Pages

Sunday, July 31, 2011

Salam Ramadhan....


Saudaraku yang dikasihi, marilah kita tujukan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah swt. kerana telah memanjangkan usia kita semua sehingga kita dapat berada di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Ramadhan adalah anugerah Allah kepada kita semua. Di dalamnya terdapat berbagai-bagai kelebihan… Bagi orang-orang yang dapat mengawal nafsunya, mengawal pancaindera, mata, telinga, mulut/lidah, anggota-anggota yang lain….mengawal perut, mereka akan mendapat keuntungan..

Ramadhan adalah bulan bagi orang-orang yang ingin mendapatkan sebanyak-banyak bekalan… bekalan iman dan taqwa. Bekalan untuk menuju hari akhirat.

Ramadhan adalah anugerah Allah untuk orang-orang yang beriman…tidak kira tua atau muda asalkan aqil dan baligh. Tidak kira bujang atau berkahwin, tidak kira duda atau janda, tidak kira pangkat keturunan, tidak kira badan besar atau kecil…kalau kita hendakkan kelebihan yang Allah sediakan, kita sendirilah yang kena usaha.

Ramadhan adalah anugerah Allah untuk mentarbiyah diri kita agar kita mempunyai cukup persediaan untuk menghadapi sebelas bulan seterusnya.

Ramadhan amat bermakna bagi orang-orang yang tahu menilai tentang kemuliaan, kebesaran dan kelebihannya. Ramadhan umpama mata air yang berada di tengah padang pasir. Para pedagang singgah untuk mendapatkan bekalan dan kemudian meneruskan perjalanan mereka..

Saudaraku yang dikasihi…
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat beribadah kepada saudara sekelian di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita agar kita sama-sama dapat menghidupkan Ramadhan kali ini dengan amal ibadah sebanyak mungkin.

Saturday, July 23, 2011

Mak! Bapa!...Aku nak kawin..(1)

Bila saya membuka blog saya,saya dapati sudah agak lama saya tidak menghasilkan sesuatu tulisan saya sendiri. Biasanya memang begitu...untuk menulis dan menghasilkan sesuatu tulisan, memerlukan masa yang agak sesuai dan fikiran yang agak lapang daripada sebarang kesibukan. Mungkin sejak kebelakangan ini saya sibuk dengan tugas-tugas tertentu.

Tiba-tiba hati saya tergerak untuk membuka blog Ustaz Sarip Adul....dan memang sudah agak lama saya tidak berkunjung ke blognya. Beliau adalah seorang Pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah. Saya sempat berjumpa dengannya sekali di awal tahun ini di dalam satu program.

Saya tertarik dengan entrinya yang agak terkini....tentang persoalan perkahwinan di kalangan pelajar. Saya pindahkan entrinya 100% dan mungkin ianya bermenafaat kepada sebahagian daripada saudara-saudara yang budiman..yang sedang berada di alam itu...
Beliau menulis.....


Akhir-akhir ni banyak betul soalan yang diajukan kepada ku mengenai perkahwinan ketika masih belajar. Hampir semua soalan datang dari siswa siswi Universiti. Eloklah aku tulis tajuk khas tentang masalah ini supaya tak perlu aku menjawab berulang kali. Aku tahu setiap orang mungkin keadaannya berbeza dan jawapannya juga sepatutnya berbeza. Tapi apa yang akan aku utarakan sekadar pandangan peribadi yang situasinya hampir sama dengan situasi yang pernah aku hadapi….


