“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Monday, July 12, 2010
Adakah ini maksud 'couple'?
Bismillahi walhamdulillah.
Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang pelajar saya melalui email. Sebagai perkongsian dan untuk manfaat bersama, saya masukkan dalam blog dengan sedikit pindaan dari segi ejaan. Sebab saya kurang berkenan dengan penggunaan singkatan-singkatan yang merosakkan Bahasa Melayu kita! Berikut adalah perbincangan kami…
Salmah (bukan nama sebenar): Salam,, ustaz saya ada terbaca beberapa artikel pasal couple yang mengatakan bahawa bercouple ni haram.. Mulanya terkejut juga,, tapi bila baca balik ada betulnya artikel tu. Tapi saya masih keliru sikit, betul ke couple tu haram?
Saya: Salam. Sebelum saya jawab, boleh perkenalkan diri. Supaya jawapan saya lebih sempurna. Terima kasih
Salmah: Wa a’laikumussalam, saya Salmah bt Hasan.
Saya: Salam. Terima kasih kerana memperkenalkan diri, Salmah. Saya tak mahu mengagak-agak, sebab ada ramai Salmah!
Pada pengamatan saya, sudah memadai semua artikel yang Salmah baca tu. Tidak perlu rujuk saya. Tapi kerana Salmah dah tanya, maka pendapat saya, couple itu haram. Mungkin saya akan mengulangi hujah yang sama macam artikel-artikel tersebut.
Ringkasnya;
1. Apa maksud couple? Jika maksudnya seorang lelaki mempunyai seorang kawan perempuan, atau mengenalinya sebagai rakan sekerja, maka hukumnya harus. Selagi mana tidak melibatkan unsur-unsur yang membawa kepada haram. Tetapi jika perkenalan, persahabatan dan berpasangan tersebut membawa kepada perkara haram, hukumnya adalah haram ber’couple’! Orang yang bijak tidak melihat sesuatu pada zahirnya sahaja, tetapi akan meneliti kesan jangka panjangnya.
2. Antara keistimewaan Islam; mencegah dan mengharam semua perkara yang membawa kepada kemudharatan. Sebab itu Allah sebut; Janganlah kamu mengHAMPIRI zina. Maksudnya, semua perkara yang menJURUS ke arah zina adalah haram, termasuklah coupling tadi. Kaedah syarak menyebut; Setiap perkara yang membawa kepada haram adalah haram. Sebagaimana ada juga kaedah syarak; Mukaddimah kepada wajib adalah wajib.
3. Apa perlunya berpasangan dalam SUASANA SEKARANG? Pada saya, tidak lain daripada menurut runtunan nafsu dan terpedaya dengan tipu daya syaitan. Adakah layak seorang perlajar muslim berpasangan? Sedangkan masa lapangnya diamanahkan Allah untuk menuntut ilmu, dan kelak akan dipersoalkan di akhirat. Adakah terdapat dalam sirah nabi dan sejarah para sahabat mahupun para tabien bahawa mereka berpasangan? Adakah keadaan umat Islam kini yang dihimpit oleh musuh-musuhnya mengizinkan kita untuk membuang masa dan melayani perasaan. Amat tidak wajar sekali…
4. Dengan jujur, jawablah soalan saya; Apakah perlunya berpasangan? Jika boleh meningkatkan iman kepada Allah, silakan. Jika boleh memaju dan menguatkan umat Islam menentang musuh, silakan. Jika boleh menjawab soalan Munkar dan Nakir, silakan…
Wallahu a’lam. Itu pendapat saya, seperti dipinta. Harap dapat menjawab kemusykilan. Wassalam.
Salmah: Wa a’laikumussalam. Terima kasih ustaz. Ada jugak saya menegur budak-budak junior ni. Tapi dia orang mempersoalkan siapa saya untuk bercakap tentang perkara tu. Rasa terkilan jugak bila dengar dia orang cakap. “Hai! Sejak bila akak dah jadi alim ni?” Tapi saya anggap tu sebagai gurauan. Sejak tu saya tak pernah lag menegur kawan-kawan saya yang bercouple ni sebab takut dia orang pulak yang akan kata saya macam tu. Apa-apa pun terima kasih kepada ustaz sekali lagi.
Saya: Salam. “ dia orang mempersoalkan siapa saya untuk bercakap tentang perkara tu”
Siapa kita? Kita adalah seorang muslim. Tugas kita ialah mengabdikan diri kepada Allah. Pengabdian diri kepada Allah bukanlah dengan ibadat khusus seperti solat dan puasa. Tetapi termasuk juga mencegah kemungkaran. Seorang muslim mendapat ‘permit’ secara langsung dari Allah untuk mencegah kemungkaran.
“Hai! Sejak bila akak dah jadi alim ni?” Jawabnya- Sejak Allah beri saya petunjuk, sehingga saya kenal baik dan buruk. Apa yang kita buat bukanlah suatu yang extra sehingga dapat title ‘alim’, tetapi sekadar melaksanakan kewajipan asas seorang muslim. Takutilah azab Allah yang tidak akan menimpa orang-orang yang membuat maksiat sahaja, tetapi jika diturunkan azab akan menimpa satu kampung atau negeri! Sebab itu kita perlu cegah kemungkaran.
So, apa nak buat sekarang? Takkan nak dibiarkan sahaja. Rakan-rakan dan umat Islam sedang tenggelam dan hanyut oleh arus jahiliah…
Pertama, bina dan tingkatkan kekuatan diri sendiri dengan menghampirkan diri kepada Allah, banyak berdoa kepada Allah.
Kedua, tingkatkan kefahaman tentang Islam sama ada dengan membaca, bertanya, berbincang, mengikuti akvititi anjuran pertubuhan yang Islamik.
Ketiga, cari dan bersamalah kawan-kawan yang yakin bahawa kita perlu berubah dan kegelapan ini perlu diubah.
Insya Allah saya sedia membantu. Wassalam.
Salmah: Terima kasih ustaz.
_______
Demikianlah perbincangan kami. Mudah-mudahan Salmah diberi kefahaman yang jelas tentang Islam dan diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan hidup sebagai seorang muslimah. Umpama ikan yang hidup di lautan, tetapi tidak masin isinya!
Wallahu a’lam
Oleh: Ustaz Azzahar bin Abd. Aziz,
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia,
ISMA Cawangan Seremban
Blog: Catatan Kehidupan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment