Pages

Sunday, October 30, 2011

Panduan lengkap awal Zulhijjah



Siang dan malam silih berganti, tahun demi tahun kian berlalu, seorang mukmin itu sentiasa mengharap rahmat tuhannya dan takutkan azabnya, imannya sentiasa turun dan naik, semangatnya terkadang membara dan ada ketikanya menjadi lesu. Dalam keadaan itu, dia dilimpahi rahmat Allah yang sangat luas, untuk mengukuhkan imannya dan meningkatkan semangatnya. Musim kebaikan menjelma demi menghapuskan segala dosa-dosanya yang lalu dan demi mengangkat darjatnya. Maka, orang yang berbahagia ialah mereka yang merebut peluang ini dan menghampirkan dirinya kepada Allah SWT dengan amal-amal soleh dalam musim ketaatan ini. Mudah-mudahan dia mendapat limpahan kurniaan-kurniaan Allah SWT sepertimana yang telah dijanjikan.

Antara kurniaan terbesar Allah SWT pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Tiada hari-hari di mana amal soleh di dalamnya lebih dicintai oleh Allah SWT selain sepuluh hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah! Adakah jihad juga tidak dapat menandingi pahala amalan pada sepuluh hari tersebut?” Rasulullah SAW menjawab, “Tidak, kecuali seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya lalu tidak membawa pulang sedikit pun daripada kedua-duanya.”

Sekarang kita sedang berada di dalam hari-hari yang penuh berkat, telah datang kepada kita hari-hari yang muncul bersamanya kurniaan yang mulia dari Tuhan yang mulia, yang memupuk rasa rindu dan cinta dalam jiwa umat Islam, lalu bergetarlah hati mereka dan membuak-buaklah perasaan mereka, lalu perasaan tersebut memimpin mereka ke arah ketaatan dan ibadah kepada tuhan mereka.

Waktu yang paling dicintai oleh Allah

Hari-hari ini merupakan masa yang paling dicintai oleh Allah SWT, lalu amal soleh di dalamnya merupakan amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT kerana ia berada di dalam masa yang terbaik yang disumpah oleh Allah SWT dengannya di dalam Al-Quran:

“Demi waktu fajar. Demi malam-malam yang sepuluh.”

Kemuliaan tersebut juga disebabkan kerana terdapatnya hari yang terbaik di dalamnya iaitu Hari Arafah yang juga kerana perhimpunan tahunan umat Islam seluruh dunia pada musim haji. Maka, hari-hari tersebut merupakan hari terkumpulnya ibadah-ibadah utama. Ibnu Hajar pernah berkata, “Sebab istimewanya sepuluh hari pertama Zulhijjah ialah kerana terkumpulnya ibadah-ibadah utama di dalamnya iaitu solat, puasa, sedekah, haji dan sebagainya yang tidak berlaku pada waktu lain.”

Kemuliaan ini juga kerana hari-hari tersebut merupakan hari-hari untuk memperbaharui kehidupan di dalam ketaatan kepada Allah, hari-hari mendapat kurniaan rahmat Allah, hari-hari untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan demi mendapat keampunan Allah, hari-hari musim perniagaan yang menguntungkan, hari-hari yang mengumpulkan di antara kemuliaan tempat dan masa dan mengumpulkan di antara ibadah hati, badan, ibadah perseorangan dan beramai-ramai.

Ia juga kerana hari-hari ini merupakan hari-hari rahmat, keampunan dan pembebasan dari neraka. Hari-hari di mana malaikat di bumi menyerupai malaikat di langit, lalu manusia yang suci akan bertanding dengan malaikat yang baik. Allah SWT berbangga dengan hamba-hambanya di hadapan para malaikat seperti mana sabda Rasulullah SAW, “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya daripada api neraka dari Hari Arafah, sesungguhnya Allah menghampiri hamba-hambanya dan berbangga dengan mereka di hadapan para malaikat lalu berkata: Apakah yang mereka inginkan?”

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik RA, “Dikatakan tentang sepuluh hari pertama Zulhijjah bahawa seharinya sama seperti seribu hari, Hari Arafah menyamai 10,000 hari (pada kelebihannya).”

