2 Februari 2013
Menurutnya, setelah perbincangan yang meluas dan mendalam oleh Majlis Syura Isma, yang mana telah sebulat suara bersetuju bahawa pertubuhan bukan kerajaan ini perlu terlibat dalam PRU13 dengan menghantar calon ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti berpotensi dan selari dengan dasarnya.
“Kita berhasrat untuk menyelamatkan undi masyarakat Islam, hanya untuk calon-calon beragama Islam yang berwibawa dan tidak mahu undi tersebut menjadi peluru sesat yang akan membunuh masa depan umat Islam kelak,” kata beliau hari ini.
Beliau menambah, penglibatan Isma dalam politik ekoran Isma melihat dan mengkaji bahawa negara dijangka mengalami ketidakstabilan politik bahkan kini kedudukan politik orang Melayu dan umat Islam yang semakin goyah dan tercabar akibat perpecahan, menyebabkan kuasa menentukan arah masa depan negara berada di tangan orang lain.
“Lebih dari itu, ketiadaan penglibatan yang aktif di pihak NGO Islam yang perihatin akan menyebabkan kepentingan umat Islam dan Islam itu sendiri akan terpinggir.
"Ini kerana politik adalah percaturan antara kuasa dan pengaruh dari pelbagai latar belakang yang berkepentingan,” katanya.
Justeru, beliau berhasrat agar masyarakat Islam dapat memberi sokongan yang padu dalam usaha murni Isma serta memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang akan dikemukakan kelak.
Katanya, tujuan penglibatan Isma dalam PRU13 antara lain adalah untuk memastikan kerukunan hidup masyarakat berbilang kaum berteraskan lunas perlembagaan yang saling menghormati hak satu sama lain berterusan.
Tujuan-tujuan lain ialah:
- untuk memastikan teras kenegaraan yang berpaksikan Islam, Melayu dan Raja terus dihormati
- Terlibat sama dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara tidak terjejas walau apapun keputusan PRU13
- memberi sumbangan dalam memastikan masa depan politik Malaysia yang lebih Islamik
- membantu mengukuhkan kedudukan politik orang Islam demi masa depan agama bangsa dan negara.
"Bagi memastikan penglibatan lebih bermakna, Isma telah mengarahkan semua ahli supaya berada dalam keadaan siap siaga dan bilik-bilik gerakan pilihan raya dibuka di semua kawasan-kawasan yang akan ditandingi.
"Umat Islam diharap dapat memberi sokongan yang padu kepada usaha yang murni ini dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada calon-calon yang akan dikemukakan," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment