Menurut tafsiranku, MASA adalah detik-detik yang beredar seiring dengan peredaran bulan dan matahari serta terciptanya malam dan siang. Masa amat bererti bagi kehidupan manusia. Terasa tepat sekali ungkapan yang pernah dinukilkan oleh as Syahid Hasan Al Banna bahawa 'Masa Adalah Kehidupan.'
Seorang penyair Arab telah berkata:
Pertukaran dari masa ke masa
Pagi bertukar malam dan seterusnya
Kanak-kanak kian dewasa
Orang tua akan ke pusara.
Malam kian beransur tua
Siang hari datang menjelma
Setiap yang muda menjadi tua
Akhirnya ke pusara tempatnya semua.
Pentingnya MASA sehinggah Allah mengadakan satu surah di dalam al Quran iaitu surah Al'Asr yang bermaksud, 'Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan kepada kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran.'
Syarat pertama supaya kita tidak rugi ialah kita mesti BERIMAN. Iman yang benar, yang sentiasa dijaga daripada sebarang kecacatan. Kemudian diikuti dengan melakukan amalan-amalan yang baik sebagaimana dikehendaki oleh Allah swt. Seterusnya menasihati orang lain supaya melakukan kebaikan dan sentiasa menetapi kesabaran.
Surah yang pendek tetapi mempunyai pengertian yang besar, dapat menjadi panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan ini. Rugi di dunia pun kita tidak mahu, apa lagi rugi di akhirat. Faktor MASAlah yang amat penting untuk kita beri perhatian, untuk dipenuhi dengan kehidupan yang diredhai oleh Allah swt. Supaya masa yang berlalu tidak menjadikan kita hanya mengumpul angka-angka yang kosong sehingga kita tidak membawa apa-apa bekalan pun untuk hari akhirat.. Minta Allah jauhkan perkara ini berlaku pada diri kita.
No comments:
Post a Comment