Ketika balik bercuti tahun 2 Universiti al-Azhar, aku pernah berkata kepada mak dan bapa aku: “mak, bapa…apa pandangan kalian kalau aku kahwin waktu tahun akhir nanti?”. Terkejut mak bila dengar soalan aku. Maklumlah akulah anak yang diharapkan oleh keluarga untuk membantu mereka bila berjaya kelak. Mak aku menjawab: “ Nak kahwin macamana, keluarga kita ni miskin, rumahpun buruk, malu kalau nak terima menantu”. Memang rumah kami amat dhaif waktu itu. Cuma berdindingkan kulit kayu dan beratapkan daun nipah. Serios mak aku menjawab sedang bapa aku berdiam diri. Soalan tu sebenarnya sekadar nak ‘test’ pandangan ibubapaku. Akupun waktu itu belum ada calon lagi. Tapi dari jawapan ringkas mak aku, aku dah tahu apa yang perlu aku buat kalau nak kahwin.

Begitulah juga sikap dan pandangan kebanyakkan ibubapa lain apabila anak mereka yang masih belajar menyatakan hasrat untuk berkahwin. Jawapan mereka hampir sama..tamat belajar dulu, dapat ijazah, cari pekerjaan dan senangkan hidup keluarga. Bagi mereka anak-anak yang berada di Universiti merupakan aset keluarga yang telah dibela dan dibesarkan begitu lama. Mereka bimbang hanya dengan perkahwinan, hasrat mereka selama ini hancur berkecai.

TAPI AKU PERLU KAHWIN PAK!

Pelbagai alasan yang dijadikan sandaran oleh pelajar untuk mewajibkan dirinya berkahwin. Ketika di Universiti al-Azhar dulu ada seorang kawan aku yang belajar di Maahad Qiraat Syubra meminta ibubapanya membenarkan ia berkahwin. Mula-mula ibubapanya keberatan. Maklumlah baru beberapa bulan sahaja sampai di sana. Alasannya, ia sukar menjaga al-Quran yang telah ia hafaz dan sukar mengikuti pelajaran. Kebetulan ayahnya seorang tok guru pondok akhirnya memberikan keizinan. Ada juga yang memberi alasan untuk memelihara maruah diri dan menjaga iman, alasan yang sering digunakan oleh pelajar-pelajar yang belajar di negara-negara barat. Maklumlah kehidupan masyarakat di sana amat terbuka. Pergaulan lelaki dan perempuan tiada batasan.

Alasan paling kuat yang menyebabkan siswa dan siswi ingin berkahwin kerana mereka sudah terlanjur dan…tutttttt..Aku pernah juga mengurus kes-kes begini. Selalunya dalam keadaan begini ibubapa sudah tidak ada pilihan lain, mereka terpaksa memberi keizinan anak-anak mereka berkahwin, kalau tidak mereka akan berhadapan dengan cercaan masyarakat.

Bagi siswa-siswi yang hidup dalam lingkungan tarbiah dan memahami peranan rumahtangga dalam dakwah, alasan mereka berkahwin mungkin berbeza. Perkahwinan bagi mereka adalah pelengkap tarbiah dan tanda kesungguhan mereka dalam dakwah. Rumahtangga bagi mereka adalah medan perjuangan. Mereka ingin berkahwin dalam usia muda untuk memastikan hatinya terus bersih dan berumahtangga ketika belajar juga menjadi medan latihan berumahtangga secara praktikal. Tidak ada orang yang boleh mengaku yang ia benar-benar mahir dalam selok belok rumahtangga. Kematangan seseorang dalam berumahtangga bergantung pada pengalaman. Orang yang berkahwin awal, pengalamannya lebih luas berbanding dengan orang yang kahwin lewat.





TAPI..LAYAKKAH AKU KAHWIN?

Perkara pertama yang perlu anda nilai ketika ingin berumahtangga, kemampuan metarial. Mampukah anda memberi nafkah kepada pasangan setelah berkahwin nanti? Atau masih bergantung pada kantung ibubapa?

Andainya anda ada sumber mencukupi untuk menyara keluarga seperti biasiswa dan pinjaman anda memadai untuk membayar sewa rumah, perbelanjaan makan-minum dan pengajian…anda hampir layak untuk berkahwin. Kalau perkara ini tidak diselesaikan dari awal, pasti ia akan menganggu pelajaran anda dan pasangan anda. Inilah yang paling ditakuti oleh ibubapa dan memang tidak sepatutnya ini berlaku kerana matlamat awal anda masuk ke universiti ialah untuk belajar dan bukannya berkahwin!.

Sumber kewangan juga kadangkala mencukupi apabila dicampur antara biasiswa suami dan biasiswa isteri. Walaupun mungkin tak mampu hidup mewah, tapi setelah berumahtangga pasangan pelajar perlu duduk serumah. Ini lebih menjimatkan perbelanjaan. Ini bagi pasangan yang belajar seuniversiti atau tinggal berdekatan. Dalam tempoh ini, belajarlah hidup susah dan gunakan sumber yang ada untuk perkara-perkara yang perlu sahaja.

Bagi pelajar yang masih bergantung pada kantung ibubapa, mereka perlu berbincang baik-baik dengan mereka. Jangan sampai perkahwinan kalian nanti menambah beban ibubapa. Itu akan membenarkan teori bahawa anda belum dewasa dan belum matang untuk berumahtangga. Kalau anda ingin berkahwin juga, anda mesti sanggup mencari sumber kewangan tambahan seperti bekerja part-time atau berniaga kecil-kecilan.

Perkahwinan tidak perlu tunggu kita kayapun baru nak berkahwin. Itu pemikiran materialistik orang sekarang. Ingin segala-galanya lengkap baru hendak berkahwin. Bila sudah tiba masanya, usia sudah lanjut. Waktu itu berhadapan dengan kesukaran untuk mencari pasangan. Akhirnya bagi yang nak berkahwin juga, terpaksalah ia 'rembat' siapapun yang datang walau tidak memenuhi syarat yang ia inginkan. Ada yang akhirnya memilih hidup membujang sampai ketua, tapi sayang ia tidak melengkapkan personaliti kejadian ia sebagai manusia. Allah bukan hanya jadikan kita sebagai manusia tunggal, tapi ia ingin kita menjadi suami, isteri, bapa, ibu, nenek, datuk….untuk melengkapkan peranan kita sebagai khalifah Allah. Bahkan bagi mereka yang memahami manhaj Rasulullah SAW dalam dakwah, berumahtangga adalah asas utama dalam dakwah. Kahwin itu Sunnah Nabi.

Persiapan kedua, ialah persediaan dalaman anda. Perhatikan bagaimana kehidupan orang sekeliling anda yang telah berumahtangga. Jangan lihat sudut manisnya sahaja. Kena teliti juga sudut pahitnya. Nilai diri anda bila berhadapan dengan situasi begitu mampukah anda menghadapinya?

Tanya diri anda, untuk apa sebenarnya berumahtangga? adakah sekadar untuk memenuhi keperluan seks muda anda secara halal? Memang perkahwinan menghalalkannya tetapi rumahtangga bukan hanya seks sahaja. Seks satu sudut sahaja dari ratusan tanggungjawab lain yang akan anda pikul apabila bergelar seorang suami atau isteri. Atau, anda berkahwin untuk mengotakan janji cinta anda pada si dia? Memang perkahwinan adalah bukti sebenar cinta. Kata-kata cinta yang diucapkan di luar alam perkahwinan itu sekadar gula-gula pemanis mulut. Tak mampu dibuktikan kecuali setelah berumahtangga. Mampukah pasangan anda menunaikan semua beban rumahtangga sebagai tanda cinta sejatinya kepada anda? Ketika anda berduka, kekurangan segalanya, mampukah ia mendahulukan diri anda sebelum dirinya? Itulah bukti cinta sejati.

Eloklah kalau sudah ada 'niat' berumahtangga sering-sering berkunjung ke rumah orang yang telah berumahtangga. Minta pandangan dan nasihat mereka khususnya keluarga yang anda kagumi kerukunannya. Berbincang dengan orang yang masih bujang, tua manapun usianya hanya membuang masa. Mereka itu pandai berteori sahaja. Kalau mereka faham rumahtangga itu apa, pasti mereka sudah lama mendirikannya.

