Pages

Monday, June 7, 2010

Masih wujudkah wanita sepertinya?




Tulisan: Dr. Hasliza Ahmad Fauzi

Baru-baru ini, setelah sekian lama beristirehat dalam pantang selepas kelahiran anak sulungku, aku menghadiri program “Kasih dipadu, da’wah dipacu” yang dikendalikan oleh Unit Baitul Muslim ISMA Shah Alam & Klang. Kehadiran pada awalnya agak suram, membuatku terfikir, siapakah yang dijemput ke majlis ini? Adakah golongan kami yang baru menikah saja? Tapi, semakin lama semakin ramai bilangan peserta lelaki dan wanita sehingga terpaksa bersempit-sempit.

Satu pengisian yang menarik oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA tentang keluarga muslim berserta pengalamannya yang mempunyai 13 orang cahaya mata. Serta kehadiran Ustazah Norakilah binti Baharin, ketua Biro Wanita Ipoh dalam sesi forum, benar-benar membuatkanku menitiskan airmata. Betapa, kehidupan suami-isteri merupakan satu agenda yang besar, maka perancangannya juga mesti hebat, persediaan diri mesti kukuh di awalnya. Itulah tarbiyyah yang diajarkan kepadaku dari dulu.

Terpanggil untuk menulis sedikit rencana untuk ruangan Bait Muslim kepada wanita mukminah. Kisah ini kupilih untuk dikongsikan kerana tersentuh dengan kata-kata Encik Mohd Shahril Atiqi, salah seorang ahli forum, mengatakan beliau memilih isterinya kerana inginkan seorang isteri yang memahami tugasnya sebagai isteri seorang mujahid Islam seperti Khadijah binti Khuwailid. Jesteru itu beliau sentiasa diingati oleh Rasulullah swt walaupun selepas kewafatannya.

Dari pembacaan buku tulisan Muhammad Rasyid al-‘Uwaiyyid, aku tersentuh dengan olahan 3 sifat atau akhlak utama Khadijah binti Khuwailid, sebagai seorang isteri kepada Rasulullah yang diambil dari kisah perbicaraan antara Khadijah dan Rasulullah selepas kali pertama Rasulullah menerima wahyu di Gua Hira’ dan juga ketika bertemu dengan Waraqah bin Naufal. Aku kira, pembaca semua sedia maklum tentang kisah ini secara kasar.



Yang pertama, adalah dari sudut penyambutan Rasulullah saat pulang ke rumah. Khadijah menyahut penuh panggilan suami untuk menyelimuti beliau dan tidak meninggalkannya dalam keadaan ketakutan. Hingga akhirnya Rasulullah merasakan kehangatan dan ketenangan. Setelah Rasulullah berasa sedikit tenang, barulah Rasulullah bercerita kepada Khadijah akan kejadian yang menimpa Baginda bertemu Jibril di Gua Hira’. Khadijah tidak terus bertanyakan sebab-sebab Baginda jadi begitu dan tidak memaksa Baginda untuk menceritakan. Bahkan, sikap menyahut panggilan dan menyediakan apa yang diperlukan Nabi untuk menenangkan Baginda adalah perkara pertama yang dilakukannya. Setelah Rasulullah tenang, Baginda sendiri menceritakannya kepada Khadijah. Di sinilah contoh teladan bagaimana peranan seorang isteri yang benar-benar memahami posisinya dan mengerti keperluan suami tanpa mengajukan soalan-soalan yang boleh menambahkan lagi keserabutan fikiran.

