Pages

Tuesday, March 29, 2011

Mutiara kata.
'Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezki, tapi tidak menemukan rezki yang lebih baik daripada sabar'. (Khalifah Umar RA.)

Monday, March 28, 2011

ISMA tidak tolak ketuanan Melayu – Ustaz Abdullah Zaik


KUALA LUMPUR, 26 Mac - “ISMA tidak menolak “ketuanan Melayu”, bahkan berpandangan ini adalah hak tradisi orang Melayu yang diwarisi turun-temurun dan suatu tuntutan yang sah di sisi sejarah, undang-undang dan agama Islam,” tegas Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

“Apa yang ditolak ialah tafsiran ketuanan Melayu dengan makna bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari bangsa lain kerana darah dan keturunannya, atau tafsiran ketuanan Melayu dengan makna asobiah Melayu yang membawa permusuhan sesama Islam atau menindas dan menafikan hak bangsa lain.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan ISMA kali ke-12 yang telah berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini hari ini.

Mesyuarat yang bertemakan Melayu Sepakat Islam Berdaulat itu dihadiri oleh lebih 500 orang terdiri daripada para perwakilan dan ahli ISMA dari seluruh negara serta tetamu-tetamu undangan daripada NGO-NGO termasuk ABIM, HALUAN, TERAS, PPIM, PUM, GPMS dan lain-lain lagi.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, perkataan ketuanan merujuk kepada istilah bahasa Arab iaitu “siyadah” dengan makna kepimpinan. Orang Melayu atas sifatnya sebagai penghuni asal Tanah Melayu dan beragama Islam maka mengikut konsep kenegaraan Islam, merekalah yang paling berhak atas kepimpinan negara dan dalam menentukan rupa bentuk kenegaraan dan masa depan negara.

Beliau mengakui bahawa politik Melayu hari ini tidak dapat merealisasikan aspirasi politik Islam sepenuhnya, tetapi adalah tidak dapat dinafikan ia merupakan satu kemaslahatan yang perlu dipelihara di zaman ketiadaan daulah.

“Mengekalkan kuasa di tangan orang Melayu lebih selamat dalam konteks maqasid syariah bagi memelihara kedaulatan, membela maruah bangsa dan masa depan negara, berdasarkan kaedah “barang yang tidak boleh dicapai sepenuhnya tidak ditinggalkan sepenuhnya”.”

Ustaz Abdullah Zaik turut mengingatkan orang Melayu khususnya terhadap kewujudan pihak tertentu yang sedang mengatur strategi dalam percaturan politik semasa bagi meruntuhkan konsep ketuanan Melayu kerana menganggapnya sebagai penghalang cita-cita mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berteraskan kesamarataan mutlak.

Dengan meruntuhkan tradisi tersebut akan menyenangkan laluan mereka untuk mengambil posisi-posisi penting dalam kepimpinan negara dan seterusnya mewarnainya dengan warna yang lain.

“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”

Oleh: Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA

Sunday, March 27, 2011

Bekas mufti saran perhimpunan anti-politik lucah


Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

"Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.

"Kita menentang politik lucah dan politik selak kain," katanya.

Berikut itu, katanya, semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat.

"Ia adalah amalan jijik dan kotor. Sama ada dalam Umno, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; sama ada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang.

"Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain," tulisnya lagi.

Menurut Dr Mohd Asri, bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini, kerana ia akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif.

"Maka orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan," katanya.

Media pula, tegasnya, hendaklah menjadi wacana yang bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya lucah dan kotor dalam politik.

Media yang menggalakkan fitnah, atau pendedahan unsur lucah, tambahnya, hendaklah dipulau oleh masyarakat bermaruah.

"Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang positif.

"Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari pentas politik kita.

"Mereka yang sebeginilah yang akan cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina kekuatan diri," tambahnya.

Oleh itu, katanya, rakyat hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti.

"Bebas dari fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam menegakkan kebenaran," tegasnya lagi.

sumber: malaysiakini.com

Sunday, March 20, 2011

Jiwa Seorang Muslim


Muslim yang hak, dalam dia membangun jasmani dan akalnya, tidak akan lupa bahawa dirinya tidak sahaja terbentuk daripada tubuh dan akal sahaja. Tetapi dia mestilah menyedari dan memahami bahawa dia mempunyai hati yang berdenyut, roh yang merindu, jiwa yang sensitif dengan berbagai kerinduan dan keinginan yang tinggi, yang mendorongnya mengejar ketinggian, menyelami lautan ibadat, mendesaknya untuk mencari nikmat dan kesenangan yang ada di sisi Allah swt. dan takut kepada segala balasanNya dan neraka jahanam.

