Pendahuluan
Dalam
melaksanakan ajaran-ajaran Islam yang syumul, umat Islam dituntut bukan
sekadar ikhlas, tetapi mestilah mengikut apa yang digariskan syara’.
Hari ini ramai dalam kalangan kita yang tidak mengetahui secara
terperinci bahkan salah faham terhadap konsep wala’ dan bara’ yang
sebenar. Sedangkan wala’ dan bara’ merupakan persoalan akidah yang mesti
difahami dan diteliti kerana terdapat banyak firman Allah yang menyebut
secara qat’ie tentang wala’ di dalam ayat al-Quran.
Justeru,
melalui penulisan ini saya ingin berkongsi sedikit pengenalan tentang
wala’ dan bara’, serta kepentingannya agar kita semua dapat mengenali
konsep sebenar wala’ dan bara’ seterusnya mampu mengaplikasikannya
dengan konsep yang sebenar di Malaysia.
Pengertian Wala’ dan Bara’
Wala’
adalah مصدر (kata terbitan) bagi perkataan (ولي) yang membawa maksud
pertolongan, perlindungan, ikutan, kecintaan, persahabatan, kesetiaan,
maksud yang berlawanan dengan musuh dan sebagainya[1].
Manakala Bara’ pula daripada perkataan (برئ) yang membawa maksud berlepas diri atau menjauhkan diri, peringatan, dan permusuhan[2] .
Al-wala’
menurut istilah ialah memberi pertolongan, kasih sayang serta kemuliaan.
Al-bara’ pula menjauhi dan melepaskan diri serta memusuhi selepas
memberi peringatan dan amaran[3] .
Konsep Wala’ dan Bara’[4]
Wala` yang sebenar hanya diberikan kepada Allah, Nabi SAW dan orang-orang yang beriman.
إِنَّمَا
وَلِيُّكُمُ اللّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ يُقِيمُونَ
الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ
“Sesungguhnya
penolong kamu hanyalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman,
yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan mereka tunduk kepada
Allah.”
(Al-Maidah: 55)
Wala`
kepada orang-orang beriman adalah dengan mencintai mereka karena iman
mereka, menolong, menasihati, mendoakan, mengucapkan salam kepada
mereka, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazah bagi yang mati,
membantu mereka dan berkasih sayang dengan mereka.
Bara`
kepada orang-orang kafir pula adalah dengan membenci mereka dari segi
agama, berlepas diri dari mereka, tidak cenderung kepada mereka atau
mengagumi mereka, berhati-hati sehingga tidak meniru mereka, menyelisihi
mereka secara syar’ie, berjihad melawan mereka dengan harta, lisan dan
pedang dan lain-lainnya yang merupakan tuntutan dari memusuhi karena
Allah.
Kepentingan Wala’ dan Bara’ dalam Islam[5]
- Sesungguhnya wala` dan bara` merupakan syarat iman sebagaimana firman Allah swt :
تَرَى
كَثِيرًا مِّنْهُمْ يَتَوَلَّوْنَ الَّذِينَ كَفَرُواْ لَبِئْسَ مَا
قَدَّمَتْ لَهُمْ أَنفُسُهُمْ أَن سَخِطَ اللّهُ عَلَيْهِمْ وَفِي
الْعَذَابِ هُمْ خَالِدُونَ وَلَوْ كَانُوا يُؤْمِنُونَ بِالله والنَّبِيِّ
وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مَا اتَّخَذُوهُمْ أَوْلِيَاء وَلَـكِنَّ كَثِيرًا
مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ
“Kamu
melihat kebanyakan dari mereka tolong-menolong dengan orang-orang kafir.
Sesungguhnya amat buruklah apa yang mereka sediakan untuk diri mereka,
iaitu kemurkaan Allah kepada mereka, dan mereka akan kekal dalam
seksaan. Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi dan kepada
apa yang diturunkan kepadanya, maka mereka tidak akan mengambil
orang-orang kafir itu menjadi penolong-penolong, tetapi kebanyakan
mereka adalah orang-orang yang fasik.” (Al-Maidah: 80-81)
Ibnu
Taimiyah berkata tentang ayat ini: “Ayat al-Quran ini menggunakan
jumlah syartiyyah dengan menggunakan huruf (لو ) ‘sekiranya’. Jumlah
syartiyyah ini menghendaki penafian kepada tuntutannya. Allah berfirman,
“Sekiranya mereka beriman kepada Allah, kepada Nabi dan kepada apa yang diturunkan kepadanya (Nabi), maka mereka tidak akan mengambil orang-orang kafir itu menjadi penolong.” (Al-Maidah: 82).
