Pages

Sunday, November 22, 2009

KELEBIHAN SEPULUH HARI PERTAMA ZULHIJJAH

Ramai daripada kalangan kita yang telah maklum akan kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tiada suatu hari pun di mana amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah." Para sahabat baginda bertanya: "Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?" Ujar Baginda: "Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)."
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada suatu hari pun di mana amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)."Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.


Amalan yang dianjurkan padanya
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang."

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum." Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya", dan di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban."Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, "Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya)."Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Rujukan: blog inijalanku


Tuesday, November 17, 2009

Bicara buat sahabat

Assalamualaikum wbt. sahabatku.

Telah lama aku tidak mengutuskan bicara buat tatapanmu. Memang aku rasakan ada kekosongan di hatiku sekiranya telah lama tidak berhubung denganmu. Mungkin ini tandanya wujud ikatan ukhuwwah yang mendalam diantara kita. Benih ukhuwwah islamiyah yang disemai di dalam pertemuan-pertemuan kita satu ketika dahulu telah membuatkan ikatan persahabatan kita menjadi begitu kukuh.

Ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Rosulullah serta kisah para sahabat yang menceritakan tentang kelebihan berkasih sayang kerana Allah, yang selalu disebut dan diulang-ulang di dalam pertemuan usrah kita tempuh hari kurasakan amat berkesan di hatiku, dan mungkin di hati sahabat-sahabat kita yang lain. Walaupun detik-detik itu kita telah lalui berpuluh-puluh tahun yang lalu namun tali persahabatan sesama kita masih belum terungkai.

Aku masih teringat lagi cerita yang mengisahkan tentang seorang sahabat Rosulullah yang dihadiahkan kepala kambing, menghadiahkan kepala kambing tersebut kepada sahabatnya yang lain kerana merasakan ada orang lain yang lebih memerlukan. Sahabat yang menerima hadiah tadi pula melakukan perkara yang sama sehingga kepala kambing tadi berpindah kepada beberapa orang sahabat yang lain.

Begitu juga kisah yang berlaku di dalam satu peperangan, di mana seorang sahabat yang cedera parah meminta air kerana kehausan. Apabila dia hendak minum air yang dibawakan kepadanya, dia mendengar ada sahabat lain yang meminta air. Dia tidak jadi minum dan meminta supaya air tadi dibawakan kepada sahabat yang baru meminta air tadi. Namun sebelum sahabat tadi dapat meminumnya ada pula seorang sahabat lain yang merintih kehausan dan air tadi diminta supaya dibawakan kepada orang itu. Sehingga akhirnya kesemua sahabat-sahabat tadi menemui kematian.

Begitulah lebih kurang kisah yang masih tersimpan di dalam benakku. Dan kisah-kisah seperti ini aku rasakan amat berkesan menjadi pemangkin di dalam membina ikatan ukhuwwah islamiyah di kalangan umat islam yang kalau kita lihat pada hari ini ikatan mereka sudah amat longgar.

Aku selalu merisik berita dan bertanya khabar tentang sahabat-sahabat kita yang lain. Keadaan telah membuatkan kebanyakan daripada kita telah terpisah jauh diantara satu sama lain. Ada diantara sahabat kita yang telah kembali dahulu menemui Maha Pencipta. Itulah hakikat yang perlu kita terima dan tidak boleh lari daripadanya. Hari-hari yang kita lalui sudah pasti akan mendekatkan kita kepada penghujung kehidupan ini....

Sahabat,

Yang sebenarnya, hatiku masih ingin meneruskan bicara ini. Tetapi kerana keadaan tidak mengizinkan, biarlah aku akhiri kalimatku hingga di sini dulu. Semoga Yang Esa akan menemukan kita semula di lain kesempatan.

Aku akhiri dengan salam kasih sayang buatmu dan keluarga.

Wassalam.

Sunday, November 15, 2009

Foto Kenangan

Telah tiga kali aku berkunjung ke Setiu Wetland untuk membantu pelajar menjalankan kerja-kerja penyelidikan untuk projek tahun akhir mereka. Aku abadikan foto-foto ini buat kenanganku.


















Monday, November 2, 2009

Besar mana sangatlah diri kita ini...










Cuba kita bandingkan saiz bumi dengan saiz matahari
dan planet-planet yang lain.
Terasa kerdil sekali bumi tempat kita sama-sama menumpang dan
terasa amat luas sekali alam ciptaan Allah .
Maha halus dan maha tersusun penciptaan Allah terhadap alam ini.
Telah sekian lama wujudnya alam ini tetapi masih bergerak di atas landasannya
tanpa berlaku keporak-perandaan.













Monday, October 26, 2009

Airmata Rasulullah

Ketika aku menyemak e mail lama untuk aku 'delete', aku terbaca satu e mail yang pernah dihantar oleh seorang kenalan kepadaku, agak lama dulu. Aku ingin kongsikan isinya supaya kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripadanya.

AIR MATA RASULULLAH S.A.W.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,"tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang."Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan."Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi."Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?""Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umatMuhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini. "Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" TanyaRasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum- peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan."Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Berselawatlah kita ke atas Baginda. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Monday, October 19, 2009

Menjaring kelawar di Setiu Wetland

















Pada 15-17 Okt. iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu baru-baru ini saya telah diminta untuk membantu pelajar-pelajar yang menjalankan kajian kelawar dan nipah di Setiu Wetland untuk projek penyelidikan tahun akhir mereka. Kami bertolak daripada UMT hampir pukul 5.30 petang. Sampai di sana sudah pukul 6.00 lebih dan terus memasang jaring kelawar. Sempat juga pasang 6 jaring di kawasan nurseri sebelum hari gelap. Keesokannya tambah lagi 6 jaring di nurseri dan kawasan paya. Tangkapan amat memuaskan.




Malam kedua saya dikejutkan dengan berita seorang pelajar dipagut ular ketika menjalankan kajian di kawasan bakau sekitar pukul 11.30 malam. Kami membawanya ke hospital Permaisuri dan dia di tahan di wad. Kami kembali dan tiba di Stesen setelah selesai urusan pukul 2.00 lebih.


Alhamdulillah... keadaan pelajar yang dipagut ular tidak membahayakan, dan dapat keluar daripada hospital sehari kemudian.


Ingin saya kongsikan beberapa foto buat tatapan.















Tuesday, October 13, 2009

Suatu petang di Pantai UMT.

Acara sukan pelajar-pelajar beruniform dan
amali prinsip ekologi berjalan serentak










Monday, October 12, 2009

Sedikit bicara.....buat sahabat

Sahabat.....
Pagi ini aku ingin mencoretkan sedikit bicara buatmu. Akhir-akhir ini dirimu selalu hadir dalam ingatanku. Kenangan lama ketika kita mula bersahabat muncul kembali di dalam benakku. Aku selalu meletakkan dirimu sebagai salah seorang yang penting di dalam hidupku. Aku selalu menghadirkan dirimu di dalam munajatku kepada Yang Maha Esa, dan... mengharapkan agar dirimu juga beroleh kebaikan-kebaikan di dunia dan di akhirat.

Persahabatan kita selama ini membuatkan aku mengenali dirimu bahawa kau seorang yang mempunyai naluri dan pandangan hidup yang tidak banyak bezanya dengan diriku. Akhlakmu menyebabkan aku rasa dekat denganmu. Sifat kasih sayang yang ada padamu menyebabkan aku merasakan dirimu seperti saudaraku sendiri.

Memang di dalam kehidupan kita, kita mempunyai ramai kawan dan kenalan. Tetapi untuk mendapat kawan yang mempunyai sama kefahaman agak sukar. Aku teringat ketika kita pernah sama-sama berusrah dulu. Aku rasa sebab itulah kita diberikan penekanan yang bersungguh-sungguh kepada tiga rukun usrah, iaitu mula-mula kita saling berkenalan, kemudian kita saling bersefahaman dan seterusnya kita saling berseimbangan, iaitu saling bantu membantu, lengkap melengkapi dan saling memperkuatkan sesama kita.

Sahabat,
Maaafkan aku, kerana keadaan tidak mengizinkan, aku memohon untuk menyambung bicaraku di kemudian hari. Salam mesra buatmu dan keluarga.

Wassalam.....

Sunday, October 11, 2009

Pengalaman....jamuan raya.

SEMALAM-11/10/09, merupakan hari yang agak bermakna bagiku. Rumahku dikunjungi oleh para tetamu bermula daripada pukul 11.30 pagi, tidak putus-putus sehinggalah menjelang waktu isyak. Semalam aku dan isteriku menjemput jiran -jiran yang berdekatan serta sahabat-sahabat dan kawan-kawan tempat kerjaku dan isteriku untuk jamuan raya. Tidak ketinggalan turut kujemput pelajar-pelajar yang agak rapat denganku termasuk beberapa orang pelajar daripada Sudan, Nigeria, dan Oman. Aku bersyukur kepada Allah swt. kerana juadah yang kami sediakan adalah mencukupi dan tidak berlaku terlalu banyak pembaziran.

Yang sebenarnya, sehari sebelumnya aku dan isteriku telah bertungkus lumus membuat persediaan menyediakan makanan untuk jamuan tersebut sehinggalah ke pukul 4 pagi. Kebanyakan makanan kami masak sendiri. Untungnya kerana isteriku pandai memasak. Bolehlah jimat duit sedikit. Lebih-lebih lagi isteriku pandai membuat nata de coco dan jeli kelapa yang menjadi tarikan para tetamu.

Mula-mulanya aku bimbang juga kalau-kalau makanan yang kami sediakan tidak mencukupi. Maklumlah jemputan agak ramai. Aku berdoa kepada Allah agar semuanya berjalan dengan baik, dan aku merasakan dengan perkenan Allah jugalah majlis yang diadakan semalam berjalan dengan amat memuaskan.

Keletihan membuat persediaan kami rasakan berbaloi............. Alhamdulillah..

Sunday, October 4, 2009

Puasa Syawal & Trajidi Padang

Hari ini adalah 16 hb. Syawal. Bagi kita yang masih ingin meneruskan berpuasa, dengan berpuasa 6 hari di bulan Syawal , masih ada peluang lagi untuk kita berpuasa. Apa salahnya kita saling memperingatkan sahabat-sahabat kita untuk sama-sama melakukan amalan yang mulia ini. Sekurang-kurangnya ia boleh memberikan kebaikan kepada kita bersama.

Aku teringat kata-kata seorang kawanku yang bergiat di dalam satu badan dakwah. Katanya, kadang-kadang setengah orang silap di dalam membuat tanggapan tentang ibadat sunat . Mereka anggap, perkara yang sunat ni, kalau tak buat tak apa atau tidak berdosa dan kalau buat dapat pahala. Katanya, sepatutnya kita perlu nampak, kalau tak buat perkara sunat, kita rugi. Tak dapat apa-apa tu rugi lah... Betul juga, cuba bayangkan, kalaulah pahala itu ibarat duit. Orang lain dapat duit, tapi kita tak dapat. Rugi kan!! Kalau nak buat yang wajib sahaja berapa banyak sangat perkara-perkara yang wajib. Sedangkan perkara yang wajib sendiri pun ramai yang tinggalkan, seperti solat dan menutup aurat.

Beralih kepada peristiwa sedih yang telah menimpa saudara-saudara kita di Padang, Sumatera. Kita patut turut rasa simpati di atas trajidi yang menimpa mereka. Baru beberapa hari mereka (kita semua) bergembira menyambut lebaran. Kenangan manis belum hilang di ingatan. Tiba-tiba trajidi sedih telah menimpa mereka. Cuba kita bayangkan jika kejadian sebegitu menimpa diri kita sendiri. Kita masih mampu menarik nafas lega kerana kita tidak berada sebagaimana situasi yang mereka rasai. Namun ianya perlu menjadi iktibar bagi kita. Apabila Allah kehendaki sesuatu perkara itu berlaku, ia pasti berlaku. Hari ini hari mereka dan hari esok kita belum tahu apa yang bakal menunggu diri kita sendiri.

Berdoalah kebaikan untuk mereka dan untuk diri kita juga. Bantulah mereka dengan memberikan sumbangan , baik yang berbentuk material mahupun spiritual.

Wednesday, September 23, 2009

Catatan Syawal.

Ramadhan baru sahaja meninggalkan kita. Kenangan bersamanya semakin pudar. Pahit dan manis yang dilalui bersamanya semakin menghilang dari ingatan. Syawal yang baru menyusul telah mengisi ruang-ruang kosong di dalam lipatan hati yang sebelum ini menanti-nantikan pertemuan dengan orang-orang yang dikasihi.
Syawal telah mempertemukan sesama kita yang telah lama terpisah. Mempereratkan kembali tali persahabatan, ukhuwwah dan silaturrohim. Pertemuan yang amat bermakna bagi kita semua. Pada hari yang mulia. Hari kemenangan bagi mereka yang telah melalui perjuangan yang agak mencabar selama sebulan.
Perjuangan bagi mereka yang benar-benar mengharapkan redho Ilahi. Bagi mereka yang tidak berjuang, mungkin mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Semoga Allah tidak memasukkan kita ke dalam golongan yang sedemikian.
Aku dan keluarga juga tidak ketinggalan untuk pulang ke kampung isteriku yang perjalanannya mengambil masa lebih 6 jam. Sempat berbuka puasa bersama ibu mertua di hari terakhir Ramadhan.
Satu Syawal, sembahyang sunat Idulfitri, ziarah kubur bapa mertua dan keluarga isteri yang sudah meninggal serta ziarah sanak saudara yang lain.
Dua Syawal, ke K Lumpur sepetang, ziarah abangku dan keluarganya serta ziarah sebentar ke kubur nenek dan adikku dekat Kg. Nakhoda.
Tiga Syawal, aku dan keluarga bertolak kembali dari Tg. Besar, K. Lipis ke KT.

