Pages

Saturday, August 20, 2011

Munajat Ramadhan


Ya Rabbi, ya Rabbi, ya Rabbi. Aku bersyukur kepadaMu kerana memberikan kesempatan kepadaku, dapat hidup dan menghirup udara Ramadhan yang telah memasuki satu pertiga terakhir. Hari-hari yang engkau janjikan dengan pembebasan daripada api neraka.
Aku meminta kepadaMu redhaMu dan Syurga dan aku berlindung daripada kemurkaanMu dan neraka.

Allahumma ya Allah, peliharakanlah aku sebagaimana engkau memelihara hamba-hambaMu yang soleh.

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepadaMu ketetapan di dalam urusan ini, azam yang teguh di dalam hidayah dan aku meminta kepadaMu hati yang khusyuk yang selamat sejahtera, akhlak yang lurus, lidah yang benar dan amal yang diterima dan aku meminta kepadaMu dari kebaikan yang Engkau ketahui dan aku berlindung denganMu dari kejahatan yang Engkau ketahui dan aku meminta ampun kepadaMu bagi yang Engkau ketahui kerana sesungguhnya Engkau mengetahui dan aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui segala yang ghaib”.
(At Tarmizi)

Wahai Tuhanku peliharalah aku dari segala kejahatan dan dari fitnah lahir dan batin. Jadikanlah segala amalku yang paling baik kesudahannya dan sebaik-baik hariku adalah hari aku bertemu denganMu.

Rasanya aku tidak layak untuk memohon sesuatu yang tinggi dari sisiMu.. As syahadah di jalanMu, Al Firdaus Al A’la, syurga Firdaus yang tertinggi bersama para Nabi-nabi, siddiqin, syuhada’ dan solihin. Tetapi bukankah itu yang terbaik bagiku?

Wahai Tuhan…bantulah aku agar aku dapat mencapai apa yang terbaik untukku. Bantulah aku agar aku dapat mengatasi segala kekurangan dan kelemahan diri.

Wahai Tuhanku, jadikanlah selawatMu, rahmatMu dan berkatMu ke atas junjungan Baginda Rasulullah s.a.w. Saidi Mursalin dan Iman al-muttaqin. Wahai TuhanKu, bangkitkanlah Baginda di makam orang yang terpuji yang disukai oleh orang-orang dahulu dan orang-orang yang kemudian.


Saturday, August 13, 2011

Mak!.. Bapak!..Aku Nak Kawin..(4)

Daripada dibiarkan tanpa dimuatkan entri baru (tulisan sendiri)....saya fikir lebih baik saya masukkan tulisan Ustaz Sarip Adul Mak!.. Bapak!...Aku Nak Kawin..(4),
sekurang-kurangnya dapat dikongsi dengan tetamu-tetamuku yang budiman.

Kerana Ustaz Sarip ini orang harakah, maka tulisannya pun tidak boleh lari berbau harakah. Mungkin jika saudara/i terdiri daripada ahli-ahli usrah,akan lebih mudah menjiwai apa yang ditulis oleh Ustaz. Maaf saya terus melompat dari bahagian (1)ke bahagian (4). Sekiranya ada sesiapa yang ingin membaca bahagian 2 dan 3 bolehlah cari di blognya,http://www.saripadul.com/.



Sila baca tulisan beliau seterusnya......

Setelah menulis topik mak bapa aku nak kahwin, ada pembaca yang memberi respon...''Abi, kalau macam tu saya belum bersedialah nak kahwin''. Ada yang kata: ''kalau gitu malaslah saya fikir pasal kahwin''. Memang berkahwin dalam apa kondisipun bukanlah sesuatu yang mudah. Memerlukan banyak persediaan dan persiapan. Cabaran berumahtangga di abad ini amat banyak. Kalau calang-calang persediaan pasti rumahtangga yang dibina tak mampu menghadapi gelombangnya. Sebab itu tidak menghairankan apabila setiap 15 minit satu pasangan muslim bercerai di Malaysia.



Bagi pemuda dan pemudi yang belum memiliki kemampuan untuk berumahtangga maka inilah masanya untuk membuat persediaan. Jangan kata tak mahu fikir lagi! Itu cara berfikir orang yang tak matang! Rumahtangga perlu persiapan awal sebab setiap orang inginkan jangka hayat rumahtangga yang dibina kelak panjang. Kalau boleh hingga ke syurga. Persiapan yang panjang diperlukan sebagai bekalan untuk perjalanan yang jauh.

Persiapan 1: Memahami matlamat dan peranan rumahtangga

Semua perkara yang ingin dilakukan perlulah jelas matlamat dan peranannya. Ia perlu difahami sebelum perlaksanaan dibuat. Orang bodoh saja yang bina bangunan kemudian setelah siap dan berbelanja berjuta ringgit baru berfikir apa tujuannya? Akhirnya membazir wang dan masa. Sama juga berumahtangga, setiap individu perlu memahami matlamat rumahtangga sebelum mendirikan rumahtangga.

Dalam hal ini, alangkah hebatnya matlamat rumahtangga yang dinyatakan oleh Imam Hassan al-Banna yang meletakkan rumahtangga sebagai anak tangga ke 2 dalam mendirikan semula khilafah dan tamadun Islam. Beliau inginkan agar rumahtangga yang dibina menjadi medan dakwah dalam melahirkan generasi pejuang dan berperanan menjadi model dakwah kepada masyarakat sekelilingnya. Bagi pemuda pemudi yang memiliki kefahaman, rumahtangga bagi mereka bukan sekadar medan ibadah untuk mencari ketenangan hidup dan berkasih sayang bahkan menjadi markas jihad dan perjuangan dalam melancarkan program-program dakwah bagi mengerakkan masyarakat sekeliling. Rumahtangga ini harakian (bergerak) dan mampu mengerakkan masyarakat sekeliling. Di mana ia berada ia menjadi centre kepada perubahan jiran-jiran dan masyarakat sekeliling. Semua ahli keluarga terlibat secara langsung sebagai sebuah 'harakah' walau tanpa nama. Keluarga yang membawa fikrah Islam yang tulin dan setiap ahli menghormati fikrah tersebut.

Tanpa memahami matlamat yang betul dalam membina rumahtangga, maka ia akan menjadi kapal yang berlayar tanpa arah tujuan. Tidak pasti di Pelabuhan mana ia akan berhenti. Sesat di lautan luas berpuluh tahun lamanya. Sedangkan rumahtangga itu Allah syariatkan besar tujuannya, ia asas membina masyarakat dan asas membina tamadun insan. Tapi tak ramai orang berkahwin memahami matlamat itu. Rumahtangga yang mereka bina tidak ada AGENDA. Kalau adapun sekadar mengisi siang hari untuk memenuhi keperluan perut dan malam hari untuk memenuhi tuntutan syahwat secara halal. Topik perbicaraan ahli keluarga cuma perkara-perkara kecil. Berligar pada memenuhi kecukupan duniawi dan aksesori kehidupan.

Bagi orang yang faham tujuan berumahtangga dan dia ada AGENDA BESAR dalam rumahtangga yang bakal dibina kelak, ia akan memastikan pasangan pilihannya mampu menjadi pendokong agenda tersebut. Pasangan dari kalangan ashab al-fikrah. Yang melalui tapisan demi tapisan. Tapisan dalam bentuk haraki, akhlaki, suluki, akidi dan...dapuri (dapur la ba)...dia akan gunakan kepakaran harakahnya, murabbinya dan makbapanya untuk menilai calon pasangan.

Tapi bagi yang tak faham tujuan sebenar berumahtangga atau memahaminya dalam ruang lingkup yang sempit, bagi mereka asalkan ia 'LELAKI' atau 'PEREMPUAN' sudah layak menjadi pasangan hidup. Mereka berpada mencarinya lewat sms, perhentian bas, facebook, panggung wayang atau di mana cinta hatinya berlabuh. Mereka hanya memerlukan dirinya untuk membuat tapisan. Apa yang dikatakan 'YA' oleh kata hatinya maka itulah jodohnya. Kalaupun ia kaitkan dengan agama hanya sekadar berkata 'mungkin inilah jodoh saya yang ditentukan oleh Allah', dengan nada redha. Tapi nanti bila dikecewakan dan hidup kacau bilau lain pula bahasanya, 'Allah zalim menemukan aku dengannya!". Padahal Allah tak paksakanpun ia kahwini orang itu. Allah dah memberikan ia masa untuk memilih!. Bahkan melalui lisan nabinya sudah ditegaskan supaya memilih orang beragama pasti selamat!. Tinggal lagi engkau cuma perlu memahami maksud beragama tersebut dan sejauh mana beragama itu juga terlaksana dalam hidupmu!.


Persediaan 2: Kekuatan Ruhi

Rumahtangga walaupun akhirnya mampu menambah ubudiah kita kepada Allah dan memperkukuhkan ruh, persiapan awal juga perlu dilakukan untuk memepertingkatkannya sebelum berkahwin lagi. Ini kerana Allah SWT telah meletakkan satu kaedah pertemuan jodoh dalam Surah al-Nur: 26
''Lazimnya perempuan-perempuan yang jahat untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat. Manakala perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik''.

Kaedah pertemuan jodoh yang adil dari Allah SWT. Justeru bagaimana rupa iman kita maka begitu juga rupa iman pasangan yang bakal hadir dalam rumahtangga kita. Hanya orang yang memiliki modal yang banyak mampu memiliki barangan berkualiti lantaran harganya mahal. Adapun membiarkan diri bergelumang dengan pelbagai kelemahan dan kecacatan ruhi sedang dalam masa yang sama mengharapkan bidadari syurga menjadi teman hidup...itu angan-angan mat jenin yang amat menyedihkan. Umpama pungguk memuja bulan sedangkan hanya dengan dua sayapnya pasti ia tak mampu sampai ke bulan.

Akhirnya nanti apapun yang akan anda temui pada pasangan anda, anda tidak boleh menyalahkan takdir. Anda yang memilih dan membuat keputusan. Anda diberi ruang masa yang cukup panjang oleh Allah untuk membuat persiapan, memilih dan bertindak. Bahkan agama juga telah memberi panduan yang jelas dalam membuat pilihan. Tapi anda tidak mengambil peluang, tidak membuat persiapan dan membiar diri hanyut dengan kenakalan zaman muda. Akhirnyq anda terpaksa menanggung kos yang tinggi yang mungkin hutangnya terpaksa diwarisi oleh keturunan anda.

Persiapan 3: Persediaan Kewangan

Rasulullah SAW bersabda: tiga perkara yang dianggap kegembiraan anak adam ialah: memiliki rumah yang luas, kenderaan yang selesa dan isteri yang solehah.

Rumahtangga zaman sekarang memerlukan dana yang agak besar. Saya tak mahu bincangkan soal hantaran dan maskahwin tapi soal perbelanjaan selepas kahwin. Rumah dan kenderaan merupakan keperluan asas setelah berumahtangga. Bagi mereka yang masih belajar, mereka terpaksa memikirkan kos pendidikan seperti yuran dan buku. Ekonomi setelah berumahtangga perlu kukuh walaupun sekurang-kurangnya berada pada tahap minimum.

Bagi pelajar yang ingin berumahtangga perlu mencemerlangkan aspek akademik sebab walaupun ia bukan syarat untuk jadi kaya dan berharta tapi kebanyakan ruang pekerjaan yang ada mengambil kira prestasi anda dalam pelajaran. Kalau aspek inipun anda lalai tak mustahil anda lalai aspek-aspek lain.

Persiapan 3: Persiapan Jasmani.

Rumahtangga perlukan kekuatan ruh, mental dan jasmani. Anda nak jaga anak orang jadi anda kena cukup sihat. Kalau tidak nanti anda jadikan rumahtangga yang baru dibina umpama hospital dan pasangan anda menjadi jururawat yang menghabiskan masa berkhidmat kepada anda.

Pemuda pemudi perlu mengelak gejala negetif seperti dadah, arak, pergaulan bebas dan lain-lain. Untuk itu kerajaan telah mewajibkan individu yang ingin berkahwin membuat saringan kesihatan bagi memastikan ia tidak mengidap penyakit berjangkit khusunya AIDS/HIV.


Apa proses persediaan?

Masa muda hanya sekali. Alam universiti merupakan tempat yang paling sesuai untuk memperolehi semua sumber kekuatan (ruh, fizikal dan kewangan). Tempoh ini sepatutnya dihabiskan dengan program-program yang mampu membawa ia mencapai objektif. Banyak program-program bermanfaat yang disediakan oleh universiti dan badan-badan dakwah yang bergerak di dalam dan luar universiti. NGO-NGO yang ada melalui program tarbiah, dakwah dan kemasyarakatan mereka boleh memberi pengisian kepada para belia. Cuma kena pastikan halatuju dan kefahaman yang mereka bawa dan sejauh mana ia mampu mempertingkatkan potensi anda.

Sayangnya pengalaman saya selama menjadi pensyarah, tak ramai pelajar yang berminat. Mereka lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti berbentuk hiburan dan keseronokan. Kesannya bukan sekadar tidak meningkatkan potensi ruhi, skill, keterampilan diri dan sebagainya bahkan menjadi penyebab rendahnya prestasi mereka dalam bidang akademik. Apabila golongan yang dianggap memiliki IQ berkualiti ini tidak mengisi masa mereka di U dengan sebaiknya dan gagal membuat persiapan, negara akan turut menerima kesannya. Mereka merupakan barisan hadapan kekuatan modal insan tapi tanpa persiapan yang rapi pasti mereka gagal menjadi pemimpin negara yang mahir. Bahkan lebih dahulu gagal untuk menjadi suami isteri dan ibubapa yang baik. Orang yang tiada apa-apa tidak mampu memberikan apa-apa. Akhirnya kegagalan dalam diri individu turut mengagalkan institusi keluarga, masyarakat dan negara. Akhirnya rumahtangga tidak menjadi kilang kesejahteraan negara bahkan melahirkan oang-orang yang bermasalah dan berpenyakit. Negara terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk memberikan rawatan.

Selalu aku nasihatkan pelajar-pelajar yang rapat denganku khususnya yang mengikuti kuliahku bahawa kalian bukan hidup hanya untuk diri sendiri. Kalian adalah anak untuk ibubapa anda. Kalian bakal suami atau isteri untuk pasangan anda. Kalian bakal menjadi bapa atau ibu, guru dan murabbi untuk anak-anak. Kalian akan menjadi rakyat atau pemimpin untuk membangun negara. Kalian juga salah satu tenaga berharga yang dinanti-nantikan oleh ummah untuk memimpin mereka mengembalikan kegemilangan silam yang pernah diukir oleh generasi awal Islam. Berfikirlah sebelum bertindak dan jangan habiskan masa muda dengan perkara sia-sia. Berfikirlah dengan mentaliti orang hebat. Hebatnya Bilal bin Rabah, Anas bin Malik dan beberapa sahabat lain yang pernah menjadi hamba abdi kerana ia berfikir menggunakan mentaliti orang hebat bukan mentaliti hamba. Mereka berfikir menggunakan mentaliti wahyu dan sunah nabi mereka. Pelik kalau anda seorang mahasiswa tapi berfikir seperti mentaliti orang tak berpendidikan yang dipenuhi hanya dengan mencari keseronokan dan hiburan.

Aku sering sarankan mereka disamping aktiviti akademik, kegiatan ko kurikulum rasmi...ikuti juga usrah-usrah yang diadakan secara rasmi atau tak rasmi. Isi juga dengan pergi ke majlis-majlis ilmu yang mampu menambah pengetahuan anda dalam rumahtangga. Cuma aku ingatkan mereka beberapa penyakit yang menimpa ramai pemuda-pemudi yang melibatkan diri dalam gerakan dakwah di kampus antaranya ketaasuban hingga membawa kepada khilaf dan persaingan, mengabaikan tujuan asal masuk U iaitu akademik dan menganggapnya bukan priority, mabuk usrah hingga anggap ia segala-galanya atau berusrah dengan topik-topik yang tidak tersusun, tidak bersilibus dan tiada objektif. Bahkan selalu aku katakan kepada pelajar-pelajarku, sebelum ikut usrah minta dulu silibus usrah daripada naqib/naqibah dan tanyakan juga pointernya. Ini kerana dalam tarbiah, seorang murabbi akan mentarbiah orang hingga memahami apa yang ia faham dan melaksanakan apa yang ia laksanakan. Tarbiah berjangkit...kalau yang berjangkit itu unsur- unsur positif sahaja tak apa, takut yang negetif pun turut sama.


Tarbiahlah diri anda atau carilah apa-apa program yang mampu membawa anda menjadi orang yang berfikir. Carilah kawan-kawan yang mampu menaikkan kemahuan anda untuk memperbaiki diri. Tarbiah yang mantap dan persiapan yang rapi adalah syarat untuk melayakkan diri anda menjadi pejuang yang hebat di medan rumahtangga, masyarakat dan negara. Walaupun anda tidak dikenali ramai, tapi andalah jundi majhul yang dinanti-nantikan oleh orang ramai selama ini untuk menjadi menantu, pekerja dan pemimpin dalam semua ruang kehidupan yang akan anda tempuhi selepas ini. Siiru ala barakatillah.


