Pages

Tuesday, April 28, 2015

10 tips bijak bersosial


April 28, 2015 Tarbiyyah, Utama 0


Antara aktiviti Kelab Remaja ISMA (KRIM)
Antara aktiviti Kelab Remaja ISMA (KRIM)

Oleh Muhammad Adil Faris
Diterjemah oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

Ramai orang membicarakan isu ‘bijak bersosial’. Ada yang mengatakan ia adalah nilai yang berada dalam seseorang individu yang menjadikannya mudah rapat dengan orang lain, mampu bergaul dengan masyarakat, memahami perasaan dan apa yang terbuku di hati mereka dan memberi kesan positif kepada orang di sekeliling.

Individu yang ‘bijak bersosial’ ini juga mudah mendapat kawan, berjaya di medan pentarbiyah, penerangan, pengurusan kerja, harta dan kerjaya, dalam ruang lingkup keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat umum.

‘Bijak bersosial’ adalah salah satu daripada sifat orang beriman. Sabda Nabi Muhammad SAW “Mukmin itu mesra.” Dalam riwayat lain Nabi bersabda, “Tiada kebaikan bagi mereka yang tidak mesra (dengan orang lain) dan orang tidak mesra bersamanya.” Riwayat Ahmad dan Tabrani.

Manusia adalah makhluk yang dicipta untuk bersosial. Dia tidak dapat lari daripada bersosial dengan orang di sekelilingnya. Dia juga tidak akan mencapai kejayaan hidup melainkan setelah dia berjaya dalam berkomunikasi.

‘Bijak bersosial’ bermaksud kemampuan untuk memahami orang lain, membina hubungan kepercayaan, memberi kesan positif dan saling memberi maklum balas dalam satu-satu keadaan.

Seperti mana ia adalah salah satu bentuk daripada bentuk kebijakan, ia juga adalah salah satu sifat keperibadian unggul. Ia adalah hasil daripada banyak faktor, antaranya faktor warisan (genetik), faktor suasana masyarakat terutama semenjak kecil, dan juga faktor-faktor yang boleh diusahakan melalui latihan.
Faktor terakhir ini yang menjadi perbincangan kita kerana kita mampu mengawal dan merancang ke arahnya.

Di sini saya senaraikan 10 tips yang merupakan langkah praktikal untuk membina sikap ‘bijak bersosial’ dalam masyarakat:

1. Menerima diri sendiri, menerima orang lain. Sembunyikan rasa tidak puas hati. Terimalah sifat negatif yang wajib ada dalam diri setiap orang.
Jika kita merenung diri sendiri, bahkan dalam diri orang lain kita akan dapati sifat-sifat yang kita tidak suka. Tidak mengapa. Kita perlu menerimanya dan menganggap ia adalah takdir Allah SWT.
Percaya dengan rahmat Allah, bantuan-Nya, nescaya anda akan mendapat keredhaan Allah dan diterima oleh orang lain dan dikasihi.

2. Ukir senyuman di wajah. Wajah yang senyum disukai oleh semua orang. Senyum adalah sedekah yang paling mudah dilakukan. Nabi bersabda “Senyumanmu kepada wajah kawanmu adalah sedekah.” Riwayat Tirmizi.
Syair mengatakan, “Wahai anak, sesungguhnya kebaikan yang mudah itu ialah wajah yang senyum dan percakapan yang lembut.”
Senyuman manis akan menenangkan hati individu itu sebelum menenangkan hati orang lain.

3. Menzahirkan kasih sayang dan kegembiraan kepada orang yang ditemui. Nabi bersabda, “Jika engkau menyukai saudaramu, beritahulah dia bahawa engkau menyukainya.” Riwayat Abu Daud dan Tirmizi.
Ketika bersalaman dengan orang lain, salahlah dengan kasih sayang. Pegang tangannya dan panjangkan tempoh bersalaman. Lihat kedua matanya dan bercakap kepadanya. Keadaan ini akan membuatkan orang yang disalam itu rasa disayangi.

Kemudian bertanyalah keadaan dirinya dengan soalan yang tidak menimbulkan rasa rimas seperti kesihatan dirinya dan keluarganya.

