Pages

Monday, October 8, 2012

Re-Orientasi Fiqh Dakwah



Kalimah ‘ad-dakwah’ dijustifikasikan kepada kerja-kerja mengajak manusia kepada jalan Allah. Manakala mereka yang bekerja di jalan dakwah digelar sebagai da’ie. Kerja dakwah pula wajib dari sudut tuntutan syarak dan bertujuan memenuhi keperluan masyarakat. Usaha dakwah tidak terhenti kepada usaha mengajak tetapi perlu menterjemahkan makna dakwah dalam bentuk praktikal dan membumi di bumi realiti.

Realitinya para du’at amat berhajat kepada mengungkapkan semula takrifan dakwah di dalam konteks istilah fiqh dakwah. Fiqh dakwah ialah: “dan intipatinyasatu bentuk kefahaman dan penguasaan yang mendalam terhadap subjek dakwah Islam, hakikat, cara ’.

Ia menjelaskan bahawa orang yang bekerja untuk dakwah bukan bekerja untuk mengulang-ulang teori amal islami dalam pelbagai dimensinya yang berbeza dari sudut tarbiyah, sudut takhtit dan tanzhim dengan ungkapan kalimat-kalimat retorik tetapi menterjemahkannya ke dalam realiti yang dapat dirasai, memberikan dorongan secara langsung, pengembangan amal secara praktikal dan pemerolehan amal secara efektif.

Dalam erti kata lain seorang daie yang memiliki fiqh dakwah ialah :
1. Orang yang memahami bahawa amal islami bukan mengumpul informasi demi informasi semata-mata tetapi ia adalah menyiapkan setiap akh itu untuk memaksimakan keupayaan pemikiran dan fizikalnya serta menyumbang segala material dan usahanya selari dengan perancangan dakwah bagi mencapai objektif dakwah tersebut.

2. Orang yang memahami tabiat, peranan, tanggungjawab dan marhalah dakwah dengan kefahaman yang jelas dan mendalam.

3. Orang yang memiliki pemikiran yang bukan bersifat teorikal tanpa ada hubung kait dengan waqi’ dakwah dan permasalahan-permasalahan dakwah tetapi ia satu bentuk pemikiran yang bersifat praktikal yang dapat memberikan penyelesaian secara amali dan realistik. Bahkan ia merupakan satu fiqh yang mampu memberikan daya tolakan zatiah untuk menggerakkan akh ad-daie untuk bergerak dengan proaktif dan terlibat di dalam mengatasi isu-isu dakwah di medan amali dan pelaksanaan.

4. Fiqh dakwah ini menjadikan para du’at bergerak bersama kafilah dakwahnya dengan satu perasaan yang merasai kesyumulan dakwah. Ia mengesani semua aspek dan sudut umat samada perkara ruhiyah, siasah, tandhim dan keilmuan tanpa ada pemisahan antara satu sama lain.

5. Ia juga bermaksud bahawa seorang da’ie perlu mengikat kehidupan hariannya, saudara-saudaranya dan halatuju pemikiran mereka dengan objektif dan matlamat dakwah. Ia berputar dan berlegar di atas putaran dan kitaran orbit dakwah ke mana dakwah itu berputar.

6. Ia juga bermaksud seorang daie itu menumpukan fokus segala usahanya, memberikan perhatian kepada ikhwahnya untuk melakukan amal islami dengan cara yang paling terbaik dan mantap. Amal islami yang terbaik itu terhasil dari tarbiyah ruhiyah dan tarbiyah akhlaqiah yang mendalam, kesedaran siasah yang cukup matang dan pemikiran Islam yang tulen jauh dari segala kekeliruan.

Dengan kata lain fiqh dakwah ini akan menjadikannya pembela dakwah, segera menghapuskan segala kalimat yang keluar dari bibir-bibir manusia yang cuba untuk melemahkan semangat dakwah.

Para salafussoleh cukup faham dan arif perkara ini sebagaimana kisah yang terjadi pada salah seorang tentera Khalid al-Walid semasa pembukaan Kota Syam. Tentera itu berkata: “Alangkah ramainya bilangan tentera musyrikin dan sedikitnya bilangan tentera umat Islam..”

Mendengar kata-kata tersebut, lantas Khalid menjadi marah kerana dia faham kalimah ini mengundang rasa lemah semangat kepada tentera Islam. Maka Khalid pun berteriak, katanya:

“Sesungguhnya bilangan tentera akan semakin ramai dengan pertolongan dari Allah dan bilangan akan berkurang dengan adanya perasaan lemah semangat.. bukan dengan kuantiti para tentera..”

Justeru fiqh dakwah ialah fiqh yang mampu menggerak dan menterjemahkan amal ke medan sebenar, yang mampu memberikan solusi-solusi dan memimpin perubahan kepada umat… dakwah yang memindahkan medan bercakap dan retorik kepada medan amal dan bertindak… medan membina institusi-institusi dan wadah-wadah amal yang menangani dan menyelesaikan isu-isu umat.


Ustaz Mohd Azizee bin Hasan,
Sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2012/09/re-orientasi-fiqh-dakwah/


No comments:

Post a Comment