Pages

Tuesday, January 12, 2016

PKR dan PAN berimamkan maqasid DAP?



 
pada 12-01-2016 08:01 Ditulis Oleh  Lokman Ramlee

 
Post Pic

[ULASAN] Muktamadnya proses menandatangani Perjanjian Bersama PKR, PAN dan DAP Sabtu lalu tentu melegakan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan betapa kemungkinan punca perbalahan hingga menguburkan Pakatan Rakyat tidak akan berulang.  
 
Kini pakatan baru itu sudah meloloskan diri daripada ikatan rantai setiakawan  yang longgar iaitu “bersetuju untuk tidak bersetuju” dan menganut konsep kerjasama baru yang tidak mengizinkan sebarang perbalahan pendapat berlaku lagi. 
 
Ini bermakna semua keputusan Pakatan Harapan mestilah dipersetujui ketiga-tiga parti dan tiada mana-mana kerabat pakatan itu boleh bertindak sendiri melaksanakan keputusan parti masing-masing. 
 
Ini jelas menuju kesepaduan matlamat perjuangan dan strategi politik yang sama rata. Mana-mana parti yang engkar boleh dinyahkan dari pakatan yang ditilik berpotensi menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang. 
 
Yang utama sekali, perjanjian yang ditandatangani Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAN, Mohamad Sabu itu memberi kuasa penuh pada suara majoriti Majlis Presiden Pakatan itu melucutkan keahlian anggota pakatan yang melanggar janji.
 
Justeru, tidak mungkin berulang kes ada ahli mahu melaksanakan ideologinya sendiri tanpa persetujuan kerabat politik lain. Ini bagi mengelakkan kes PAS, misalnya, mahu melaksanakan hukum hudud sewaktu menganggotai Pakatan Rakyat kerana kononnya itu pegangan parti Islam itu, tidak akan berulang. 
 
Dalam kes itu, oleh kerana DAP tegas tidak mahu hukum Islam dilaksanakan di Malaysia yang diyakininya menganut faham sekular, ia segera memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. 
 
Ini menerima tindak balas PAS yang menetapkan dalam Muktamarnya Jun lalu untuk bermufarakah dengan DAP. Parti dominan Cina itu kemudian secara unilateral mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah berkubur. 
 
Itu pegangan DAP dan perjanjian bersama itu kini menghirup dan mahu menghayati intipati perjuangan DAP itu. 
 
Maka terkabul juga hasrat mendiang pemimpin DAP, Karpal Singh, mencabar sesiapa (atau parti apapun) perlu langkah mayatnya sebelum hukum syariah dilaksanakan di Malaysia. Kini itu bukan isu lagi. Kerabat DAP, PKR dan PAN sudah faham dan akur pada “kewaspadaan” Karpal.
 
PAN yang mendakwa ia parti Islam dan dipimpin kumpulan yang tewas dalam pemilihan PAS dan kempunan melihat Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa di Putrajaya, awal-awal lagi akur dan tunduk pada fahaman DAP bahawa Islam hanya rasmi-rasmian sahaja. 
 
Apa yang pasti ialah, baik PKR mahupun PAN tidak mungkin berdaya untuk mempertahankan lagi semangat dan azam untuk memastikan Malaysia dipimpin melalui lunas-lunas syariah Islam. 
 
Jika mengikut Perjanjian Bersama itu, sekuat manapun PAN atau PKR bertempik menghebahkan kepada dunia bahawa ia parti Islam, kedua-duanya itu tiada hak melaksanakan hukum Islam sesempurnanya jika DAP tidak bersetuju. 
 
Malaysia akhirnya sudah terjual kepada demokrasi barat dan fikiran liberalisme ala-DAP! Syabas PKR dan PAN.
 
Terkecuali keadaan dan pemikiran kedua-dua parti ini berubah dan bertegas mahu ajaran Islam sepenuhnya dikuatkuasakan apabila Pakatan Harapan memerintah, Malaysia bolehlah meraikan semangat sekularisme.
 
Ini mungkin mampu PKR dan DAP lakukan jika bilangan kerusi Dewan Rakyat mereka mengatasi DAP. Jika DAP terus tidak bersetuju, kuasa majoriti PKR dan DAP boleh menghalaunya keluar dari Pakatan Harapan. 
 
Maknanya, untuk meyakinkan umat Islam Malaysia supaya menyokong mereka, PKR dan DAP perlulah giat membisikkan di telinga mereka bahawa sebenarnya mereka hanya bersandiwara sahaja dengan DAP – ada jalan parti Cina itu boleh ditendang bila-bila masa, demi Islam. 
 
Malangnya, realiti politik hari ini tidaklah begitu. Yang pasti sehingga hari ini, DAP ialah parti terbesar di kalangan pembangkang. Sukar dibayangkan kombinasi kerusi PKR dan PAN mampu mengatasi koleksi DAP.
 
Sejak tahun 2008 lagi trend politik yang sama-sama dipupuk oleh DAP dan PKR ialah apa jua kosnya, rakyat perlu tumbangkan Umno dan Barisan Nasional jika mereka mendapat keadilan sosial dan ekonomi. 
 
Dalam proses itu, PKR nampaknya berjaya meyakinkan pengundi Melayu-Islam bahawa DAP tiada sebarang agenda yang merugikan mereka. Pada masa yang sama DAP giat mencernakan pemikiran politik pengundi bukan Melayu bahawa ia mampu “menguruskan” PKR dan PAN melalui perjanjian bersama ini.
 
Dalil yang terbentang luas ialah, DAP kini mempunyai 37 kerusi Dewan Rakyat berbanding dengan PKR, 30 dan PAN, lapan. Trend pertambahan kerusi DAP kini menjalar dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak. 
 
Dengan hakikat undi Melayu-Islam sudah terbelah kepada Umno, PAS, dan PAN, hampir satu kemustahilan bagi PKR dan PAN  menggembleng majoriti dalam Pakatan Harapan mahupun kerajaan. 
 
Senario ini sudah lama dita’kuli oleh PAS yang tidak “buta warna” terhadap politik DAP ini.  Belajar dari ketegaran DAP langsung tidak mahu beranjak menolak hukum Islam, PAS sudah menghidu selera politik DAP sebenar. 
 
Justeru berpisah dari Pakatan Rakyat pun tidak menjadi masalah bagi PAS kerana ia yakin bersama DAP ia akan menemui jalan mati dalam cita-citanya mahu mendaulatkan Islam di bumi Malaysia. 
 
Ini belum lagi mengambilkira faktor semakin meningkatnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan-badan amal yang amat selesa dengan iklim politik yang dijanjikan oleh DAP.
 
Atas nama kebebasan, muncul pelbagai pertubuhan yang mendambakan ada entiti politik seperti Pakatan Harapan yang mungkin mampu memerangi dan menundukkan kumpulan yang mahu hukum ahkam Islam dilaksanakan, diberi kuasa terus memerintah Malaysia. 
 
Bagaimana agaknya pemimpin PAN seperti Salahuddin Ayub, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin mahu menolak desakan kumpulan mantan Melayu profesional seperti G-25 yang mahu hukum syariah dihapuskan ama sekali jika mahu Malaysia maju?
 
Selamat berjuang PKR dan PAN berimamkan DAP. 
 
Sumber:  http://antarapos.com/v1/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmcZdjZg==

No comments:

Post a Comment