangan ibubapa dan murabbi yang selama ini menghabiskan masa mendidik mereka amat zalim. Ini kerana, merekalah orang yang paling ingin melihat mereka bahagia.

Menyerahkan tanggungjawab mencari pasangan hidup pada orang yang berkemampuan mungkin makin jarang dilakukan oleh generasi muda kini. Bagi mereka semua itu budaya lama lagi kolot. Orang sekarang pilih sendiri. Tentukan sendiri orang bagaimana yang ia mahu. Baginya kalau sudah cinta segalanya akan baik belaka. Ibubapa sekadar perlu approve sahaja hubungan mereka. Kesannya… makin banyak rumahtangga yang kandas di tengah jalan. Tayar cintanya tidak mampu bertahan lama. Bocor walau sekadar terkena batu kecil yang tumpul. Dulu, cinta yang dipuja itu telah membutakan mata. Tidak nampak cacat cela pasangan, apatah lagi bagi pasangan yang ‘mahir’ menyembunyikan keaiban diri. Nantinya bila sudah dapat yang dipuja, barulah keaiban itu terzahir satu persatu.

Bagi orang seperti Ustaz Azzam, cinta bukan syarat utama pembinaan rumahtangga. Asas paling utama ialah ciri solehah wanita tersebut yang dizahirkan melalui jilbabnya. Peribadi si wanita pula diperakui dan dikenali secara mendalam oleh orang yang menjadi orang tengah. Orang tengah yang ia kenali kejujurannya. Ini kerana orang tengah yang jujur pastinya akan mencarikan calon terbaik dan paling sesuai untuk orang yang memberinya amanah. Ia perlu kenal secara mendalam peribadi kedua-duanya sebelum dipertemukan di hari taaruf. Ia mesti mengambil kira fizikal, usia, akhlak dan fikrah antara yang mencari dan dicari. Kalau sekufu dan match… barulah diperkenalkan. Waktu itu kedua-dua pihak boleh menilai cadangan si orang tengah yang soleh… andai setuju, teruskan untuk prosedur seterusnya. Andainya tidak menepati apa yang dicari, tolak dengan baik. Waktu itu tidak perlulah mereka bermain dengan bara cinta yang sering membakar iman dan maruah diri. Kadangkala memakan masa bertahun-tahun dan berakhir dengan kegagalan dan penyesalan.

Kalau sudah menepati syarat… solehah, cantik, berakhlak mulia dan berjilbab… pasti cinta akan hadir sendirinya. Bahkan ia terbit dari rasa cintanya kepada pasangannya yang mencintai tuhannya. Cinta waktu itu adalah ibadah yang terbit dari rumahtangga yang dari awal pembinaannya tulus mencari redha Allah SWT.

Ada satu dialog yang menarik dalam movie tersebut apabila Ustaz Azzam mendatangi rumah Ahmad Jazuli, seorang kaya yang pernah mendengar pengajaran Ustaz Kheirul Azam yang membaca kitab al-Hikam karangan Ibn Atoillah. Dulu Pak Jazuli pernah menawarkan puterinya pada Ustaz Azzam. Kata Pak Jazuli pada Ustaz Azzam bila ia datang: “…itu foto anak bapa, waktu ia sudah habis di ITB, setelah itu ia melanjutkan S2 di Belanda, pada waktu bapa ketemu nak mas ia sedang pulang selama 2 minggu. Ia minta dicarikan jodoh yang bisa membimbingnya membaca al-Quran dan mengimaminya solat. Waktu bapa melihat nak mas mengajar bapa terfikir nak maslah orangnya…”.

Ringkas syaratnya: dapat suami yang mampu ajar baca Quran dan jadi imam solat. Kataku pada puteriku, wanita solehah impiannya berbeza dari impian kebanyakan wanita moden masa kini. Bagi mereka memperolehi suami yang boleh membimbing agama dan akhirat mereka lebih diutamakan dari lelaki yang mampu meletak mereka di atas timbunan kemewahan. Ini kerana mengasaskan rumahtangga di atas timbunan harta semata-mata akan memudahkan ia goyah dan berkubur apabila dilanda gempa. Wanita solehah yakin dengan rezeki dan takdir ilahi. Allah juga berjanji bahawa sesiapa bertakwa kepada Allah dijadikan baginya tempat keluar dari permasalahan dan diberikan rezeki dari sumber yang mereka sendiri tidak sangkakan. Yang penting usaha dan mencari sebab.

