pada 12-01-2016 08:01 Ditulis Oleh Lokman Ramlee
[ULASAN] Muktamadnya
proses menandatangani Perjanjian Bersama PKR, PAN dan DAP Sabtu lalu
tentu melegakan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan betapa
kemungkinan punca perbalahan hingga menguburkan Pakatan Rakyat tidak
akan berulang.
Kini pakatan baru itu sudah meloloskan diri daripada ikatan rantai
setiakawan yang longgar iaitu “bersetuju untuk tidak bersetuju” dan
menganut konsep kerjasama baru yang tidak mengizinkan sebarang
perbalahan pendapat berlaku lagi.
Ini bermakna semua keputusan Pakatan Harapan mestilah dipersetujui
ketiga-tiga parti dan tiada mana-mana kerabat pakatan itu boleh
bertindak sendiri melaksanakan keputusan parti masing-masing.
Ini
jelas menuju kesepaduan matlamat perjuangan dan strategi politik yang
sama rata. Mana-mana parti yang engkar boleh dinyahkan dari pakatan yang
ditilik berpotensi menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum
akan datang.
Yang utama sekali, perjanjian yang ditandatangani Presiden PKR, Datuk
Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan
Presiden PAN, Mohamad Sabu itu memberi kuasa penuh pada suara majoriti
Majlis Presiden Pakatan itu melucutkan keahlian anggota pakatan yang
melanggar janji.
Justeru, tidak mungkin berulang kes ada ahli mahu melaksanakan
ideologinya sendiri tanpa persetujuan kerabat politik lain. Ini bagi
mengelakkan kes PAS, misalnya, mahu melaksanakan hukum hudud sewaktu
menganggotai Pakatan Rakyat kerana kononnya itu pegangan parti Islam
itu, tidak akan berulang.
Dalam kes itu, oleh kerana DAP tegas tidak mahu hukum Islam
dilaksanakan di Malaysia yang diyakininya menganut faham sekular, ia
segera memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul
Hadi Awang.
Ini menerima tindak balas PAS yang menetapkan dalam Muktamarnya Jun
lalu untuk bermufarakah dengan DAP. Parti dominan Cina itu kemudian
secara unilateral mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur.
Itu pegangan DAP dan perjanjian bersama itu kini menghirup dan mahu menghayati intipati perjuangan DAP itu.
Maka terkabul juga hasrat mendiang pemimpin DAP, Karpal Singh, mencabar
sesiapa (atau parti apapun) perlu langkah mayatnya sebelum hukum
syariah dilaksanakan di Malaysia. Kini itu bukan isu lagi. Kerabat DAP,
PKR dan PAN sudah faham dan akur pada “kewaspadaan” Karpal.
PAN
yang mendakwa ia parti Islam dan dipimpin kumpulan yang tewas dalam
pemilihan PAS dan kempunan melihat Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa
di Putrajaya, awal-awal lagi akur dan tunduk pada fahaman DAP bahawa
Islam hanya rasmi-rasmian sahaja.
Apa yang pasti ialah, baik PKR mahupun PAN tidak mungkin berdaya untuk
mempertahankan lagi semangat dan azam untuk memastikan Malaysia dipimpin
melalui lunas-lunas syariah Islam.
Jika mengikut Perjanjian Bersama itu, sekuat manapun PAN atau PKR
bertempik menghebahkan kepada dunia bahawa ia parti Islam, kedua-duanya
itu tiada hak melaksanakan hukum Islam sesempurnanya jika DAP tidak
bersetuju.
Malaysia akhirnya sudah terjual kepada demokrasi barat dan fikiran liberalisme ala-DAP! Syabas PKR dan PAN.
Terkecuali keadaan dan pemikiran kedua-dua parti ini berubah dan
bertegas mahu ajaran Islam sepenuhnya dikuatkuasakan apabila Pakatan
Harapan memerintah, Malaysia bolehlah meraikan semangat sekularisme.
Ini mungkin mampu PKR dan DAP lakukan jika bilangan kerusi Dewan Rakyat
mereka mengatasi DAP. Jika DAP terus tidak bersetuju, kuasa majoriti
PKR dan DAP boleh menghalaunya keluar dari Pakatan Harapan.
Maknanya, untuk meyakinkan umat Islam Malaysia supaya menyokong mereka,
PKR dan DAP perlulah giat membisikkan di telinga mereka bahawa
sebenarnya mereka hanya bersandiwara sahaja dengan DAP – ada jalan parti
Cina itu boleh ditendang bila-bila masa, demi Islam.
Malangnya, realiti politik hari ini tidaklah begitu. Yang pasti
sehingga hari ini, DAP ialah parti terbesar di kalangan pembangkang.
Sukar dibayangkan kombinasi kerusi PKR dan PAN mampu mengatasi koleksi
DAP.
Sejak
tahun 2008 lagi trend politik yang sama-sama dipupuk oleh DAP dan PKR
ialah apa jua kosnya, rakyat perlu tumbangkan Umno dan Barisan Nasional
jika mereka mendapat keadilan sosial dan ekonomi.
Dalam proses itu, PKR nampaknya berjaya meyakinkan pengundi
Melayu-Islam bahawa DAP tiada sebarang agenda yang merugikan mereka.
Pada masa yang sama DAP giat mencernakan pemikiran politik pengundi
bukan Melayu bahawa ia mampu “menguruskan” PKR dan PAN melalui
perjanjian bersama ini.
Dalil yang terbentang luas ialah, DAP kini mempunyai 37 kerusi Dewan
Rakyat berbanding dengan PKR, 30 dan PAN, lapan. Trend pertambahan
kerusi DAP kini menjalar dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak.
Dengan hakikat undi Melayu-Islam sudah terbelah kepada Umno, PAS, dan
PAN, hampir satu kemustahilan bagi PKR dan PAN menggembleng majoriti
dalam Pakatan Harapan mahupun kerajaan.
Senario ini sudah lama dita’kuli oleh PAS yang tidak “buta warna”
terhadap politik DAP ini. Belajar dari ketegaran DAP langsung tidak
mahu beranjak menolak hukum Islam, PAS sudah menghidu selera politik DAP
sebenar.
Justeru berpisah dari Pakatan Rakyat pun tidak menjadi masalah bagi PAS
kerana ia yakin bersama DAP ia akan menemui jalan mati dalam
cita-citanya mahu mendaulatkan Islam di bumi Malaysia.
Ini belum lagi mengambilkira faktor semakin meningkatnya pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan amal yang amat selesa dengan iklim
politik yang dijanjikan oleh DAP.
Atas nama kebebasan, muncul pelbagai pertubuhan yang mendambakan ada
entiti politik seperti Pakatan Harapan yang mungkin mampu memerangi dan
menundukkan kumpulan yang mahu hukum ahkam Islam dilaksanakan, diberi
kuasa terus memerintah Malaysia.
Bagaimana agaknya pemimpin PAN seperti Salahuddin Ayub, Ustaz Ahmad
Awang, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin mahu menolak desakan kumpulan mantan
Melayu profesional seperti G-25 yang mahu hukum syariah dihapuskan ama
sekali jika mahu Malaysia maju?
Selamat berjuang PKR dan PAN berimamkan DAP.
Sumber: http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmcZdjZg==