Pages

Sunday, November 22, 2009

KELEBIHAN SEPULUH HARI PERTAMA ZULHIJJAH

Ramai daripada kalangan kita yang telah maklum akan kelebihan 10 malam-malam terakhir Ramadhan. Tetapi adakah ramai di kalangan umat kita yang maklum kelebihan 10 hari-hari pertama dalam bulan Zulhijjah? Imam al-Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tiada suatu hari pun di mana amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini - iaitu 10 hari Zulhijjah." Para sahabat baginda bertanya: "Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan hari-hari tersebut)?" Ujar Baginda: "Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah)."
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada suatu hari pun di mana amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)."Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda: “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.


Amalan yang dianjurkan padanya
1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya - terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang."

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud, "Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum." Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya", dan di dalam riwayat lain: “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban."Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, "Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya)."Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Rujukan: blog inijalanku


Tuesday, November 17, 2009

Bicara buat sahabat

Assalamualaikum wbt. sahabatku.

Telah lama aku tidak mengutuskan bicara buat tatapanmu. Memang aku rasakan ada kekosongan di hatiku sekiranya telah lama tidak berhubung denganmu. Mungkin ini tandanya wujud ikatan ukhuwwah yang mendalam diantara kita. Benih ukhuwwah islamiyah yang disemai di dalam pertemuan-pertemuan kita satu ketika dahulu telah membuatkan ikatan persahabatan kita menjadi begitu kukuh.

Ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Rosulullah serta kisah para sahabat yang menceritakan tentang kelebihan berkasih sayang kerana Allah, yang selalu disebut dan diulang-ulang di dalam pertemuan usrah kita tempuh hari kurasakan amat berkesan di hatiku, dan mungkin di hati sahabat-sahabat kita yang lain. Walaupun detik-detik itu kita telah lalui berpuluh-puluh tahun yang lalu namun tali persahabatan sesama kita masih belum terungkai.

Aku masih teringat lagi cerita yang mengisahkan tentang seorang sahabat Rosulullah yang dihadiahkan kepala kambing, menghadiahkan kepala kambing tersebut kepada sahabatnya yang lain kerana merasakan ada orang lain yang lebih memerlukan. Sahabat yang menerima hadiah tadi pula melakukan perkara yang sama sehingga kepala kambing tadi berpindah kepada beberapa orang sahabat yang lain.

Begitu juga kisah yang berlaku di dalam satu peperangan, di mana seorang sahabat yang cedera parah meminta air kerana kehausan. Apabila dia hendak minum air yang dibawakan kepadanya, dia mendengar ada sahabat lain yang meminta air. Dia tidak jadi minum dan meminta supaya air tadi dibawakan kepada sahabat yang baru meminta air tadi. Namun sebelum sahabat tadi dapat meminumnya ada pula seorang sahabat lain yang merintih kehausan dan air tadi diminta supaya dibawakan kepada orang itu. Sehingga akhirnya kesemua sahabat-sahabat tadi menemui kematian.

Begitulah lebih kurang kisah yang masih tersimpan di dalam benakku. Dan kisah-kisah seperti ini aku rasakan amat berkesan menjadi pemangkin di dalam membina ikatan ukhuwwah islamiyah di kalangan umat islam yang kalau kita lihat pada hari ini ikatan mereka sudah amat longgar.

Aku selalu merisik berita dan bertanya khabar tentang sahabat-sahabat kita yang lain. Keadaan telah membuatkan kebanyakan daripada kita telah terpisah jauh diantara satu sama lain. Ada diantara sahabat kita yang telah kembali dahulu menemui Maha Pencipta. Itulah hakikat yang perlu kita terima dan tidak boleh lari daripadanya. Hari-hari yang kita lalui sudah pasti akan mendekatkan kita kepada penghujung kehidupan ini....

Sahabat,

Yang sebenarnya, hatiku masih ingin meneruskan bicara ini. Tetapi kerana keadaan tidak mengizinkan, biarlah aku akhiri kalimatku hingga di sini dulu. Semoga Yang Esa akan menemukan kita semula di lain kesempatan.

Aku akhiri dengan salam kasih sayang buatmu dan keluarga.

Wassalam.

Sunday, November 15, 2009

Foto Kenangan

Telah tiga kali aku berkunjung ke Setiu Wetland untuk membantu pelajar menjalankan kerja-kerja penyelidikan untuk projek tahun akhir mereka. Aku abadikan foto-foto ini buat kenanganku.


















Monday, November 2, 2009

Besar mana sangatlah diri kita ini...










Cuba kita bandingkan saiz bumi dengan saiz matahari
dan planet-planet yang lain.
Terasa kerdil sekali bumi tempat kita sama-sama menumpang dan
terasa amat luas sekali alam ciptaan Allah .
Maha halus dan maha tersusun penciptaan Allah terhadap alam ini.
Telah sekian lama wujudnya alam ini tetapi masih bergerak di atas landasannya
tanpa berlaku keporak-perandaan.