Pages

Wednesday, December 21, 2011

RENCAH KEHIDUPAN

Wanita Ditikam Kerana Cemburu

Harian Metro: 22 Dis. 2011

KUALA LUMPUR: Dalam kesengsaraan dan berlumuran darah selepas ditikam 35 kali di seluruh tubuh, seorang wanita masih mampu mengesot lima meter untuk meminta pertolongan orang ramai menerusi tingkap rumah sewanya di Jalan Puncak Desa, Kepong, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, Rozana Mohd Yusak, 35, yang dihantar ke Hospital Selayang oleh jiran, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital jam 2.10 pagi.


Sebelum itu, pada jam 1.30 pagi, mangsa yang juga kerani bank ditikam dengan objek tajam 35 kali di seluruh tubuh termasuk lengan kiri, paha, bahu, rusuk dan belakang badan di dalam rumah sewanya ketika dia bersendirian.


Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan ada seorang wanita berlumuran darah akibat kesan tikaman di sebuah rumah kedai pada jam 1.55 pagi.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ditikam di ruang tamu rumah sewanya dan mengesot ke arah tingkap untuk meminta pertolongan.


Pelajar diperkosa abang ipar hamil empat bulan

KUCHING: Selepas diperkosa abang ipar beberapa kali sejak lima bulan lalu, seorang pelajar tingkatan lima membongkar perbuatan jijik lelaki terbabit kepada ibunya selepas mendapati dia kini mengandung.

Berikutan pendedahan itu, polis menahan suspek berusia 43 tahun di rumahnya di Semariang, di sini kira-kira jam 11 pagi semalam.


Menurut sumber, suspek yang tinggal bersama mangsa dikatakan mengambil kesempatan ketika semua penghuni rumah berkenaan sedang tidur dengan masuk ke bilik pelajar terbabit untuk melampiaskan nafsu serakahnya sejak Ogos lalu.


“Selepas hampir empat bulan menderita, mangsa akhirnya membuat keputusan menceritakan kejadian itu kepada ibunya selepas mendapati dia mengandung hasil perbuatan terkutuk suspek,” katanya.


Kata sumber, ibu mangsa yang terkejut dengan pendedahan anaknya itu kemudian membuat laporan polis sebelum membawanya membuat pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik dan disahkan mengandung empat bulan.


“Mangsa sebelum ini dikatakan enggan makan bersama keluarganya sekiranya suami kakaknya itu turut makan bersama mereka,” katanya.



Sementara itu, jurucakap polis berkata suspek sudah ditahan untuk membantu dalam siasatan dan disiasat mengikuti seksyen 376, Kanun Keseksaan kerana merogol.

-----------------------------------------------------------------------------------

Dua berita yang saya petik dari Harian Metro hari ini. Berita-berita seperti itu sudah selalu kita tatap dan baca di dada-dada akhbar sejak sekian lama.

Kisah-kisah seperti ini adalah tanda-tanda penyakit yang sedang dihidapi oleh masyarakat. Kadang-kadang timbul persoalan dalam diri kita, agaknya sampai bila kejadian-kejadian seperti ini akan berakhir. Dan... adakah keluarga kita dan orang-orang yang kita sayangi boleh selamat daripada terjebak dengan situasi sebegini.

Adakah kita tidak boleh berperanan langsung dalam membantu mengurangkan penyakit yang dideritai oleh masyarakat?

Sudah tentu kita semua mampu melakukan sesuatu mengikut kapisiti yang kita ada. Sekurang-kurangnya masing-masing kita boleh menjaga diri kita dan keluarga kita di samping berdoa kepada Allah supaya Allah angkatkan penyakit-penyakit seperti ini dari masyarakat, termasuk banyak lagi penyakit-penyakit lain.

Penyakit, bukan sahaja penyakit-penyakit yang melibatkan fisikal dan tubuh badan, yang kebanyakan daripada kita akan lebih sensitif dengan penyakit seperti itu. Tetapi penyakit yang dimaksudkan ialah penyakit dalaman/batin yang berkaitan dengan jiwa, hati, emosi, perasaan, pemikiran, keimanan dan sebagainya.

Aspek-aspek yang berkaitan dengan jiwa, hati, emosi, perasaan, pemikiran, keimananlah yang membentuk akhlak seseorang. Akhlak yang buruk mengakibatkan berlakunya kepincangan-kepincangan sebagaimana yang dapat kita lihat pada hari ini.

Wallahua'lam..

No comments:

Post a Comment