“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Sunday, October 17, 2010
Taman Negara Terengganu
Hari ini Ahad, 17 hb. Oktober 2010.
Tengahari tadi saya baru kembali dari Taman Negara Terengganu, di Tasik Kenyir, setelah berada di sana sejak hari Khamis 14 hb. Membantu kerja-kerja penyelidikan.
Kami bertolak dengan bot laju dari Pengkalan Gawi lebih kurang pukul 5.00 petang Khamis yang lalu. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam untuk sampai di Tanjung Mentong, tempat kami menginap.
Air Tasik agak surut pada ketika itu kerana pihak pengurusan Tasik Kenyir telah melepaskan sejumlah besar air sebagai persediaan menghadapi musim hujan supaya air Tasik tidak melimpah.
Batang-batang kayu mati kelihatan berceracak di dalam air berdekatan dengan pulau-pulau di dalam Tasik. Pemandangan di sekeliling amat menarik perhatianku. Sukar untuk mendapatkan pemandangan seperti itu di tempat lain.
Hari berikutnya, Jumaat dan Sabtu saya telah membantu kerja-kerja penyelidikan, iaitu membuat kajian inventori burung dan kelawar. Caranya ialah dengan memasang jaring kabut dan juga 'harp trap'. Burung dan kelawar yang ditangkap akan dikenal pasti spesisnya oleh pensyarah, direkodkan , diambil gambar, kemudian dilepaskan semula.
Saya berkesempatan untuk melawat dan masuk ke dalam Gua Bewah. Gua kedua yang saya masuki selepas sebuah gua di Gua Musang beberapa tahun yang lepas. Gua Bewah agak besar dan bahagian dalamnya agak luas dan tinggi.
Kami menjaring kelawar di dalam Gua Taat. Sebuah gua yang agak kecil dan selalu ditenggelami air ketika air Tasik agak tinggi. Kami dapat menangkap 2 ekor kelawar. Sekadar untuk mengetahui spesis kelawar yang terdapat di situ.
Saya rasa bersyukur kerana diberikan kekuatan oleh Allah, dapat melaksanakan semua kerja-kerja dengan baik.
Lebih kurang 3 hari berada di sana, rasa sekejap. Tidak rasa jemu atau sibuk nak balik. Fikiran rasa tenang dengan pemandangan yang mententeramkan hati.
Tiada gambar yang dapat saya rakamkan kerana tidak bawa kamera.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment