Pages

Monday, June 14, 2010

Jiwa Kosong


Pagi tadi ketika minum dengan dua orang kawan yang sama kerja dengan saya tetapi jabatan yang berbeza, di sampaikanlah kepada saya tentang kisah dua orang staf di tempat mereka bekerja, terlibat dengan hubungan dengan wanita lain, walaupun kedua-dua mereka sudah mempunyai anak dan isteri.

Maaf bukan nak dedahkan hal-hal peribadi orang, kerana saudara semua pun tidak kenal mereka yang terlibat. Saya cuma nak ceritakan masalah ini supaya kita boleh mengambil iktibar.

Saya kenal kedua-dua mereka yang berkenaan. Individu yang pertama saya dapati, walaupun sudah ada isteri tetapi tidak membataskan cara berhubungan dengan wanita-wanita lain. Caranya bercakap dan bergaul dengan wanita lain, macamlah belum ada anak isteri. Memang pergaulan masyarakat kita hari ini agak bebas. Kurang ambil kira batas-batas syara'.

Sampai masanya bila sudah terjebak, jatuh hati dengan seseorang wanita, atau sama-sama jatuh hati, maka timbullah masalah.

Tidak perlulah diceritakan apa yang berlaku selanjutnya. Cuma saya nak katakan bahawa, apabila seorang lelaki dan wanita sudah saling jatuh hati, maka masing-masing akan rasakan bahawa pasangan masing-masing adalah lebih penting daripada orang lain.

Apabila nafsu sudah menguasai diri, seorang anak gadis sanggup meninggalkan ibu bapa yang membesarkannya, dan seorang lelaki sanggup meninggalkan isteri dan anak-anak. Begitulah cerita-cerita yang selalu kita dengar dan kita baca sebelum ini.

Individu kedua pula kononnya mempunyai isteri yang dingin. Maka dia pun selalulah pulang lewat, selalu keluar, sehingga akhirnya jatuh hati dengan seseorang…..Itupun tidak perlu nak cerita panjang jugak.

Tadi kami bincang setakat mana yang boleh kami bantu. Sebagai orang yang sudah lama makan garam, yang sudah lama berumah tangga, kalau orang-orang seperti kami tidak tolong bantu sesama kawan untuk selesaikan masalah mereka, rasa-rasanya tak patut juga.

Satu lagi yang saya nampak, kes-kes seperti ini berlaku kerana jiwa kosong atau ada ruang-ruang kosong yang tidak diisi dengan iman. Apabila jiwa kosong, seseorang itu akan mencari-cari sesuatu yang akan dilakukan untuk mendapatkan kepuasan diri mereka walaupun perkara yang dilakukan itu bertentangan dengan syara'.

Jika anda seorang isteri atau seorang suami, ingatlah bahawa kita mempunyai tanggungjawab kepada Allah swt. Apabila seorang lelaki mengahwini seorang wanita, dia mempunyai amanah untuk menjaga isterinya, memenuhi keperluannya dan membahagiakannya. Begitu juga seorang isteri mempunyai tanggungjawab kepada suaminya.

Redhalah walau bagaimanapun isteri kita kerana bukankah kita yang memilihnya sebagai isteri dan ianya juga adalah jodoh yang Allah telah tetapkan. Begitu juga di pihak isteri. Terimalah kekurangan-kekurangan yang ada pada pasangan masing-masing kerana manusia ini tidak ada yang sempurna.

No comments:

Post a Comment