Cerpen yang kujanjikan untuk kukongsikan bersama pembaca budiman.
Afifa agak terkejut apabila membaca nama pengirim surat itu. Dia terus mengoyakkan sampul surat putih tersebut lalu membaca isinya dengan teliti.
Afifa yang budiman,
Ketika surat ini berada ditanganmu, aku tidak tahu apa yang terjadi pada diriku. Segala yang berada di sekeliling ku telah berubah begitu pantas. Kini hidupku sarat dengan kesunyian dan terasing. Sungguh, aku begitu sepi….kerana yang ada di sampingku hanya isteriku. Semua yang pernah berada di sisiku begitu memusuhiku. Keluarga, sahabat handai dan kenalan,begitu membenciku. Sehingga keluargaku yang ku puja selama ini turut menyingkirkanku.
Pasti kau kebingungan dan hairan dengan kehadiran berita dariku. Aku sendiri tidak pernah menyangka perjalanan hidupku begini rupa. Dan entah mengapa aku begitu ingin menyampaikan berita ini kepadamu.
Afifa yang diingati,
Segalanya bermula dengan kunjunganku ke rumahmu setahun yang lalu. Masih ingatkah kau? Ketika hujan membasahi bandar metropolitan. Kuketuk pintu rumahmu. Pada daun pintunya masih kuingat ada lafaz ‘‘Assalamu’alaikum” tertera indah. Namun ketika itu aku tidak mengucapkannya kerana ia tiak memberi apa-apa makna bagiku. Apa yang terbayang dalam fikiranku ketika itu, kau pasti masih seperti dulu. Kalau berubah pun mesti lebih matang dan bertambah anggun. Aku begitu yakin. Kau rakan karib sekuliah yang lincah, periang, ramah dan cantik. Paling tidak dapat kulupakan matamu yang redup dan tenang serta rambutmu yang ikal berombak indah. Betapa dulu kita begitu akrab. Sehingga ramai kawan-kawan lain yang cemburu melihat keakraban kita. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada kita. Antara kata-kata mereka kita “Laila dan Majnun”atau “Romeo dan Juliet”. Kita lantas tertawa apabila mendengar pelbagai tuduhan dilemparkan.
Ya! Persahabatan kita adalah persahabatan yang ikhlas. Suatu yang sukar dipercayai oleh semua rakan kita. Memang aneh…bagaimana persahabatan kita boleh begitu intim tetapi tulus. Engkau tahu aku telah mengikat tali pertunangan dengan saudaraku. Kita hanya berkawan. Belajar bersama, berjogging bersama, pendek kata melakukan semua aktiviti bersama. Tidak lebih dari itu. Tidak lebih dari itu. Kerana masing-masing kita menyedari bahawa tidak mungkin salah seorang dari kita yang akan meninggalkan agama yang kita anuti.
Namun apa yang kubayangkan dalam benak fikiranku, ternyata silap. Aku terkejut besar dan terpegun seketika apabila pintu terkuak. Engkau muncul dihadapanku dengan penampilan yang hampir tidak kukenali, kalau tidak kerana senyum ramahmu dan pandangan redup dari sudut matamu. Tubuhmu dibaluti baju panjang dan tudung lebar….yang sangat lebar. Menggeleng kepala namun tetap bersikap sopan dan mesra ketika kuhulurkan tangan untuk bersalaman. Kini baru kuketahui bahawa aku tidak boleh bersalaman denganmu tempuh hari kerana kau tak mungkin bersentuhan dengan lelaki yang dihalalkan nikahnya.
Suara tangisan Muhammad menyebabkan Afifa terhenti sebentar membaca. Mungkin dia lapar, detik hatinya. Sambil menyusukan buah hatinya….Afifa meneruskan bacaannya dengan penuh debar.