4. Bercakap dengan bahasa yang difahami, dengan intonasi sederhana. Gunakan perumpamaan yang memudahkan kefahaman pendengar. Tidak mengapa jika terpaksa mengulangi apa yang telah disebut dengan menggunakan cara sebutan lain atau perkataan lain.

Sayyidah Aisyah RA menyifatkan Rasulullah bercakap dengan percakapan yang boleh dibilang (ertinya berbilang kali).

Antara nasihat Imam Hasan Al-Banna ialah ‘jangan mengangkat suara lebih tinggi daripada kadar yang diperlukan oleh pendengar, kerana ia menyakitkan.”

Elakkan daripada menggunakan perkataan yang sukar difahami, atau akan disalah anggap oleh pendengar sebagai suatu yang menghina.

Setiap perkataan yang ingin disampaikan mempunyai pendengarnya tersendiri. Apa yang sesuai didengar oleh anak kecil, boleh jadi tidak sesuai didengari oleh orang dewasa. Apa yang sesuai didengar oleh saudara terdekat, boleh jadi tidak sesuai untuk didengar oleh orang awam.

5. Menjadi pendengar yang baik, diam apabila orang lain bercakap seperti mana kita suka apabila kita bercakap dan orang lain diam mendengar.

Lihat wajah orang yang bercakap. Dengar butir percakapannya dengan teliti. Jangan memotong percakapannya tanpa ada sebab penting.

Janganlah jadi niat mendengar itu untuk mencari kesilapan dalam sebutan dan percakapannya. Bertanya jika tidak bersetuju. Lontarkan hujah dan idea positif.

Jangan mengejek sehingga menyentuh isu peribadi. Jadikan perbualan fokus pada isu utama perbincangan.

Antara aktiviti Wanita ISMA
 Antara aktiviti Wanita ISMA

6. Berkata benar dan elakkan dakwaan-dakwaan palsu dan melampau.
Iktiraf kelebihan yang ada pada orang lain dan mengakui kebenaran yang disampaikannya.

7. Jadilah orang yaang tawaduk dan rendah diri. Rasakan dalam diri kelemahan dan tidak merasakan diri lebih baik daripada orang lain meskipun mereka lebih muda, atau pangkatnya lebih rendah, atau lebih miskin daripada kita.

Jangan menghina orang lain boleh jadi kedudukannya lebih mulia di sisi Allah, atau dalam aspek yang lain boleh jadi dia lebih hebat.

Tawaduk hakiki akan membuatkan kita berhati-hati dalam percakapan dan tingkah laku agar dapat mengelak daripada menghina orang lain.

Tawaduk palsu pula menyebabkan kita meninggi diri di hadapan orang lain dan hanya mencari kepuasan dan kemenangan untuk diri sendiri.

Tawaduk hakiki juga akan melatih diri untuk menerima kebenaran meskipun ia datang daripada pihak yang berlawanan.

Imam Syafie RA berkata, “Aku tidak akan berdebat dengan sesiapa kecuali aku suka agar Allah menerbitkan kebenaran melalui lisannya.”
8. Sambut riak gembira di wajah rakan, beri motivasi dan penghargaan. Ia akan membuktikan tanda persahabatan dan rendah diri.

Sebaliknya, jadilah pemaaf atas kesalahan rakan. Berusaha memberi teguran sebaiknya.

9. Merasai ketiadaannya apabila sudah lama tidak berjumpa. Bertanya khabar, lakukan ziarah ke rumah, melawati ahli keluarga mereka yang sakit, menghadiri majlis mereka, tunaikan hajat dan permintaan, menyumbang sekadar yang termampu untuk membantu mereka yang memerlukan sama ada kewangan, perkhidmatan dan kepakaran.

10. Hadis Nabi, “Antara tanda Islam seseorang itu, ialah meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya.” Riwayat Tirmizi. Ini perkara penting dan sensitif. Setiap manusia mempunyai isu peribadi yang tidak suka diketahui orang lain.

Orang yang bijak tidak akan bertanya perkara sulit, tetapi akan bertanya perkara yang membantu orang lain. Sekiranya ada perkara yang bercanggah dengan hukum Allah, semestinya akan ditegur dan dinasihati tetapi dilakukan dengan penuh hikmah.

Sumber: www.ikhwansyria.com

No comments:

Post a Comment