Diriwayatkan juga daripada Al-Auza’ie, “Aku mendengar bahawa amalan dalam sepuluh hari tersebut umpama berperang di jalan Allah dalam keadaan berpuasa di siang harinya, berjaga di malam harinya melainkan orang yang mati syahid (maka pahalanya tidak boleh ditandingi).”

Diriwayatkan juga daripada Kaab, “Allah memuliakan sesetengah masa ke atas yang lain. Lalu masa yang paling dicintai Allah ialah bulan-bulan haram (Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram). Bulan yang paling mulia diantara bulan-bulan haram ialah bulan Zulhijjah. Hari-hari yang paling mulia di sisi Allah di dalam bulan Zulhijjah ialah sepuluh hari pertamanya.”

Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah

Saudara-saudariku yang dikasihi sekalian,

Suka saya untuk menceritakan pada kalian tentang keazaman para ‘arifin, kesungguhan para nasikin, kerinduan para pencinta dan keasyikan orang-orang yang taat. Nabi SAW dan para sahabat yang mulia mengkhususkan hari-hari ini dengan perdampingan yang lebih erat dengan Allah SWT, juga memperbanyakkan ketaatan serta zikir kepada-Nya.

Said Bin Jubair apabila tibanya sepuluh hari pertama Zulhijjah, dia bersungguh-sungguh dalam beribadah sehingga dia hampir tidak mampu melakukannya. Maka, adakah anda tergolong di kalangan mereka yang mendapat keistimewaan hari-hari ini? Di sini saya senaraikan beberapa langkah-langkah praktikal dari sudut tarbawi yang boleh anda lakukan:

1. Adakah anda telah berniat untuk melakukan haji dan umrah di tempat tinggal anda? Jika anda tidak mampu melakukan haji, maka Rasulullah SAW telah membuka pintu yang menyamai haji dan umrah. Sabda Baginda SAW, “Barangsiapa yang solat subuh berjemaah kemudian dia duduk mengingati Allah SWT sehingga terbitnya matahari, kemudian dia solat dua rakaat, maka baginya seumpama pahala haji dan umrah yang sempurna, yang sempurna, yang sempurna.”

Amalan: Iktikaf di masjid selepas subuh berzikir dan membaca Al-Quran

2. Adakah anda telah berniat untuk berpuasa pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?

a. Imam Nawawi pernah ditanya tentang puasa sembilan hari pertama Zulhijjah. Maka dia menjawab, “Ia sangat digalakkan.”

b. Imam Ahmad meriwayatkan, “Rasulullah SAW berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah.”

c. Sayyidina Umar Al-Khattab berkata, “Tiada halangan untuk menggantikan puasa Ramadhan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah.”

d. Hasan Basri berkata, “Berpuasa sehari di dalam sepuluh hari pertama Zulhijjah menyamai puasa dua bulan.”

e. Imam Muhammad Bin Sirin, Mujahid dan Atho’ berpuasa pada sembilan hari pertama Zulhijjah.

Amalan: Puasa sembilan hari pertama Zulhijjah.

3. Adakah anda telah berniat untuk iktikaf pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini? Diriwayatkan daripada Al-Hafiz Ibnu Asakir bahawa dia beriktikaf pada bulan Ramadhan dan sepuluh hari pertama Zulhijjah.

Amalan: Iktikaf sejam sehari atau sehari atau seumpamanya.

4. Adakah anda telah berniat untuk melakukan kebaikan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?. Rasulullah SAW bersabda, “Amalan-amalan baik memelihara diri daripada pengakhiran yang buruk, sedekah secara sembunyi mampu memadamkan kemarahan Tuhan, silaturrahim mampu memanjangkan umur.”

Amalan: Menunaikan hajat manusia setiap hari.

5. Adakah anda telah berniat untuk bertakbir, bertahmid dan bertahlil pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?

a. Rasulullah SAW bersabda, “Tiada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan lebih dicintainya daripada sepuluh hari pertama Zulhijjah, maka perbanyakkanlah tahlil (ucapan la ilaha illallah), takbir (ucapan Allahu Akbar) dan tahmid (ucapan alhamdulillah) di dalamnya.

b. Imam Mujahid berkata, Abu Hurairah dan Ibnu Umar RA keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zulhijjah lalu bertakbir, lalu orang-orang di sekeliling mereka juga bertakbir bersama mereka. Mereka tidak datang ke pasar kecuali dengan tujuan tersebut.

Amalan: Bertakbir setiap kali selepas solat dan pada waktu-waktu kosong.

6. Adakah anda telah berniat untuk sentiasa berzikir pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini? Allah telah menyarankan umat Islam di dalam Al-Quran supaya memperbanyakkan zikir pada sepuluh hari ini. “Dan mereka menyebut nama Allah pada hari-hari yang diketahui.” (Al-Haj: 28) Ibnu Abbas mengatakan, “Sesungguhnya hari-hari yang diketahui itu ialah sepuluh hari pertama Zulhijjah.”

Amalan: Memelihara zikir pagi dan petang, zikir pada waktu-waktu kosong dan zikir mutlak sekurang-kurangnya 3000 kali setiap hari.

7. Adakah anda telah berniat untuk mempelbagaikan ibadat pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini?

a. Salafussoleh RA mempelbagaikan ibadat pada sepuluh hari pertama Zulhijjah.

b. Supaya kita dapat memenuhi sepuluh hari pertama Zulhijjah dengan bermacam jenis ibadat, di bawah saya senaraikan beberapa amalan yang perlu kita lakukan pada sepuluh hari pertama Zulhijjah ini sebagai tambahan bagi amalan-amalan yang telah disebutkan tadi. Mudah-mudahan Allah berbangga dengan kita di hadapan para malaikatnya:

ؠ Segera bertaubat dengan sebenar-benarnya serta mengulangi taubat siang dan malam.

ؠ Perbaharui niat dalam setiap kata-kata dan perbuatan dan menghadirkan lebih daripada satu niat dalam satu amalan. Jadikannya rahsia antara anda dan Tuhanmu.

ؠ Manfaatkan masa-masa yang berharga dengan ketaatan (waktu sebelum dan selepas Subuh dan waktu Maghrib).

ؠ Qiamullail secara bersendirian setiap hari di rumah sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum tidur atau beberapa jam sebelum Subuh.

ؠ Bersedekah empat kali sepanjang sepuluh hari pertama Zulhijjah, menyembelih korban bagi yang mampu dan jangan lupa hak orang fakir miskin.

ؠ Berusaha mengkhatamkan Al-Quran sepanjang sepuluh hari pertama Zulhijjah. Jika tidak, maka sejuzuk setiap hari.

ؠ Melazimi solat dhuha, sunat rawatib, witir dan sebagainya.

ؠ Makan sahur atau berbuka bersama keluarga atau ahli rumah setiap hari atau sekurang-kurangnya tiga hari.

ؠ Mendoakan saudara-saudara yang telah tiada serta yang berjihad di Palestin dan di mana sahaja.

ؠ Menziarahi guru atau syeikh untuk mengambil manfaat bersama dengannya serta mengutip mutiara ilmu darinya.

ؠ Melaksanakan tugas sebagai daie dan haraki dan segala tugas-tugas yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

ؠ Mulakan harimu dengan sedekah, moga-moga anda mendapat doa dua malaikat.

Akhirnya, jadikanlah sepuluh hari pertama Zulhijjah ini sebagai peluang untuk mentarbiyah jiwa dan ruh di dalam menghadapi kepayahan hidup, ujian dan cabaran. Jadikannya juga sebagai peluang untuk sentiasa berhubung dengan Allah SWT, mentarbiah diri untuk menghidupkan sunnah-sunnah Rasul SAW dan jadikan ia sebagai medan untuk berlumba-lumba di dalam mempelbagaikan ibadat. Jadikanlah sepuluh hari ini sebagai satu kursus tarbawi untuk mengubah, mendidik, membaiki, meluruskan serta merawat penyakit-penyakit hati. Jadikan ia sebagai peluang keemasan untuk menggapai cinta ilahi iaitu ketika mana anda melakukan amalan yang paling dicintai pada waktu yang paling dicintai. Jadikanlah syiarmu sepanjang sepuluh hari ini:

“Dan aku bersegera menuju-Mu wahai Tuhanku supaya Engkau redha.” (Toha: 84)

Oleh: Abdullah Hussen,
Mahasiswa Sarjana Kuliah Dar Ulum,
Universiti Kaherah

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Sunday, October 23, 2011

Deklarasi HIMPUN kemukakan sepuluh ketetapan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

DEKLARASI HIMPUN

“Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah “

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”


“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Bahawasanya Islam adalah Risalah Illahi yang dengan rahmatNya telah mengangkat martabat bangsa Melayu dan semua bangsa yang lain dengan mesej “rahmatan lil ‘alamin” . Lantaran itu hanya dengan menghayati dan mengamalkan Islam sepenuhnya sahaja merupakan satu-satunya jalan untuk menjamin kemuliaan, keselamatan, kejayaan dan kehormatan bangsa Melayu mahupun mana-mana bangsa yang lain di negara ini.

Menginsafi bahawa asas pegangan umat Islam adalah Aqidah Tauhid yang menjadi tunjang kepada seluruh pegangan hidup umat Islam dan prinsip ini tidak boleh diganggu gugat oleh mana-mana pihak . Bahawa kedudukan istimewa dan status yang khas agama Islam sebagai agama Persekutuan telah ditetapkan sejak dari kemerdekaan negara ini dan ia wajib dipertahankan oleh setiap warga Muslim dan dihormati oleh semua warga Malaysia.

Bahawa penyebaran agama lain dari Islam kepada orang Islam dengan tujuan memurtadkan orang Islam dilarang sama sekali berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Islam berpendiran tegas terhadap gejala murtad dan pemurtadan yang dianggap jenayah berat yang perlu diperangi habis-habisan. Perlanggaran terhadap peruntukan ini boleh mengundang kepada tergugatnya keselamatan nasional dan mengundang keteganggan agama di Negara ini.

Bahawa perhubungan harmonis antara pelbagai penganut agama di negara ini perlu dipupuk untuk mengekalkan keamanan dan kesejahteraan dalam masyarakat dan negara. Bahawa kebebasan dan hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman adalah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahawa kami, umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya pada hari ini, 24hb Zulkaedah 1432H bersamaan 22hb Oktober 2011 di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, menyertai suatu perhimpunan yang diberi nama Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah (HIMPUN), bersepakat dan mengambil ketetapan untuk:

Pertama :

Menggesa SEMUA UMAT ISLAM YANG HADIR dalam perhimpunan pada hari ini BERSATU mempertahankan Aqidah Islam dari sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang mahu merosak dan memesongkan pegangan orang Islam. Bahawa setiap warga umat Islam perlu beriltizam untuk melindungi, mempertahan dan memelihara peruntukan mengenai kedudukan Islam yang istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yaitu Islam adalah agama Persekutuan dan semua peruntukan yang lain mengenai hak dan tanggungjawab Raja-raja Melayu dan Kerajaan, terhadap Islam mesti dihormati.

Setiap warga umat Islam di semua peringkat samada INDIVIDU, KELUARGA MAHUPUN IBUBAPA mesti berusaha meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam selengkapnya demi melahirkan sahsiah Muslim yang mempunyai kemantapan iman dan ketinggian ketaqwaan dalam semua bidang kehidupan. Kefahaman sekularisme dalam kehidupan dan sikap perkauman assobiyyah yang sempit hendaklah dibanteras untuk menanamkan nilai ummah dan ukhuwwah sejagat pada setiap Muslim.

Kedua :

Menggesa semua pemimpin Islam dalam PARTI-PARTI POLITIK memperkukuhkan kesatuan umat Islam seperti yang diwahyukan dari Allah dalam Ayat 103 , Surah Ali Imran , mengelakkan perpecahan yang merugikan dan kembali kepada ajaran Al Quran dan As Sunnah sepenuhnya demi melaksanakan Islam sebagai panduan seluruh aspek kehidupan.