Tuesday, September 15, 2009

Bersama anak tuntung

Seperti penyu, tuntung juga akan mudah pupus kalau tidak dilakukan pemuliharaan sebagaimana yang dilakukan oleh Jabatan Perhilitan di Pusat Pemuliharaan Tuntung, Bukit Paloh, Hulu Terengganu. Telur tuntung akan dikutip dan dieramkan di pusat tersebut. Setelah menetas, tuntung -tuntung itu akan dibesarkan di pusat tersebut sehingga mencapai saiz sebagaimana dalam gambar tu, kemudian barulah dilepaskan ke sungai. Tuntung-tuntung diberi makan pelet, kangkung, pisang dan ikan.
Telur tuntung menjadi rebutan penduduk tempatan kerana kononnya boleh menguatkan tenaga kelelakian. Tapi kandungan kolestrolnya sangat tinggi..

Monday, September 14, 2009

Melepaskan anak tuntung 1

Saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat semua video yang saya ambil semasa upacara melepaskan anak-anak tuntung ke sungai Kuala Berang, Hulu Terengganu. Ini adalah sebahagian daripada acara lawatan pelajar-pelajar Biodiversiti ke Pusat pemuliharaan tuntung di Bukit Paloh, Hulu Terengganu 20 hb. Ogos yang lalu.

Yang sebenarnya saya masih belajar lagi menggunakan blog dan memasukkan gambar-gambar seperti ini. Kalau kurang betul tu... faham-faham sajalah. Dah tua baru nak belajar....

Melepaskan Anak Tuntung 2

Sunday, September 13, 2009

Selepas iftar 1





Bergambar kenang-kenangan di rumahku selepas iftar bersama-sama pelajar daripada UMT dan Institut Perguruan Dato' Razali Ismail. Kehadiran lebih kurang 20 orang termasuk 2 pelajar PhD daripada Indonesia.

Ini adalah asas-asas ukhuwwah islamiah bagi mengikatkan hubungan sesama muslim.

Saturday, September 12, 2009

Selepas iftar



Bergambar kenang-kenangan dengan pelajar-pelajar daripada luar negara selepas berbuka puasa di rumah Mubarak, pelajar PhD daripada Sudan. Dari kiri: Dardiri, Sudan, saya, Bakok, Nigeria, Mubarak, Sudan, Elzein, Sudan, Joni, Indonesia dan Sharif, Albania Amerika.

Kita di akhir Ramadhan

Hari-hari terakhir Ramadhan sedang merangkak ke penghujungnya dan ia pasti meninggalkan kita sebagaimana yang telah berlaku di tahun-tahun yang lepas. Pemergiannya akan meninggalkan kenangan bagi kita semua. Sudah pasti di sepanjang satu bulan ini berbagai-berbagai peristiwa telah dilalui oleh setiap orang. Ada peristiwa suka dan ada peristiwa duka. Seorang kawan saya, rumahnya telah dimasuki pencuri dan kehilangan barang-barang yang berharga. Ada juga pelajar yang dikuarantin kerana selsema H1N1.

Apa saja peristiwa yang kita lalui seharusnya menyedarkan kita bahawa kita berada di bawah satu penguasaan Yang Maha Berkuasa. Apa sahaja yang berlaku adalah dengan penyusunan dan kehendak Allah. Samada perkara itu perkara yang kita suka ataupun perkara yang kita tidak suka. Di dalam kehidupan ini kita banyak melakukan usaha untuk mendapatkan apa yang kita hajati, tetapi sekiranya tidak dengan izin Allah, kita tidak akan dapat memperolehinya.

Di sinilah pentingnya kita sentiasa meletakkan rasa pergantungan kita kepada Allah swt. Pentingnya kita sentiasa berdoa kepada Allah swt., bermohon kepadaNya apa sahaja yang kita hajati. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tugas kita sebagai hamba adalah berdoa dan bermohon kepadaNya dan terserahlah kepada Allah samada Dia akan mengabulkan hajat kita di dunia ini ataupun diberikan ganjarannya kepada kita di akhirat nanti kerana doa-doa kita itu dikira ibadah.

Kadang-kadang belum sampai masanya Allah memperkenankan doa kita, mungkin juga Allah gantikan dengan perkara lain yang Allah tahu perkara itu baik untuk kita, sedangkan kita tidak tahu. Oleh sebab itu elok juga kita bermohon kepada Allah supaya Allah memberikan kepada kita kebaikan-kebaikan yang kita ketahui mahupun yang kita tidak ketahui dan hindarkan kita daripada keburukan-keburukan samada yang kita ketahui ataupun yang tidak kita ketahui.

Sama-samalah kita perbanyakkan doa kita di hari-hari terakhir Ramadhan ini. Janganlah biarkan hari-hari yang penuh barakah ini berlalu begitu sahaja. Kita belum pasti kita akan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang.

Wallaua'lam.