Pages

Monday, December 21, 2009

Sedikit Renungan

Kadang-kadang manusia boleh berubah menjadi baik hanya dengan mendengar beberapa patah perkataan, yang berupa nasihat yang diucapkan kepadanya. Begitu juga sebaliknya, ramai manusia yang tidak berubah walaupun sudah diberi nasihat berulang-ulang kali. Kadang-kadang manusia juga boleh berubah hanya setelah mendengar nasihat daripada orang biasa, yang tidak berjawatan tinggi atau disegani ramai.

Ada orang yang cepat melenting atau marah apabila nasihatnya tidak diendahkan. Kebanyakan daripada kita tidak sabar... Kita mahu supaya orang lain cepat berubah, menjadi baik dan sebagainya. Sedangkan sesuatu perkara itu berlaku adalah dengan kehendak Allah. Kalau Allah tidak izinkan lagi seseorang itu berubah, maka perubahan tidak akan berlaku.

Orang yang memberi nasihat itu boleh belajar banyak perkara apabila nasihat yang diberikannya tidak mampu mengubah seseorang. Dia akan faham erti kesabaran, belajar muhasabah diri untuk menilai kelemahan-kelemahan di dalam cara dia memberi nasihat, menilai peribadinya sendiri adakah dia mempunyai akhlak yang kurang baik yang menyebabkan orang tidak yakin dengan dirinya, dia patut sedar adakah dia juga berdoa kepada Allah dan ikhlas dalam memberi nasihat, adakah dia mempunyai perasaan bangga diri dalam masa memberi nasihat kepada orang lain, dan dia akan faham fitrah di dalam kehidupan ini bahawa sesuatu itu akan berlaku mengikut perencanaan/ketetapan/kehendak Allah.

Itulah sedikit rasa hati yang aku terasa untuk kuluahkan kali ini. Aku beristighfar kepada Allah kalau ianya tidak menepati dengan kehendakNya.

Seterusnya sedikit renungan.............


'Apabila manusia tidak mengerti dan menyedari akan hakikat dirinya, kedudukannya dalam alam,tujuan hidupnya di muka bumi ini, pastilah kehidupannya berakhir pada penghujung yang menyedihkan sehingga manusia berada dalam lingkungan menanggung azab derita'.


Sayyid Qutb
Al Mustaqbil
Lihaza Deen

No comments:

Post a Comment