Pages

Monday, May 31, 2010

Nasihat Untuk Pengantin Perempuan




Dalam seminggu dua ini saya menerima banyak undangan ke majlis kenduri kahwin. Tergerak di hati saya untuk mengongsikan satu nasihat yang baik yang diberikan oleh Ummu Hakim kepada puterinya yang akan melangsungkan pernikahan. Semoga ianya bermenafaat untuk kita bersama.


Ummu Hakim berpesan kepada puterinya:
“Anakku, kamu akan meninggalkan suasana tempat kamu dilahirkan. Kamu akan meninggalkan sarang tempat kamu dibesarkan, berpindah ke sarang lain yang belum pernah kamu kenal. Dan kamu akan memperolehi teman hidup yang belum pernah menemanimu.

Dia berkuasa ke atas diri kamu, dia menjaga kehidupanmu. Oleh itu hendaklah kamu menempatkan dirimu sebagai hamba baginya dan dengan berbuat begitu dia pula akan menjadi hamba kepada kamu (membalas kepatuhan dengan sebaik-baiknya).

Anakku, perhatikan baik-baik beberapa pesanku ini kerana ia boleh menjadi bekal yang berguna bagi kamu:

Temanilah suami kamu dengan cara hidup serba sederhana, merasa cukuplah dengan apa yang ada dan bergaullah dengan kebaikan dan kepatuhan.

Jagalah diri kamu baik-baik di hadapan mata dan hidungnya supaya kamu tidak kelihatan buruk dalam pandangannya dan jangan sampai dia tercium bau yang tidak enak dari tubuhmu. Bercelaklah kerana celak adalah hiasan yang terbaik. Dan ketahuilah bahawa air ( yakni kebersihan diri yang sentiasa dipelihara) adalah pengganti terbaik minyak (wangian) yang kamu tidak punyai.

Perhatikanlah dengan baik waktu makan suamimu dan jagalah ketenangannya waktu dia sedang tidur. Rasa lapar dapat menimbulkan kemarahan dan demikian juga tidur yang terganggu.

Jagalah keselamatan hartanya dan keamanan rumahmu, peliharalah kehormatannya dan hormatilah anggota-anggota keluarganyanya. Dengan menjaga kehormatan harta bendanya kamu akan dihargai dan dengan menghormati anggota keluarganya, kamu akan diberikan perhatian yang baik.

Sekali-kali jangan kamu membicarakan rahsianya dengan orang lain dan jangan pula kamu menentang perintahnya. Kalau kamu sebarkan rahsianya kamu akan dapati dia tidak akan jujur terhadap dirimu dan kalau kamu tentang perintahnya, dia akan marah kepadamu.


Janganlah kamu gembira ketika dia sedang berduka dan jangan pula kamu bersedih ketika dia sedang bergembira. Sebab yang pertama itu membuktikan ‘akalmu pendek, manakala yang kedua itu pula boleh mengeruhkan fikirannya.

Jadilah kamu orang yang paling menghormati suamimu, pasti dia akan menjadikan dirinya orang yang paling memberi penghargaan besar terhadap dirimu. Jadilah kamu orang paling mudah menyetujui pendapatnya, nescaya dia akan menjadi orang yang paling lama menemani hidupmu.

Akhirnya, ketahuilah, kamu tidak akan dapat memperolehi keinginanmu sebelum kamu mengutamakan kesukaannya melebihi kesukaanmu sendiri, sebelum kamu mengutamakan kesenangannya lebih daripada kesenanganmu sendiri, samada dalam perkara yang kamu suka ataupun dalam perkara yang kamu tidak suka.
Semoga Allah SWT menunjukkan bagi kamu pilihan yang baik.”

No comments:

Post a Comment