Ibubapa yang mengharapkan kebahagiaan bagi anak-anaknya di akhirat dan di dunia, mereka akan mendahulukan agama dan akhlak untuk menjadi pasangan hidup anak-anaknya. Bukan harta dan martabat menjadi ukuran. Kiyai Lothfi menikahkan puterinya Ana Altafunnisa cuma bermaharkan sebentuk cincin dengan Ustaz Kheirul Azzam. Bahkan tidak sempat pun Ustaz muda tersebut bertukar baju apatah lagi menyediakan hantaran yang mahal-mahal. Orang sekarang berkahwin terlalu memfokuskan pada glamour dan aspek luaran melebihi keperluan sebenar. Majlis kahwin yang gah dan hantaran yang banyak angkanya. Bagi ibubapa yang soleh dan faham keperluan rumahtangga sebenar, memiliki menantu yang berakhlak mulia dan soleh/hah sudah cukup menjamin kebahagiaan rumahtangga anak mereka berpanjangan.

Seingatku, sewaktu menghabiskan pengajian 4 Thanawi dulu, di Pondok Bukit Besar, ramai kawan-kawanku yang menerima lamaran dari beberapa keluarga berhampiran pondok. Dalam erti kata lain ‘booking’ pelajar-pelajar tersebut sebelum ke Universiti al-Azhar untuk menjadi bakal menantu bila habis nanti. Bagi masyarakat pondok, nilai agama merupakan syarat utama memilih menantu. Budak-budak pondok yang terbiasa dengan budaya beragama, mengaji kitab-kitab kuning, berkopiah dan berserban sering menjadi pilihan. Mereka berharap menantunya nanti mampu membimbing puterinya menghayati agama dan memimpinnya ke syurga Ilahi.

Bila berbicara tentang rumahtangga dakwah dan tarbiah, timbul satu masalah bagi anak-anak yang ada kesedaran dan faham perjuangan. Menyerahkan tanggungjawab memilih sahaja pada ibubapa pasti berisiko tinggi, kecualilah ibubapanya memiliki fikrah dan faham perjuangan yang sama sepertinya. Waktu ini murabbi sepatutnya menjadi penasihat utama dan orang yang paling faham dalam menentukan bentuk pilihan. Ini kerana sang murabbi bukan sahaja menilai calon pasangan yang akan dicadangkan pada anak didiknya menepati asas agama, bahkan menyempurnakan keperluan perjuangan. Tapi budaya inipun sudah semakin kurang diamalkan dalam komuniti dakwah.

Sumber: ISMA Mesir

Batu-Bata..




Saudara seaqidahku yang dikasihi.

Kali ini hati saya tergerak untuk memperkatakan sesuatu yang ada hubung kait dengan batu bata.

Apakah istimewanya batu bata?
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, “Orang-orang mukmin bagi orang-orang mukmin yang lain ibarat bangunan yang sebahagiannya menyokong sebahagian yang lain”.

Bahan utama untuk mendirikan bangunan adalah batu bata.

Cuba kita perhatikan batu bata. Kita akan dapati, yang pertama, batu bata diperbuat daripada bahan yang bermutu atau mutunya menepati keperluan untuk membuat bangunan, dan kedua kita dapati setiap batu bata mempunyai saiz dan bentuk yang sama.

Batu bata tadi apabila disusun dan diikat dengan simen, diperkukuhkan dengan besi, kayu dan lain-lain, dibentuk mengikut pelan tertentu boleh menjadi bangunan yang tersergam indah.

Sekiranya batu bata tersebut mempunyai bentuk dan saiz yang tidak sama, tentu sukar untuk menyusunnya, bukankah begitu?

Mungkin bangunan yang dihajati akan sukar atau tidak akan dapat dibina.

Saya nak kaitkan dengan apa yang berlaku kepada orang-orang mukmin/Islam sekarang ini. Kita amat sukar untuk bersatu kerana tidak mempunyai persamaan di dalam perkara-perkara yang sepatutnya mempunyai persamaan.

Orang-orang Islam mempunyai matlamat yang sama. Bukankah keredhaan Allah matlamat setiap orang Islam? Orang-orang Islam juga mempunyai panduan hidup yang sama, iaitu al Quran dan al hadith.

Tetapi kalau kita tanya setiap orang Islam, apakah matlamat hidup mereka? Bolehkah mereka menjawab, " Matlamat hidup saya nak cari keredhaan Allah". Kalau mereka iru adalah yang menagih dadah, buang bayi, membunuh....bergaduh adik beradik,tidak sembahyang, mendedahkan aurat dan sebagainya

Saudara yang dikasihi,

Supaya dapat bersatu orang-orang Islam perlu kepada keseragaman. Seperti yang kita lihat seragamnya batu bata itu.

Keseragaman akan menghasilkan kesatuan. Orang Islam perlu kepada keseragaman dalam aqidah, aqidah yang sohih serta memahami tuntutannya. Kemudian keseragaman dalam fikrah, iaitu mempunyai kefahaman dan pemikiran Islam yang benar dan seterusnya keseragaman dalam beramal.

Di dalam Islam ada perkara-perkara yang kita boleh berbeza pendapat.Tetapi kita perlu meraikan pendapat orang lain juga.

Pada hari ini kita lihat umat Islam amat sukar bersatu. Terlalu banyak perkara remeh temeh yang menjadi dinding yang menyebabkan kita tidak dapat bersatu.

Berbeza fahaman politik, berbeza pendapat di dalam cabang-cabang fekah, berbeza warna kulit, berbeza fakulti, berbeza program/kursus dan lain-lain lagi.

Kes perlawanan bolasepak, kes anak-anak, kes lembu kambing, kita boleh bergaduh sesama sendiri.

Marilah kita mewujudkan keseragaman dan persamaan sesama kita dengan cara kita beramal dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ketepikan perbezaan yang ada sedikit sebanyak kerana persaudaraan adalah lebih penting.

Firman Allah, maksudnya, " Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara".

Wallahu a'lam..

Wednesday, March 31, 2010

Meniti perubahan 4...



Saudara yang dikasihi,

Cuba lihat ketekunan penanam bonsai membentuk pokok bonsainya.

Di dalam fikirannya sudah tergambar bentuk yang hendak dihasilkan ke atas pokok bonsainya. Proses untuk menghasilkan pokok bonsai sebagaimana yang dihajatinya bukan mengambil masa yang sekejap. Tetapi mungkin bertahun-tahun lamanya. Tetapi itulah proses yang perlu dilakukannya dari sehari ke sehari, dari minggu ke bulan dan dari tahun ke tahun.





Baginya yang penting dia akan dapat menghasilkan pokok bonsai sebagaimana yang dihajatinya.

Begitulah perumpaan yang saya buat bagi kita yang hendak berubah bagi mencapai satu-satu matlamat. Kita tidak boleh lari dari fitrah atau hukum yang Allah telah tentukan bahawa untuk mendapatkan satu-satu hasil atau untuk mencapai satu-satu matlamat, kita perlu melalui jalan-jalan atau langkah-langkah yang tertentu.

Seorang yang memegang Ph D, telah melalui langkah-langkah awal sebelum mendapat Ph D. Dia kena masuk sekolah rendah, kemudian sekolah menengah, Universiti, buat ijazah, master dan barulah boleh buat Ph D.

Saudaraku.

Perlu ada gambaran bagi kita, kita nak jadi bagaimana?. Nak jadi orang yang macam mana?

Selama ini mungkin ramai orang yang fikir nak jadi apa. Nak jadi cikgu, nak jadi pensyarah, nak jadi doctor dan sebagainya.

Tapi yang kita perlu fikir juga, kita nak jadi pensyarah yang macam mana atau guru yang macam mana?