Ketiga :

Menyeru agar SEMUA PIHAK menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah menjadi pelindung dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keempat :

Menuntut KERAJAAN mempastikan bahawa sensitiviti masyarakat Islam di negara ini dihormati. Oleh itu sebarang tindakan yang menghina dan mencabar kedudukan Islam yang istimewa di negara ini hendaklah diambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Kami juga menggesa supaya kerajaan meningkatkan keberkesanan peranan dan fungsi semua institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Islam Negeri, Institusi Zakat dan Baitul Mal untuk memartabatkan Islam di negara ini dalam pelbagai aspek kehidupan umat samada sosial,budaya, ekonomi, undang-undang mahupun kepimpinan. Semua agensi Islam perlu menangani segala masalah yang dihadapi golongan mualaf dan golongan dhuafa serta kelompok yang memerlukan bimbingan supaya aqidah dan amalan Islam mereka dapat dimantapkan.

Kelima :

Menuntut supaya KERAJAAN segera menggubal Undang-undang Pencegahan Murtad selaras dengan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan untuk membendung gejala murtad dan kegiatan pemurtadan dan dikuatkuasakan secara terselaras dan menyeluruh di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. Agensi kerajaan yang berkaitan perlu memantau dan bertindak ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan penyebaran agama.

Keenam :

Menggesa kepada semua PERTUBUHAN POLITIK DAN BUKAN POLITIK (NGO) menggembleng tenaga dan seluruh sumber untuk meningkatkan penghayatan dan pembelaaan terhadap agama Islam di kalangan umat Islam demi memastikan martabat Islam dijulang dan kemuliaannya dipertahankan. Untuk itu seluruh organisasi Islam hendaklah berusaha semaksima mungkin untuk menyatukan umat atas dasar Islam berlandaskan Al Quran dan As Sunnah,

Ketujuh :

Mendesak pihak berkuasa KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI melaksanakan polisi yang tegas untuk menyekat segala bentuk hiburan melampau dalam media massa, kelulusan acara konsert terbuka yang berunsur liar dan pengeluaran lesen pusat hiburan yang menganjurkan acara yang mendedahkan generasi muda Islam kepada keruntuhan akhlaq dan penghakisan pegangan Aqidah Islam.

Kelapan :

Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk mempastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Kesembilan :

Menyeru semua PENGAMAL MEDIA MASSA melaksanakan tanggungjawab mengukuhkan aqidah Islam di kalangan umat Islam. Kami menggesa kepada kerajaan supaya memantau dan mengawal media massa yang menyiarakan bahan-bahan mengenai Islam yang boleh mengelirukan, menyentuh sensitiviti umat Islam dan memberi kesan kepada kefahaman masyarakat yang boleh menimbulkan konflik agama dalam masyarakat.

Kesepuluh :

Menuntut KERAJAAN menggubal undang-undang digubal dan dikuatkuasakan dengan berkesan untuk menjaga sensitiviti agama di kalangan masyarakat dan mengelakkan kesucian Islam dari diperlekeh dan dihina oleh mana-mana pihak.

Kami yang mewakili umat Islam yang hadir di Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah

Saturday, October 22, 2011

Mana Mak?



Assalamualaikum wbt.... Saudara yang kukasihi.
Aku terbaca satu tulisan di facebook seorang teman. Tergerak di hatiku untuk ku kongsikan tulisannya dengan saudara semua. Semoga ianya memberikan sedikit i'tibar kepada kita bersama.
Aku agak tulisan asalnya (aku terjumpa) adalah daripada blog..http://nisapp.blogspot.com/

-------------------------------------------------------------------------------

Ikuti tulisannya......

Mana Mak?'


Jam 6.30 petang....

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.


Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?



By: Pesan Berpesan Sesama Kita(sebagaimana terdapat di facebook).

Tuesday, October 18, 2011

Hadiri HIMPUN beramai-ramai untuk tunjuk kesatuan umat Islam



KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) meminta umat Islam hadir beramai-ramai ke perhimpunan yang akan diadakan pada 22hb Oktober ini demi menunjukkan kesatuan dalam perjuangan mempertahankan akidah umat.

“Kita berharap agar HIMPUN ini akan menjadi bukti jelas bahawa umat Islam boleh bersatu tanpa mengira apa jua latarbelakang untuk mempertahankan akidah mereka.”

Timbalan Presiden ISMA, Tuan Hj. Aminuddin Yahaya yang juga merupakan Setiausaha Sekretariat HIMPUN mengeluarkan seruan itu ketika dihubungi selepas hadir di sidang media oleh Sekretariat HIMPUN di Grand Seasons Hotel semalam.

