Pages

Tuesday, May 4, 2010

STRESS





Di dalam kehidupan kita, pada ketika-ketika tertentu kita tidak boleh lari daripada berhadapan dengan sesuatu masalah, cabaran, kesusahan dan sebagainya. Masalah ini pula berpunca daripada berbagai-bagai sumber. Masalah kerja, masalah kewangan, masalah rumah tangga, kehilangan orang yang dikasihi atau tempat pergantungan dan sebagainya.

Perkara ini adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Masalah yang dihadapi kadang-kadang mendatangkan satu tekanan kepada diri seseorang menyebabkannya berada dalam keadaan resah gelisah ataupun disebut stress.

Stress adalah hasil daripada ketidak seimbangan diantara cabaran-cabaran yang kita hadapi dengan keupayaan kita dalam menangani cabaran tersebut.

Stress juga berlaku apabila seseorang dibebankan dan diletakkan berbagai-bagai permintaan ke atas diri mereka dan timbul kekhuatiran jika semua beban dan permintaan ini tidak dapat diatasi.

Orang-orang yang mengalami stress menyebabkan diri mereka menjadi gelisah, risau, takut, sedih, fikiran bercelaru, keyakinan diri menurun dan sebagainya.

Rasulullah mengajar kita satu doa yang amat sesuai sekali kita baca setiap hari lebih-lebih lagi ketika hati kita dilanda kesedihan dan kegelisahan.

Doa ini ada hubungkait dengan sifat-sifat yang ada dalam diri manusia dan punca-punca manusia ditimpa stress. Bacalah doa ini dengan ikhlas dan tujukan permohonan kita kepada Allah dengan hati yang bulat.



Berdoalah kepada Allah, kerana Dialah yang mentakdirkan sesuatu perkara itu berlaku. Susah senang, sihat dan sakit, hidup dan mati dan lain-lain lagi semuanya dengan izin Allah.

Banyak hikmah di sebalik kesusahan, kepayahan yang Allah berikan kepada kita. Kebiasaannya kita akan lebih ingat kepada Allah dan lebih bergantung kepadaNya ketika kita dalam kesusahan.

Penyelesaian lain ketika kita stress, berbincanglah dengan orang-orang yang kita percayai boleh membantu kita. Jangan biarkan kegelisahan itu kita tanggung sendiri. Mungkin ada di kalangan kenalan-kenalan kita yang boleh membantu. Rasa stress akan berkurangan apabila kita dapat luahkan segala masalah kita kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment