Pages

Monday, May 31, 2010

Nasihat Untuk Pengantin Perempuan




Dalam seminggu dua ini saya menerima banyak undangan ke majlis kenduri kahwin. Tergerak di hati saya untuk mengongsikan satu nasihat yang baik yang diberikan oleh Ummu Hakim kepada puterinya yang akan melangsungkan pernikahan. Semoga ianya bermenafaat untuk kita bersama.


Ummu Hakim berpesan kepada puterinya:
“Anakku, kamu akan meninggalkan suasana tempat kamu dilahirkan. Kamu akan meninggalkan sarang tempat kamu dibesarkan, berpindah ke sarang lain yang belum pernah kamu kenal. Dan kamu akan memperolehi teman hidup yang belum pernah menemanimu.

Dia berkuasa ke atas diri kamu, dia menjaga kehidupanmu. Oleh itu hendaklah kamu menempatkan dirimu sebagai hamba baginya dan dengan berbuat begitu dia pula akan menjadi hamba kepada kamu (membalas kepatuhan dengan sebaik-baiknya).

Anakku, perhatikan baik-baik beberapa pesanku ini kerana ia boleh menjadi bekal yang berguna bagi kamu:

Temanilah suami kamu dengan cara hidup serba sederhana, merasa cukuplah dengan apa yang ada dan bergaullah dengan kebaikan dan kepatuhan.

Jagalah diri kamu baik-baik di hadapan mata dan hidungnya supaya kamu tidak kelihatan buruk dalam pandangannya dan jangan sampai dia tercium bau yang tidak enak dari tubuhmu. Bercelaklah kerana celak adalah hiasan yang terbaik. Dan ketahuilah bahawa air ( yakni kebersihan diri yang sentiasa dipelihara) adalah pengganti terbaik minyak (wangian) yang kamu tidak punyai.

Perhatikanlah dengan baik waktu makan suamimu dan jagalah ketenangannya waktu dia sedang tidur. Rasa lapar dapat menimbulkan kemarahan dan demikian juga tidur yang terganggu.

Jagalah keselamatan hartanya dan keamanan rumahmu, peliharalah kehormatannya dan hormatilah anggota-anggota keluarganyanya. Dengan menjaga kehormatan harta bendanya kamu akan dihargai dan dengan menghormati anggota keluarganya, kamu akan diberikan perhatian yang baik.

Sekali-kali jangan kamu membicarakan rahsianya dengan orang lain dan jangan pula kamu menentang perintahnya. Kalau kamu sebarkan rahsianya kamu akan dapati dia tidak akan jujur terhadap dirimu dan kalau kamu tentang perintahnya, dia akan marah kepadamu.


Janganlah kamu gembira ketika dia sedang berduka dan jangan pula kamu bersedih ketika dia sedang bergembira. Sebab yang pertama itu membuktikan ‘akalmu pendek, manakala yang kedua itu pula boleh mengeruhkan fikirannya.

Jadilah kamu orang yang paling menghormati suamimu, pasti dia akan menjadikan dirinya orang yang paling memberi penghargaan besar terhadap dirimu. Jadilah kamu orang paling mudah menyetujui pendapatnya, nescaya dia akan menjadi orang yang paling lama menemani hidupmu.

Akhirnya, ketahuilah, kamu tidak akan dapat memperolehi keinginanmu sebelum kamu mengutamakan kesukaannya melebihi kesukaanmu sendiri, sebelum kamu mengutamakan kesenangannya lebih daripada kesenanganmu sendiri, samada dalam perkara yang kamu suka ataupun dalam perkara yang kamu tidak suka.
Semoga Allah SWT menunjukkan bagi kamu pilihan yang baik.”

Wednesday, May 12, 2010

Rasa syukur....


As we take Knowledge, we should spread Knowledge too.



Saya rasa bersyukur kepada Allah swt. kerana semalam saya telah dapat memasukkan….'al-Quran' ke dalam blog saya dengan bantuan seorang kawan..

Dengan yang demikian, saya dengan mudah dapat menatap Al-Quran, mendengar bacaan al-Quran daripada qari-qari yang terdapat di dalam senarai, dapat mengetahui terjemahan ayat-ayat al-Quran dan sedikit sebanyak dapat mengetahui hukum-hukum tajwid.

Saya juga menjemput saudara untuk sama-sama memenafaatkannya. Sila klik…Quran Explorer…di sebelah kanan….

Saya juga memasukkan 'Pembina' ke dalam blog list saya. Mungkin ianya bermenafaat untuk para belia.

Saya bukanlah mahir sangat dalam penggunaan komputer dan mengendalikan blog. Saya telah memperbaiki penampilan blog saya sedikit demi sedikit sehinggalah seperti yang dapat dilihat sekarang. Itu pun masih banyak kekurangan berbanding dengan blog-blog orang lain yang saya kagumi.

Apa yang penting bagi saya, blog saya dapat dijadikan sebagai saluran dakwah. Agar saya dapat memasukkan bahan-bahan yang bercorak agama dan mengajak kepada kebaikan. Supaya tetamu saya dapat mengambil menafaat darinya.

Saya masih memasukkan hasil tulisan orang lain ke dalam blog saya supaya ianya dapat dikongsi bersama. Kalau harapkan saya sendiri untuk menulis bahan-bahan ugama untuk blog saya…..setakat mana sangat yang saya mampu.

Namun, di dalam usaha-usaha untuk memertabatkan Islam sebagai sistem hidup, saya usahakan juga sekadar termampu. Menggerakkan dakwah dalam ruang-ruang yang saya boleh lakukan.

Dalam situasi umat Islam berada di dalam keadaan lemah, siapa pun kita dan dalam situasi mana pun kita berada, kita perlu memberikan sumbangan kepada Islam. Lakukanlah yang terbaik yang kita mampu.

Sebagaimana kata-kata orang Inggeris:

If you can’t be a highway, then just be a trail,
If you can’t be a sun, be a star,
It isn’t by the size that you win or fail-
Be the best of what ever you are!

Namun jalan yang terbaik ialah dengan kita menggabungkan diri kita ke dalam kumpulan-kumpulan atau persatuan-persatuan Islam. Kerana yang lemah akan menjadi kuat jika kita bersatu. Islam menuntut kita supaya berjemaah.

Setakat ini dulu di pertemuan ini. Semoga jumpa lagi di waktu yang lain.

Sunday, May 9, 2010

Kenyataan Ikhwan Muslimin sempena memperingati ulang tahun Nakbah Palestin ke-62


Hari yang bersejarah ini (Nakbah Palestin) pastinya akan menjadikan para pengkaji dan pemikir Islam yang berkecimpung dalam setiap bidang, dari setiap golongan, untuk menelaah sebab-sebab, dan faktor-faktor serta kesan-kesannya terhadap dunia Islam. Tabiat musuh dan ketamakannya, cara untuk berhadapan dengannya, dan menentangnya, pasti ia akan dikaji dan dihuraikan dalam bentuk-bentuk yang lebih luas. Perkara ini khususnya, adalah kerana Nakbah (yang bermaksud tragedi berdarah) yang telah bermula pada tahun 1948 ini masih lagi berterusan dan berpanjangan hari demi hari.

Penjajahan Zionis terhadap Palestin hari ini bukanlah seperti penjajahan Barat terhadap negara-negara Islam pada kurun ke-19 dan ke-20, yang hanya berlalu dan pergi, tetapi ia lebih daripada itu. Ia adalah satu jenis penjajahan penghapusan etnik dan penempatan haram secara kekerasan dan keganasan yang terus berkembang tanpa mempedulikan mana-mana peraturan antarabangsa. Dengan inspirasi daripada kecelaruan akidah mereka dan beralaskan dakwaan-dakwaan sejarah, mereka terus berusaha untuk menguasai bumi Palestin itu dan mengosongkan ia daripada penduduknya, dengan keganasan dan pembunuhan, menghalau penduduk tempatan, memusnahkan kampung dan ladang serta menggantikan tempat penduduk Palestin dengan Yahudi yang datang dari seluruh dunia.

Walaupun mereka telah mengisytiharkan negara haram mereka (Israel) pada tahun 1948, tetapi mereka sebenarnya belum lagi meletakkan garis pemisah di antara negara mereka dengan negara-negara lain. Ini kerana mereka masih lagi meneruskan misinya iaitu memperkembangkan tanah jajahan mereka sehingga mencapai objektif mereka iaitu mendirikan Israel Raya (Israel Kubra) yang terletak di antara Sungai Nil dan Sungai Furat. Mereka juga berusaha untuk menghancurkan Masjid Al-Aqsa untuk mendirikan Haikal Sulaiman yang mereka dakwa. Ben Gurion telah berkata: “Tiadalah erti Israel tanpa Al-Quds, dan tiadalah erti Al-Quds tanpa Haikal”. Mereka berusaha untuk menakluk rantau itu dan menguasai segala kekayaannya, dalam masa yang sama memperhambakan rakyatnya dengan cara yang zalim. Ia merupakan suatu projek penjajahan yang lengkap yang berasaskan kepercayaan agama.

Ketika mereka mula menjejakkan kaki mereka ke tanah kita, tanah ini tidak pernah mengenal erti keamanan dan keselesaan serta apa-apa bentuk pembangunan, yang ada hanyalah peperangan dan kecelakaan, pada tahun-tahun seperti 1948, 1956, 1967, 1982 dan 2006. Segala malapetaka yang menimpa telah menyebabkan kemusnahan, pembunuhan, pertumpahan darah dan pembaziran harta benda serta kemunduran.

Segala penyembelihan yang telah mereka lakukan terhadap rakyat Palestin seperti di Deir Yasin, Qabyah, Kafr Qasim, Khan Yunis, dan banyak lagi kampung-kampung yang lain, telah mengorbankan orang-orang tua dan kanak-kanak serta menguburkan janin-janin, menghancurkan rumah-rumah, yang telah berlaku beberapa kali di Qana, Beirut, Sabra dan Syatila, dan Bahrul Baqar di Mesir. Pembunuhan tawanan Palestin dalam perang 1956 dan 1967, menanam mereka hidup-hidup, konspirasi untuk mengambil sebahagian daripada kawasan Sungai Nil, meletakkan perisik untuk mengetahui rahsia ketenteraan dan ekonomi, usaha untuk memisahkan Selatan Sudan daripada bahagian utaranya, penyebaran fitnah terhadap Darfur untuk memecahbelahkan negara-negara Arab, menyemarakkan permusuhan PLO dan HAMAS, pengepungan di Jalur Gaza, segalanya adalah kekejaman dan kezaliman untuk menundukkan rakyat Palestin dan menimbus isu sebenar (agenda mereka membina Israel Raya).

Ia juga termasuk dalam konspirasi mereka terhadap apa yang berlaku di Iraq dan penjajahannya, dengan menyemarakkan isu perkauman, lantas mengakibatkan kehancuran dan kemusnahan pada setiap sudut kawasannya. Mereka juga berusaha untuk melakukan perkara yang sama kepada Iran, kerana merasakan ia mampu menggugat mereka dengan teknologi persenjataan nuklear yang dimiliki oleh negara Iran. Ini semua telah jelas membuktikan bahawa mereka ini bukanlah manusia biasa yang mempunyai sikap kemanusiaan yang murni, tetapi mereka adalah ibarat binatang buas yang dahagakan darah, yang sentiasa ingin mengambil dan menguasai apa yang ada pada tangan-tangan kita, dan menakluk bumi di bawah tapak kaki kita.

Segala perkara yang berlaku ini bersumberkan kepada kefahaman mereka yang sangat-sangat merendahkan manusia selain mereka. Hakham Shamon Bar telah berkata: “Kamu semua wahai para Yahudi inilah yang dinamakan manusia, sedangkan para haiwan itu tidak dinamakan manusia!”. Hakham Eido Alba berkata: “Sesungguhnya pengharaman untuk membunuh dan menumpahkan darah manusia tidak dihukum ke atas Yahudi sekiranya yang dibunuh adalah bukan Yahudi, dibolehkan untuk membunuh selain Yahudi (ke atas bangsa yang kita peranginya) termasuklah wanita dan kanak-kanak”.

Semua jenayah yang kejam tanpa perikemanusiaan itu memerlukan penentangan dan pengutukan kita terhadapnya. Sekiranya kita berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa, ia bererti kita memberi mandat kepada mereka dalam jenayah ini, walaupun ia telah melukakan perasaan setiap bangsa Arab dan umat Islam, walaupun ia telah mengorbankan jutaan rakyat Palestin.

Penentangan terhadap projek yang hina dan penghancuran Zionis terhadap Al-Aqsa ini tidak boleh tidak mestilah dengan projek dunia Arab dan dunia Islam seluruhnya. Ia perlu bagi menolak sebarang operasi-operasi damai yang dicadangkan sejak tahun 2002, menolak sebarang pengiktirafan kuasa besar Zionis, menilai semula rundingan damai dan hubungan diplomatik bersamanya, menolak sebarang bentuk tolak ansur yang sia-sia di antara Zionis dan Palestin, tidak menerima sebarang perdamaian di antara mereka dengan mana-mana negara Arab, menolak sebarang pengiktirafan terhadap tanah yang telah dirampas dan rakyat yang dihalau serta meng-Yahudi-kan Al-Quds, menyuarakan pandangan umum, di peringkat Mesir, dunia Arab, dan dunia Islam, serta seluruh dunia untuk menegakkan kebenaran bagi pihak rakyat Palestin, mengheret segala penjenayah peperangan ke muka keadilan, mengambil segala aspek kekuatan politik untuk membebaskan rakyat-rakyat daripada penindasan dan mengelakkan mereka daripada kemusnahan, membina dan mentarbiyah rijal-rijal di atas tunjang keimanan dan prinsip-prinsip, berusaha untuk menjadi penyatu yang menyatukan saf-saf umat di negara Arab, dan negara-negara Islam, paling kurang pun di rantau ini, mengumpulkan segala kekuatan ekonomi dengan persepakatan di antara negara-negara ini, mengkaji secara ilmiah terhadap perkara ini dan mementingkan perindustrian dan pembangunan Palestin, menyokong penentangan terhadap Zionis dalam apa jua bentuk sekalipun, menghancurkan pengepungan terhadap Jalur Gaza, serta berusaha untuk menegakkan keadilan buat rakyat Palestin.

Marilah kita bersama-sama merenung kembali ayat Al-Quran:

“Kamu akan mendapati manusia yang paling benci dan memusuhi orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrikin” (Surah Al-Maidah: 82)

“Janganlah kamu merasa lemah dan janganlah bersedih, kerana sesungguhnya kamu adalah lebih tinggi martabat daripada mereka sekiranya kamu beriman” (Surah Ali Imran: 139)

Ikhwan Muslimin,
Kaherah,
10 Jamadil Awal 1431H bersamaan 24 April 2010M

Tuesday, May 4, 2010

STRESS





Di dalam kehidupan kita, pada ketika-ketika tertentu kita tidak boleh lari daripada berhadapan dengan sesuatu masalah, cabaran, kesusahan dan sebagainya. Masalah ini pula berpunca daripada berbagai-bagai sumber. Masalah kerja, masalah kewangan, masalah rumah tangga, kehilangan orang yang dikasihi atau tempat pergantungan dan sebagainya.

Perkara ini adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Masalah yang dihadapi kadang-kadang mendatangkan satu tekanan kepada diri seseorang menyebabkannya berada dalam keadaan resah gelisah ataupun disebut stress.

Stress adalah hasil daripada ketidak seimbangan diantara cabaran-cabaran yang kita hadapi dengan keupayaan kita dalam menangani cabaran tersebut.

Stress juga berlaku apabila seseorang dibebankan dan diletakkan berbagai-bagai permintaan ke atas diri mereka dan timbul kekhuatiran jika semua beban dan permintaan ini tidak dapat diatasi.

Orang-orang yang mengalami stress menyebabkan diri mereka menjadi gelisah, risau, takut, sedih, fikiran bercelaru, keyakinan diri menurun dan sebagainya.

Rasulullah mengajar kita satu doa yang amat sesuai sekali kita baca setiap hari lebih-lebih lagi ketika hati kita dilanda kesedihan dan kegelisahan.

Doa ini ada hubungkait dengan sifat-sifat yang ada dalam diri manusia dan punca-punca manusia ditimpa stress. Bacalah doa ini dengan ikhlas dan tujukan permohonan kita kepada Allah dengan hati yang bulat.



Berdoalah kepada Allah, kerana Dialah yang mentakdirkan sesuatu perkara itu berlaku. Susah senang, sihat dan sakit, hidup dan mati dan lain-lain lagi semuanya dengan izin Allah.

Banyak hikmah di sebalik kesusahan, kepayahan yang Allah berikan kepada kita. Kebiasaannya kita akan lebih ingat kepada Allah dan lebih bergantung kepadaNya ketika kita dalam kesusahan.

Penyelesaian lain ketika kita stress, berbincanglah dengan orang-orang yang kita percayai boleh membantu kita. Jangan biarkan kegelisahan itu kita tanggung sendiri. Mungkin ada di kalangan kenalan-kenalan kita yang boleh membantu. Rasa stress akan berkurangan apabila kita dapat luahkan segala masalah kita kepada orang lain.