Memurnikan Jiwanya Dengan Ibadat:

Oleh kerana itu wajiblah seorang muslim itu memberikan perhatian yang sungguh-sungguh terhadap jiwanya lalu dia berusaha mensucikannya dengan ibadat dan mencintai Allah swt. di sebahagian waktu malam hari dan siang hari, supaya sentiasa sedar dan waspada berjaga-jaga dari putar belit syaitan yang suka menipu. Berjaga-jaga dari was-was dan godaan yang merosakkan. Sekiranya dia terkena godaan syaitan dalam detik-detik kelemahannya, dia digoncang oleh kesedarannya lalu dia terus celik, sedar, taubat dan terus memohon ampun kepada Tuhannya.

Firman Allah yang bermaksud,
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu apabila mereka terkena godaan syaitan, mereka ingat lalu mereka melihat.” (Al-‘Araaf: 201)

Rasulullah s.a.w bersabda kepada sahabat-sahabat baginda yang bermaksud,
“Perbaharuilah iman kamu,” Dikatakan: “Bagaimana kami memperbaharui iman kami?” Baginda menjawab,”Perbanyakkanlah mengucap Laailaahaillallah, Tiada Tuhan melainkan Allah.”

Muslim itu meminta pertolongan dari Allah, menguatkan jiwanya dan memperbaiki dirinya dengan melakukan berbagai-bagai ibadat seperti membaca Al-Quran, berzikir kerana Allah semata-mata dengan penuh taat setia, takut dan khusyuk. Bersembahyang dengan cara yang betul dan sempurna segala syarat sahnya, khusyuk dan hadir fikirannya, juga dengan melakukan ibadat-ibadat yang lain dan latihan-latihan rohani. Melatih dirinya terus menerus melakukan ibadat ini sehingga menjadi satu kebiasaan.

Lantaran itu jiwanya menjadi segar dan murni, perasaannya menjadi halus, pancainderanya sedar dan selalu waspada, insaf dan beringat-ingat, mencintai Allah di waktu sunyi dan waktu terang. Takut kepada Allah di segala kira bicara dan muamalahnya dengan manusia, tidak khianat, tidak curang, tidak zalim, tidak menyeleweng dari kebenaran dan tidak terpesong dari jalan yang lurus.

Rujukan: Keperibadian Muslim. Mohd Ali Hashimi.

Thursday, March 10, 2011

CARI...



Selagi masih bernafas
Nadi masih berdenyut
Mata masih berkelip
Tangan masih dapat dihayun
Langkah masih boleh diatur.

Selagi matahari muncul di pagi hari
Dan kembali terbenam di penghujung senja.

Selagi manusia itu masih kekal dengan kejadiannya
Yang mempunyai roh, akal dan jasad
Manusia itu akan terus mencari.

Mencari makan
Mencari rezki
Mencari kepuasan
Mencari teman
Mencari hiburan
Mencari kebenaran
Mencari ketenangan
Mencari sesuatu yang hilang
Mencari sesuatu untuk dilakukan.

Itulah manusia
Tidak lepas dari 'pencarian'.

Termasuk anda yang sedang membaca tulisan ini!
Anda sedang mencari sesuatu?

Bila anda mencari sesuatu
Anda adalah manusia normal.

Manusia normal akan terus mencari…

Mencari sesuatu maklumat
Sesuatu idea
Sesuatu yang boleh membangun mindanya
Sesuatu yang boleh menjadi pegangan hidupnya.

Manusia yang normal akan terus mencari
Sesuatu yang baik
Sesuatu yang rasional
Sesuatu yang benar
Sesuatu yang memberi kepuasan
Sesuatu yang memberi keuntungan….

Carilah….
Dan ambillah yang baik supaya tidak rugi.

Carilah….
Kerana kita disuruh mencari.

Maksud Firman Allah:
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari duniawi dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan." (QS Al-Qashash: 77)

Tuesday, March 8, 2011

Akal bagi seorang muslim


Seorang muslim yang benar, meyakini bahawa menjaga dan memelihara akal dengan ilmu dan mempergunakan akalnya untuk mencari nikmat Allah swt. di dunia ini adalah salah satu perkara yang wajib kerana Rasulullah (s.a.w.) bersabda yang bermaksud,

“Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap muslim.” (Riwayat Ibn Majah).

