Pages

Monday, June 21, 2010

15 Langkah Mencapai Kesihatan Mental Yang Baik




Kesihatan mental bukan hanya bermakna anda tidak gila, mereng atau cuckoo. Kesihatan mental bermaksud seseorang berupaya untuk mengekalkan perhubungan yang harmoni dengan orang lain, mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan boleh menyumbang di dalam masyarakat (WHO). Anda mempunyai mental yang sihat sekiranya anda selesa dengan diri anda sendiri, selesa dengan manusia dan persekitaran sekeliling anda serta mampu memenuhi tuntutan kehidupan. Orang yang selesa dengan dirinya sendiri sentiasa mengenali dan menghargai dirinya sendiri, menerima kelemahan diri secara positif serta mampu menerima kegagalan sebagai lumrah kehidupan. Manakala orang yang selesa dengan persekitarannya mampu berkomunikasi, berkasih-sayang, menghargai dan mempercayai serta menerima pandangan orang lain secara terbuka.

Kesihatan mental perlu dijaga kerana pengabaian kesihatan mental boleh mengakibatkan perasaan rendah diri, stress, pertelingkahan dengan orang sekeliling, kecenderungan untuk melakukan maksiat dan peningkatan risiko penyakit mental. Bagaimanakah caranya untuk anda mengekalkan mental yang sihat?

1. Jadilah seorang muslim yang sebenar



Kajian telah membuktikan kepercayaan kepada agama mempunyai banyak manfaat dalam mencegah dan mengubati penyakit fizikal dan mental. Mukmin yang sebenar sentiasa berserah kepada Allah dan tidak berputus asa apabila ditimpa kesempitan dan kesusahan.
Daripada Abi Yahya Syuhaib Bin Sinan r.a berkata, Rasulullah saw bersabda: “Sungguh baik nasib orang beriman, kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tidak ada habuan baik seperti ini kecuali bagi mereka yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia akan bersyukur, maka syukur itu baik baginya. Apabila ditimpa musibah dia bersabar, maka sabar itu baik baginya”. (H.R Muslim)
Hasilnya, seorang mukmin pasti akan sentiasa merasa selesa dengan dirinya serta persekitarannya kerana dia percaya setiap kelemahan dan kekurangan serta setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya ditentukan oleh Allah dan setiap perkara itu pasti ada kebaikannya, jika tidak di dunia pasti di akhirat nanti.

2. Mengamalkan cara hidup sihat



Setiap sesuatu ada haknya. Tubuh badan anda memerlukan makanan yang sihat, waktu rehat yang cukup serta aktiviti fizikal. Malahan hati anda juga memerlukan makanan rohani serta hubungan dengan Pencipta. Ketidakseimbangan dalam memenuhi hak tubuh badan boleh membawa kelemahan mental dan fizikal serta ketidakstabilan emosi.

3. Realistik

Anda perlu cuba mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Sentiasa letakkan matlamat yang realistik dan belajar untuk menerima kegagalan atau kekurangan yang tidak boleh anda ubah.

4. Berfikir dengan positif

Amalkan sikap yang positif. Sentiasa ucapkan ‘Saya akan, saya boleh, saya cuba, saya juara, saya disayangi, saya tidak keseorangan, Allah bersama saya…’ kepada diri anda.

5. Buat keputusan secara bijak

Berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan. Berbincanglah dengan orang sekeliling anda. Mohonlah pada Allah agar ditunjukkan jalan yang benar dan bertawakkallah. Setelah anda melakukan semua ini, insya Allah anda pasti mampu menerima kenyataan serta bersabar atas apa saja implikasi keputusan itu biarpun mungkin keputusan anda salah.

6. Cari kawan



Manusia adalah makhluk sosial. Carilah teman untuk berbual, meluahkan perasaan dan ketawa bersama.

7. Dengar suara hati anda

Hati memberitahu anda apa yang anda alami dan apa yang anda perlu lakukan seperti mencari teman apabila kesunyian, menangis apabila kesedihan serta tertawa apabila anda gembira. Dengarlah suara hati anda, luahkan perasaan anda pada tempatnya, menangislah dan ketawalah apabila perlu. Menidakkan perasaan anda tidak akan membuatkan diri anda bahagia.

8. Belajar menangani kritikan dengan baik

Belajar menangani kritikan tidak bermakna anda harus menerima setiap kritikan yang ditujukan kepada anda. Cara terbaik menangani kritikan adalah melalui perbincangan dua hala. Berbincanglah untuk mencari penyelasaian serta cadangan-cadangan tindakan yang anda boleh lakukan untuk memperbaiki diri anda. Akhirnya bermaaf-maafanlah dengan dada yang lapang.

9. Belajar menjadi diri sendiri

Anda dilahirkan bukan untuk memuaskan orang lain. Buang keinginan supaya setiap orang menyukai anda. Jangan sesekali menganggap diri anda gagal sekiranya anda tidak disukai. Hanya kesukaan dan kecintaan Allah sahaja yang layak didambakan.

10. Belajar untuk menyukai diri sendiri



Sukai dan sayangi diri anda. Berkatalah kebaikan tentang diri sendiri tanpa bermegah-megah. Sedarlah bahawa diri anda bernilai dan nilai diri anda terletak pada taqwa dan amalan anda. Sentiasa lakukan perkara kebaikan sebagai tambahan nilai dan hadiah istimewa untuk diri sendiri.

11. Belajarlah berkata “TIDAK”

Anda berhak untuk berkata tidak bila anda disuruh membuat perkara yang menyalahi undang-undang, tidak jujur atau yang bertentangan dengan kepercayaan anda dan ada kalanya anda perlu bertindak tegas.

12. Rancang masa anda dengan baik

Senaraikan perkara yang perlu anda lakukan dan peruntukkan masa yang secukupnya. Anda perlu realistik dalam merancang.

13. Jarakkan perubahan-perubahan dalam hidup

Berikan sedikit masa untuk anda menyesuaikan diri dengan perubahan. Jangan terlalu gopoh untuk maju ke hadapan. Perubahan-perubahan besar dalam kehidupan seperti memilih bidang pembelajaran, menukar pekerjaan, berkahwin, membeli hartanah, kereta dan sebagainya perlu dirancang dengan teliti.

14. Bina keluarga/ suasana rumah yang bahagia


Rumah adalah syurga. Bina suasana yang baik di rumah. Amalkan interaksi penuh keimanan, kasih sayang, mesra dan budi bahasa. Tetapkan satu masa khas untuk diluangkan bersama seisi rumah.

15. Kongsi masalah anda dan dapatkan bantuan dari professional bila diperlukan.

Jangan simpan segala kesusahan dan kebimbangan diri anda. Anda tidak bersendirian. Berbincanglah dengan orang yang anda percayai. Dapatkan bantuan kaunselor jika perlu. Mengadulah kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui.

Adaptasi dari ‘Kesihatan Mental Am’, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Aidah Ali

Bachelor of Medicine and Surgery & Bachelor of Medical Science

University of Melbourne

Dari Laman Web ISMA Australia.dengan ubahsuai gambar.

No comments:

Post a Comment