Pages

Monday, March 28, 2011

ISMA tidak tolak ketuanan Melayu – Ustaz Abdullah Zaik


KUALA LUMPUR, 26 Mac - “ISMA tidak menolak “ketuanan Melayu”, bahkan berpandangan ini adalah hak tradisi orang Melayu yang diwarisi turun-temurun dan suatu tuntutan yang sah di sisi sejarah, undang-undang dan agama Islam,” tegas Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

“Apa yang ditolak ialah tafsiran ketuanan Melayu dengan makna bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari bangsa lain kerana darah dan keturunannya, atau tafsiran ketuanan Melayu dengan makna asobiah Melayu yang membawa permusuhan sesama Islam atau menindas dan menafikan hak bangsa lain.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Mesyuarat Agung Tahunan ISMA kali ke-12 yang telah berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini hari ini.

Mesyuarat yang bertemakan Melayu Sepakat Islam Berdaulat itu dihadiri oleh lebih 500 orang terdiri daripada para perwakilan dan ahli ISMA dari seluruh negara serta tetamu-tetamu undangan daripada NGO-NGO termasuk ABIM, HALUAN, TERAS, PPIM, PUM, GPMS dan lain-lain lagi.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, perkataan ketuanan merujuk kepada istilah bahasa Arab iaitu “siyadah” dengan makna kepimpinan. Orang Melayu atas sifatnya sebagai penghuni asal Tanah Melayu dan beragama Islam maka mengikut konsep kenegaraan Islam, merekalah yang paling berhak atas kepimpinan negara dan dalam menentukan rupa bentuk kenegaraan dan masa depan negara.

Beliau mengakui bahawa politik Melayu hari ini tidak dapat merealisasikan aspirasi politik Islam sepenuhnya, tetapi adalah tidak dapat dinafikan ia merupakan satu kemaslahatan yang perlu dipelihara di zaman ketiadaan daulah.

“Mengekalkan kuasa di tangan orang Melayu lebih selamat dalam konteks maqasid syariah bagi memelihara kedaulatan, membela maruah bangsa dan masa depan negara, berdasarkan kaedah “barang yang tidak boleh dicapai sepenuhnya tidak ditinggalkan sepenuhnya”.”

Ustaz Abdullah Zaik turut mengingatkan orang Melayu khususnya terhadap kewujudan pihak tertentu yang sedang mengatur strategi dalam percaturan politik semasa bagi meruntuhkan konsep ketuanan Melayu kerana menganggapnya sebagai penghalang cita-cita mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berteraskan kesamarataan mutlak.

Dengan meruntuhkan tradisi tersebut akan menyenangkan laluan mereka untuk mengambil posisi-posisi penting dalam kepimpinan negara dan seterusnya mewarnainya dengan warna yang lain.

“Melayu Sepakat, Islam Berdaulat”

Oleh: Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA

No comments:

Post a Comment