Assalamualaikum wbt. sahabatku.
Telah lama aku tidak mengutuskan bicara buat tatapanmu. Memang aku rasakan ada kekosongan di hatiku sekiranya telah lama tidak berhubung denganmu. Mungkin ini tandanya wujud ikatan ukhuwwah yang mendalam diantara kita. Benih ukhuwwah islamiyah yang disemai di dalam pertemuan-pertemuan kita satu ketika dahulu telah membuatkan ikatan persahabatan kita menjadi begitu kukuh.
Ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Rosulullah serta kisah para sahabat yang menceritakan tentang kelebihan berkasih sayang kerana Allah, yang selalu disebut dan diulang-ulang di dalam pertemuan usrah kita tempuh hari kurasakan amat berkesan di hatiku, dan mungkin di hati sahabat-sahabat kita yang lain. Walaupun detik-detik itu kita telah lalui berpuluh-puluh tahun yang lalu namun tali persahabatan sesama kita masih belum terungkai.
Aku masih teringat lagi cerita yang mengisahkan tentang seorang sahabat Rosulullah yang dihadiahkan kepala kambing, menghadiahkan kepala kambing tersebut kepada sahabatnya yang lain kerana merasakan ada orang lain yang lebih memerlukan. Sahabat yang menerima hadiah tadi pula melakukan perkara yang sama sehingga kepala kambing tadi berpindah kepada beberapa orang sahabat yang lain.
Begitu juga kisah yang berlaku di dalam satu peperangan, di mana seorang sahabat yang cedera parah meminta air kerana kehausan. Apabila dia hendak minum air yang dibawakan kepadanya, dia mendengar ada sahabat lain yang meminta air. Dia tidak jadi minum dan meminta supaya air tadi dibawakan kepada sahabat yang baru meminta air tadi. Namun sebelum sahabat tadi dapat meminumnya ada pula seorang sahabat lain yang merintih kehausan dan air tadi diminta supaya dibawakan kepada orang itu. Sehingga akhirnya kesemua sahabat-sahabat tadi menemui kematian.
Begitulah lebih kurang kisah yang masih tersimpan di dalam benakku. Dan kisah-kisah seperti ini aku rasakan amat berkesan menjadi pemangkin di dalam membina ikatan ukhuwwah islamiyah di kalangan umat islam yang kalau kita lihat pada hari ini ikatan mereka sudah amat longgar.
Aku selalu merisik berita dan bertanya khabar tentang sahabat-sahabat kita yang lain. Keadaan telah membuatkan kebanyakan daripada kita telah terpisah jauh diantara satu sama lain. Ada diantara sahabat kita yang telah kembali dahulu menemui Maha Pencipta. Itulah hakikat yang perlu kita terima dan tidak boleh lari daripadanya. Hari-hari yang kita lalui sudah pasti akan mendekatkan kita kepada penghujung kehidupan ini....
Sahabat,
Yang sebenarnya, hatiku masih ingin meneruskan bicara ini. Tetapi kerana keadaan tidak mengizinkan, biarlah aku akhiri kalimatku hingga di sini dulu. Semoga Yang Esa akan menemukan kita semula di lain kesempatan.
Aku akhiri dengan salam kasih sayang buatmu dan keluarga.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment