“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Thursday, March 15, 2012
Melayu Sepakat Islam Berdaulat
Sudah banyak reaksi yang saya dengar mengenai slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) yang dicanangkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Slogan MSIB pada pandangan saya bukanlah bermaksud memuliakan satu bangsa berbanding bangsa lain, bukan juga mendahulukan Melayu sebelum Islam, bukan lah menuntut PAS masuk UMNO atau bukan juga bermaksud mewujudkan kerajaan berasaskan bangsa.
MSIB cuma mengajak masyarakat Melayu supaya bersepakat dalam isu-isu tertentu untuk menjaga kepentingan dan kedudukan Islam dalam konteks Malaysia yang mana umat Islam secara umumnya terdiri daripada orang Melayu tanpa menidakkan peranan orang Islam daripada bangsa lain.
Dalam keadaan semasa di mana tiadanya kesepakatan di kalangan umat Islam dalam isu-isu pokok seperti isu murtad, kristianisasi, kedudukan mahkamah syariah, isu amar ma’ruf nahi mungkar, sebenarnya umat Islam berada dalam keadaan yang amat rugi. Kerangka asas masyarakat kita yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, dengan pelbagai peruntukan undang-undang, institusi dan kewangan untuk memelihara dan memartabatkan lagi agama Islam sedang dipersoalkan dan dicarik-cariikan satu persatu.
Ketidaksepakatan bangsa ini lebih buruk lagi kesannya terhadap agama Islam apabila berdepan dengan arus liberalisasi global. Cabaran bersifat global ini tidak akan mampu ditangani oleh bangsa yang dipecahkan oleh blok-blok kepartian.
Sejarah negara pada tahun lapan puluhan menyaksikan bagaimana kemunculan arus gerakan Islam diseluruh dunia begitu menguntungkan kedudukan Islam. Di Malaysia, pihak kerajaan mahupun pembangkang berlumba-lumba untuk menonjolkan imej islamik, dan kewujudan gerakan NGO-NGO Islam mendapat tempat dalam masyarakat. Dasar-dasar islamisasi, pengwujudan institusi Islam, perkembangan sistem ekonomi Islam, dan islamisasi ilmu telah membawa kepada penghayatan Islam yang lebih baik, dan Islam mula diambil sebagai cara hidup walaupun belum merangkumi seluruh aspek kehidupan. Walaupun masih ada salah faham dan pengamalan Islam yang disempitkan dalam isu ibadah semata-mata masih wujud, namun perkembangan yang ada tetap positif dan memberi harapan kepada penghayatan Islam yang lebih baik.
Apabila arus liberalisasi yang sedang melanda negara ini berkembang dengan pesatnya, kita dapat saksikan bagaimana semua pihak berlumba-lumba untuk kelihatan lebih liberal. Pendekatan yang populist, berasaskan hak asasi semata-mata, menyamaratakan semua agama, mengurangkan kekangan agama yang disifatkan sebagai kolot semuanya adalah hasil arus liberalisme ini. Sedar atau tidak, rupa-rupanya agenda 1Malaysia mahupun slogan negara berkebajikan adalah terhasil daripada ketundukan kita terhadap arus liberalisasi.
Dalam kacamata liberalisasi, penapisan filem, internet censorship, sekatan kepada kemahuan dan kecenderungan individu, kekangan kepada kebebasan seksual dan ekspresi, keterikatan kepada nilai moral dan kekangan bersifat keagamaan , emphasis kepada nilai sesuatu budaya dan identiti bangsa semuanya dianggap bertentangan dengan nilai kebebasan sejagat di bawah premis hak asasi manusia.
Berhadapan dengan suasana liberalisme ini, tanpa ada agenda yang disepakati, secara sedar atau tidak bangsa melayu terperangkap dalam simpang siur agenda orang lain. Setiap isu dihadapi dengan kacamata liberal dengan percaturan keuntungan politik sehinggakan isu murtad dilihat daripada aspek kebebasan beragama dan sebarang tindakan walaupun dengan ada menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada tidak dilaksanakan disebabkan takut tidak mendapat sokongan rakan-rakan liberal.
Satu atau sepakat?
Kesepakatan yang saya fahami bukanlah dalam ertikata bersatu menjadi satu entiti atau satu parti. Cukuplah andai kesepakatan itu dicapai dengan bersedia untuk bersetuju dengan kebenaran daripada pihak lain demi kebaikan agama dan bangsa.
Saya melihat ciri-ciri kesepakatan dalam parti-parti Cina sebagai satu contoh yang wajar dicontohi. Walaupun DAP dan MCA berada dalam kelompol PR dan BN yang bertentangan, terdapat kesepakatan dalam isu bahasa ibunda, sekolah vernakular dan penolakan terhadap penguatkuasaan enakmen syariah dalam isu arak dan judi.
Kesepakatan yang sama saya harapkan daripada parti-parti orang melayu dalam isu berkaitan agama Islam, kedudukan bangsa, isu akhlaq umat dan kedaulatan raja.
Betapa ruginya bangsa dan agama Islam dalam kecelaruan keadaan semasa. Segala keburukan, kelemahan, kepincangan, kebobrokan yang ada pada bangsa melayu akhirnya terpalit juga kepada agama Islam. Kedudukan Islam sebagai agama yang haq drpd Allah yang Maha Pencipta akhirnya tidak terserlah dek lemahnya bangsa melayu yang menjadi duta Islam di negara ini.
Sepakat atas had/limit; Tidak semua perkara perlu dipolitikkan
Kesepakatan yang diserukan boleh dilaksanakan dalam blok politik sedia ada, dengan dua syarat;
parti-parti politik melayu mampu memilliki persetujuan tentang perkara-perkara yang boleh dipolitikkan.
parti politik melayu memiliki kata putus dalam pakatan masing-masing
Seandainya ada kesepakatan dikalangan parti politik melayu yang meletakkan had maksima terhadap perkara yang boleh ditawar-menawarkan dalam agenda politik mereka, maka kita boleh berlapang dada bahawa ada perkara yang setiap parti tidak akan korbankan demi survival politik masing-masing. Kita tak mahu akhirnya nasib bangsa dan agama kita menjadi seumpama peribahasa; “menang sorak kampung tergadai”. Kita tidak mahu ahli politik kita menggadaikan apa yang ada demi untuk menang kerusi dalam pilihanraya.
Kita juga mahu bahawa parti-parti melayu menjadi kekuatan yang dominan yang mencorakkan pakatan masing-masing, sehingga mereka tidak perlu sentiasa mengalah kepada rakan-rakan lain terutama dalam isu yang berkait denganm survival bangsa dan kedudukan agama. Apa yang dapat disaksikan sekarang, adalah parti-parti melayu bukan sahaja mengalah malah bersifat sangat apologetik dalam sesetengah isu di mana kepentingan Islam menjadi pertaruhan.
Saya suka sekiranya PAS menjadi kuasa dominan dalam PR, dan UMNO terus dominan dalam BN, lalu mereka bersaing secara sihat dalam memartabatkan kedudukan bangsa dan agama di negara sendiri. Tiada salahnya kita berjuang mempertahankan survival bangsa kita di negara kita sendiri. Tiada salahnya kita memartabatkan Islam yang syumul dari segi syiar dan juga ruhnya dinegara ini kita ini. Malah, pengamalan Islam yang sebenar juga akan memberi manfaatkan kepada bangsa lain dan juga ornag bukan Islam.
Bersepakatlah bangsa Melayu, semoga dengan itu Islam akan lebih didaulatkan di bumi Malaysia ini.
Oleh: Zaizul Azizi Zaman,
Aktivis ISMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment