Pages

Friday, October 22, 2010

Muhasabah Iman


IMAN...
Perkara yang amat penting bagi kita semua. Namun ia menjadi perkara yang kurang diberi perhatian. Kita mungkin lebih memberi perhatian kepada perkara-perkara lain. Itulah realitinya.

Kesibukan dengan hal-hal keduniaan mungkin telah menenggelamkan ingatan kita kepada persoalan IMAN. Sibuk dengan kerja, urusan keluarga, aktiviti ko kurikulum, menulis 'assignment' bagi pelajar dan sebagainya.

Tidak beriman, tidak sempurna iman, lemah iman, iman yang turun naik, kuat iman, sempurna iman. Itulah kategori iman yang pernah kita dengar.

Dr Yusuf Al Qardhawi menulis dalam bukunya 'Iman dan kehidupan', Iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati, dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh bagi pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari.

Ketika iman kita kuat kita rajin dan khusyuk dalam beribadah dan ketika iman kita lemah kita rasa berat dan tawar dalam beribadah.

Rasulullah SAW ada bersabda:

Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda “Perbaharuilah iman kamu”.
Para sahabat r.a bertanya “Ya Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami?” Baginda s.a.w bersabda “Perbanyakkan mengucap La ila haillallah……
(Hadith riwayat Imam Ahmad, Tabrani, Targhib)

Marilah kita sama-sama menjaga iman kita. Perbanyakkanlah mengucap La ila haillallah...

Rasailah Allah sentiasa memerhatikan kita dan MalaikatNya sentiasa mencatatkan segala amalan kita.

Sunday, October 17, 2010

Taman Negara Terengganu


Hari ini Ahad, 17 hb. Oktober 2010.

Tengahari tadi saya baru kembali dari Taman Negara Terengganu, di Tasik Kenyir, setelah berada di sana sejak hari Khamis 14 hb. Membantu kerja-kerja penyelidikan.

Kami bertolak dengan bot laju dari Pengkalan Gawi lebih kurang pukul 5.00 petang Khamis yang lalu. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk sampai di Tanjung Mentong, tempat kami menginap.

Air Tasik agak surut pada ketika itu kerana pihak pengurusan Tasik Kenyir telah melepaskan sejumlah besar air sebagai persediaan menghadapi musim hujan supaya air Tasik tidak melimpah.

Batang-batang kayu mati kelihatan berceracak di dalam air berdekatan dengan pulau-pulau di dalam Tasik. Pemandangan di sekeliling amat menarik perhatianku. Sukar untuk mendapatkan pemandangan seperti itu di tempat lain.

Hari berikutnya, Jumaat dan Sabtu saya telah membantu kerja-kerja penyelidikan, iaitu membuat kajian inventori burung dan kelawar. Caranya ialah dengan memasang jaring kabut dan juga 'harp trap'. Burung dan kelawar yang ditangkap akan dikenal pasti spesisnya oleh pensyarah, direkodkan , diambil gambar, kemudian dilepaskan semula.

Saya berkesempatan untuk melawat dan masuk ke dalam Gua Bewah. Gua kedua yang saya masuki selepas sebuah gua di Gua Musang beberapa tahun yang lepas. Gua Bewah agak besar dan bahagian dalamnya agak luas dan tinggi.

Kami menjaring kelawar di dalam Gua Taat. Sebuah gua yang agak kecil dan selalu ditenggelami air ketika air Tasik agak tinggi. Kami dapat menangkap 2 ekor kelawar. Sekadar untuk mengetahui spesis kelawar yang terdapat di situ.

Saya rasa bersyukur kerana diberikan kekuatan oleh Allah, dapat melaksanakan semua kerja-kerja dengan baik.

Lebih kurang 3 hari berada di sana, rasa sekejap. Tidak rasa jemu atau sibuk nak balik. Fikiran rasa tenang dengan pemandangan yang mententeramkan hati.

Tiada gambar yang dapat saya rakamkan kerana tidak bawa kamera.

Monday, October 11, 2010

Siapa kita?


Saudaraku yang dikasihi. Marilah kita tujukan setinggi-tinggi kesyukuran kepada
Allah swt. di atas segala nikmatNya yang dikurniakan kepada kita semua. Ingatlah, nikmatNya yang paling agung ialah nikmat Islam yang dianugerahkan kepada kita.

Saudaraku, pada pertemuan kali ini saya ingin mengajak saudara-saudara semua untuk merenung ke dalam diri kita masing-masing.

Tanyalah kepada diri sendiri, Siapakah diri kita ini? Apakah ertinya kehidupan kita di dunia ini? Dari mana kita datang dan kemanakah kesudahannya diri kita? Apakah yang kita harapkan daripada kehidupan ini?

Kita perlu mempunyai jawapan yang betul kepada semua soalan-soalan di atas dan kita juga perlu merealisasikannya di dalam kehidupan kita. Kalau tidak, mungkin kita tidak dapat mencapai tujuan hidup yang sebenar.

As Syahid Hasan al Banna, pada satu ketika dulu pernah diminta untuk memperkenalkan diri beliau kepada orang ramai. Lalu beliau pun berkata:

"Saya adalah seorang pengembara yang mencari kebenaran. Saya adalah seorang manusia yang mencari erti sebenar kemanusiaan. Saya adalah seorang warganegara yang impikan sebuah negara yang dihormati, tenteram dan hidup harmoni di bawah naungan Islam yang murni.

Saya adalah ibarat seorang yang memahami rahsia hidupnya. Justeru ia berseru: 'Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tiada yang mempersekutuinNya.

Inilah yang diperintahkan kepada saya, dan saya adalah seorang yang menyerah diri.'

Itulah Hasan Al Banna yang mentafsirkan dirinya mengikut kefahamannya dan apa yang dia rasa tentang dirinya.

Bagaimana pula dengan diri kita???

Fikir-fikirkan....