Pages

Wednesday, July 8, 2009

MASA dan KEHIDUPAN

Masa terus beredar. Peristiwa semalam meninggalkan seribu kenangan dan kedatangan hari esok dinanti dengan seribu harapan. Semalam 15 hb. Rejab 1430, tarikh itu tidak akan berulang sampai bila-bila.

Ada orang yang tak cukup masa kerana terlalu banyak kerja yang hendak dibuat dan ada orang yang membuang masa dengan sia-sia kerana tidak ada kerja. As Syahid Hassan Al Banna pernah menyatakan, 'Sesungguhnya amanah yang kamu pikul dan tanggungjawab yang perlu kamu laksanakan adalah lebih besar berbanding dengan usia yang kamu ada.' Itu adalah pandangan orang yang berjiwa besar dan faham tentang kewujudannya di atas muka bumi ini, iaitu untuk melaksanakan satu agenda besar sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt.



Sahabat-sahabat yang dikasihi, tujuan Allah mencipta kita adalah supaya kita beribadah kepadaNya dan supaya kita menjadi khalifah atau wakil Allah di atas muka bumi ini. Beribadah dalam bentuk yang luas, meliputi ibadah khusus dan ibadah umum. Islam telah mengajar kita segala perkara dan Allah menghendaki kita untuk mengamalkannya secara keseluruhan. Bukan mengambil sebahagian daripada islam, yang kita rasa sesuai atau yang mudah bagi kita untuk melaksanakannya sahaja dan mengetepikan apa yang kita rasa menyusahkan kita.

Allah yang mencipta kita dan alam ini. Sudah tentu Dia lebih tahu apa yang baik untuk kita. Sebagaimana orang yang mencipta komputer, tentu dia lebih tahu tentang hasil ciptaannya daripada orang lain.

Persoalan-persoalan beginilah yang selalu aku didedahkan ketika aku mula-mula mendapat kefahaman islam satu ketika dahulu........

Monday, July 6, 2009

MASA 1


Menurut tafsiranku, MASA adalah detik-detik yang beredar seiring dengan peredaran bulan dan matahari serta terciptanya malam dan siang. Masa amat bererti bagi kehidupan manusia. Terasa tepat sekali ungkapan yang pernah dinukilkan oleh as Syahid Hasan Al Banna bahawa 'Masa Adalah Kehidupan.'
Seorang penyair Arab telah berkata:
Pertukaran dari masa ke masa
Pagi bertukar malam dan seterusnya
Kanak-kanak kian dewasa
Orang tua akan ke pusara.
Malam kian beransur tua
Siang hari datang menjelma
Setiap yang muda menjadi tua
Akhirnya ke pusara tempatnya semua.


Pentingnya MASA sehinggah Allah mengadakan satu surah di dalam al Quran iaitu surah Al'Asr yang bermaksud, 'Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran.'
Syarat pertama supaya kita tidak rugi ialah kita mesti BERIMAN. Iman yang benar, yang sentiasa dijaga daripada sebarang kecacatan. Kemudian diikuti dengan melakukan amalan-amalan yang baik sebagaimana dikehendaki oleh Allah swt. Seterusnya menasihati orang lain supaya melakukan kebaikan dan sentiasa menetapi kesabaran.
Surah yang pendek tetapi mempunyai pengertian yang besar, dapat menjadi panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan ini. Rugi di dunia pun kita tidak mahu, apa lagi rugi di akhirat. Faktor MASAlah yang amat penting untuk kita beri perhatian, untuk dipenuhi dengan kehidupan yang diredhai oleh Allah swt. Supaya masa yang berlalu tidak menjadikan kita hanya mengumpul angka-angka yang kosong sehingga kita tidak membawa apa-apa bekalan pun untuk hari akhirat.. Minta Allah jauhkan perkara ini berlaku pada diri kita.