December 2, 2015 Berita Dunia,
QATAR,
Selasa – Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia yang diketuai oleh Prof Dr
Yusof Al-Qaradawi hari ini mengeluarkan fatwa kewajiban menyokong dan
membantu produk dan ekonomi Turki.
Umat Islam juga diseru berdiri teguh bersama pendirian Turki dalam isu-isu terkini.
“Kesatuan
Ulama menyeru umat Islam sama ada individu, syarikat dan kerajaan, untuk
bersama-sama dengan pendirian Turki dalam isu-isu terkini, dan wajib
menyokong produk Turki, membantu ekonominya dalam apa jua bentuk,
sebagai merealisasikan persaudaraan kemanusiaan dan amal yang sama,”
kata pihak kesatuan dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Turki,
Anatolia.
Kenyataan
itu berkata, Kesatuan Ulama mengikuti perkembangan terkini keadaan
kekacauan dan huru hara yang berlaku di Syria, dan apa yang dilakukan
oleh Zionis Israel di Palestin.
“Kejadian
minggu lepas (pencerobohan ruang udara Turki) adalah satu provokasi
Syria dan Russia yang memaksa Turki menembak jatuh jet pejuang Russia
dan menarik Turki ke medan peperangan, sehingga berlaku pemboikotan
Russia ke atas barangan buatan Turki.
“Kesatuan Ulama meminta masalah ini diselesaikan dengan baik dan diplomatik."
“Umat
Islam diseru berdiri teguh dengan Turki di atas pendirian tegas Turki
dalam isu-isu umat Islam terutama isu Syria yang berdepan dengan
pemimpin zalim Bashar Asad yang telah membunuh ribuan rakyat dan
menghalau jutaan yang lain."
“Sokongan
kepada ekonomi Turki wajib dilakukan atas dasar persaudaraan iman. Umat
Islam perlu bersama dalam satu saf seperti yang digalakkan oleh
ayat-ayat Al-Quran dan hadis baginda SAW."
“Oleh itu,
Kesatuan Ulama menyeru negara-negara Islam, rakyat dan
syarikat-syarikat, individu-individu, menyokong barangan Turki dan
menguatkan ekonominya dengan semua cara termasuk pelancongan."
“Tidak
boleh meninggalkan Turki bersendirian kerana apa yang dihadapi Turki
hari ini adalah kerana pendiriannya bersama kebenaran dalam isu-isu umat
Islam di Syria dan Palestin dan umat Islam lain di Somalia, Myanmar,
Iraq, Mesir dan Libya dan semua yang ditindas seluruh dunia,” kata
kenyataan itu. – Agensi.
Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/12/kesatuan-ulama-muslimin-sedunia-keluar-fatwa-wajib-sokong-turki/