Bila disebut tentang hati dan perasaan, perkara yang terlintas difikiran kita selalunya adalah kisah cinta antara dua insan. Kisah-kisah cinta seperti Adam dan Hawa, Laila dan Majnun, Shah Jehan dan isterinya serta pelbagai lagi kisah cinta sentiasa diperkatakan masyarakat. Tidak dinafikan, cinta antara suami isteri adalah suatu perhubungan yang indah dan diredhai Allah swt, serta menjadi bukti kekuasaan Allah, seperti disebut dalam Al-Quran, Surah Ar-Rum, ayat 21.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” [Surah Ar-Rum, 30:21]
Akan tetapi kuasa hati adalah jauh lebih hebat dari itu, kerana hati membentuk siapakah diri kita, dan apa yang ada di dalam hati kita hanya diketahui oleh Allah SWT dan diri kita sendiri. Hati merupakan tempat dimana kita dapat merasakan hubungan dengan Allah SWT, dan juga makhlukNya yang lain, seperti manusia, haiwan, alam, dan sebagainya. Seperti yang disebut dalam Al-Quran, hati orang yang beriman akan sentiasa tenang dan tergambar diwajahnya kasih sayang yang melimpah ruah.
“Ia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi; dan Ia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan; dan Allah sentiasa Mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.” [Surah At-Tagabun 64: 4]
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, Allah yang Maha Pengasih akan menanamkan bagi mereka perasaan kasih sayang (dalam hati mereka).” [Surah Maryam 19: 96]
Selain daripada akal, hatilah yang menentukan baik buruk sesuatu perkara yang kita lakukan. Disinilah dimana justifikasi perbuatan dipengaruhi oleh iman. Akal, hati dan iman merupakan satu tautan yang tidak dapat dipisahkan, satu correlation yang berkadar terus dengan perbuatan dan amal kita. Jika kita bayangkan satu segitiga yang menghubungkan unsur-unsur ini, iaitu hati, iman, dan akal, yang sentiasa berkait antara satu sama lain, dan hasilnya akan membuahkan perbuatan kita. Ianya turut dikenali sebagai akhlak. Jika tinggi iman kita, maka ia akan menghasilkan amal, dan sebaliknya, jika rendah iman kita, ia akan menghasilkan kejahatan.
“Orang-orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerana mengingat Tuhan. Ingatlah, bahwa dengan mengingat Tuhan itu, hati menjadi tenteram. Orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan, mereka memperoleh untung baik dan tempat kembali yang utama.” [Ar-Ra’du ayat 28-29]
Ayat ini menunjukkan bahawa jika kita sentiasa mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenteram, akan tetapi sebaliknya akan berlaku jika iman kita lemah. Kita akan merasa resah gelisah dan tidak tenang. Masihkan kita ingat pepatah Melayu yang berbunyi ‘Ikut hati mati, ikut nafsu lesu’? Hati itu digambarkan sebagai satu perkara yang akan membawa kita ke arah kejahatan. Dalam keadaan masyarakat zaman sekarang, dan persekitaran yang tidak soleh, kita akan mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan kejahatan. Syaitan tidak akan putus-putus menggoda kita untuk melakukan perkara yang bertentangan dengan perintah Allah SWT dan syaitan akan melakukannya melalui pelbagai jalan, jalan kejahatan mahupun jalan kebaikan. Syaitan akan bermain-main dengan nafsu kita, menimbulkan rasa was-was, ataupun membuat kita rasa riak dan ujub dengan kebaikan yang kita lakukan.
“Nampakkah keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.” [Al-Furqan: 43-44]
Walaupun sedemikian, disinilah terletaknya mujahadah kita. Kita hendaklah meletakkan kebergantungan hanya pada Allah, dan sentiasa berusaha untuk membaiki hati dan meningkatkan iman. Hidayah dan petunjuk dari Allah itu hendaklah dicari dan diusahakan, berbanyaklah berdoa dan muhasabah diri, kerana kitalah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah tidak akan rugi sedikit pun jika kita tidak beriman.
“Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah (petunjuk) kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman. Dan inilah jalan Tuhanmu (agama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, kepada orang-orang yang menerima peringatan.” [al-An'aam: 125-126]
Dalam hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Abu Syaibah, Aisya ra., berkata,
“Nabi SAW sering berdoa dengan mengatakan, ‘Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.’ Aku pernah bertanya, ‘Ya Rasulullah, kenapa Anda sering berdoa dengan menggunakan doa seperti itu? Apakah Anda sedang marasa ketakutan?’ Beliau menjawab, ‘Tidak ada yang membuatku merasa aman, hai Aisyah. Hati seluruh hamba ini berada di antara dua jari Allah Yang Maha Memaksa. Jika mau membalikkan hati seorang hamba-Nya, Allah tinggal membalikkannya begitu saja.’”
Marilah kita sentiasa mendekatkan diri dengan Allah SWT, marilah kita menuju ketakwaan, dengan bermu’ahadah (perjanjian dengan Allah), bermuqarabah (mengingati Allah), bermuhasabah (refleksi diri), bermu’aqabah (deraan jika bersalah), dan bermujahadah (berjuang), insyaAllah kita akan bersama-sama menuju Mardhatillah, keredhaan Allah. “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan sekalian hati, tetapkanlah hatiku atas agamaMu (Islam). Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi diri sendiri.”
Heart is like a drop of dew and petals of rose –anonymous-
Oleh: Noor Ruzaini Adam
Penolong Setiausaha ISMA New Zealand
Sumber: Laman Web ISMA-New Zealand
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Tuesday, July 20, 2010
Monday, July 12, 2010
Adakah ini maksud 'couple'?
Bismillahi walhamdulillah.
Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang pelajar saya melalui email. Sebagai perkongsian dan untuk manfaat bersama, saya masukkan dalam blog dengan sedikit pindaan dari segi ejaan. Sebab saya kurang berkenan dengan penggunaan singkatan-singkatan yang merosakkan Bahasa Melayu kita! Berikut adalah perbincangan kami…
Salmah (bukan nama sebenar): Salam,, ustaz saya ada terbaca beberapa artikel pasal couple yang mengatakan bahawa bercouple ni haram.. Mulanya terkejut juga,, tapi bila baca balik ada betulnya artikel tu. Tapi saya masih keliru sikit, betul ke couple tu haram?
Saya: Salam. Sebelum saya jawab, boleh perkenalkan diri. Supaya jawapan saya lebih sempurna. Terima kasih
Salmah: Wa a’laikumussalam, saya Salmah bt Hasan.
Saya: Salam. Terima kasih kerana memperkenalkan diri, Salmah. Saya tak mahu mengagak-agak, sebab ada ramai Salmah!
Pada pengamatan saya, sudah memadai semua artikel yang Salmah baca tu. Tidak perlu rujuk saya. Tapi kerana Salmah dah tanya, maka pendapat saya, couple itu haram. Mungkin saya akan mengulangi hujah yang sama macam artikel-artikel tersebut.
Ringkasnya;
1. Apa maksud couple? Jika maksudnya seorang lelaki mempunyai seorang kawan perempuan, atau mengenalinya sebagai rakan sekerja, maka hukumnya harus. Selagi mana tidak melibatkan unsur-unsur yang membawa kepada haram. Tetapi jika perkenalan, persahabatan dan berpasangan tersebut membawa kepada perkara haram, hukumnya adalah haram ber’couple’! Orang yang bijak tidak melihat sesuatu pada zahirnya sahaja, tetapi akan meneliti kesan jangka panjangnya.
2. Antara keistimewaan Islam; mencegah dan mengharam semua perkara yang membawa kepada kemudharatan. Sebab itu Allah sebut; Janganlah kamu mengHAMPIRI zina. Maksudnya, semua perkara yang menJURUS ke arah zina adalah haram, termasuklah coupling tadi. Kaedah syarak menyebut; Setiap perkara yang membawa kepada haram adalah haram. Sebagaimana ada juga kaedah syarak; Mukaddimah kepada wajib adalah wajib.