Afifa yang dihormati,
Sungguh , ketika itu aku sangat kecewa dan hampa. Setelah lebih kurang sejam aku berbual-bual dengan suamimu, aku pun pulang. Aku rasa aku telah kehilangan sahabat, ketika kurasakan engkau sangat berubah. Engkau tidak menyambutku dengan tawa dan candamu. Engkau hanya duduk diam di sofa sudut rumahmu sambil memangku anakmu. Hanya sesekali kudengar suaramu yang menjawab soalanku. Itupun dengan nada yang cukup sopan seolah-olah aku seorang yang cukup asing bagimu. Aku juga turut menjadi kaku. Kini baru kuketahui bahawa kau tidak pernah menemui tamu lelaki tanpa izin dan tanpa bertemankan suamimu. Hanya kerana aku teman baikmu dulu maka engkau menemuiku, tapi dengan caramu.
Padahal ketika itu aku bersungguh-sungguh menyempatkan diri, mencari waktu untuk mencari dan menemuimu. Hampir lima tahun aku tidak menjejakkan kaki ke bandar L. Ya, semenjak kita lulus dengan ijazah cemerlang dan membawa haluan masing-masing. Kita terputus hubungan. Sebaik saja aku tamat pengajian, keluargaku terus menghantarku ke luar negara untuk meneruskan pengajianku pada peringkat sarjana.
Oleh itu apabila aku ada urusan di bandar L ini adalah peluang keemasan yang tidak boleh ku lepaskan. Aku singgah di rumah ibumu, kudengar khabar kau telah mendirikan rumah tangga dan baru saja menimang cahaya mata. Aku terlalu ingin bertemu denganmu, melihatmu dan anakmu. Sehingga aku nekad mencarimu di Bandar L ini.
Tapi ternyata Tuhan telah menyusun perancangan lain dengan peristiwa pertemuan kita. Kau ingat ketika aku memohon mengundurkan diri tempuh hari? Suamimu sempat mencapai sesuatu dan menghulurkan kepadaku. Tanda persahabatan, katanya. Aku pasti tentu banyak perkara tentang diriku yang telah kau ceritakan kepada suamimu. Terutama tentang diriku yang ulat buku dan amat suka membaca!!
Aku tidak sabar menunggu sampai di rumah untuk membaca buku pemberian suamimu. Aku biarkan pemanduku sepi tanpa berbual-bual seperti biasa. Betapa terkejutnya aku ketika membacanya. Kisah seorang puteri kepada ketua paderi di Sepanyol yang memeluk islam. Tiba-tiba aku rasa marah. Amat marah pada suamimu. Dan entah mengapa juga kepadamu. Apa tujuan suamimu menghadiahkan buku sebegitu rupa kepadaku. Aku terbayang wajahmu dan suamimu yang seolah-olah mengejekku. Aku benci pada riak wajah itu!. Hampir-hampir aku campakkan buku itu keluar melalui tingkap keretaku. Tapi tiba-tiba aku bimbang jika buku itu dibaca oleh orang lain. Bila sampai di rumah akan ku bakar buku jahannam itu. Itu tekadku. Tapi kejenuhan perjalanan yang panjang menyebabkan aku tergoda untuk membukanya sekali lagi. Kubaca dan kubaca. Dan ternyata aku semakin tertarik.
Afifa yang sentiasa diingati,
Detik-detik berikut adalah saat yang membingungkanku. Aku jadi seorang pendiam dan pemikir. Ini di luar tabiatku…
Begitu baik adunan kisah buku tersebut sehingga mengganggu-gugat fikiran juga keyakinanku. Terbayang di ruang mataku gambaran wanita secantik Isabela. Seorang calun paderi wanita yang sarat di dadanya tentang ilmu teologi Kristian akhirnya goyah dan bertukar agama. Begitu bijak pengarang itu membentangkan hujjah-hujjah dan argumentasi melalui watak Isabela yang akhirnya watak itu resah gelisah. Seperti aku kemudiannya.
Aku cuba mengajukan beberapa persoalan yang terdapat dalam kisah tersebut kepada ahli agamaku. Termasuk dua abangku yang juga paderi. Ajaib!. Ia seperti yang berlaku dan terjadi dalam kisah yang kubaca. Banyak persoalanku yang tidak mampu dijawab. Keyakinanku terhadap agamaku mula bergoncang.
Aku mula mencari buku dan maklumat tentang mereka yang berhijrah ke agama islam secara intensif. Jaringan internet turut membantu pencarianku. Lebih kurang enam bulan yang lalu Allah memberi petunjuk kepadaku. Melimpahkan anugerah nikmat ISLAM. Memberi kekuatan yang luarbiasa untuk aku menempuh jalan berliku yang sungguh mengerikan. Aku sungguh berani ketika melafazkan ikrarku, penyaksianku dan perisytiharanku;
“ Sesungguhnya tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”. Aku bersyukur kerana isteriku juga mengikuti jejak langkahku. Tidak silap aku memilih dia sebagai pasangan hidupku. Sesungguhnya dia seorang yang tabah, sanggup mengharungi keperitan dan kepedihan ini bersamaku.
Hati afifa mula sesak. Afifa semakin tak sabar untuk menamatkan adegan kisah rakannya ini. Tapi Muhammad masih belum boleh lena, mungkin tak selesa kerana selsemanya masih beluim reda. Itu sebabnya Afifa ambil cuti hari ini, untuk menjaga Muhammad agar selsemanya tidak berlarutan. Tambahan pula dia memang ada mengidap lelah., -penyakit keturunan. Alhamdulillah rengekan Muhammad tidak lama.
Afifa saudaraku yang kukasihi kerana Allah,
Bermulalah episod baru dalam kehidupan kami. Apa yang dialami Isabela kini berlaku pada diri kami. Keluargaku juga keluarga isteriku cukup marah. Pelbagai cara mereka gunakan untuk memujuk kami kembali ke “pangkal jalan” . Nasihat, ugutan dan ancaman bahkan penyeksaan melanda kami. Pasti kau tahu keluargaku tergolong dalam golongan yang begitu teguh pegangan agamaku yang dulu. Ini adalah aib besar bagi mereka. Kemarahan mereka tidak terbendung lagi apabila aku dan isteriku masih tetap tidak berganjak dari keputusan kami.
Aku yang sebelum ini anak bongsu dan kesayangan keluarga telah diusir dari rumah kami. Kerana rumah kami juga adalah hadiah daripada keluargaku pada hari perkahwinan kami. Kesemua barang dan perabut kami dibakar di hadapan kami. Bukan itu saja. Aku juga dilucutkan dari jawatan sebagai salah seorang pengarah syarikat milik keluargaku. Semua sahamku dirampas termasuk keretaku. Lebih menyedihkan lagi semua dokumen kami turut dibakar. Kami tak punya apa. Kami pergi sehelai sepinggang. Hanya berbekalkan doa dan keyakinan bahawa Tuhan pasti memelihara kami. Sesungguhnya janji Allah itu benar. Amat benar. Kami diberi perlindungan oleh salah seorang ahli jawatankuasa masjid untuk beberapa hari sebelum mereka membantu aku untuk mendapatkan pekerjaan dan bantuan.
Aku akan mulakan hidup ini dari bawah. Hidup yang amat sederhana. Atau serba kekurangan. Tapi kami bersyukur. Dengan ilmu islam yang setitik ini aku yakin di sana ada orang yang lebih hebat siksaannya berbanding kami. Aku pernah mendengar dari kuliah di masjid bahawa Mus’ab bin Umair, seorang anak bangsawan dan hartawan lebih hebat diseksa oleh kedua ibu bapanya. Tatkala syahid menjemputnya, hanya sehelai kain kasar yang menutupi jasadnya. Jika ditarik kain itu untuk menutup kepala, kakinya akan nampak. Jika kakinya pula yang ditutup, kepalanya pula yang nampak. Tapi dia bahagia dengan islam. Kenapa kami tidak?
Afifa, saudara islam yang sering kuingati,
Aku lupa memberitahumu, aku tak dapat mengunjungimu selepas memeluk islam kerana kesihatanku yang tidak mengizinkan. Luka-luka kesan penyiksaan penjahat yang diupah oleh keluargaku menyebabkan sebelah telingaku rosak. Tulang belakangku retak…menyebabkan aku tidak mampu bergerak banyak. Isteriku yang keluar mencari sesuap nasi untuk kami. Dia diterima sebagai pembantu Tadika di masjid tempat kami berlindung. Kami takut untuk keluar jauh dari kawasan masjid ini walaupun ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Aku pasti keluargaku tidak akan membiarkan kami hidup dengan aman.
Sakitku semakin parah. Seorang doktor, kenalan ahli masjid, bersetuju mengatur dan merancang rawatanku ke sebuah hospital swasta milik orang islam. Dengan menjamin keselamatan nyawaku dan isteriku. Aku bersetuju dengan penuh keharuan. Dengan harapan yang menggunung aku berdoa…”Ya Allah, berilah aku peluang untuk hidup agar aku dapat berbuat sesuatu untuk islam pada sisa umurku. Berilah peluang untukku menebus semua dosaku yang telah lalu….”
Afifa melihat tulisan pada warkah ini semakin sukar untuk dibaca. Agak buruk tulisannya….pasti dia menulis dalam keadaan yang sukar. Manakala Afifa dengan payah menghabiskan bacaannya di perenggan yang akhir.
Afifa saudaraku yang dikasihi,
Ketika warkah ini ditulis, aku sedang menanti waktu untuk dibedah. Tulisanku semakin buruk kan? Tapi aku pasti kau boleh membacanya. Afifa…saat ini aku sudah tidak mampu untuk duduk. Namun aku tidak pernah putus asa dari rahmat Allah. Aku yakin DIA akan menentukan yang terbaik untuk IMANku. Namun Afifa…jika Allah menghendaki sesuatu berlaku pada diriku….sesuatu yang lain. Aku amat meminta bantuanmu……inilah permintaan akhirku; tolong jaga isteriku. Engkaulah satu-satunya sahabat dan saudaraku. Aku yakin dengan kebaikan hatimu. Pasti kau tidak sanggup untuk melihat saudara seislam yang baru mengenal erti Iman ini sendiriankan? Tiada sesiapa lagi di sisinya kecuali aku. Aku khuatir dia belum cukup kuat untuk kehilanganku….bantulah dia.
Sampai di sini warkahku kali ini. Semoga Allah mempertemukan kita…jika tidak di sini, yang pasti di alam sana yang kekal abadi. Amin.
Wassalam.
Sahabatmu Philips
dan kini
MUHAMMAD AMMAR
Afifa terpegun, Afifa memegang warkah itu sambil menyeka air matanya. Namun jelas terdengar esaknya tak tertahan….akhirnya deraian air mata begitu deras mengalir…..sukar dibendung lagi. Afifa seperti mahu terbang mencari ‘Ammar’ Namun tiada alamat dan nombor telepon yang tertulis. Cuma yang ada cop tempat surat ini diposkan.
Hari berganti hari, seminggu telah berlalu. Afifa dan suaminya masih belum dapat mencari alamat Ammar. Afifa tak berhenti berdoa untuk sahabatnya.
Pada pagi hari minggu itu, ketika Afifa dan suami bersiap untuk mencari Ammar terdengar loceng di pagar berbunyi. Afifa menjenguk ke luar. Seorang wanita bertudung yang kurus kering berada di luar pagar. Afifa segera keluar. Kesedihan jelas terbayang di ruang mata wanita tersebut. Dia memperkenalkan dirinya sebagai isteri Ammar. Tak sempat Afifa bertanya lanjut, dia berkata: “Abang Ammar telah pergi…..” katanya penuh sendu diiringi dengan esakan yang tertahan-tahan. Afifa terus merangkul tubuh “Latifa”….kedua-duanya menangis teresak-esak.
“Ya Allah, terimalah taubatnya…” bisik Afifa.
Nukilan: ummu Janin.
No comments:
Post a Comment