Bagaimana keperibadian kita sebagai seorang guru, pensyarah dan sebagainya.

Bagaimanakah bentuk sumbangan yang boleh kita berikan kepada agama, bangsa dan Negara dengan kedudukan kita sebagai guru dan pensyarah.

Yang saya fikir, guru-guru atau pensyarah-pensyarah perlu berjiwa Islam, berkeperibadian Islam, mempunyai kefahaman Islam yang betul dan tahu hala tuju ke arah mana hendak dibawa orang-orang di bawah mereka.

Saudara golongan terpelajar bolehlah fikir-fikirkan perkara ini. Saya sekadar menyuarakan pandangan. Saya bukan golongan terpelajar atau ahli agama.

Saya memberikan penekanan kepada proses perubahan yang kita kena lalui dalam hidup kita. Supaya kita beberapa tahun akan datang lebih baik daripada kita pada hari ini.

Wallahu a’lam..

Tuesday, March 30, 2010

Tidakkah ini membimbangkan saudara?


sumber dari devian art

Satu laporan di akhbar The Star melaporkan bahawa jumlah anak luar nikah yang dilaporkan ke Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2005-2009 adalah sejumlah 109,199. Dengan lebih tepat lagi jumlah itu adalah seperti berikut:-
• 2005 – 22,512
• 2006 – 24,139
• 2007 – 21,648
• 2008 – 17,953
• 2009 – 22,937
Melihat kepada data yang diberikan, hitung panjang anak luar nikah yang dilahirkan pada satu hari bagi tahun 2009 ialah lebih kurang 60 orang.
Ini jumlah yang dilaporkan. Bagaimana jika dicampur dengan jumlah yang tidak dilaporkan? Kita tidak pasti. Yang pasti negara kini dibanjiri oleh manusia-manusia yang tidak mengenal bapa mereka, mengalami kesukaran untuk hidup dan ditolak oleh masyarakat.

Mereka menjadi terasing dari masyarakat dan merasa rendah diri. Ada yang terpaksa membatalkan perkhawinan apabila pihak di sebelah pasangan mengetahui yang bakal isteri atau suaminya adalah anak luar nikah.

Dalam keadaan hidup penuh tekanan dan penghinaan dari masyarakat ini adakah mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan sempurna? Atau mereka hanya sekadar akan mengulangi perbuatan ibu bapa mereka saja?.

Masyarakat semakin rosak. Bukan mustahil kalau keadaan seperti ini berterusan, mungkin satu hari nanti perkara seperti ini boleh berlaku kepada jiran kita, saudara kita dan keluarga kita sendiri.

Siapakah yang hendak kita persalahkan di atas perkara yang berlaku? Tuduh menuduh tidak dapat menyelesaikan masaalah.

Sudah sampai masanya bagi kita untuk sama-sama menggembelingkan tenaga, mengggunakan apa saja ruang yang terbuka memerangi kemungkaran ini.

Saturday, March 27, 2010

Identiti Muslim Sejati (Siri 1)


Dalam hidup ini, kita memahami bahawa untuk mencapai sesuatu perkara yang besar perlu kepada persediaan. Begitu juga untuk melaksanakan tuntutan dakwah. Tugas yang besar dan agung ini terletak di atas bahu para daie yang bersedia melaksanakannya serta memahami tuntutan-tuntutannya. Sebagaimana kata-kata yang biasa didengari oleh seorang daie ‘Aslih nafsak wad’u ghoirak’ (perbaikilah dirimu dan serulah orang lain).

Marhalah ini dikira sebagai marhalah yang paling penting yang akan dilalui oleh para daie. Ia merupakan asas yang akan terbina di atasnya marhalah-marhalah berikutnya. Umpama tiang konkrit yang menguatkan komposisi sesuatu bangunan, begitulah pentingnya individu muslim dalam pembentukan sebuah masyarakat Islam.

Di antaranya seorang muslim itu akan bertarung dengan nafsunya, yang mana akan sentiasa hidup bersamanya pertembungan yang berterusan sehingga akhirnya ia mampu memandu serta menghalanya ke arah matlamat dan tuntutan Manhaj Islam.