3. Apa perlunya berpasangan dalam SUASANA SEKARANG? Pada saya, tidak lain daripada menurut runtunan nafsu dan terpedaya dengan tipu daya syaitan. Adakah layak seorang perlajar muslim berpasangan? Sedangkan masa lapangnya diamanahkan Allah untuk menuntut ilmu, dan kelak akan dipersoalkan di akhirat. Adakah terdapat dalam sirah nabi dan sejarah para sahabat mahupun para tabien bahawa mereka berpasangan? Adakah keadaan umat Islam kini yang dihimpit oleh musuh-musuhnya mengizinkan kita untuk membuang masa dan melayani perasaan. Amat tidak wajar sekali…
4. Dengan jujur, jawablah soalan saya; Apakah perlunya berpasangan? Jika boleh meningkatkan iman kepada Allah, silakan. Jika boleh memaju dan menguatkan umat Islam menentang musuh, silakan. Jika boleh menjawab soalan Munkar dan Nakir, silakan…
Wallahu a’lam. Itu pendapat saya, seperti dipinta. Harap dapat menjawab kemusykilan. Wassalam.
Salmah: Wa a’laikumussalam. Terima kasih ustaz. Ada jugak saya menegur budak-budak junior ni. Tapi dia orang mempersoalkan siapa saya untuk bercakap tentang perkara tu. Rasa terkilan jugak bila dengar dia orang cakap. “Hai! Sejak bila akak dah jadi alim ni?” Tapi saya anggap tu sebagai gurauan. Sejak tu saya tak pernah lag menegur kawan-kawan saya yang bercouple ni sebab takut dia orang pulak yang akan kata saya macam tu. Apa-apa pun terima kasih kepada ustaz sekali lagi.
Saya: Salam. “ dia orang mempersoalkan siapa saya untuk bercakap tentang perkara tu”
Siapa kita? Kita adalah seorang muslim. Tugas kita ialah mengabdikan diri kepada Allah. Pengabdian diri kepada Allah bukanlah dengan ibadat khusus seperti solat dan puasa. Tetapi termasuk juga mencegah kemungkaran. Seorang muslim mendapat ‘permit’ secara langsung dari Allah untuk mencegah kemungkaran.
“Hai! Sejak bila akak dah jadi alim ni?” Jawabnya- Sejak Allah beri saya petunjuk, sehingga saya kenal baik dan buruk. Apa yang kita buat bukanlah suatu yang extra sehingga dapat title ‘alim’, tetapi sekadar melaksanakan kewajipan asas seorang muslim. Takutilah azab Allah yang tidak akan menimpa orang-orang yang membuat maksiat sahaja, tetapi jika diturunkan azab akan menimpa satu kampung atau negeri! Sebab itu kita perlu cegah kemungkaran.
So, apa nak buat sekarang? Takkan nak dibiarkan sahaja. Rakan-rakan dan umat Islam sedang tenggelam dan hanyut oleh arus jahiliah…
Pertama, bina dan tingkatkan kekuatan diri sendiri dengan menghampirkan diri kepada Allah, banyak berdoa kepada Allah.
Kedua, tingkatkan kefahaman tentang Islam sama ada dengan membaca, bertanya, berbincang, mengikuti akvititi anjuran pertubuhan yang Islamik.
Ketiga, cari dan bersamalah kawan-kawan yang yakin bahawa kita perlu berubah dan kegelapan ini perlu diubah.
Insya Allah saya sedia membantu. Wassalam.
Salmah: Terima kasih ustaz.
_______
Demikianlah perbincangan kami. Mudah-mudahan Salmah diberi kefahaman yang jelas tentang Islam dan diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan hidup sebagai seorang muslimah. Umpama ikan yang hidup di lautan, tetapi tidak masin isinya!
Wallahu a’lam
Oleh: Ustaz Azzahar bin Abd. Aziz,
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia,
ISMA Cawangan Seremban
Blog: Catatan Kehidupan
Saturday, July 10, 2010
Se pagi bersama pelajar-pelajar baru Jabatan Sains Biologi.
