“Suatu
kisah yang diceritakan dalam tazkirah ramadhan di Masjid Sultan Zainal
Abidin Kuala Terengganu yang sangat mengharukan dan mampu menitis air
mata.
Seorang
lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam
dan sunyi. Tiba-tiba ia terpandang suatu cahaya yang terang benderang
muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa
sedikit ketakutan dan berdebar.
Terpegun
dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini
adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Samada ia seorang
waliyullah atau ulamak atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di
sisi Allah. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kuburan yang
bercahaya itu.
Keesokannya
lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani orang
kampung. Beliau ingin menyelidiki dan ingin mengetahui kubur siapakah
yang sangat ajaib itu.
Apakah seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulamak atau orang soleh yang terkenal?.
Bila
bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang
mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang
pernah mendiami sebuah pondok dihujung kampung bersama isterinya. Untuk
mengetahui dengan lebih lanjut , lelaki itu berkunjung kerumah simati
dan bertemu dengan isteri simati lalu menceritakan keajaiban yang
dilihat diperkuburan suaminya.
Anehnya
isteri simati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya.
Suaminya bukan siapa-siapa . Suaminya seorang petani kecil. Bukan
seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, apa lagi
bukan imam, bukan muazzin, bukan guru Quran. Malah suaminya tidak
pandai membaca Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca
Quran. Hal ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut
dan isteri simati.
Akhirmya
lelaki itu bertanya apakah perkara-perkara aneh yang simati selalu
lakukan dalam kehidupan sehari-harinya. Akhirnya isteri simati teringat
suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum
tidur pada setiap malam. Katanya , setiap malam sebelum tidur suaminya
akan mengambil wudhuk, kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu
diambilnya Al Qur’an di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan
penuh kecintaan dan kasih sayang.
Ia
akan duduk dan membelek Al Qur’an itu sehelai demi sehelai seperti
sedang membaca, sedangkan ia seorang yang buta Dia akan meraba-raba
ayat-ayat Al Qur’an itu dengan tangannya , seolah-olah sedang menyentuh
dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri simati lagi,
ia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat
sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.
“Tuhanku! ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah mu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”
“Wahai
Kalam Allah, maafkan kesalahan ku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu.
Aku tidak dapat bersahabat dengan mu. Aku tidak dapat memahami mu.
Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu. “
“Wahai Kalamullah, jangan lah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku dihadapanTuhan diakhirat nanti”.
Cerita isteri simati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani Al Qur’an buah hati kesayangannya.
Begitulah
suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat
Al Qur’an kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila
ia melihat naskah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya
kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Dan ada bekas-bekas airmata di
kertasnya ,tanda seseorang sering menangis berjurai airmatanya tatkala
membuka lembaran yang maha suci ini.
Pastinya
lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh
Al Qur’an Dia sangat mengasihi kalimat Tuhan dengan sesungguhnya.
Bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya. Marilah
kita menghidupkan Al Qur’an di dalam masjid kita, di dalam rumah kita,
di dalam diri kita, sepanjang masa. Perkisahan ini ditulis dan
disesuaikan semula untuk bacaan semua.”
Sumber: http://mediaislamik.org/2015/01/18/tidak-tahu-baca-al-quran-kuburnya-bercahaya-menjulang-ke-langit/
No comments:
Post a Comment