Inilah juga yang dinamakan tarbiah kendiri. Berkata Iman Hasan Al-Banna ketika melalui marhalah ini: ‘wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami’.

Antara perkara yang perlu ada pada diri seseorang daie ialah:

1) Memiliki fizikal yang kuat
Setiap Muslim wajib mengetahui bahawa untuk melaksanakan tugas amal Islami, tanggungjawab serta bebanan yang ada padanya tidak akan terlaksana melainkan dengan memiliki badan yang sihat dan kuat. Kita memahami bahawa tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dibuat sambil lewa tanpa perlu kepada kesungguhan dan perancangan yang teliti.

Bangunan yang tampak megah berdiri akhirnya akan tumbang jika hakikatnya tidak ada tiang-tiang konkrit yang kuat dan kukuh. Begitulah diibaratkan seorang daie yang lemah dan sering sakit akan mudah putus asa dan bermalas-malasan dalam melakukan sesuatu perkara. Selain itu, Allah S.W.T mengurniakan badan yang sempurna dengan segala pancaindera adalah supaya kita bersyukur dan menjaganya dengan baik demi melaksanakan amal ibadah kepada-Nya.

Rasulullah S.A.W juga pernah menegaskan perihal pentingnya penjagaan badan serta menjaganya dari terkena penyakit, supaya anggota ini mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang dituntut oleh Islam dengan sebaik-baiknya. Berkaitan dengan ini sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah dari mukmin yang (dhoif) lemah”. Juga maksud sabda baginda s.a.w. lagi: “Sesungguhnya bagi jasad kamu ada hak ke atas kamu (penjagaan)”.

Bahkan jika kita mengkaji sirah kita akan mendapati bahawa Rasulullah S.A.W dan para sahabat memiliki kekuatan fizikal yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Mereka berjuang di medan perang umpama singa yang lapar. Kita meyakini di samping bantuan Allah yang dijanjikan kepada mereka, semuanya ini tentu sekali memerlukan persediaan yang rapi dan mantap juga strategi yang tersusun.

Nabi S.A.W dan para sahabat memahami bahawa kemenangan bukan sahaja akan tercapai dengan keimanan yang teguh, tetapi juga dengan usaha dan persediaan yang penuh kesungguhan. Benarlah firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri mengubahnya” (ar-Ra’d: 11).

Aspek fizikal dan kekuatan adalah penting bagi seorang muslim terutama untuk menghadapi musuh atau menghadapi situasi-situasi yang sukar dan mencabar. Dalam sebuah hadith Nabi S.A.W pernah bersabda, “Ajarilah anak-anakmu berenang, memanah dan menunggang kuda.” Oleh yang demikian, sebagai seorang muslim yang memahami betapa syumulnya Islam, amat perlu bagi kita mementingkan latihan-latihan fizikal seperti olahraga, semua permainan yang menguatkan tubuh, berjoging, berenang, memanah dan sebagainya.

Semuanya ini merupakan wasilah untuk kita menyihatkan tubuh badan dan mengeluarkan peluh selain dari aktiviti-aktiviti lain yang seumpamanya.

Sirah juga pernah mencatatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bergusti dengan seorang pegusti yang handal ketika itu, dan baginda S.A.W berjaya mengalahkannya! Padahal Rasulullah S.A.W lebih tua dan berumur. Bayangkan, baginda S.A.W mula berjihad ketika berumur 50-an. Jika zaman ini, dengan umur yang sama, tentu ramai yang sudah bergelar datuk dan mempunyai cucu, tidak mampu berjalan jauh apatah lagi bersukan. Agak menyedihkan apabila ada yang menganggap bahawa sukan sudah tidak penting lagi bila mencapai usia dewasa.

Lebih menyedihkan ada segolongan mahasiswa yang berpendirian begitu. Mereka memberi alasan sibuk dengan pengajian, tidak cukup masa dan sebagainya. Ini adalah satu kefahaman yang silap.

Dalam hal ini As-Syahid Imam Hasan Al-Banna juga telah memberi beberapa panduan dan nasihat untuk individu muslim supaya mengambil berat tentang fizikalnya, katanya:

‘Wajib ke atas individu muslim membuat pemeriksaan doktor, dan berikhtiar mengubati penyakit sekiranya ada penyakit. Hendaklah menitik berat atas sebab-sebab yang boleh memberi kekuatan pada fizikal dan juga penjagaan kesihatan. Beriltizam dengan riadah sekalipun hanya dengan berjalan kaki, dan juga hindari daripada mengambil terlalu lebih manisan dan selainnya yang boleh memberi mudharat pada kesihatan’.

Kesimpulannya, amat penting kita menjaga:

1) Kesihatan badan dan hindari daripada penyakit. Kesihatan badan mempunyai pengaruh terhadap jiwa dan akal. Orang-orang dahulu berkata: Akal yang sihat berada dalam tubuh yang sihat. Tubuh yang sakit tidak mampu melaksanakan tugas-tugasnya. Oleh itu perlu diberi perhatian yang sewajarnya terhadap kebersihan, pemeliharaan kesihatan dan perubatan, begitu juga kita perlu menjauhi kebiasaan yang merugikan seperti berjaga sehingga jauh malam, merokok dan sebagainya. Selain itu kurangkan minuman berkafein seperti kopi dan teh serta hentikan merokok sama sekali.

2) Kekuatan jasmani dan keterampilannya. Hal ini kerana, penjagaan tubuh badan tidaklah mencukupi jika sekadar terhindar dari penyakit saja, bahkan harus kuat, bertenaga, berketrampilan serta mampu bergerak dengan cepat dan mudah. Buatlah jadual harian atau mingguan untuk riadah sama ada secara individu atau berkumpulan.

3) Stamina dan ketahanan tubuh. Kesihatan dan kekuatan tubuh tidaklah memadai, selama ia tidak terbiasa, menahan derita mengatasi kesulitan serta sedia menghadapi bermacam-macam situasi seperti panas dan dingin, daerah lembah dan tanah berbukit-bukit, keuntungan dan kerugian. Oleh sebab itu orang mengatakan “Biasakanlah hidup susah kerana nikmat itu tidak kekal.”

4) Pemakanan yang seimbang dan amalkan memakan makanan yang memang diakui boleh mengubati penyakit seperti madu, habbatus sauda’ dan lain-lain.

Sumber: Laman Web ISMA-Mesir Cawangan Tanta

Thursday, March 25, 2010

Tabiat Dakwah



Sesungguhnya tugasan dakwah atau menyeru kepada kebaikan merupakan sunnah para Nabi sepanjang zaman sehinggalah Nabi Muhammad saw.
Kewajipan ini tidak hanya terhad kepada golongan berpendidikan agama semata-mata, bahkan ia seharusnya sama-sama dipikul oleh setiap mereka yang bersaksi ‘Tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah’.Persaksian ini merupakan suatu momentum besar untuk kita bekerja menyampaikan risalah Islam kepada manusia.

Puji dan syukur kepada Allah, dewasa ini, semakin ramai yang menyedari hakikat kewajipan ini. Justeru, kita melihat lahirnya golongan muda yang begitu bersemangat menyampaikan kefahaman Islam yang syumul. Niat mereka suci bersih semata-mata demi mencari rahmat dan keredhaan Allah swt. Pagi dan petang mereka dibasahi keringat yang bakal menjadi hujah bagi mereka kelak di hari mereka berhadapan dengan Tuhan mereka.

Namun, dalam kesungguhan dan semangat ini, setiap pendakwah itu perlu sentiasa peka dengan ciri-ciri khusus pada dakwah ini agar usaha dakwah ini tidak lari dari matlamat asalnya; rahmat dan redha Allah swt. Juga agar usaha dakwah ini akan terus berkembang dan menjadi asbab keberhasilan memandu masyarakat kembali kepada Islam.

Antara ciri khusus dakwah ini; Bertepatan amal dengan lisan.

Firman Allah swt: [61:3] “Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”.