Pagi ini, Ahad, 11/07/2010, telah diadakan perjumpaan diantara pelajar-pelajar baru Jabatan Sains Biologi dengan semua staf di Jabatan Sains Biologi.
Taklimat telah diberikan oleh Ketua Jabatan Sains Biologi.
Memperkenalkan semua pegawai akademik dan pegawai sokongan akademik, iaitu staf makmal yang terdiri daripada pegawai sains, penolong pegawai sains dan pembantu-pembantu makmal.
Memperkenalkan makmal-makmal yang terdapat di Jabatan Sains Biologi.
Menjelaskan bentuk-bentuk pengajian/pembelajaran yang akan dilalui oleh para pelajar nanti.
Bidang-bidang kerjaya yang mereka dapat ceburi setelah tamat pengajian.
Aktiviti-aktiviti ko kurikulum yang terdapat di UMT serta kelab-kelab pelajar yang terdapat di Jabatan Sains Biologi.
Nasihat, semangat dan dorongan diberikan untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar tersebut sebagai persediaan bagi mereka yang akan melalui pengajian selama 3 tahun di UMT.
Peluang belajar yang terbuka luas. Peluang untuk memahirkan diri, menyediakan diri dengan keperluan-keperluan yang perlu ada sebelum terjun ke bidang pekerjaan dan sebagainya.
Mungkin anda telah melalui detik-detik itu, yang sekarang telah tamat belajar atau masih berada di tahun 2 atau 3.
Peluang belajar hanya sekali….selagi peluang masih ada, jangan persia-siakan.
Tuesday, July 6, 2010
Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS) 2010
Sunday, July 4, 2010
Sesi pengajian bermula...
Hari ini, Ahad, 04 hb. Julai 2010, pendaftaran pelajar baru UMT, sesi Julai 2010-1011. Minggu jalinan mesra bermula daripada 4-7 hb, Julai 2010.
Bagi anda yang pernah belajar di IPT, mungkin telah melalui perkara yang sama. Daftar kemasukan, masuk asrama, dapat kawan baru, minggu jalinan mesra dan seterusnya mengikuti pengajian di IPT.
Bermula dari tahun pertama, kedua, ketiga dan sambung master, Ph D atau cari kerja. Itulah proses pengajian yang saya lihat berlaku di tempat saya bekerja.
Setiap pelajar yang datang ke IPT mempunyai harapan, cita-cita dan matlamat tertentu. Mereka yang mempunyai matlamat untuk cemerlang dalam pelajaran akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat mereka.
Ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke IPT juga mempunyai harapan yang tertentu untuk anak-anak mereka.
Yang penting mereka harapkan anak-anak mereka berjaya di dalam pelajaran.
Nasihat yang biasa diberikan oleh ibu-bapa untuk anak-anak mereka ketika melepaskan anak-anak mereka belajar di IPT ialah, “Jaga diri baik-baik, belajar rajin-rajin, jangan tinggal sembahyang, pandai-pandai pilih kawan…dsb”
Di dalam pemikiran ibubapa, mereka harapkan agar anak–anak mereka menjadi orang yang berjaya di dalam hidup. Berjaya menjadi seorang manusia yang berjaya. Bukan sekadar berjaya di dalam pelajaran, kerana ramai orang yang berjaya dalam pelajaran tetapi gagal dalam hidup.
Pelajar menggalas harapan ibubapa. Mereka perlu faham tujuan memasuki IPT. Di samping pelajar juga menggalas harapan atau amanah agama kepadanya. Lebih jelas lagi amanah Allah terhadapnya.
Oleh sebab itu, pelajar perlu sedar, di samping menimba ilmu-ilmu akademik, mereka perlu juga memperkemaskan diri mereka dengan ilmu agama, supaya ianya berjalan seiring diantara tuntutan duniawi dan ukhrawi.
Subscribe to:
Posts (Atom)