Aku masih terkenangkan kursus yang aku ikuti pada minggu yang lepas. Rupanya salah seorang daripada fasilitator adalah kawan lamaku, CARM. Aku agak tergamam apabila melihat wajahnya, dan rasa bersyukur kepada Allah yang menyusun untuk kami dapat bertemu semula. Kami bersahabat sekitar awal tahun lapan puluhan.
Masa itu dia mengajar di sebuah sekolah di kawasan tempat tinggalku. Kami sama-sama berusrah dan dia sebagai ketua usrahku. Ketika itu aku baru mula berjinak-jinak dengan usrah dan baru mula untuk memahami tentang gambaran islam yang sebenarnya. Maklum sajalah... aku ini bukan datangnya daripada latar belakang yang kuat beragama sangat.
Aku masih mengingati persoalan-persoalan yang sering beliau kemukakan dalam perjumpaan kami, diantaranya ' Dari mana kamu datang, untuk apa kamu di datangkan dan kemanakah kesudahan kamu?.' Apakah ertinya kita sebagai muslim, apakah peranan dan tanggung jawab kita sebagai muslim. Apakah makna islam itu yang sebenarnya dan perkara-perkara yang berhubung dengan tauhid.
Di akhir 1980an beliau telah sambung belajar dan bertugas di tempat lain. Aku merasakan kemanisan bersahabat dengan beliau. Begitu juga aku merasakan hubungan yang akrab dengan kawan-kawan atau sahabat-sahabatku yang lain jika mereka mempunyai kecenderungan yang sama denganku, iaitu berusaha untuk mencari kebaikan dan keredhaan Allah swt.
No comments:
Post a Comment