“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Saturday, December 31, 2011
Selamat Tahun Baru 2012
Saudara-saudara yang saya kasihi, Assalamualaikum wbt.
Bersyukur kita kepada Allah swt. kerana dengan izinNya kita diberi kesempatan untuk terus bernafas dan memulakan perjalanan hidup kita merentasi tahun seterusnya 2012.
Satu peluang untuk hidup... yang tidak diberikan untuk orang-orang yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita di tahun-tahun sebelumnya.
Sewajarnya kita merenung jauh ke hadapan.. menarik nafas lebih dalam dan mengumpulkan seluruh tenaga yang kita ada, untuk kita hadapi hari muka yang belum kita ketahui apakah cabaran-cabarannya.
Saudara yang dikasihi, mungkin harapan orang muda seperti saudara tidak sama dengan harapan orang tua seperti saya yang sudah sampai usia bersara. Cita-cita yang ingin dicapai di dalam kehidupan ini tidak sama diantara saudara dan saya.
Mungkin cita-cita orang muda lebih tinggi dan lebih jauh ke hadapan untuk dicapai. Namun tujuan hidup kita adalah sama. Tujuan hidup kita adalah untuk mencari dan mendapatkan keredhaan Allah swt. Tidak ada gunanya segala apa yang kita perolehi sekiranya ianya tidak mendapat keredhaan Allah swt.
Saudara-saudaraku.
Harapan orang tua seperti saya ingin melihat keamanan, kedamaian, ketenangan....di dalam keluarga, masyarakat dan negara. Apa yang dipaparkan kepada kita tiap-tiap hari di dada-dada akhbar, di kaca telivesyen dan sebagainya menunjukkan bahawa kehidupan kita pada hari ini masih jauh dari ketenangan, kedamaian dan keamanan.
Bagaimana boleh dikatakan ketenangan kalau setiap hari akan ada berita-berita pembunuhan, kecurian, perogolan, perzinaan, perbalahan, penipuan, perebutan harta, wanita dan takhta.
Bagaimana boleh dikatakan keamanan kalau kita risaukan anak-anak kita terutama anak-anak gadis atau isteri-isteri kita yang keluar rumah... adakah mereka selamat? Rumah dan harta kita yang kita tinggalkan bila pulang bercuti, adakah selamat? Harta yang berada di tangan kita kadang-kadang masih tidak selamat bila ianya dirampas atau diragut.
Kehidupan hari ini kita berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran. Kita perlu memperkuatkan jati diri kita. Membina ketahanan diri kita di sudut jasmani dan rohani. Kita perlu memperkuatkan tubuh badan kita kerana ia umpama kenderaan. Badan yang tidak sihat dan tidak mempunyai ketahanan tidak dapat bergerak pantas dan bergerak lebih jauh.
Rohani atau jiwa yang tidak sihat tidak akan dapat berhadapan dengan ujian-ujian Allah. Tidak sabar, bertindak ikut suka hati, pentingkan diri sendiri, amat sensitif, mudah kecil hati walaupun kerana perkara yang kecil, dendam , dengki, tidak menerima kelemahan diri, tidak boleh dinasihat dan ............bermacam-macam lagi.
Kehidupan hari ini, memang sejak dari dulu dan selama-lamanya pun, memerlukan kita mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah swt. Sentiasa patuh kepada perintahNya. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.
Malang dan menyedihkah apabila seseorang yang dinasihatkan supaya melakukan sesuatu yang diperintahkan Allah, jawapannya ialah, " Jangan jaga tepi kain orang, Mak dan ayah saya pun tak pernah marah, jadi guana (apa salahnya)" dan berbagai-bagai lagi.
Kehidupan hari ini seolah-olah tidak ada garis pemisah diantara Islam dan jahiliah, diantara maaruf dan mungkar. Yang mungkar dianggap maaruf dan maaruf dipandang mungkar.
Tahun 2012... saya merasakan pertembungan yang lebih sengit diantara parti-parti politik. Diantara idea-idea. Saya tidak mampu untuk mengulas panjang berkenaannya. Cuma saya fikir, kuasa politik atau pemerintah mempunyai pengaruh besar kepada masa depan negara. Masa depan Islam, masa depan orang Melayu, masa depan anak cucu kita.
Sudah sampai masanya untuk kita memikirkan dengan lebih serius berhubung dengan agama kita dan bangsa kita. Lebih jelas lagi peranan kita sendiri. Ya, peranan diri saudara dan diri saya juga. Kita mempunyai peranan dalam membina keluarga, masyarakat dan negara kita. Bagaimanakah bentuk keluarga yang saudara kehendaki.
Bagaimanakah amalan dan cara hidup keluarga kita yang kita kehendaki. Bagaimanakah sifat, akhlak, peribadi anak-anak kita yang kita harapkan.
Kita perlu kembali kepada Islam. Islam yang lebih syumul, menyeluruh. Diri kita semua, keluarga kita adalah asas kepada kekuatan Islam. Asas kepada kekuatan negara, lebih-lebih lagi Negara Islam, yang mana sepatutnya semua orang Islam mempunyai cita-cita ke arah itu.
Marilah kita memulai langkah kita memasuki tahun baru ini dengan langkah yang baik dan nawaitu yang baik.
Wallahua'lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment