Pages

Wednesday, February 16, 2011

Salah Faham Terhadap Isu Wanita




Sebelum kita membicarakan tentang hakikat kedudukan wanita dalam Islam, kita sorot sekejap tentang sejarah gerakan pembebasan wanita yang diperjuangkan oleh kaum wanita di Eropah dan negara Barat. Kenapa kaum wanita di Eropah dan Barat begitu ghairah memperjuangkan hak-hak mereka? Apakah kesan Revolusi Industri yang melanda Eropah kepada kedudukan dan hak asasi kaum wanita di Eropah dan Barat?

Revolusi Eropah telah memaksa kaum wanita dan kanak-kanak keluar bekerja. Kesannya mereka terpaksa mengorbankan keluarga, kehormatan, maruah dan harga diri demi mencapai kepuasan, cita-cita dan matlamat material yang tidak pernah surut. Namun apa yang diperoleh oleh kaum wanita Eropah hanyalah penindasan, kehinaan dan layanan yang tidak adil. Mereka mendapat upah yang lebih rendah daripada kaum lelaki dan tenaga mereka diperah siang dan malam. Mereka terpaksa mengenepikan sifat-sifat kewanitaan, maruah dan harga diri serta nilai-nilai moral demi mendapatkan pekerjaan.

Kesan daripada kekejaman dan penindasan yang tidak berpenghujung itu, muncul suara-suara yang mendesak kesamaan gender, kesamarataan hak dan taraf, hak bersuara dan lain-lain. Mereka melancarkan mogok, demontrasi, pidato dan surat khabar untuk memperjuangkan hak-hak mereka. Mereka juga menuntut hak menggubal dan menyusun undang-undang negara dengan mendesak agar mereka diberi hak mengundi dan menjadi wakil rakyat. Kaum wanita Eropah dan Barat terpaksa melalui perjuangan yang panjang dan penuh air mata demi mencapai hak yang sama rata dengan kaum lelaki.

Situasi ini amat berbeza dengan persepsi Islam terhadap kaum wanita. Semenjak awal lagi Islam telah melihat wanita sebagai makhluk Allah yang mempunyai roh kemanusiaan sama seperti kaum lelaki. Seluruh arahan Allah swt berbentuk larangan dan perintah adalah untuk kaum lelaki dan wanita sehinggalah balasan baik dan buruk di akhirat juga adalah sama sahaja antara lelaki dan wanita.

Kaum lelaki dan wanita diberi hak yang sama untuk memenuhi keperluan kebendaan dan mereka bebas mengurus hak milik dan harta mereka tanpa perlu campur tangan daripada kaum lelaki. Mereka juga diberi hak yang sama dengan kaum lelaki untuk menggadai, menyewa, mewakaf, menjual, membeli dan mendapat faedah daripada harta milik mereka.

Di sinilah letaknya perbezaan wanita Eropah dengan wanita Islam. Bagi mendapatkan hak-hak tersebut, wanita Eropah terpaksa berjuang sehingga mengorbankan akhlak dan kehormatan mereka. Mereka terpaksa bermandi peluh, dan air mata serta darah demi mendapatkan hak mereka sebagai wanita. Berbanding dengan wanita Islam yang diberi secara sukarela oleh agama sebagai satu daripada tanggungjawab agama iaitu menjaga dan berbuat baik kepada kaum wanita.

Keperihatinan Islam kepada kaum wanita boleh dilihat dalam isu perkahwinan dan pemilihan jodoh. Kaum wanita diberi peluang untuk memilih jodoh mereka sendiri malah mereka berhak untuk melamar kaum lelaki yang mereka sukai. Bahkan sekiranya mereka tidak suka pada jodoh yang dipilih oleh wali, mereka berhak untuk menolak perkahwinan tersebut.

- bersambung -

Ustazah Norsaleha Mohd Salleh,
Ketua Wanita ISMA
Blog: The Sweetness of a Partnership

Sunday, February 6, 2011

Jasmani seorang muslim


Seorang muslim akan bersungguh-sungguh berusaha menjaga kesihatan jasmani dan kekuatan tubuh badannya. Oleh itu dia mestilah bersederhana dalam makan dan minumnya. Tidak sekali-kali menghadapi makanan dengan rakus dan lahap. Dia mengambilnya hanya sekadar memperkuatkan tubuhnya, memelihara kesihatannya, tenaganya dan kecegersannya menurut pimpinan Al Quran, sebagaimana firman Allah swt.:
“Dan makanlah dan minumlah dan jangan kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang yang melampaui batas.” ( Al A’raaf: 31 ).

Rasulullah ( s.a.w. ) telah bersabda: “Bekas yang paling buruk bagi manusia adalah perutnya, jika ia hendak memenuhinya, hendaklah memenuhinya hanya sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya.”
(Riwayat At Tarmizi)

Muslim yang bertaqwa hendaklah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang memabukkan dan mengkhayalkan. Dia akan tidur awal dan bangun awal. Dia tidak akan mengambil ubat kecuali perlu. Amal kebiasaannya semuanya mendorong ke arah memperelokkan lagi kesihatannya, kecergasannya dan tingkah lakunya. Dia sedar bahawa orang mukmin yang kuat lebih dicintai oleh Allah swt. daripada orang mukmin yang lemah.

Sesungguhnya muslim yang benar, biasanya mempunyai tubuh badan yang sihat. Ini adalah kerana dia menjauhi segala perkara yang boleh melemahkan dan mengganggu kesihatannya, melemahkan 'azimah (kekuatan), melemahkan kemahuan, cita-cita dan meruntuhkan kekuatan badan. Dia akan selalu melakukan senaman,latihan-latihan kecergasan dan bersukan menurut waktu-waktu yang telah dijadualkan.

Kebersihan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Oleh sebab itu seorang muslim sentiasa menjaga kebersihan tubuh badannya dengan selalu mandi dan berpakaian bersih. Sabda Rasulullah (s.a.w.):
"Hendaklah kamu mandi pada hari Jumaat, dan basuhlah kepala kamu sekalipun kamu tidak junub dan pakailah bau-bauan yang wangi." (Hadith riwayat Bukhari).

Dari Abu Hurairah (r.a.) bahawasanya Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda: "Adalah satu hak yang wajib ke atas setiap muslim mandi satu hari dalam seminggu, di mana dia mesti membasuh kepala dan tubuhnya." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Bersambung......

Thursday, February 3, 2011

Muslim Terhadap Dirinya


Islam menghendaki kaum muslimin mempunyai cara dan gaya hidup yang istimewa dan tersendiri. Membezakan mereka daripada manusia yang bukan Islam. Berbeza di dalam fesyen mereka, hal ehwal mereka, tindak tanduk mereka amal dan usaha mereka, sehingga mereka menjadi contoh tauladan yang baik dan menjadikan mereka layak memikul risalah mereka yang paling agung dan membawanya kepada manusia.

Tersebut di dalam hadith, seorang sahabat yang mulia Ibn Hanzaliah (r.a) , dia berkata, bahawasanya Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda kepada sahabat-sahabat baginda ketika mereka berada di dalam satu perjalanan untuk menemui saudara-saudara mereka: “Sesungguhnya kamu akan datang kepada saudara-saudara kamu, 0leh itu perbaikilah Arrihal (alat perkakas kenderaan) kamu, baguskanlah pakaian kamu sehingga kamu menjadi syaamah di kalangan manusia, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada Al Fahsya’wal tafahhusy (yang busuk dan sangat buruk).” (Riwayat Abu Daud dan Alhakim di dalam Al Mustadrak).

Rasulullah (s.a.w.) memandang cara dan gaya yang buruk, keadaan yang kotor dam comot-comot dan tidak mempedulikan lahiriah, memakai pakaian busuk dan kotor sebagai Fahsya’ dan tafahhusy. Semua itu merupakan perkara yang dibenci dan dilarang oleh Islam yang hanif. Lahir dan batin tidak boleh dipisahkan. Bentuk, fesyen dan gaya yang serba kemas, teratur rapi dan bagus itu melayakkan dirinya memikul satu tugas yang mulia,

Oleh itu, seorang muslim yang sebenarnya mampu menunaikan hak-hak kepada yang sepatutnya. Dia tidak akan keterlaluan di satu sudut dan mengabaikan di sudut yang lain. Dia akan sentiasa terpimpin oleh pimpinan dan hidayat Arrasul (s.a.w.). Satu pimpinan yang menseimbangkan antara jasmani, rohani dan akli. Inilah satu-satunya pimpinan yang bijak.

Bagaimanakah caranya seorang muslim itu menseimbangkan antara jasmani, akli dan rohaninya? Insya Allah kita akan lihat seterusnya nanti….

Sumber rujukan: Keperibadian Muslim - Mohd Ali Hashimi.