Pages

Sunday, June 28, 2009

Kenangan masa lalu 1

Aku bersyukur kepada Alalh swt. kerana dengan izinNya aku mendapat kesedaran agama ketika usiaku di awal 20an. Ketika itu aku masih belum jelas hala tuju dan matlamat hidup. Ketika aku masih tercari-cari dan berusaha untuk membentuk keperibadianku sendiri, membentuk imej diri yang lebih baik kerana aku sedar pada masa itu aku masih mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan yang perlu aku perbaiki. Alam kanak-kanak dan alam remaja yang telah aku lalui tidak banyak mengajar aku untuk memahami hakikat kehidupan ini.

Pergaulanku dengan kawan-kawan yang mempunyai latar belakang agama dan ustaz-ustaz yang memberi kuliah agama sedikit sebanyak telah membantuku untuk memahami agama dengan lebih mendalam.

Selepas aku memasuki alam perkahwinan, tanggungjawabku makin bertambah. Liku-liku kehidupan makin banyak aku lalui. Alam perkahwinan adalah berbeza dengan alam sebelum berkahwin. Aku merasai pegangan agama yang ada padaku telah banyak membantuku di dalam aku melayari kehidupanku dari dulu sampai sekarang. Banyak masalah dapat diselesaikan bila kita mengambil agama sebagai jalan penyelesaian.

Saturday, June 27, 2009

Sahabat

Aku masih terkenangkan kursus yang aku ikuti pada minggu yang lepas. Rupanya salah seorang daripada fasilitator adalah kawan lamaku, CARM. Aku agak tergamam apabila melihat wajahnya, dan rasa bersyukur kepada Allah yang menyusun untuk kami dapat bertemu semula. Kami bersahabat sekitar awal tahun lapan puluhan.
Masa itu dia mengajar di sebuah sekolah di kawasan tempat tinggalku. Kami sama-sama berusrah dan dia sebagai ketua usrahku. Ketika itu aku baru mula berjinak-jinak dengan usrah dan baru mula untuk memahami tentang gambaran islam yang sebenarnya. Maklum sajalah... aku ini bukan datangnya daripada latar belakang yang kuat beragama sangat.
Aku masih mengingati persoalan-persoalan yang sering beliau kemukakan dalam perjumpaan kami, diantaranya ' Dari mana kamu datang, untuk apa kamu di datangkan dan kemanakah kesudahan kamu?.' Apakah ertinya kita sebagai muslim, apakah peranan dan tanggung jawab kita sebagai muslim. Apakah makna islam itu yang sebenarnya dan perkara-perkara yang berhubung dengan tauhid.
Di akhir 1980an beliau telah sambung belajar dan bertugas di tempat lain. Aku merasakan kemanisan bersahabat dengan beliau. Begitu juga aku merasakan hubungan yang akrab dengan kawan-kawan atau sahabat-sahabatku yang lain jika mereka mempunyai kecenderungan yang sama denganku, iaitu berusaha untuk mencari kebaikan dan keredhaan Allah swt.

Thursday, June 25, 2009

Blogku ini

Hari ini adalah hari pertama aku belajar daripada seorang kawan bagaimana untuk menghasilkan blog dan terus terhasilnya blogku ini. Sebelum ini 'blog' agak samar-samar bagi diriku yang agak lewat mengenali komputer dan internet. Namun aku cuba untuk mewujudkan blog ini, sekurang-kurangnya ianya dapatku jadikan sebagai dairi hidupku yang aku akan catatkan peristiwa-peristiwa semalam, hari ini dan esok. Untuk kenangan buat diriku sendiri. Juga ruang untuk aku mentazkirah diriku, di samping untuk teman-teman lain yang sudi menjengok.
Semalam telah berlalu, hari ini akan berlalu dan hari esok pasti berlalu. Aku tidaklah mahu mengenangkan sangat hari-hari yang telah berlalu, tetapi aku merasakan bahawa aku perlu belajar daripada pengalaman-pengalaman yang telah aku lalui. Ada perkara-perkara yang amat berharga yang perlu aku kutip kembali sebagai bekalan untuk aku bawa untuk menghadapi hari esok. Lalu aku terfikir.....hari bagiku amatlah singkat dan terbatas, hari semalam telah berlalu, hari esok belum pasti dan hari inilah sahaja yang ada untuk aku menafaatkan dengan sebaik-baiknya. Walaupun aku masih mengharapkan hari esok akan jadi hari ini................

Wednesday, June 24, 2009

Amalan 5S kaizen

Semalam dan dua hari yang lepas aku telah mengikuti kursus amalan 5S di tempat kerja ku. Aku rasa kursus itu amat bertepatan untuk diriku yang sebelum ini amat tidak mengambil berat tentang menyusun dan mengemas bilik tempat aku kerja. Aku dapati amalan 5S ini sesuai sekali dilaksanakan di semua tempat, samada di tempat kerja mahupun di kawasan kediaman kita.