Oleh itu dia berkewajipan berusaha memelihara akalnya dengan ilmu dan makrifat. Memeliharanya terus menerus selagi nyawa dikandung badan. Allah swt. menyuruh setiap muslim supaya menuntut ilmu dan Dialah yang meninggikan darjat para ‘ulama dan juga orang-orang yang berilmu ke atas orang-orang yang tidak berilmu.

Firman Allah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Az Zumar: 9)
Seorang muslim yang hak ialah seorang yang alim dan berilmu serta terpelajar.

Menuntut Ilmu Berterusan Hinggalah Ke Akhir Hayat.

Belajar yang sebenarnya bukanlah hanya belajar setakat untuk mendapatkan ijazah, diploma atau sijil yang tinggi, dengan harapan untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan hidup senang. Tetapi yang dimaksudklan dengan menuntut ilmu dengan sebenarnya ialah kita mesti terus membaca, mengkaji dan menambah ilmu setiap hari.

Beramallah seperti firman Allah: “Dan katakanlah: “Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.” (Taaha: 114)

Para salafussolih, walaupun telah mencapai darjat ilmiah yang tinggi dan agung namun mereka tidak berhenti-henti berusaha menambah ilmu pengetahuan mereka. Mereka terus menerus mencari ilmu pengetahuan hingga ke akhir hayat mereka. Mereka memandang bahawa ilmu itu akan hidup dan berkembang terus dengan belajar dan membaca. Sebaliknya pula ilmu itu akan menjadi layu dan kering apabila ditinggalkan atau berhenti belajar dan membacanya. Mereka meninggalkan perkataan–perkataan yang masyhur yang menunjukkan bagaimana mereka menghormati ilmu dan memuliakannya.

Al Imam Malik (r.a.) berkata : “Tidak wajar bagi seorang yang mempunyai ilmu meninggalkan pelajarannya.” (Riwayat Muslim).

Telah dikatakan kepada Ibn Al Mubarak: “Sampai bilakah kamu menuntut ilmu?”, Beliau lantas menjawab: “Hingga mati, dan boleh jadi kalimah yang berguna kepadaku belum ku tulis lagi.” (Riwayat Muslim).

Dengan yang demikian jelaslah kepada kita betapa pentingnya kita menggunakan akal yang dikurniakan Allah ini untuk menuntut ilmu. Apa saja ilmu yang boleh memberi menafaat kepada kita baik di dunia mahupun di akhirat.

Ilmu Yang Patut Diketahui Oleh Seorang Muslim.

Ilmu yang patut diketahui dengan baik oleh seorang muslim ialah ilmu pengetahuan terhadap kitab Allah iaitu al-Quran. Dia mesti memperbaiki bacaannya, tajwidnya dan tafsirannya. Kemudian mengetahui pula ilmu-ilmu hadith, ilmu-ilmu sirah sejarah nabi, sejarah sahabat-sahabat, sejarah tabi’en, ‘ulama pewaris nabi sepanjang sejarah umat Islam sehingga ke hari ini, termasuklah ‘ulama mujtahidin dan mujahidin. Dia mesti mengetahui hukum-hukum agamanya di atas asas yang benar dan lurus untuk menegakkan ibadat dan muamalatnya.

Seorang muslim sepatutnya memandang serius terhadap sesuatu pengkhususan bidang, samada pengkhususan bidang itu berupa ilmu dari syariat Islam, ilmu agama ataupun ilmu pengetahuan dunia seperti ilmu sains, matematik, kejuruteraan, falak, kedoktoran, teknik perniagaan dan sebagainya. Dia harus mendalami ilmu itu dengan cukup baik, teliti hingga menjadi pakar yang Berjaya.

Disamping itu seorang muslim perlu berusaha bersungguh-sungguh menguasai bahasa Arab.

Rujukan: Keperibadian Muslim oleh Mohd Ali Hashimi.

Saturday, March 5, 2011

Demi Matahari

Maaf kerana belum berkesempatan untuk memasukkan tulisan terbaru ke dalam blogku, kerana kesibukan...Sebagai selingan, mari sama-sama kita hayati nasyid ini...