Tuesday, August 9, 2011

PEMBELA sokong tindakan JAIS


KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA) BERHUBUNG ISU PEMERIKSAAN PASUKAN PENGUATKUASAAN JAIS KE ATAS DREAM CENTRE YANG DIMILIKI DAMANSARA UTAMA METHODIST CHURCH PADA 3 OGOS 2011

8 OGOS 2011 | 8 RAMADHAN 1432

Pertubuhan-pertubuhan Islam yang bergabung di bawah PEMBELA ingin menzahirkan sokongan terhadap tindakan Pasukan Penguatkuasaan JAIS melakukan pemeriksaan ke atas premis Dream Centre yang dimiliki Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011. Penganjuran “Thanksgiving Dinner” di dewan tersebut dengan melibatkan orang-orang Islam pada waktu berbuka puasa di bulan mulia Ramadhan menimbulkan pelbagai persoalan dan mendedahkan penganut agama Islam kepada upacara keagamaan bukan Islam di tempat bukan Islam. Peranan JAIS di dalam menjalankan pemeriksaan tersebut adalah mengikut lunas dan ruang lingkup peruntukan undang-undang yang sedia wujud dan telah dijalankan demi menjernihkan sebarang keresahan di kalangan masyarakat Malaysia, khususnya penganut agama Islam sebagai majoriti penganut agama yang mempunyai kedudukan sebagai agama negara.

Susulan reaksi pelbagai pihak, terutamanya para pemimpin politik daripada kedua-dua pihak kerajaan dan barisan pembangkang, PEMBELA meyakini keperluan untuk membantah kenyataan-kenyataan fitnah terhadap PPA JAIS kononnya telah berlaku “storm”, “raid” dan “barge” serta tindakan seumpamanya sedangkan pada hakikatnya PPA JAIS telah terlebih dahulu berunding dengan penganjur lebih sejam sebelum melaksanakan tujuan pemeriksaan, iaitu untuk memastikan sama ada terdapat orang Islam di kalangan hadirin majlis tersebut serta tidak berlaku sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan penghinaan terhadap agama Islam. PEMBELA menegaskan sekali lagi bahawa kedudukan Islam, seperti yang terpahat di dada sejarah dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Negeri, adalah dikawalselia serta berada di bawah naungan Duli-duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di negeri-negeri. Hakikat ini bukan sahaja perlu diterima semua pihak, tetapi batas-batasnya juga perlu sentiasa dicernakan dan dihormati di dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia.

Justeru PEMBELA membantah sekeras-kerasnya campur tangan politik dalam hal ehwal agama Islam oleh para pemimpin politik yang bermotifkan percaturan serta perkiraan kuasa semata-mata. Kenyataan YAB Menteri Besar Selangor yang bersifat “apologetic” amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan. Begitu juga, kenyataan beberapa pemimpin politik yang bukan beragama Islam menghiris hati dan perasaan umat Islam serta menggambarkan seolah-olah agama Islam tidak bertempat di negara ini. Kenyataan-kenyataan tersebut hanya menambah kekeliruan dan mewujudkan prasangka yang menajam di kalangan umat Islam dan bukan Islam. Adalah lebih baik sekiranya pihak JAIS dan mana-mana pihak berkuasa agama negeri-negeri diberikan kebebasan menjalankan tugas selagi tidak melanggar lunas serta batas undang-undang yang diperuntukan.

PEMBELA menuntut pihak berkuasa keselamatan untuk menyekat tindakan-tindakan provokasi agama yang dilakukan oleh mana-mana pihak secara terancang untuk menghakis kedaulatan Islam sebagai agama negara. Ini termasuklah peranan mana-mana media yang menggunakan istilah-istilah yang tidak tepat berkenaan gambaran kejadian yang berlaku, serta komen-komen yang ternyata tidak membantu di dalam mencari keadilan dan menjernihkan suasana harmoni yang sedia wujud di kalangan seluruh masyarakat Malaysia.

Dr. Yusri Mohamad
Jurucakap PEMBELA

Thursday, August 4, 2011

Hari Kelima Ramadhan..


Hari kelima Ramadhan
Ketenangan kembali bersemarak
Dalam diri...
Kemesraan kembali terjalin
Setelah setahun kita berpisah.

Hari kelima Ramadhan
Aku kembali mengimbau kenangan lampau
Detik-detik pertemuan kita yang lalu
Sungguh aku telah banyak alpa
Dalam menghargai nilai murnimu.

Aku menanam tekad dalam diri
Agar tidak mensia-siakan kehadiranmu kali ini
Dalam waktu yang sesingkat ini.

Akan ku isikan dengan sesuatu
Yang boleh ku jadikan kenangan manis buat diri
Tika kerinduan....
Atau ketika jiwa dalam keresahan.

Sesungguhnya pertemuan ini
Menghangatkan kembali api cinta
Yang nyalaannya telah berkurang
Pertemuan ini menyuburkan kembali benih kasih
Yang tumbesarannya amat perlahan.

Ramadhan...
Dalam beberapa waktu yang masih berbaki
Akan ku cuba untuk melakar
Kata-kata syahdu penuh makna
kata-kata indah bersulam cinta
Agar kedatanganmu akan datang
Akan aku nanti-nantikan.