Pages

Thursday, February 14, 2013

Undi adalah syahadah di hadapan Allah

Demam pilihanraya mula melanda seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Pelbagai harapan dan impian diharapkan kepada parti-parti politik yang menyertai pilihanraya samada DUN atau Parlimen. Setiap agama ada harapan untuk survival agama mereka, begitu juga setiap bangsa ada harapan untuk survival bangsa mereka kepada kerajaan yang akan menguasai negara nanti untuk tempoh 4 sehingga 5 tahun mendatang. 

Kejatian bangsa dan agama bergantung kepada sejauh mana misi dan visi yang dibawa oleh parti-parti yang bertanding termasuk individu yang mewakili parti dalam pilihanraya. Setiap parti dan individu mesti terang dan jelas tanggungjawab yang akan dilaksanakan selepas menang dalam pilihanraya. Maka para pengundi mestilah menilai dengan amanah setiap undi yang diberi kerana undi merupakan syahadah yang akan dihisab di Mahsyar nanti. Undi anda adalah penentu dasar dan halatuju negara. Undi anda adalah penentu jatuh bangunnya Islam dan bangsa Melayu di negara tercinta. Jangan sempitkan akal anda hanya melihat kepada apakah habuan duniawi dari parti-parti yang bertanding dalam pilihanraya. Janganlah hanya melihat kepada sebanyak mana subsidi, elaun, sekolah, rumah, parit, gaji dan lain-lain yang dijanjikan tetapi kita sebagai bangsa yang bertamadun dan mencintai Allah dan RasulNya wajib menjadikan Islam sebagai agenda utama yang perlu diperjuangkan. 

Berilah undi kepada calon yang jelas agenda untuk agama dan bangsa kita. Berilah undi kepada calon yang sanggup mengorbankan dirinya untuk agama dan bangsanya. Agenda agama dan bangsa mesti dinyatakan secara jelas dan terperinci. Ianya bukan boleh digadaikan dan disembunyikan dari pengetahuan umum demi perpaduan yang rapuh dan merugikan agama dan bangsa. Sedangkan bukan Islam bertungkus lumus dan berkorban untuk bangsa dan agama mereka. Secara umumnya di Malaysia, bangsa lain dan bukan Islam tidak pernah kasihankan bangsa Melayu dan Islam. Yang mengasihi Islam dan bangsa Melayu adalah orang Islam dan bangsa Melayu.

Islam perlu dijelaskan sejelas-jelasnya tanpa bersembunyi di sebalik kalimah bil hikmah yang mengaburkan pemahaman Islam yang sebenar. Islam adalah agama Allah dan dunia ini adalah warisan Allah kepada mereka yang beriman dan bertaqwa. Mereka yang memperjuangkan Islam adalah orang Islam. Islam telah sempurna, syariat Islam telah sempurna dan manusia hanya perlu melaksanakannya dalam kehidupan. Islam perlu kepada rijal-rijal yang berkorban untuknya dan dijanjikan syurga oleh Allah Taala. Maka demi agama dan bangsa, undi anda perlu kepada mereka yang membawa Islam sejelas-jelasnya tanpa sebarang kesamaran dan tagihkan pertolongan orang kafir untuk memenangkan Islam. Undi anda kepada orang bukan Islam bermakna anda menyerahkan urusan agama anda kepada orang bukan Islam kerana undi adalah simbolik pemberian mandat untuk memerintah dan mengatur semua urusan anda dalam negara termasuk urusan agama dan bangsa.

Soal iman anda, adakah orang bukan Islam akan membela agama dan bangsa anda walaupun kita ada persepakatan dan komponen dengan mereka. Mungkin boleh dibuatkan persepakatan dalam perkara-perkara kepentingan bersama yang telah dinyatakan oleh syarak secara jelas, tetapi dalam urusan agama dan bangsa sesekali tidak bagi orang bukan Islam akan memperjuang dan mempertahankan Islam. Tidak harus seorang mukmin yang jelasnya imannya memberi undi kepada orang bukan Islam walaupun mereka dalam persepakatan atau dalam komponen kita. Lebih-lebih lagi mereka dengan jelas menolak Islam. Adakah orang bukan Islam yang telah menolak Islam secara jelas dengan kata-kata akan mempertahan dan memperjuangkan Islam walaupun telah ada persepakatan dalam politik atau dalam komponen kita.

Amatlah malang umat Islam kerana ada pendapat mewajibkan memberi undi kepada orang bukan Islam kerana ada persepakatan politik sedangkan mereka dengan jelas menolak Islam. Undi adalah penentu dasar dan halatuju agama dan negara. Berilah undi anda kepada calon muslim yang membawa agenda Islam yang jelas dan terang demi kecemerlangan agama, bangsa dan negara. Berilah undi anda kepada calon muslim yang jelas agenda Islam sebagai saksi di hadapan Allah di alam akhirat nanti. Janganlah kerana inginkan kuasa dunia yang berbentuk sementara kita gadaikan asas-asas Islam untuk memenangi hati bukan Islam samada dalam bentuk persepakatan atau komponen kita.

Tujuannya hanyalah kerana ingin kuasa, tanpa melihat sejauh mana kuasa yang diperolehi bersama mereka akan memberi kemenangan kepada Islam. Lebih-lebih lagi setelah jelas bukan Islam di Malaysia menolak Islam di mana-mana posisi mereka berada samada dalam persepakatan atau komponen.

Oleh: Ustaz Sharipudin Abd. Kadir
Yang Dipertua
Majlis Syura ISMA

* Ustaz Sharipudin juga merupakan Yang Dipertua ISMA Kelantan

No comments:

Post a Comment