“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Sunday, February 6, 2011
Jasmani seorang muslim
Seorang muslim akan bersungguh-sungguh berusaha menjaga kesihatan jasmani dan kekuatan tubuh badannya. Oleh itu dia mestilah bersederhana dalam makan dan minumnya. Tidak sekali-kali menghadapi makanan dengan rakus dan lahap. Dia mengambilnya hanya sekadar memperkuatkan tubuhnya, memelihara kesihatannya, tenaganya dan kecegersannya menurut pimpinan Al Quran, sebagaimana firman Allah swt.:
“Dan makanlah dan minumlah dan jangan kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang yang melampaui batas.” ( Al A’raaf: 31 ).
Rasulullah ( s.a.w. ) telah bersabda: “Bekas yang paling buruk bagi manusia adalah perutnya, jika ia hendak memenuhinya, hendaklah memenuhinya hanya sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga lagi untuk nafasnya.”
(Riwayat At Tarmizi)
Muslim yang bertaqwa hendaklah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang memabukkan dan mengkhayalkan. Dia akan tidur awal dan bangun awal. Dia tidak akan mengambil ubat kecuali perlu. Amal kebiasaannya semuanya mendorong ke arah memperelokkan lagi kesihatannya, kecergasannya dan tingkah lakunya. Dia sedar bahawa orang mukmin yang kuat lebih dicintai oleh Allah swt. daripada orang mukmin yang lemah.
Sesungguhnya muslim yang benar, biasanya mempunyai tubuh badan yang sihat. Ini adalah kerana dia menjauhi segala perkara yang boleh melemahkan dan mengganggu kesihatannya, melemahkan 'azimah (kekuatan), melemahkan kemahuan, cita-cita dan meruntuhkan kekuatan badan. Dia akan selalu melakukan senaman,latihan-latihan kecergasan dan bersukan menurut waktu-waktu yang telah dijadualkan.
Kebersihan adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam. Oleh sebab itu seorang muslim sentiasa menjaga kebersihan tubuh badannya dengan selalu mandi dan berpakaian bersih. Sabda Rasulullah (s.a.w.):
"Hendaklah kamu mandi pada hari Jumaat, dan basuhlah kepala kamu sekalipun kamu tidak junub dan pakailah bau-bauan yang wangi." (Hadith riwayat Bukhari).
Dari Abu Hurairah (r.a.) bahawasanya Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda: "Adalah satu hak yang wajib ke atas setiap muslim mandi satu hari dalam seminggu, di mana dia mesti membasuh kepala dan tubuhnya." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Bersambung......
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment