Pages

Monday, October 26, 2009

Airmata Rasulullah

Ketika aku menyemak e mail lama untuk aku 'delete', aku terbaca satu e mail yang pernah dihantar oleh seorang kenalan kepadaku, agak lama dulu. Aku ingin kongsikan isinya supaya kita sama-sama dapat mengambil pengajaran daripadanya.

AIR MATA RASULULLAH S.A.W.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"“Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,"tutur Fatimah lembut.
Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang."Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan."Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi."Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?""Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umatMuhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini. "Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" TanyaRasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyatnya maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum- peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu."

Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan."Ummatii, ummatii, ummatiii?" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Berselawatlah kita ke atas Baginda. Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Monday, October 19, 2009

Menjaring kelawar di Setiu Wetland

















Pada 15-17 Okt. iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu baru-baru ini saya telah diminta untuk membantu pelajar-pelajar yang menjalankan kajian kelawar dan nipah di Setiu Wetland untuk projek penyelidikan tahun akhir mereka. Kami bertolak daripada UMT hampir pukul 5.30 petang. Sampai di sana sudah pukul 6.00 lebih dan terus memasang jaring kelawar. Sempat juga pasang 6 jaring di kawasan nurseri sebelum hari gelap. Keesokannya tambah lagi 6 jaring di nurseri dan kawasan paya. Tangkapan amat memuaskan.




Malam kedua saya dikejutkan dengan berita seorang pelajar dipagut ular ketika menjalankan kajian di kawasan bakau sekitar pukul 11.30 malam. Kami membawanya ke hospital Permaisuri dan dia di tahan di wad. Kami kembali dan tiba di Stesen setelah selesai urusan pukul 2.00 lebih.


Alhamdulillah... keadaan pelajar yang dipagut ular tidak membahayakan, dan dapat keluar daripada hospital sehari kemudian.


Ingin saya kongsikan beberapa foto buat tatapan.















Tuesday, October 13, 2009

Suatu petang di Pantai UMT.

Acara sukan pelajar-pelajar beruniform dan
amali prinsip ekologi berjalan serentak










Monday, October 12, 2009

Sedikit bicara.....buat sahabat

Sahabat.....
Pagi ini aku ingin mencoretkan sedikit bicara buatmu. Akhir-akhir ini dirimu selalu hadir dalam ingatanku. Kenangan lama ketika kita mula bersahabat muncul kembali di dalam benakku. Aku selalu meletakkan dirimu sebagai salah seorang yang penting di dalam hidupku. Aku selalu menghadirkan dirimu di dalam munajatku kepada Yang Maha Esa, dan... mengharapkan agar dirimu juga beroleh kebaikan-kebaikan di dunia dan di akhirat.

Persahabatan kita selama ini membuatkan aku mengenali dirimu bahawa kau seorang yang mempunyai naluri dan pandangan hidup yang tidak banyak bezanya dengan diriku. Akhlakmu menyebabkan aku rasa dekat denganmu. Sifat kasih sayang yang ada padamu menyebabkan aku merasakan dirimu seperti saudaraku sendiri.

Memang di dalam kehidupan kita, kita mempunyai ramai kawan dan kenalan. Tetapi untuk mendapat kawan yang mempunyai sama kefahaman agak sukar. Aku teringat ketika kita pernah sama-sama berusrah dulu. Aku rasa sebab itulah kita diberikan penekanan yang bersungguh-sungguh kepada tiga rukun usrah, iaitu mula-mula kita saling berkenalan, kemudian kita saling bersefahaman dan seterusnya kita saling berseimbangan, iaitu saling bantu membantu, lengkap melengkapi dan saling memperkuatkan sesama kita.

Sahabat,
Maaafkan aku, kerana keadaan tidak mengizinkan, aku memohon untuk menyambung bicaraku di kemudian hari. Salam mesra buatmu dan keluarga.

Wassalam.....

Sunday, October 11, 2009

Pengalaman....jamuan raya.

SEMALAM-11/10/09, merupakan hari yang agak bermakna bagiku. Rumahku dikunjungi oleh para tetamu bermula daripada pukul 11.30 pagi, tidak putus-putus sehinggalah menjelang waktu isyak. Semalam aku dan isteriku menjemput jiran -jiran yang berdekatan serta sahabat-sahabat dan kawan-kawan tempat kerjaku dan isteriku untuk jamuan raya. Tidak ketinggalan turut kujemput pelajar-pelajar yang agak rapat denganku termasuk beberapa orang pelajar daripada Sudan, Nigeria, dan Oman. Aku bersyukur kepada Allah swt. kerana juadah yang kami sediakan adalah mencukupi dan tidak berlaku terlalu banyak pembaziran.

Yang sebenarnya, sehari sebelumnya aku dan isteriku telah bertungkus lumus membuat persediaan menyediakan makanan untuk jamuan tersebut sehinggalah ke pukul 4 pagi. Kebanyakan makanan kami masak sendiri. Untungnya kerana isteriku pandai memasak. Bolehlah jimat duit sedikit. Lebih-lebih lagi isteriku pandai membuat nata de coco dan jeli kelapa yang menjadi tarikan para tetamu.

Mula-mulanya aku bimbang juga kalau-kalau makanan yang kami sediakan tidak mencukupi. Maklumlah jemputan agak ramai. Aku berdoa kepada Allah agar semuanya berjalan dengan baik, dan aku merasakan dengan perkenan Allah jugalah majlis yang diadakan semalam berjalan dengan amat memuaskan.

Keletihan membuat persediaan kami rasakan berbaloi............. Alhamdulillah..

Sunday, October 4, 2009

Puasa Syawal & Trajidi Padang

Hari ini adalah 16 hb. Syawal. Bagi kita yang masih ingin meneruskan berpuasa, dengan berpuasa 6 hari di bulan Syawal , masih ada peluang lagi untuk kita berpuasa. Apa salahnya kita saling memperingatkan sahabat-sahabat kita untuk sama-sama melakukan amalan yang mulia ini. Sekurang-kurangnya ia boleh memberikan kebaikan kepada kita bersama.

Aku teringat kata-kata seorang kawanku yang bergiat di dalam satu badan dakwah. Katanya, kadang-kadang setengah orang silap di dalam membuat tanggapan tentang ibadat sunat . Mereka anggap, perkara yang sunat ni, kalau tak buat tak apa atau tidak berdosa dan kalau buat dapat pahala. Katanya, sepatutnya kita perlu nampak, kalau tak buat perkara sunat, kita rugi. Tak dapat apa-apa tu rugi lah... Betul juga, cuba bayangkan, kalaulah pahala itu ibarat duit. Orang lain dapat duit, tapi kita tak dapat. Rugi kan!! Kalau nak buat yang wajib sahaja berapa banyak sangat perkara-perkara yang wajib. Sedangkan perkara yang wajib sendiri pun ramai yang tinggalkan, seperti solat dan menutup aurat.

Beralih kepada peristiwa sedih yang telah menimpa saudara-saudara kita di Padang, Sumatera. Kita patut turut rasa simpati di atas trajidi yang menimpa mereka. Baru beberapa hari mereka (kita semua) bergembira menyambut lebaran. Kenangan manis belum hilang di ingatan. Tiba-tiba trajidi sedih telah menimpa mereka. Cuba kita bayangkan jika kejadian sebegitu menimpa diri kita sendiri. Kita masih mampu menarik nafas lega kerana kita tidak berada sebagaimana situasi yang mereka rasai. Namun ianya perlu menjadi iktibar bagi kita. Apabila Allah kehendaki sesuatu perkara itu berlaku, ia pasti berlaku. Hari ini hari mereka dan hari esok kita belum tahu apa yang bakal menunggu diri kita sendiri.

Berdoalah kebaikan untuk mereka dan untuk diri kita juga. Bantulah mereka dengan memberikan sumbangan , baik yang berbentuk material mahupun spiritual.