Demikian kerasnya amaran daripada Allah swt agar kita menjaga perlakuan kita supaya selari dengan apa yang kita serukan. Seorang pendakwah seharusnya menjadi cerminan kepada seruannya. Amatlah malang jika seorang pendakwah itu pada suatu masa menyeru kepada kebaikan dan pada masa yang lain dia gagal melakukan kebaikan itu.
Demikian juga amatlah malang jika seorang pendakwah itu pada suatu masa menghalang suatu kemungkaran dan pada masa yang lain dia gagal menghalang dirinya sendiri dari kemungkaran itu. Lebih dari itu, seorang pendakwah yang gagal melaksanakan ciri khusus dakwah ini akan menjadi fitnah kepada dakwah itu sendiri. Natijahnya, masyarakat akan mula memandang serong kepada usaha dakwah kerana tiadanya qudwah atau ikon yang dapat mereka jadikan contoh dalam melaksanakan Islam secara praktikal.

Antara ciri khusus dakwah ini; Rabbaniah.

Selain usaha dakwah yang berterusan, seorang pendakwah itu perlu meletakkan pergantungannya semata-mata kepada Allah kerana hidayah itu adalah hak mutlak Allah swt. Demikian firmanNya dalam surah al-Qasas ayat 56. Maksudnya; “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)” . [28:56]

Justeru, ciri rabbaniah pada dakwah ini menuntut setiap pendakwah supaya sentiasa menjaga hubungannya dengan Allah swt iaitulah dengan memperbanyakkan amalan sunnah seperti tilawah al-Quran, zikir-zikir yang ma’thur daripada sunnah, doa, qiamullail, puasa serta solat selain ibadah wajib yang telah difardhukan.

Antara ciri khusus dakwah ini; Amal Jamai’e

Firman Allah swt dalam surah Yusuf ayat 108 yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”.Demikian juga sabda Nabi saw: “Bagi setiap Nabi ada penolongnya (hawariy), dan penolongku Zubair anak bapa saudaraku”.

Demikian dua dalil dari sekelian banyak dalil daripada sirah dakwah yang panjang membuktikan bahawa usaha dakwah ini memerlukan kepada gerak kerja bersama. Individu yang berdakwah secara berseorangan kebiasaanya akan cepat berasa lemah apabila berhadapan dengan cabaran serta ujian terutama ketika berhadapan dengan pelbagai ragam dan sifat manusia.
Berlainan dengan usaha dakwah secara berkelompok (amal jamaie), setiap penggerak dakwah dalam kelompok ini akan saling memperkuatkan antara satu sama lain. Bahkan budaya saling menasihati antara mereka juga akan memastikan tujuan dan matlamat asal dakwah untuk mencari keredhaan Allah tidak dicemari oleh tujuan duniawi yang pastinya bersifat sementara.

Antara ciri khusus dakwah ini; Bijak mencari peluang

Seorang ahli perniagaan yang berjaya akan sentiasa mengintai-intai peluang untuk menambah keuntungan serta meluaskan perniagaannya. Demikian juga dengan perniagaan kita dalam medan dakwah. Keberhasilan kita dalam usaha dakwah selain hakikatnya merupakan kurniaan daripada Allah swt adalah banyak bergantung kepada sejauh mana kita bijak mencari peluang untuk menyampaikan fikrah Islam itu.
Medium penyampaian dakwah dewasa ini tidak lagi hanya terhad di mimbar-mimbar masjid atau di pondok-pondok pengajian. Pendakwah yang baik perlu bijak memanfaatkan perkembangan teknologi dalam usaha dakwahnya. Banyak lagi bidang perlu dikuasai oleh para pendakwah bagi memastikan usaha dakwah ini selari dengan perkembangan semasa.
Demikian 4 ciri khusus yang seharusnya ada pada pendakwah agar usaha dakwah ini dapat dilaksanakan dengan sempurna diiringi doa yang berterusan supaya akhirnya menjadi asbab kembalinya Islam di tempat asalnya. Maka wahai sekalian saudaraku, marilah ke medan amal!

Sumber: Laman Web ISMA Mesir