Kedua, adalah pada saat Nabi mengatakan bahawa Baginda sedang dalam ketakutan yang amat sangat. Kita perhatikan cara Khadijah menenangkan suaminya dan berusaha menghilangkan kekhuatiran dan ketakutan yang menguasai perasaan Rasulullah waktu itu. Khadijah tidaklah berkata “Sudahlah, jangan takut”. Tetapi Khadijah menghiburkan Rasulullah dengan berkata “Sesungguhnya engkau gemar menyambung persaudaraan, menanggung beban penderitaan, mengusahakan sesuatu yang belum ada, memuliakan tetamu serta membantu orang-orang menegakkan kebenaran”. Akhlak terpuji inilah yang dijadikan pilihan Khadijah untuk menenangkan Nabi. Pemilihan bahasa yang bersopan santun dalam komunikasi suami-isteri aku kira satu perkara yang teramat penting untuk menggambarkan penghargaan dan budi pekerti yang luhur. Dengan itu, si suami pasti akan bercerita dengan semangat, penuh kejujuran kepada si isteri. Di samping itu, ianya juga mampu mengelakkan salah faham. Tidaklah terjadi seperti contoh apabila dua orang bercerita, kedua-duanya berkata “Saya suka ikan”. Seorang memikirkan tentang ikan di dalam akuarium dan seorang lagi memikirkan tentang ikan goreng!! Sedangkan mereka berbicara dengan satu ayat yang sama.

Teladan ketiga yang ingin diutarakan penulis ini tentang kisah Khadijah dan Rasulullah, iaitu pada saat Khadijah mempunyai gagasan pemikiran untuk membantu suaminya, lantas mencadangkan untuk membawa Nabi bertemu anak pakciknya, Waraqah bin Naufal, yang merupakan seorang ahli agama Nasrani juga penulis Kitab dalam bahasa Ibrani. Khadijah memandang Waraqah mampu menafsirkan apa yang terjadi pada diri suaminya di Gua Hira’ dengan harapan Nabi bertambah tenang. Ini merupakan satu sikap yang sangat baik di mana seorang isteri bersegera untuk memberi cadangan bantuan kepada suami apabila memungkinnya untuk melakukan sedemikian. Posisinya sebagai isteri difahami dengan baik sebagai orang yang terbaik untuk mendengarkan cerita dan membantu suami. Jangan sampai suami meminta bantuan dari pihak lain sebelum berbincang isteri. Dengan itu ku kira yang dikatakan susah senang dirasakan bersama lantas kasih sayang bertambah kuat antara suami-isteri.

Apabila bertemu Waraqah, Khadijah memulakan bicara dengan mengatakan “Wahai anak pamanku, dengarkanlah cerita dari anak saudara lelakimu ini.” Inilah kata-kata yang dilantunkan oleh Khadijah, sebuah cerminan kepada keluhuran budi bahasanya. Ianya jelas kelihatan dari dua sudut tindakannya. Yang pertama, apabila Khadijah tidak menceritakan apa yang berlaku ke atas diri Nabi tetapi membiarkan Nabi menceritakan sendiri. Dengan demikian, tidak ada penambahan atau pengurangan dalam cerita, dan juga memberikan Nabi kuasa bercerita tentang perihal yang berlaku pada dirinya sendiri. Yang kedua, tindakan Khadijah menampakkan bahawa beliau sangat menghormati Nabi saw dan merendah diri di hadapan suaminya dengan tidak memerintahkan Baginda menceritakan apa yang telah menimpa dirinya misalnya dengan mengatakan “Ceritakanlah apa yang engkau alami kepada Waraqah.” Tetapi perintah itu tertuju kepada Waraqah untuk mendengarkan cerita dari Nabi saw.

Begitulah 3 contoh teladan yang sangat menyentuh perasaanku daripada kisah ini. Mungkinkah ada lagi mukminah hari ini yang meneliti kisah-kisah para isteri Rasulullah, para sahabiyyah dan juga isteri orang-orang tab’ien untuk dijadikan contoh agar kita dapat menjadi bidadari suami kita di jannah kelak. Berusahalah agar suami merasakan bahawa dalam rumahtangga, ada mutiara luar biasa yang di mana dia dapat berkongsi segala rasa, seterusnya dapat membantunya untuk memacu taklifan berat di luar sana.

Wallahu’alam.

Oleh: Dr Hasliza Ahmad Fauzi
Sumber: Laman Web ISMA Shah Alam & Klang

No comments:

Post a Comment