Pages

Wednesday, September 1, 2010

Melayu Baru

Oleh:
Aminuddin Yahaya,
Setiausaha Agung,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Suara Dari Gunung

Sudah menjadi satu fenomena apabila kita bercakap pasal Melayu maka secara automatisnya rakyat akan meletakkan UMNO sebagai “benchmark”. Mungkin kerana parti ini adalah satu-satunya parti yang 100% dianggotai oleh orang Melayu dan telah memerintah selama 53 tahun. Jadi oleh kerana lamanya UMNO ini memerintah maka perkataan Melayu dianggap sinonim dengan parti berkenaan.

Malangnya semua rakyat maklum, termasuklah pemimpin dan ahli biasa UMNO, parti ini telah diselubungi dengan pelbagai isu yang sukar untuk dirawat lagi. Ia ibarat barah yang menunggu masa untuk mencabut nyawa si pesakitnya. Dalam keadaan pimpinan Melayu yang begini parah maka secara logiknya masyarakat mula mempersoalkan konsep Ketuanan Melayu yang mereka laungkan. Sebab itu slogan ini ditentang habis-habisan baik oleh orang bukan Melayu maupun orang Melayu sendiri. Maka timbullah pula slogan 1Malaysia, Malaysia Tengah, Negara Kebajikan dan yang seumpamanya. Masing-masing cuba untuk melarikan diri dari perkataan MELAYU. Bagi mereka MELAYU melambangkan segala kelemahan yang boleh kita bayangkan.

Hinanya perkataan MELAYU ini sehingga ada orang Melayu sendiri malu untuk menyebut Melayu dan tidak kurang juga yang takut menyebut Melayu kerana itu dikatakan Assobiyah.

Penyakit kebencian kepada perkataan MELAYU ini semakin hari semakin menular sehinggalah orang Melayu kini sudah hilang keyakinan diri. Mereka tidak lagi yakin kepada diri sendiri untuk memerintah sehingga apabila dilaungkan perkataan Penyatuan Melayu mereka membantahnya. Mereka tidak yakin kesatuan umat Islam ini boleh membawa kebaikan walaupun mungkin ada kelemahan di sana-sini. Sebaliknya mereka merayu bantuan orang lain untuk bernafas sehingga mereka sanggup berkompromi dalam perkara-perkara asas termasuklah menjaga kesucian rumah Allah. Mereka biarkan hukum Allah dihina, mereka biarkan hudud disanggah, mereka biarkan mahkamah syariah direndahkan, semua itu dihujjah atas dasar TOLERANSI. Ya, Islam adalah agama yang sangat toleran dan kita harus tolaren kerana negara kita adalah negara masyarakat majmuk.

Di mana penyelesaiannya?

Selagi kita meletakkan UMNO sebagai benchmark orang Melayu maka selagi itu perkara ini tidak akan dapat diselesaikan. Oleh itu :-

Orang Melayu harus keluar dari kotak definisi UMNO sebagai Melayu kepada dimensi baru orang Melayu. Ada jutaan orang Melayu muslim yang tidak korup. Ada Melayu PAS, ada Melayu PKR, ada Melayu ahli UMNO biasa, ada ratusan NGO Melayu, ada rakyat Melayu biasa yang tidak berparti dan tak berpersatuan dan akhirnya remaja/belia Melayu yang masih putih bersih.
Orang Melayu harus keluar dari pemikiran politik kepartian untuk mampu menilai dengan wajar. Samada UMNO, PAS maupun PKR. Selagi pemikiran kepartian ini membelenggu mereka maka segala perbincangan tidak akan dapat dihasilkan.
Orang Melayu harus memberhentikan budaya fitnah memfitnah, hentam menghentam, hina menghina sesama mereka apatah lagi sesama ulamak kerana kenyataan-kenyataan yang negatif ini hanya akan membawa kepada hilangnya izzah dan jatuhnya maruah bangsa Melayu.
Orang Melayu harus keluar dari “Emotional-Based Politic” kepada “Knowledge-Based Politic”. Jangan mudah terjebak dengan sesetengah tuduhan seperti Assobiyah tanpa mengkaji hujjah dan nas tentangnya. Memperjuangkan bangsa untuk kebaikan agama bukan dilarang malah disuruh (lihatlah hadith dan tulisan Ibn Khaldun).

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

No comments:

Post a Comment