Pages

Saturday, September 12, 2009

Kita di akhir Ramadhan

Hari-hari terakhir Ramadhan sedang merangkak ke penghujungnya dan ia pasti meninggalkan kita sebagaimana yang telah berlaku di tahun-tahun yang lepas. Pemergiannya akan meninggalkan kenangan bagi kita semua. Sudah pasti di sepanjang satu bulan ini berbagai-berbagai peristiwa telah dilalui oleh setiap orang. Ada peristiwa suka dan ada peristiwa duka. Seorang kawan saya, rumahnya telah dimasuki pencuri dan kehilangan barang-barang yang berharga. Ada juga pelajar yang dikuarantin kerana selsema H1N1.

Apa saja peristiwa yang kita lalui seharusnya menyedarkan kita bahawa kita berada di bawah satu penguasaan Yang Maha Berkuasa. Apa sahaja yang berlaku adalah dengan penyusunan dan kehendak Allah. Samada perkara itu perkara yang kita suka ataupun perkara yang kita tidak suka. Di dalam kehidupan ini kita banyak melakukan usaha untuk mendapatkan apa yang kita hajati, tetapi sekiranya tidak dengan izin Allah, kita tidak akan dapat memperolehinya.

Di sinilah pentingnya kita sentiasa meletakkan rasa pergantungan kita kepada Allah swt. Pentingnya kita sentiasa berdoa kepada Allah swt., bermohon kepadaNya apa sahaja yang kita hajati. Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tugas kita sebagai hamba adalah berdoa dan bermohon kepadaNya dan terserahlah kepada Allah samada Dia akan mengabulkan hajat kita di dunia ini ataupun diberikan ganjarannya kepada kita di akhirat nanti kerana doa-doa kita itu dikira ibadah.

Kadang-kadang belum sampai masanya Allah memperkenankan doa kita, mungkin juga Allah gantikan dengan perkara lain yang Allah tahu perkara itu baik untuk kita, sedangkan kita tidak tahu. Oleh sebab itu elok juga kita bermohon kepada Allah supaya Allah memberikan kepada kita kebaikan-kebaikan yang kita ketahui mahupun yang kita tidak ketahui dan hindarkan kita daripada keburukan-keburukan samada yang kita ketahui ataupun yang tidak kita ketahui.

Sama-samalah kita perbanyakkan doa kita di hari-hari terakhir Ramadhan ini. Janganlah biarkan hari-hari yang penuh barakah ini berlalu begitu sahaja. Kita belum pasti kita akan dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang.

Wallaua'lam.

No comments:

Post a Comment