Sidang media tersebut dihadiri oleh pimpinan-pimpinan NGO yang bergabung di dalam HIMPUN, antaranya MAPIM, PEMBELA, ISMA, PEMBINA dan lain-lain lagi.

Menurut kenyataan media yang dibacakan oleh Pengerusi Bersama HIMPUN, Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid dan Dr. Yusri bin Dato’ Hj Mohamad, perhimpunan ini bermatlamat untuk menyedarkan kembali umat Islam tentang cabaran dan ancaman yang sedang melanda akidah Islam di negara ini khususnya ancaman murtad.

Selain itu, HIMPUN juga bertujuan menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Himpunan Sejuta Umat yang mendapat dokongan padu pelbagai NGO ini akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor bermula daripada jam 2 petang hingga 6 petang.

Berikut adalah teks penuh kenyataan media HIMPUN pada 4hb Oktober 2011:

Kenyataan Media

HIMPUN : Selamatkan Akidah Umat

Sidang media ini diadakan untuk mengisytiharkan kepada umum tentang penganjuran sebuah perhimpunan besar-besar yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat atau nama ringkasnya HIMPUN. HIMPUN, yang merupakan inisiatif dan anjuran pelbagai pertubuhan-pertubuhan dan individu yang mewakili umat Islam akan di adakan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu, 22hb Oktober ini bermula jam 2 hingga 5.30 petang.

HIMPUN diadakan untuk menzahirkan suara dan sikap umat Islam terhadap siri percubaan memurtadkan umat Islam serta mencemarkan kemuliaan agama Islam di negara kita ini. Umat Islam di negara ini telah mengharungi pelbagai episod hitam melibatkan gugatan dan ancaman terhadap akidah seperti kes Natrah, Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, IFC, Azlina Jailani, dan yang terkini kes DUMC susulan siasatan JAIS pada 3hb Ogos 2011 yang lalu. Kes yang terakhir ini membuktikan betapa pihak yang mendalangi usaha pemurtadan umat ini semakin berani dan aggresif dalam menggerakkan dakyah mereka.

Kita melihat bahawa usaha Kristianisasi di kalangan orang-orang Islam yang lemah dan terdedah dengan dakyah mereka semakin berleluasa. Pendakwah-Pendakwah Kristian bebas memberi khidmat sosial kepada pesakit-pesakit kronik di wad-wad hospital, menganjurkan kelas-kelas tuisyen untuk anak-anak orang Islam yang diwarnai ajaran Kristian, menyebarkan risalah secara terbuka di tempat-tempat awam dan rumah-rumah persendirian, mengadakan acara-acara hiburan yang ditaja pertubuhan-pertubuhan Kristian, menganjurkan majlis-majlis makan malam Thanksgiving melibatkan umat Islam dan pelbagai lagi bentuk percubaan mengkristiankan umat Islam.

Pada masa yang sama kita melihat gejala kurangnya kesatuan suara dan kejelasan sikap terhadap pelbagai ancaman terhadap akidah umat ini termasuk dari kalangan sebahagian umat Islam disebabkan pelbagai faktor termasuk sentimen politik dan puak. Ini mewujudkan suasana yang memungkinkan terhakisnya benteng pertahanan akidah umat sama ada dalam bentuk institusi-institusi agama, usaha dakwah dan pendidikan serta peruntukan undang-undang.

Menyedari hakikat ini, HIMPUN dicetuskan sebagai wadah untuk menyedarkan kembali umat Islam tentang cabaran dan ancaman yang sedang melanda akidah Islam di negara ini khususnya ancaman murtad dan pemurtadan.

HIMPUN juga diharapkan menjadi suatu bukti yang jelas nyata bahawa umat Islam boleh dan akan bersatu tanpa mengira latarbelakang untuk mempertahankan aqidah mereka daripada diganggu-gugat oleh sesiapa sekalipun. Maka HIMPUN juga ingin menghantar mesej bantahan dan amaran yang jelas kepada sesiapa yang bertindak atau mengeluarkan ucapan yang menghina agama dan menghakis benteng akidah umat.

