Pages

Thursday, August 11, 2016

*SEBUAH CEBOK AIR BEKAL UNTUK MATI*


Semasa saya singgah di satu masjid untuk bersolat zohor, sebuah kereta Proton Saga tua juga masuk ke kawasan masjid, saya agak mungkin juga singgah nak bersolat zohor. Jam sudah menunjukkan pukul dua lebih. Pemandunya seorang tua berserban turun dan di tangannya saya lihat memegang sebuah pencebok air atau gayung. Mungkin dia nak tumpang mandi di masjid, tekaan hati saya.

Ketika saya berwuduk di kolah masjid, dia pun berwuduk sama dan mencedok air dengan cobok air yg dibawanya untuk membasuh kaki. Saya menggunakan cebok yang telah tersedia. Cebok yg dibawanya diletak di tebing kolah dan dia naik ke masjid, lalu kami solat bersama.

Ketika menuruni tangga masjid, saya lihat dia terus ke keretanya. Saya segera memperingatnya ceboknya yg tertinggal. Dia beralih senyum kepada saya dan berkata, "Saya sengaja bawa cebok yang baru dibeli dan ditinggalkan di masjid yg ada kolah, sebagai satu wakaf yang kecil yang saya mampu, moga ia memanfaatkan. "Subhanallah! Saya pula yang terasa malu, tidak terfikir untuk berbuat baik hingga sedemikian. Dia menyambung, "Di mana masjid saya singgah, yang ada kolah saya tinggalkan sebuah cebok, bekal untuk mati, tak mampu nak sedekah yang lain."

Nak ajak pembaca semua mengambil iktibar dari apa yang dibuat oleh orang tua ini. Sebuah cebok yang ditinggal di kolah masjid akan dimanfaatkan oleh ramai orang yang berwuduk, bayangkan ganjarannya. Berapa ringgit sangat sebuah cebok air. Bukan nanti ada duit beribu baru boleh berbuat baik, yang pentingnya ialah keinginan untuk berbuat kebajikan, maka Allah dorongkan.

Bagi orang tua ini sebuah cebok air untuk masjid takkan sama dg ribuan ringgit yg disumbang oleh mereka yang berada pada mata manusia, tetapi pada sisi Allah ianya mungkin lebih besar dari itu. Rebutlah kesempatan berbuat kebajikan walau kecil pada mata manusia......

‪#‎Kisah‬ yg disalin.....