Sambungan tulisan beliau seterusnya boleh dibaca di... http://www.saripadul.com/

Thursday, July 14, 2011

Wacana Tarbawi oleh Naib Mursyidul Am ikhwan Muslimin

Saya ingin kongsikan satu tulisan yang saya dapati daripada facebook...yang bertajuk 'Wacana Tarbawi oleh Naib Mursyidul Am ikhwan Muslimin'. Tidak kira siapa yang menganjurkan program itu, yang penting saya dapati terdapat banyak nasihat-nasihat yang berguna yang di sampaikan ole Syeikh Jum'ah Amin yang kita boleh sama-sama mengambil pengajaran daripadanya dalam usaha kita untuk memperjuangkan Islam..


SHAH ALAM – Wacana Tarbawi anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia yang disampaikan Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Syeikh Jum’ah Amin dihadiri lebih 2,000 orang yang memenuhi dalam dan luar Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam, Isnin 11 Julai 2011.

Wacana yang bertajuk “Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya dalam Membangunkan Masyarakat” disampaikan oleh Syeikh Jum’ah dalam bentuk yang ringkas, mudah difahami dan meliputi seluruh aspek perubahan yang dilakukan oleh Ikhwan Muslimin dalam rangka membangunkan masyarakat.

Sebelum wacana, semua hadirin berdiri untuk menyanyikan lagu rasmi IKRAM dan Allah Ghayatuna dengan jemputan khas penyanyi rasmi, kumpulan Saff-One. Terjemahan wacana disampaikan oleh Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar dari JK Tarbiah IKRAM Pusat dan Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dari JK Perhubungan Antarabangsa IKRAM Pusat.

Pada permulaannya, Syeikh Jum’ah menekankan bahawa Islam tidak akan tertegak dengan usaha individu, bahkan Islam tertegak dengan usaha secara kolektif iaitu dengan jamaah. Tanpa usaha secara kolektif, tidak akan akan tertegak syariat Islam secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Tambahnya, Islam bukanlah milik individu atau jamaah, tetapi Islam adalah milik setiap Muslim yang wajib diperjuangkan dan dibela oleh mereka.

Katanya, apa yang diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin mempunyai manhaj perubahannya yang tersendiri berasaskan akidah, syariat dan akhlak, antaranya memperjuangkan hubungan kasih sayang dan ukhuwah sesama ahli supaya kasih sayang itu tersebar kepada masyarakat dan ke seluruh alam.

Seterusnya, Ikhwan Muslimin berjuang melahirkan umat yang berkorban dalam menegakkan Islam. Menurutnya dalam perjuangan Islam, sudah pasti ada halangan dan cabarannya daripada musuh Islam, yang memerlukan insan yang ditarbiah dan mampu menghadapi dan mengatasi halangan daripada golongan tersebut.

Beliau menegaskan di hadapan ribuan hadirin bahawa tarbiah yang dibawa oleh Ikhwan Muslimin kepada masyarakat adalah tarbiah ke arah tercapainya pengisian dua kalimah syahadah iaitu jalan yang lurus, bertitik tolak dengan cahaya berupa petunjuk al-Quran dan as-Sunnah, dan penghujungnya berakhir dengan syurga. Perubahan masyarakat yang ingin dilakukan mestilah dengan menggunakan pendekatan lemah lembut dan berakhlak mulia. Beliau menyebut kata hikmah Saiidina Ali radiallahuanhu iaitu “Sesiapa yang lembut kata-katanya, maka wajiblah mencintainya.”

Beliau menyorot kembali bagaimana bermulanya perjuangan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Syeikh Hasan al-Banna di Mesir. Katanya, keadaan ekonomi umat Islam pada masa itu amat menyedihkan, ditambah pula dengan kemiskinan yang merata, maksiat serta jenayah yang berleluasa, dan amalan Islam pula difokuskan kepada beberapa juzuk ibadah sedangkan tiada usaha yang serius untuk membebaskan umat Islam daripada gejala tersebut. Jika ada yang beramal dengan Islam sekalipun, mereka dilihat sebagai kelompok yang terpencil, dipandang rendah dan hina.

Tambahan pula, kata beliau, gerakan Kristian yang menular di kalangan umat Islam menjadikan Syeikh Hasan al-Banna mengambil peranan untuk melakukan perubahan besar dengan menubuhkan Ikhwan Muslimin. Tujuannya adalah untuk menyedarkan umat Islam yang tertanggal diri mereka semangat jihad, dikerumuni musuh Islam dan ditimpa penyakit wahn, iaitu cinta dunia dan takutkan kematian. Perubahan masyarakat dalam Ikhwan bermula dengan perubahan individu yang ditarbiah untuk mengembalikan kesedaran mereka untuk berjihad, berusaha untuk melakukan perubahan positif dalam masyarakat.

Menurutnya, antara prinsip perubahan yang diketengahkan oleh Ikhwan Muslimin ialah “As-Solah Qobla Al-Islah”, iaitu mengubah diri sebelum mengubah masyarakat. Mereka yang mampu mengubah dirinya, maka ia mampu melakukan Islah iaitu mengubah masyarakat di sekelilingnya.

Untuk mengubah ummah katanya, seseorang perlu menjadi abid dahulu, iaitu menghambakan diri kepada Allah subhanahu wataala dengan membanyakkan amal yang medekatkan diri dengan Allah subhanahu wataala.

“Jadilah kamu hamba (Allah) sebelum kamu menjadi pemimpin (ummah),” pesannya.
Beliau mengambil contoh program perubahan diri yang dilakukan oleh Ikhwan iaitu Katibah, iaitu malam kerohanian melalui mendengar tazkirah (peringatan) pada malamnya, pada paginya qiamulail dengan solat tahajud, berzikir dan membaca al-Quran dengan penekanan tarbiah individu sebagai elemen perubahan.

Ikhwan Muslimin mengambil pendekatan tarbiah rabbaniyyah dengan cara mendidik ahlinya supaya rapat dengan Allah subhanahu wataala dengan membaca al-Quran satu juzuk sehari, istighfar 100 kali sehari, qiyamullail minimum dua rakaat, berzikir secara ma’tsur supaya lidah basah dengan mengingati dan mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wataala. Syeikh Jum’ah mengambil kata hikmah Saiyidina Abu Bakr radiallahuanhu kepada tentera Islam tentang rahsia kemenangan ke atas musuh iaitu “Sesungguhnya kamu tidak akan dapat kemenangan selagi mana kamu tidak dekat dengan Allah.”

Beliau menyeru hadirin supaya rapatkan diri kepada Allah dengan solat apabila ada masalah. Beliau juga menasihatkan supaya sebelum merancang dan berbincang apa-apa program dakwah, hendaklah berwuduk dan melakukan solat hajat supaya pendakwah itu ingat bahawa Allah sentiasa bersama mereka. Setiap masalah dan ujian dalam dakwah akan mudah dihadapi dengan mendirikan solat.

Beliau turut menggariskan usaha-usaha yang dilakukan oleh Syeikh Hassan Al-Banna dalam membangunkan masyarakat antaranya dengan mengkaji cabaran, halangan dan masalah yang membelenggu ummah, mengkaji pengajaran sejarah Islam dan umat terdahulu dan mengkaji sejarah dan pengajaran gerakan kebangkitan di seluruh dunia. Al-Banna turut membahagikan masyarakat kepada empat golongan dengan pendekatan dakwah yang berbeza iaitu golongan yang percaya kepada kebenaran, golongan oportunis, golongan yang teragak-agak dan golongan yang menentang.

Syeikh Jum’ah turut berpesan supaya jangan kedekut masa dengan Allah subhanahu wataala dalam perjuangan Islam, jika kedekut, nescaya Allah akan mengganti dengan kaum lain yang akan memperjuangkannya. Antara tanda Allah subhanahu wataala mencintai kita ialah Allah sentiasa memberi taufik kepada kita untuk taat kepada-Nya.

Beliau juga mengingatkan usaha para orientalis yang cuba memesongkan makna sebenar ayat-ayat al-Quran daripada hati umat Islam supaya lahir individu Muslim yang cacat kefahamannya terhadap Islam yang sebenar. Menurutnya, orientalis cuba memomokkan bahawa isi kandungan al-Quran adalah isi lama, tiada yang baru.

Beliau menambah, dalam membangunkan masyarakat, pentingnya pendakwah menunjukkan akhlak yang mulia yang merupakan kurniaan daripada Allah swt. Allah kurniakan akhlak seperti rezeki, berbeza antara satu sama lain. Dengan akhlak yang mulia, pendakwah itu akan dicintai oleh Allah subhanahu wataala.
“Allah subhanahu wataala memberi rezeki kepada semua hambanya, tetapi Allah tidak memberi agama ini (untuk diperjuangkan) kepada sesiapa yang tidak dicintai-Nya,” akhir pesanan beliau.

Sunday, July 10, 2011

Catatan Peribadi



7 hb. hingga 10 hb. Julai 2011 saya pergi ke UTem, Durian Tunggal Melaka, bersama atlit-atlit daripada UMT di kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke 36.

9 haribulan, menyertai acara lumba basikal kategori veteran bersama ahli-ahli kumpulan yang lain Dr. Md. Fauzi Hamzah, Kapten Apandi dan Dr. Zainudin Bacok sementara acara untuk kategori senior diwakili oleh Zaidi, Dr. Fadzil, Anas dan Uzair. Jarak perlumbaan sejauh 20 km.

Alhamdulillah…..kumpulan senior UMT mendapat pingat perak dan kumpulan veteran UMT mendapat pingat gangsa.

Satu pengalaman baru…. Dan rasa bersyukur kerana di usia sekarang masih dikurniakan oleh Allah kesihatan dan kekuatan….dan dapat melakukan aktivi/bersaing dengan mereka-mereka yang berumur 40an dalam acara veteran, walaupun agak ke belakang.

Wednesday, July 6, 2011

Penjelasan pendirian ISMA terhadap isu Bersih

Pertukaran kuasa secara aman adalah salah satu mafhum positif yang terdapat dalam demokrasi yang diterima oleh Islam. Feqah Islam di peringkat awal memperketatkan syarat mengambil alih kuasa dengan cara kekuatan kerana cara itu boleh menyebabkan pertumpahan darah, kehilangan nyawa yang banyak, kerosakan harta benda yang tidak terkira dan haru-biru dalam kehidupan manusia.

Atas alasan itu difahami fatwa ulamak yang sangat menekankan kewajipan mentaati imam dan kerana sebab yang sama menerima konsep ambil alih kuasa dengan kekuatan dan melalui cara warisan. Setelah diperhalusi oleh ulamak muhaqiqin didapati bahawa perubahan kerajaan boleh dilakukan walaupun ia tidak menjadi kafir jika perubahan itu tidak membawa kepada kemudharatan yang besar.

Ar-Rasyid di dalam kitabnya Usul Al-Ifta’, telah memberi fatwa keharusan keluar daripada imam (pemimpin) jika proses perubahan tersebut tidak membawa mudarat yang lebih besar berbanding mudarat yang dilakukan oleh imam tersebut jika dia terus memerintah.

التغيير بالقوة جائز شرعا إذا لم تصاحبه مفاسد ودماء أكثر مما يريقها الظالم مباشرة أو بطريق غير مباشر

“Proses perubahan secara kekuatan adalah harus syar’ie (dibolehkan oleh syarak) jika fitnah, kerosakan dan pertumpahan darah yang berlaku lebih sedikit berbanding kerosakan yang berlaku sekiranya pemimpin zalim itu terus memerintah, secara langsung ataupun tidak langsung”.

Pilihan raya yang adil membolehkan proses perubahan kuasa berlaku dengan aman. Saya kira ia adalah satu tahap kematangan yang pernah dicapai dalam sejarah manusia. Hari ini mana-mana pihak yang ingin merebut kuasa boleh masuk pilihan raya dan perubahan kuasa boleh berlaku dengan aman tanpa pertumpahan darah, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan sebagainya.

Atas dasar itu ISMA bersetuju secara umum terhadap tuntutan mewujudkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil tidak kira datang daripada mana-mana pihak sekali pun. Walau bagaimanapun ISMA mengambil sikap berhati-hati terhadap penganjuran perhimpunan Bersih yang bakal diadakan pada 9 Julai ini. Ini sesuai dengan dasar ISMA yang non partisan dan setelah penilaian dibuat secara menyeluruh.

ISMA berpendapat ada unsur provokasi dalam penganjuran BERSIH 2.0. Walaupun penganjur menjanjikan perhimpunan aman tetapi bilangan yang diunjurkan ratusan ribu melebihi kemampuan polis Malaysia yang hanya berjumlah 150,000 orang dan beberapa ribu anggota FRU untuk mengawal. Situasi luar kawalan ini dalam istilah feqah dipanggil mazannah al-fitnah (potensi besar berlaku fitnah) yang boleh dijadikan sandaran dalam membuat hukum. Jika diandaikan jumlah itu berada di jalan, mustahil polis akan dapat mengawalnya dan keselamatan umum akan terancam dan itu boleh menyebabkan huru-hara yang ditegah oleh syarak.

Dalam keadaan itu jika diandaikan pihak kerajaan tidak memenuhi tuntutan dan itu sangat besar kemungkinannya maka keadaan lebih serius boleh berlaku. Ketamakan politik pihak-pihak yang terlibat mungkin merubah perhimpunan aman kepada konfrontasi, revolusi dan sebagainya. Ini telah berlaku di negara luar. Ini tidak termasuk tindakan-tindakan provokatif yang mungkin dirancang oleh pihak tertentu.

Mengambil kira kerapuhan sistem politik Malaysia yang terdedah kepada ketamakan dalam dan luar negara, ISMA mengambil pendirian berhati-hati terhadap perhimpunan Bersih. Landasan kami dalam membuat pendirian tersebut ialah:

1. Kemungkinan perhimpunan menuntut pilihanraya Bersih boleh bertukar kepada tekanan supaya berlaku perubahan kuasa secara tidak aman. Ini berlawanan dengan matlamat asal Bersih yang mahu mengukuhkan sistem pilihanraya dan seterusnya berlaku pertukaran kuasa secara aman. Seperti yang kita lihat berlaku di luar negara, perubahan cara ini tidak membawa negara kepada demokrasi sebaliknya kembali ke zaman faudho (ketidaktentuan yang berpanjangan) di samping musuh-musuh negara menunggu peluang untuk membaham.

2. Perubahan kuasa buat masa ini akan memperkukuhkan kedudukan puak-puak liberal yang berfahaman sekular barat. Dengan terbentuknya sistem demokrasi liberal ala barat yang meminggirkan agama dan bangsa akan menjauhkan lagi matlamat perjuangan Islam.

3. Perubahan yang berlaku tidak memenuhi syarat syar’ie (syarak) yang mana perlu wujud kepimpinan Islam yang layak, dominan dan mendapat sokongan yang kuat daripada massa. Jika perubahan berlaku golongan Islam dalam gabungan alternatif tidak memenuhi syarat yang disebutkan.

Pendirian ini dibuat berdasarkan kaedah saddu az-zari’ah (menghalang sebab yang membawa kemudhoratan), dan kaedah merubah kemungkaran tidak boleh menyebabkan kemungkaran yang lebih besar. Dalam hal ini huru-hara yang mengancam kestabilan negara boleh berlaku.

ISMA mencadangkan agar perhimpunan Bersih mengambil kira pandangan ini dan menyokong kiranya pihak penganjur bersetuju untuk dibuat di stadium walaupun ISMA masih menuntut agar bilangannya mesti dikurangkan.

Sekali lagi ISMA mengambil kesempatan untuk mengajak umat Islam agar kembali kepada kitab dan sunnah, bersatu padu dan mengelak daripada terjebak dalam permainan politik yang akhirnya merugikan perjuangan Islam. ISMA melihat semangat kepartian melampau boleh membakar apa sahaja yang masih tersisa.

Sekian. Wassalam.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku

Azizan Saari...kembali ke rahmatullah...


Potret kenangan bersama Almarhum Azizan Saari yang diambil sekitar.....mungkin awal tahun 90an.

Azizan Saari...

Mungkin saudara masih mengingati nama itu sekiranya saudara pernah membaca tulisan saya yang lalu bertajuk 'Azizan Saari.....Sedikit Catatan.'

Baru sebentar saya menerima berita kematiannya daripada Dr. Zainudin Bacok kawannya semasa sama-sama belajar diploma di UPM Terengganu.

Apa yang boleh saya ucapkan........Allah telah tentukan begitu.

Sama-samalah kita sedekahkan al Fatihah untuk rohnya.

Friday, July 1, 2011

Yang terfikir olehku... pagi ini.


Bila kita bangun tidur…
Kita fikir mahu makan apa hari ini?
Kita mahu makan di mana hari ini?

Bila kita bangun tidur…
Kita mahu buat apa hari ini?
Kita mahu ke mana hari ini?
Kita mahu jumpa siapa hari ini?

Bila kita bangun tidur….
Kita mahu tengok apa hari ini?
Kita mahu baca apa hari ini?

Bila kita bangun tidur, kita ingat peristiwa semalam, peristiwa lampau. Ada peristiwa yang menggembirakan, ada peristiwa yang menyedihkan.

Ada orang yang melalui hari semalam dengan penuh kesedihan, kesakitan, keperitan…..dan mereka terpaksa melalui keadaan yang sama esok, lusa dan hari-hari seterusnya……yang belum pasti bila kesudahannya.

Ada orang yang telah melalui hari semalam dengan penuh keseronokan dan kegembiraan. Mungkin dia merasakan keseronokan dan kegembiraan itu adalah miliknya sampai bila-bila.

Ada orang yang lebih mengharapkan untuk mendapat seguni gandum daripada mendapat sebuah kereta mewah atau hand set yang mahal harganya.

Ada orang yang berharap untuk mendapat seorang isteri dan ada pula orang yang ingin lari dari isteri.

Ada orang yang ingin dapat anak dan ada orang yang buang anak.

Ada orang yang merasakan duit lima puluh ringgit sudah cukup besar baginya dan ada orang yang merasakan duit lima ratus masih kecil baginya.

Ada orang yang boleh berada di depan komputer berjam-jam, tapi tidak mampu untuk hadir ke surau atau masjid sekadar beberapa minit untuk solat berjemaah.

Begitulah kehidupan…….baru sedikit diperkatakan.

Tetapi apakah erti kehidupan ini yang sebenarnya? Apakah yang kita ingin cari di dalam kehidupan ini?

Keseronokan?..... Kepuasan?.....Kenikmatan?......

Kalau semata-mata kita mengharapkan kepada perkara-perkara tersebut, dan kita memperolehinya, berapa lama kita dapat bertahan dengannya? Semuanya akan hilang apabila telah sampai waktunya.

Jadi, apa yang kita cari?........
Carilah kebenaran daripada hakikat kehidupan ini. Carilah kebenaran untuk tujuan hidup ini.

Kebenaran itu sudah tentu datangnya dari yang mencipta kehidupan ini.....