Ini
menunjukkan bahwa iman yang disebut dalam ayat ini menafikan, menentang
dan menolak pengambilan orang-orang kafir sebagai penolong. Barangsiapa
mengangkat mereka menjadi penolong, maka dia tidak menunaikan iman yang
diwajibkan kepadanya iaitu beriman kepada Allah, Nabi dan apa yang
diturunkan kepadanya.”
- Wala` dan bara` adalah tali simpul iman terkuat sebagaimana sabda Nabi SAW ;
(أوثق عرى الإيمان الحب في الله والبغض في الله)
“Tali simpul iman terkuat adalah menyintai karena Allah dan membenci karena Allah.”
(Riwayat Ahmad dan Hakim)
Syeikh Sulaiman bin Abdullah, penulis kitab Taisir al-Aziz al-Hamid, Syarah Kitab at-Tauhid berkata:
“Agama
akan menjadi sempurna, jihad dapat ditegakkan serta panji amar makruf
dan nahi mungkar dapat dikibarkan, sekiranya cinta kerana Allah, benci
kerana Allah serta wala’ dan bara’ kerana Allah. Jika manusia bersatu
di atas cara yang satu dan mengasihi orang-orang kafir tanpa permusuhan
dan kebencian, maka tidak akan ada perbezaan di antara yang hak dengan
yang batil, tidak pula antara orang-orang mukmin dengan orang-orang
kafir.
Jenis Wala’ yang Diharamkan
Syeikh Sa’id Hawwa berkata dalam buku penulisannya Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan[6] :
Sebahagian
daripada nas-nas al-Quran dan sunnah ada menggariskan tanda-tanda wala’
yang diharamkan yang menjadikan orang yang beriman itu menjadi munafik
dan mengeluarkan seseorang muslim itu dari sifat-sifat Islam.
Antara wala’ yang diharamkan oleh Allah:
- Memberi pertolongan atau kesetiaan, ketiadaan taat kepada Allah bersama-sama
dengan orang kafir, serta ada ikatan yang teguh dengan mereka.
Firman Allah :
أَلَمْ
تَرَ إِلَى ٱلَّذِينَ نَافَقُوا۟ يَقُولُونَ لِإِخْوَٰنِهِمُ ٱلَّذِينَ
كَفَرُوا۟ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ لَئِنْ أُخْرِجْتُمْ لَنَخْرُجَنَّ
مَعَكُمْ وَلَا نُطِيعُ فِيكُمْ أَحَدًا أَبَدًا وَإِن قُوتِلْتُمْ
لَنَنصُرَنَّكُمْ
“Apakah
kamu tidak memerhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada
saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab: “Sesungguhnya
jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersamamu, dan kami
selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapapun untuk (menyusahkan)
kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu.”
(Al-Hasyr : 11)
Termasuk
wala’ yang diharamkan dalam bahagian ini adalah perbuatan orang-orang
politik yang mengangkat orang-orang kafir dan mulhid (atheis) samada
mereka itu daripada individu, jemaah atau kumpulan. Termasuk juga
perbuatan orang-orang yang ‘berintisab’ (berhubung,bersetuju,menyokong)
dengan parti atau kumpulan yang sesat.
- Memberikan rahsia orang-orang mukmin kepada orang-orang kafir.
Firman Allah ;
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ عَدُوِّى وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَآءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِم بِٱلْمَوَدَّةِ
“Hai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu
menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka
(berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang..” (al-Mumtahanah : 1)
Kata Imam Ibnu Kathir ;
Adapun
sebab turunnya surah tersebut adalah kisah Hatib bin Abi Baltaah, di
mana Hatib ini adalah salah seorang lelaki Muhajirin, beliau juga salah
seorang ahli badar (ikut dalam perang Badar), masih mempunyai anak dan
harta di Mekah. Apabila Rasulullah saw berazam untuk menyerang Mekah
(fathul Makkah), pada waktu itu Rasulullah saw memerintahkan para
sahabat bersedia dengan kelengkapan perang dan berdoa:
اللهم عم عليهم خبرنا
“Wahai Tuhan! Sembunyikanlah berita kami ini daripada pengetahuan mereka”
Hatib
ingin membocorkan rahsia tersebut kepada ahli keluarganya di Mekah
dengan mengirimkan surat melalui seorang wanita Quraisy untuk
memberitahu mereka berita tentang keinginan Rasulullah SAW. Allah telah
mewahyukan kepada Nabi saw berkenaan dengan perbuatan Hatib sebagai
tanda mengabulkan doa Rasulullah SAW, lalu baginda SAW menghantar utusan
bagi merampas kembali surat tersebut.
Jelas di
sini, memberitahu kepada orang kafir tentang rahsia-rahsia orang mukmin
untuk menggagalkan perancangan orang mukmin atau kerana takutkan orang
kafir adalah merupakan wala’ yang terkeluar daripada iman melainkan
orang-orang yang bertaubat.
- Kecintaan dan kasih sayang
Firman Allah ;
لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْاخِرِ يُوَآدُّونَ مَنْ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ
“Kamu
tak akan mendapati kaum yang beriman pada Allah dan hari akhirat, saling
berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan
Rasul-Nya..”(al-Mujadalah : 22)
Rasulullah SAW bersaba ;
{المرء مع من أحبه}
“Seseorang itu bersama-sama dengan orang yang dicintainya.” (Muttafaqun alaih)
Ibnu Mas’ud berkata:
“Sekiranya
hamba Allah itu di antara batu dan maqam selama tujuh puluh tahun,
tidak dikumpulkan oleh Allah melainkan bersama-sama dengan orang yang
dicintainya.”
Barangsiapa
yang hatinya cenderung kepada kaum yang melakukan maksiat serta redha
dengan perbuatan maksiat mereka, maka dia termasuk dalam golongan
maksiat tersebut. Sama juga keadaannya apabila berjauhan dengan mereka
(tetapi hatinya menyokong).
Rasulullah SAW bersabda ;
إذا عملت خطيئة في الأرض كان من شهدها فكرها كمن غاب عنها، ومن غاب عنها فرضيها كان كمن شهدها
“Sekiranya
seseorang melakukan kesalahan di bumi, dan ada yang menyaksikannya,
maka hendaklah dia membencinya, sama juga seperti orang yang tidak
bersama dengannya. Sekiranya seseorang yang tidak bersama dengannya
(orang yang melakukan kesalahan) lalu dia meredhainya, maka dia sama
seperti orang yang menyaksikannya.” (Riwayat Abu Daud)
- Duduk bersama dengan orang-orang kafir dan munafik (dalam satu majlis) secara rela hati dan mendengar percakapan mereka tanpa membantah, marah atau keluar daripada majlis tersebut.
Firman Allah ;
وَقَدْ
نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلْكِتَٰبِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ
يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا۟ مَعَهُمْ حَتَّىٰ
يَخُوضُوا۟ فِى حَدِيثٍ غَيْرِهِۦٓ ۚ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ ۗ إِنَّ
ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلْمُنَٰفِقِينَ وَٱلْكَٰفِرِينَ فِى جَهَنَّمَ جَمِيعًا
“Dan
sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Quran bahwa
apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan
(oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk bersama mereka,
sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya
(kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka.
Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan
orang-orang kafir di dalam Jahannam.” (an-Nisa’ : 140)
Demikianlah
Allah berfirman, إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ : Sesungguhnya (apabila
kamu berbuat demikian), jadilah kamu serupa dengan mereka.
Banyak
tanda-tanda yang termasuk dalam perkara ini, antaranya ialah apabila
seseorang insan itu menyokong seruan orang-orang kafir, atheis, orang
yang melakukan maksiat serta syahwat (hawa nafsu), atau menghadiri
perayaan agama mereka.
Termasuk
juga dalam perkara tersebut adalah berhubung dengan parti-parti
(kumpulan) orang kafir serta mendokong pencalonan dan pilihan raya
mereka. Semuanya itu merupakan sebesar-besar jenis wala’ yang berlaku
di zaman kita. Tiada keraguan lagi bahawa sesiapa yang berbuat demikian
maka dia telah mengeluarkan dirinya dari sempadan keimanan kepada
sempadan nifaq.
Rasulullah SAW bersabda;
من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلغ ربقة الاسلام من عنقه وإن صلى وصام وزعم أنه مسلم
“Sesiapa
yang keluar daripada Jemaah sekadar satu jengkal, maka dia telah
meleraikan ikatan Islam dari tengkuknya meskipun dia solat dan puasa dan
menyangka bahawa dia muslim.”
(Riwayat Ahmad dan Tarmizi)
- Memberi ketaatan.
Sesungguhnya
Allah telah mengharamkan ke atas kita mentaati orang-orang kafir dan
munafik sehingga kita tidak mejadi seperti mereka. Al-Quran telah
menjelaskan secara terperinci berkenaan dengan mereka yang diharamkan
bagi kita memberikan ketaatan.
Firman Allah ;
وَإِن
تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِى ٱلْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِن
يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
“Dan
jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya
mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah
mengikuti persangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta
(terhadap Allah).”
( Al-An’am Ayat: 116)
Firman Allah lagi ;
وَلَا تُطِعِ ٱلْكَٰفِرِينَ وَٱلْمُنَٰفِقِينَ وَدَعْ أَذَىٰهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا
“Dan
janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik
itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakkallah kepada
Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pelindung.” (Al-Ahzab : 48)
Firman Allah lagi ;
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تُطِيعُوا۟ فَرِيقًا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟
ٱلْكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَٰنِكُمْ كَٰفِرِينَ
“Hai
orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari
orang-orang yang diberi Al Kitab, niscaya mereka akan mengembalikan kamu
menjadi orang kafir sesudah kamu beriman.” (Ali Imran : 100)
- ‘Tasyabbuh’ (penyerupaan). Sabda Rasulullah SAW ;
من تشبه بقوم فهو منهم
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Thabrani)
Sesiapa
yang menyerupai dengan Rasulullah SAW dan para sahabatnya, sesungguhnya
dia telah berwala’kan mereka dan dia dari kalangan mereka. Sesiapa yang
menyerupai orang-orang kafir maka dia adalah dari kalangan mereka. Tidak
termasuk apa yang diperkatakan itu perkara-perkara yang disepakati
bersama oleh manusia seperti makan, minum, dan berpakaian, akan tetapi
apa yang diperkatakan itu adalah bentuk syiar atau lambang khusus bagi
orang kafir.
Salah Faham Tentang Konsep Wala’ dan Bara’ di Malaysia
Banyak
fenomena atau situasi yang berlaku disebabkan salah faham umat Islam
terhadap konsep wala’ dan bara’. Kita ambil contoh di Malaysia bagaimana
berlakunya situasi salah faham umat Islam terhadap konsep ini.
Antaranya :
- Menjadikan orang kafir sebagai orang yang terpecaya, memberi jawatan yang tinggi bagi mengendalikan masalah negara serta menjadikan mereka sebagai penasihat.
Apabila
melihat sejarah Nabi Muhammad SAW hanya sedikit sahaja kisah yang
didapati bagaimana Rasulullah SAW meminta tolong dengan orang kafir
seperti menjadikan Abdullah bin Uraiqat seorang musyrikin yang diupah
sebagai penunjuk jalan tersembunyi menuju ke Madinah, dan bagaimana
Rasulullah SAW meminjam senjata peperangan dari Safwan bin Umaiyah yang
masih lagi seorang musyrik ketika itu.
Jika
diteliti perkara ini, Rasulullah SAW hanya meminta tolong bukan pada
perkara-perkara yang besar seperti melibatkan negara. Syeikh Muhammad
Sa’id Ramadan al-Buti di dalam kitabnya Fiqh Al-Seerah menyatakan bahawa
meminta pertolongan daripada orang kafir harus dengan syarat orang
Islam merasa yakin terhadap kebenaran dan kejujuran mereka, tidak
menyebabkan orang Islam dikuasai orang lain atau menyebabkan
tertinggalnya sebahagian perkara wajib dan fardhu yang dituntut dalam
agama serta tidak menjejaskan kehormatan dan maruah orang Islam.[7]
- Memberikan wala’ kepada parti dan pimpinan parti, atau jemaah yang tidak berdiri di atas satu akidah.
Salah
anggap ini berlaku kerana mereka mendapati syiar parti tersebut tidak
bercanggah dengan Islam, malah menguntungkan Islam. Perkara ini adalah
tidak betul sama sekali, kerana dasar pertubuhan parti atau kumpulan
tersebut bukanlah untuk menaikkan agama Islam bahkan mereka tidak pernah
berhasrat untuk menegakkan syariat-syariat Allah di atas muka bumi ini.
Hal ini berbeza dengan prinsip umat Islam.
- Banggakan mereka
Ramai umat
Islam hari ini menyatakan kebanggan mereka kepada orang bukan Islam
seperti sistem pendidikan yang mereka jalankan, sistem negara serta
demokrasi yang mereka laungkan, sistem sosial yang mereka bawa, terkesan
dengan liberalisma dan pluralisma, malah ada juga yang sudah
terpengaruh dengan gaya hidup mereka. Hakikatnya kita lupa bahawa
rosaknya akidah dan batilnya hati mereka jauh berbeza dengan
kesempurnaan Islam yang telah Allah kurniakan kepada kita.
Firman Allah ;
وَلَا
تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِۦٓ أَزْوَٰجًا مِّنْهُمْ
زَهْرَةَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ
خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ
“Dan
janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan
kepada golongan-golongan dari mereka, sebagai bunga kehidupan dunia
untuk Kami cubai mereka dengannya. Dan karunia Tuhan kamu adalah lebih
baik dan lebih kekal.” (Thaaha : 131)
Kesimpulan
Sesungguhnya
wala’ adalah persoalan yang tidak pernah mengenal tolak ansur lantaran
ianya adalah persoalan akidah, persoalan yang disebut secara qat’ie di
dalam al-Quran. Akidah yang benar akan membezakan seseorang itu daripada
orang-orang kafir dan golongan munafik.
Bertitik
tolak dari ini, Islam dan bukan Islam tidak boleh bersatu kerana
masing-masing mempunyai prinsip yang berbeza. Umat Islam yang mempunyai
prinsip dasar kepada akidah Islam berusaha untuk menaikkan agama Allah
tidak akan mampu mencapai kata sepakat dengan orang bukan Islam dalam
isu politik. Mana mungkin prinsip yang berlainan dapat bekerjasama,
saling bantu-membantu dan mencapai kata sepakat dalam memperjuangkan
prinsip masing-masing.
Sesungguhnya
perbuatan politik Islam yang betul ianya tidak bertentangan dengan
Islam dan berasaskan syara’, berazam untuk meninggikan syiar agama
Islam, dan dalam waktu yang sama ia tidak memberi ketaatan kepada orang
kafir. Politik yang seumpama ini kita boleh beri wala’ kepadanya.
Tetapi
tidaklah bermaksud umat Islam membenci dan memusuhi orang bukan Islam
semata-mata tanpa menafikan sifat toleransi dan tolak ansur kepada
mereka. Umat Islam diperintahkan agar berbuat baik, bersopan santun dan
berkata-kata yang mulia kepada mereka dalam perkara-perkara yang tidak
melibatkan soal akidah, dan hubungan yang baik itu tidaklah sama sekali
meredhai mereka kekal dengan agama mereka.
Dhabitah Panjaitan binti Maruli
Calon Ijazah Sarjana Usuluddin
Universiti Yarmouk, Jordan
Rujukan
[1] Ibnu Manzur, Lisanul Arab, jld 15, m/s 406-409
[2] Ibid, jld 1, m/s 33
[3] Syeikh Muhammad bin Sa’id alQahtani, Al-Wala’ wal Bara’ Fil Islam, m/s 89-90
[4] Abdul Aziz bin Muhammad Abdul Lathif, Nawaqidhul Iman al-Qauliyyah wal Fi’liyyah, m/s 360-361
[5] Ibid, m/s 358
[6] Syeikh Sa’id Hawwa, Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan, m/s 206-212
[7] Syeikh Syeikh Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti, Fiqh Al-Seeran An-Nabawiyyah, mls 308
Sumber: http://isma.org.my/v2/hubungan-orang-islam-dengan-bukan-islam-salah-faham-konsep-wala-dan-bara/
No comments:
Post a Comment