HIMPUN juga berhasrat menegaskan dan mendokong Institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung dan penaung dalam menjaga dan memelihara agama Islam di negara ini. Maka HIMPUN juga di adakan untuk mencari kesepakatan-kesepakatan yang boleh dipanjangkan kepada pihak Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dan pihak kerajaan dalam hal mempertahankan aqidah umat Islam di negara kita.

Ia juga bertujuan menyedarkan rakyat tentang wujudnya peruntukkan dalam Perlembagaan dan undang-undang negeri yang tidak mengizinkan mana-mana pihak mengganggu-gugat kesucian Islam serta tindakan mendakwahkan agama selain daripada Islam kepada orang Islam.

Inilah di antara asas dan latar belakang di sebalik penganjuran HIMPUN.

Dari segi perlaksanaannya, sebagai suatu inisiatif umat, sebuah Sekretariat HIMPUN yang dianggotai oleh organisasi dan individu dari pelbagai latar belakang telah dibentuk. Sekretariat tersebut dipengerusikan secara bersama oleh Tuan Haji Mohd Azmi Abdul Hamid mewakili Majlis Perundingan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Dr. Yusri bin Dato’ Hj Mohamad (mewakili Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA). Manakala Sdr. Aminuddin Yahaya, Timbalan Presiden ISMA bertindak sebagai Setiausahanya.

HIMPUN adalah sebuah perhimpunan aman dan segala langkah yang wajar akan diambil untuk mempastikan bahawa tidak akan wujud apa-apa insiden yang bertentangan dengan keamanan dan undang-undang.

Di antara agenda utama HIMPUN adalah ucapan-ucapan wakil masyarakat dan mereka yang mempunyai pengalaman langsung dengan isu murtad, ucapan tokoh-tokoh antarabangsa yang berkaitan dengan isu akidah dan pemurtadan serta deklamasi sajak, lagu, doa munajat serta diakhiri dengan pembacaan resolusi HIMPUN.

Resolusi ini kemudiannya dirancang untuk dipersembahkan kepada ke bawah Duli Raja-raja Melayu serta pihak berwajib yang lain. Perhimpunan tersebut mensasarkan seluruh lapisan masyarakat Islam khususnya dari pelbagai pertubuhan, institusi-institusi pendidikan, parti-parti politik, warga korporat, kelab-kelab sukan dan riadah, persatuan seni mempertahankan diri, pasukan beruniform, kelab-kelab belia, jamaah masjid dan surau, komuniti guru dan lain-lain lagi.

Berasaskan segala kesedaran dan latarbelakang di atas, kami menyeru kepada seluruh warga umat Islam untuk bersama-sama menyahut panggilan mulia untuk menjayakan HIMPUN. Inilah peluang keemasan untuk setiap individu muslim yang sayangkan akidahnya dan cemburukan agamanya untuk menyumbangkan suatu khidmat bakti untuk tujuan murni ini.

Kebersamaan dan kesatuan kita akan mengundang rahmat, tawfiq dan inayah Ilahi. Maka akan terhasillah dengan sebabnya suatu benteng yang kukuh dalam mempertahankan akidah umat.

Yang benar,

Tuan Haji Mohd. Azmi bin Abdul Hamid & Dr. Yusri bin Dato’ Hj Mohamad
Pengerusi Bersama HIMPUN 2011

Sunday, October 16, 2011

Kenangan Peribadi..

Beberapa aktiviti yang ku sertai sepanjang tiga hujung minggu yang lalu..buat kenangan. Alhamdulillah...dengan izin Allah semua aktiviti selamat dijalankan.


13-15 Okt. 2011; 'One Tree for Million Lives'. Pusat Pendidikan Biodiversiti; Bukit Marak; Besut; Terengganu. Bersama pelajar tahun dua Kelab Biosis Jab. Sains Biologi; FST; UMT.




Jamboree Mountainbike UMT 2011. 8 Okt. 2011. Tempat ke 13; Veteran.. 3 jam 05 min. 50 km.








Bertugas di Pameran Lebah Kebangsaan; Batu Buruk; 29 Sept.- 1 Okt. 2011.

Sempat mencuba satu 'permainan'...alhamdulillah..selamat. Aktiviti ini dikendalikan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Pemanjatan ini digunakan untuk mengambil sampel daun, bunga atau buah daripada pokok yang tinggi.